Total Pageviews

Monday, 31 December 2012

PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK DAN KELUARGA (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Sebagaimana yang telah disebutkan, saya biasa dilantik sebagai Bendahari atau Penyimpan Wang Yang Kehormat pada tiap-tiap tahun tetapi bagaimanapun saya teringat peristiwa di dalam satu mesyuarat Agung Ulang Tahun di mana seorang daripada ahli yang hadir telah bangun menentangkan yang wang saguhati yang dicadangkan oleh jawatankuasa syarikat itu bagi saya bagi tahun yang baharu lepas dikurangkan daripada $600.00 kepada $300.00.  Saya pandang kepadanya dan saya nampak ia bersungguh-sungguh dengan cadangannya itu dengan alasan yang menarik.  Oleh itu, saya telah minta izin Tuan Pengerusi Mesyuarat iaitu Tuan J.A. Miller Pegawai Jajahan Hilir Perak sebagai jawatannya Yang DiPertua Syarikat yang tersebut untuk saya meninggalkan mesyuarat itu supaya mereka dengan seluas-luasnya boleh membahaskan perkara itu sambil saya menerangkan iaitu saya telah dilantik oleh Mesyuarat Agung Ulang Tahun yang lalu dengan tidak apa-apa janji untuk dibayar sebarang wang sagu hati bagi perkhidmatan yang saya telah jalankan.  Oleh itu, sekiranya saya tidak dibayar apa-apa sagu hatipun, tidak mengapa.  Sekadarkan di masa hadapan, jika saya juga dilantik bagi jawatan itu, maka saya akan berfikir pula.  Tuan itu tidak benarkan saya keluar daripada mesyuarat sambil ia meminta jika ada sesiapa hendak menyokong bagi cadangan untuk pindaan itu.  Oleh kerana tiada sesiapa pun yang hendak menyokong cadangan bagi pindaan itu, maka cadangan itu gagal – tidak dibenarkan dan ia mempersetujukan cadangan awal (dengan tidak dipinda) dengan sebulat suara.

Semenjak itu, saya sentiasa dilantik sebagai Bendahari atau Penyimpan Wang Yang Kehormat syarikat yang tersebut kerana jasa dan kecekapan saya membuat pekerjaan itu.  Oleh kerana sebelum saya dilantik sebagai Bendahari maka Mesyuarat Agung Ulang Tahun selalu saja lambat hingga akhir tahun yang terkemudian kerana menantikan kira-kira wang tahunan diperiksa dan disahkan oleh Pemereksa Kira-kira Jabatan Kerjasama Perseketuan Tanah Melayu yang Bersekutu (F.M.S.).  Oleh itu, bayaran-bayaran sagu hati dan wang bahagian untung (dividen) biasa terlewat setahun terkemudian ataupun lebih.  Selepas saya dilantik maka saya dapat menyediakan kira-kira wang tahunan selepas saja akhir tahun itu dan biasanya pula awal hari dibuka pejabat di tahun yang baru, saya telah dapat menyediakan kira-kira wang tahunan dan dalam minggu yang awal di tahun baharu itu, saya sudah dapat bukan saja menyediakan kira-kira wang tahunan yang baharu lepas, tetapi juga penyata tahunan untuk Mesyuarat Agung di dalam bulan itu pula atau di awal bulan Februari dan selepas itu bayaran bahagian untung (dividen) dan lain dapat dibayar di dalam bulan Februari yang samasa dahulunya dapat dibuat selepas masa setahun atau lebih baru wang sagu hati dan bahagian untung boleh dibayar.

Untuk menyediakan kesemua ini dengan begitu cepat bukanlah senang dan orang lain harus tidak boleh berbuat demikian kerana kerja saya di pejabat Bendahari Kecil (Sub-Treasury) Kerajaan pun selalu sibuk dan selain daripada itu, saya juga selalu dilantik sebagai Bendahari Kehormat Kelab Melayu Hilir Perak (Lower Perak Malay Club) kerapkali juga sebagai Bendahari Yang Kehormat Masjid Melayu Teluk Anson dan apabila Bendahari Kecil (Sub-Treasurer) Hilir Perak bercuti daripada semasa ke semasa, saya pula memangku jawatan itu.  Lain pula saya dilantik sebagai Pemeriksa Kira-kira di pertubuhan-pertubuhan yang lain dan juga sebagai Pengerusi Malay Co-operative Store Teluk Anson.

bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA




Monday, 24 December 2012

PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK DAN KELUARGA: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


BAHAGIAN KEDUA

PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK DAN KELUARGA




Sebagaimana yang telah terdahulu saya sebutkan, maka sayalah budak atau orang yang pertama meninggalkan Kampong Lambor Kiri untuk belajar di sekolah Inggeris di pekan dan sebagai pelajar Bahasa Inggeris daripada kampong saya yang dapat bekerja di pejabat kerajaan.  Semasa saya bekerja pada mulanya di Kuala Kangsar dan kemudian daripada itu di Kampar belum lagi beberapa ramai di dalam tanggungan saya yang hendak diberi pelajaran terutama pelajar di sekolah-sekolah Inggeris.  Begitupun saya berikhtiar untuk menambah pendapatan saya dengan jalan halal dengan cara sambilan dengan membawa kerja ke rumah di waktu malam untuk membuat atau menyediakan bil-bil bulanan atau sebagainya bagi pekedai-pekedai Cina atau lain yang saya kenal di pekan-pekan itu.  Saya tidak terima bayaran bulanan yang tetap tetapi minta bantuan apabila saya berkehendaki bagi membuat bayaran yang tertentu.

Di waktu saya mengaji sekolah Inggeris pun dengan dorongan dan ikhtiar seorang bapa saudara saya Tajul Arus, saya telah menjadi ejen tunggal kepada satu gudang di Ipoh iaitu “The Federal Rubber Stamp Co.” untuk menjual perkakas tulis-menulis dan sedikit sebanyak barang-barang yang lain seperti baju kemeja kepada pelajar-pelajar di Malay College Kuala Kangsar dan di sekolah tempat saya belajar.  Barang-barang yang saya jual itu amat laris kerana barangnya elok daripada barang yang didapati di pekan dengan harga yang amat berpatutan.  Barang-barang yang dapat saya sendiri jual diluar dan di kampong saya semasa sekolah saya bercuti daripada tumpah lelahnya dapatlah saya sedikit komisyen kerana kami tidak mengambil untung di atas harga jualan tetapi daripada barang-barang yang dijual kepada pelajar-pelajar di Malay College Kuala Kangsar maka bapa saudra saya itulah yang mendapat untungnya.

Keadaan ini telah berubah apabila saya bertukar bekerja di Teluk Anson kerana pekan itulah yang terlebih dekat dengan kampong saya Lambor Kiri.  Di masa itu selain daripada adik-adik dan anak-anak saya maka beberapa orang kanak-kanak daripada saudara-mara dan keluarga saya samada daripada pihak ibu atau bapa saya pun datang duduk di rumah saya untuk belajar sama di sekolah Inggeris ataupun di sekolah Melayu dan lain-lain, kecuali seorang berdua saja maka nampaknya masing-masing berjaya mendapatkan pekerjaan kerajaan dan masing-masing berjaya belaka dalam jawatan-jawatan masing-masing.

Pada masa mula saya tiba, saya jalankan sebagaimana yang saya telah perbuat sebagaimana di masa saya di Kuala Kangsar dan Kampar.  Tetapi kebetulan pula tidak berapa lama selepas saya bertukar ke Teluk Anson maka kerajaan telah membuka iaitu Pejabat Syarikat Kerjasama dan di antaranya ialah Syarikat Orang-orang Melayu Kerajaan Kerjasama Kerana Jimat Cermat dan Pinjam dengan Tangungan Berhad Teluk Anson.  Saya pada mulanya tidak mahu menjadi seorang ahlinya kerana saya tidak yakin lulusnya pada sisi Syarak menerima faedah di atas wang yang diberi pinjam kepada ahli-ahlinya tetapi selepas sedikit masa saya telah masuk menjadi ahli dan selepas itu  itu biasanya saya dilantik sebagai Penyimpan Wang Yang Kehormat.  Maka dengan perlantikan itu saya dibayar wang sagu hati diantara $300.00 dan $600.00 setahun pada akhir tiap-tiap tahun yang di masa itu bolehlah dipandang atau dikatakan tinggi dan dapat menampung keperluan saya.  Selain daripada itu pula, boleh mendapat bayaran bahagian untung (dividen) tahunan di atas wang simpanan saya sebagai ahli atau wang deposit yang tertentu (specific deposit)


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 17 December 2012

BERTUKAR KE TELUK ANSON (Sambungan): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Apabila saya balik ke situ, maka masing-masing bersetujulah tidak lagi bergaduh sama-sama mereka di masa hadapan.  Saya jelaskan kepada mereka yang saya belum lagi percaya akan boleh jadi aman mengikut sebagaimana yang telah berlaku di masa yang telah lepas.  Pak Man minta saya terangkan kepada mereka bagaimana cara yang saya kehendaki.  Saya beritahu mereka yang saya tidak mahu tahu siapa yang benar dan siapa yang salah.  Yang saya kehendaki ialah cuma orang-orang yang muda meminta maaf kepada yang lebih tua di hadapan orang ramai di situ sekarang.  Oleh itu terpaksalah keluar mulanya anak-anak dara mereka yang selalu menjadi punca pergaduhan yang lalu dan dengan cara itu habislah masing-masing semua keluar daripada rumah atau bilik mereka - tidak kira anak dara, janda atau bini orang - habislah masing-masing bermaaf-maaf di antara mereka,.

Setelah itu saya katakan lagi kepada Pak Man yang saya tidak lagi yakin aman atau selesai.  Pak Man garu kepalanya yang sudah botak sambil berkata apa lagi hendak dibuat.  Saya jawab jika mereka masing-masing hendak bedamai, saya akan beri wang saya sendiri untuk beli dua gantang pulut dan orang yang ramai hendaklah muafakat pada masa itu jua untuk membeli dua ekor ayam dan perkakas memasak yang lain.  Dengan serta merta mereka tangkap dua ekor ayam mereka dan disembelih sekejab itu jua dan jadilah pada petang itu satu kenduri yang bersejarah bagi orang-orang Melayu di situ, khasnya dan orang-orang lain di situ amnya.

Selepas itu pula pada pagi besoknya seorang daripada mereka telah berkejar dengan gopoh-gapah berjumpa saya di pejabat mengatakan kepada saya iaitu Abang Mat … ada di pintu jalan masuk ke rumah sakit itu hendak memukul ianya.  Saya pun pergi lihat daripada tingkat atas pejabat dan saya dapati sebenarnya orang itu ada di situ.  Saya kata, Mat Isa namanya – mike pergi unjuk tangan bersama dengannya, buat baik kepadanya dan jika ia pukul mike, maka saya dan sekelian yang ada di rumah sakit ini akan menjadi saksi sebelah mike.  Iapun pergi berbuat demikian tetapi tidaklah terjadi apa-apa.  Orang itu kata yang ia hendak berjumpa dengan adiknya (Mat….) dan ia lalu berpesan kepadanya untuk adiknya datang sebentar berjumpa dengannya.

Semenjak itu tidaklah terjadi lagi apa-apa pergaduhan di situ dan jadi terus aman dan jua hari itu dijadikan hari ulang tahun dan di hari yang sama mengingatkan hari yang bersejarah kepada mereka.  Bukan itu saja, maka dijadikan satu pakatan untuk mereka menyimpan wang bagi kegunaan mereka di mana-mana masa mereka berkehendakkan pertolongan atau di masa kecemasan kerana di masa itu belum ada lagi syarikat kerjasama kerajaan sebagaimana sekarang.

Saya bekerja di rumah sakit itu lebih daripada sepuluh tahun dan apabila saya telahpun bertukar daripada situ, mereka tidak lupakan saya bila-bila masa mereka mengadakan kenduri keramainan itu pada tiap-tiap tahun yang selalu mereka adakan sebagai berkelah di tepi sungai di situ.

Saya teringat peristiwa itu dan selama saya bekerja di situ bersama mereka apabila saya mengadakan kenduri-kendara, mereka semua bertungkus-lumus menolong saya dan pula membawa buah tangan sebagai tanda peringatan.

Oleh kerana masanya telah berpanjangan semenjak itu, iaitu telah lebih daripada 45 tahun yang lalu, maka kakitangan-kakitangan dan pekerja-pekerja di Rumah Sakit Teluk Anson daripada orang-orang Melayu yang berkhidmat di situ di masa itu tentulah kesemuanya telah berhenti kerja dan banyak pula yang telah meninggal dunia.  Oleh itu, saya tidaklah tahu lagi dan haruslah tidak lagi diingati dan diadakan kenduri hari ulang tahun yang bersejarah yang telah diadakan di masa dahulu beberapa tahun.  Bagaimanapun, keadaan di situ sebagaimana yang telah disebutkan telah jadi aman sentosa hingga masa ini.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA



Monday, 10 December 2012

BERTUKAR KERJA KE TELUK ANSON: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


BERTUKAR KERJA KE TELUK ANSON

Sebagaimana yang saya terdahulu sebutkan saya telah ditukarkan daripada Rumah Sakit Kampar untuk bekerja di Rumah Sakit Teluk Anson dalam bulan September 1923.  Sebagaimana pepatah Melayu sebagai “belut pulang ke lubuk” kerana Teluk Anson ialah bandar yang dekat sekali dengan kampong saya Lambor Kiri dan boleh bertemu dengan orang daripada kampong saya setiap masa.

Pada masa saya mula sampai di situ, keadaannya lebih kurang serupalah jua sebagaimana keadaan mula saya tiba di Rumah Sakit Kampar.  Tetapi, apa yang amat menarik perhatian saya ialah persengketaan di antara orang-orang pekerja Melayu di situ yang amat kecil bilangannya.  Kerap-kali berlaku pukul-memukul atau pergaduhan di antara sama-sama mereka dan keluarga-keluarga mereka tidak berputus-putus pergaduhan-pergaduhan selalu berpunca daripada rumah mereka dengan cara sindir-menyindir bersama-sama ahli dan anak-anak pinak mereka.  Yang dijadikan bahan-bahan sindiran itu ialah ayam, kucing atau apa-apa jua.  Misalnya jika sekumpulan ayam mereka lalu di situ satu pihak menyindir.  Katanya, tengoklah ayam jalang itu pandai hendak ambil laki orang atau apabila dua ekor kucing berkelahi satu pihak menyindir. Katanya, “pandai muka hang pandai hendak ambil bini orang”, jadi di jawab oleh pihak yang lain yang dirasa dirinya kena sindir itu.  Katanya, “Apa hang kata, kurang hajak!” “Hang berani mai keluar, aku nak hajak hang”, dan dengan itu mereka bergumpal sehingga orang-orang lain datang beramai-ramai untuk melerai mereka daripada bergaduh.

Beberapa kali sudah saya cuba selesaikan terutama di dalam satu pergaduhan di antara dua pekerja di situ.  Pada satu pagi, saya panggil dua pekerja yang telah bergaduh sama-sama mereka.  Saya beri bermacam-macam nasihat yang saya tahu dan merekapun nampaknya bergembira dan maaf-memaaf dan sesudahnya berjabat tangan dan bersalam-salam sama mereka di hadapan saya.  Saya fikir selesailah sudah perkara itu di situ, tetapi pada petang itu jua sepihak yang bergaduh itu telah memukul anak muda laki-laki pihak lawan yang disyaknya mengadukan perkara itu kepada saya.

Saya tidak lagi tahu apa langkah hendak atau patut diambil.  Ada orang berkata iaitu pada masa itu 1923 ada kongsi gelab atau samseng di antara orang-orang Melayu di pekan itu.  Saya tidaklah dapat tahu benar atau tidak tetapi sendiri sudah berasa takut hendak pergi keluar ke pekan pada petang hari.  Bagaimanapun, saya tidak putus asa untuk mencari jalan bagi memadamkan perselisihan di kalangan pekerja-pekerja daripada orang-orang Melayu di situ.

Dengan tujuan itu, pada petang besoknya selepas pergaduhan itu berlaku, saya telah khabarkan kepada seorang yang tertua sekali daripada mereka di situ, iaitu Pak Man tukang masak Melayu di rumah sakit itu iaitu saya hendak berjumpa dengan mereka kesemua pada petang itu di hadapan rumah berek tempat mereka duduk selepas mereka masing-masing habis bekerja pada petang itu untuk berunding atau mencari jalan bagi memadamkan persengketaan di antara mereka yang ada.

Saya sudah sampai ke situ pada jam 5.00 petang lebih kurang dan merekapun hairan.  Nampaknya apa pula budak yang mentah ini dapat buat apa-apa.  Sayapun lambakkan apa yang ada di hati saya dan nampaknya mereka masing-masing berdiam diri saja.  Tetapi di akhirnya dengan serta-merta ada pula diantara yang ramai itu membawa parang keluar daripada bilik mereka dengan cakap yang kasar.  Saya cabut lari sambil berfikir, kearah pejabat tetapi sebenarnya saya sudah berasa takut.

   Orang tua Pak Man telah berkerian sesungguhnya suruh saya mari balik.  Ia kejar saya dari belakang.  Saya jawab iaitu saya tidak mahu balik kerana saya hendak beritahu (report) kepada Tuan Besar Rumah Sakit dan kepada polis untuk mereka datang bagi menyelesaikan pergaduhan di antara mereka di situ.  Orang tua Pak Man sudah jadi kelang-kabut dan ia minta bersungguh-sungguh jangan direportkan perkara itu kepada Tuan Besar dan polis dan meminta juga saya balik ke situ.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 3 December 2012

BERTUKAR KERJA KE RUMAH SAKIT KAMPAR (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

         
2.                  Di Pejabat Haiwan

Semasa saya bekerja di rumah sakit yang tersebut ada dua ekor lembu jantan dipelihara di situ untuk menarik kereta lembu yang membawa mayat-mayat orang yang mati di rumah sakit itu untuk ditanam di tanah wakaf perkuburan.  Kereta itu jua digunakan untuk membawa kayu yang diambil oleh penjaga kereta itu daripada hutan yang berdekatan untuk dijadikan kayu api bagi memasak makanan orang sakit di rumah sakit itu.  Pada mula saya tiba ke situ, saya pun diberi kayu api itu untuk dapur saya sebagaimana adat sebelum saya ke situ.  Tetapi saya kata tidaklah payah saya diberi kayu itu kerana saya tidak ada orang yang hendak memotong dan menariknya.  Oleh itu, saya tidaklah diberi lagi.

Lembu-lembu itu sudah tua tetapi masih gemuk lagi kerana diberi makan yang cukup daripada makanan lembu yang dibeli kerananya, selain daripada rumput yang disediakan.  Oleh kerana lembu itu kepunyaan kerajaan, maka selalulah dilawati oleh Tuan Penolong Pegawai Haiwan daripada semasa ke semasa.  Pada satu masa tuan itu memberi penyata (report) iaitu lembu-lembu itu sudah tua dan tidak boleh digunakan lagi.  Saya kata saya boleh cari orang kampung untuk membelinya dengan atau jika harganya berpatutan atau dijual dipajak potong dan dengan cara itu kerajaan pun tidak rugi.

Tuan itu tidak sekali-kali bersetuju.  Katanya lagi lembu-lembu itu sudah tua dan tidak boleh digunakan lagi kerana menyiksa binatang iaitu kejadian tuhan jua yang tidak boleh berkata untuk membela diri sendiri dan jika disembelih dagingnya tidak lagi layak dimakan oleh maknusia.  Oleh itu, hendaklah ditembak untuk menamatkan penderitaannya (orang kerajaan bila cukup umur diberhentikan dengan diberi saraan).  Binatang-binatang tidak siapa hendak menyara bila sudah tua tidak boleh bekerja lagi.

Pada satu petang, sampailah masanya untuk dibawa kedua ekor lembu itu ke tanah wakaf perkuburan untuk ditembak dan ditanamkan yang akan didaksikan oleh Tuan Penolong Pegawai Haiwan.  Saya tidak lalu hati hendak melihatnya dan saya pergi terkemudian daripada itu menyaksikan lembu-lembu itu sudah ditembak dan ditanam.

Apabila tugas itu telah dijalankan, haripun hampir gelab malam dan masing-masing bersurai balik pulang ke rumah masing-masing.  Di antara mereka pekerja-pekerja di rumah sakit itu yang pergi bersama untuk bertugas menanam lembu itu ada yang meminta kebenaran daripada saya untuk mengambil hati lembu-lembu itu untuk mereka.  Saya tidak bersetuju dan tidak berani membenarkannya.

Pada fikiran saya habislah sudah riwayat kedua ekor lembu itu.  Tetapi selepas tiga bulan daripada itu, tatkala saya pergi melawat rumah-rumah berek tempat duduk pekerja-pekerja rumah sakit itu yang letaknya di luar kawasan rumah sakit itu, saya mencium bau yang busuk.  Saya siasat daripada mana datangnya bau itu dan mereka masing-msing yang duduk di situ berdiam saja tetapi seorang daripada mereka yang harus tidak mencampur tangan dalam perkara itu memberitahu saya iaitu selepas saja kami balik selepas menanam kedua-dua ekor lembu itu, pekerja-pekerja di situ pergi balik ke tempat itu.  Mereka korek balik lubang-lubang itu.  Maklum sajalah kerana baru saja di timbus.  Pada mulanya mereka lapah kedelapan peha dan kaki kedua ekor lembu itu serta dengan kulitnya sekali kerana hendak segera.  Mereka berbagi di antara mereka sepeha seorang.  Apabila pekerja-pekerja yang lain pula dapat khabar itu, mereka pula bawa pisau masing-masing dan lapah seberapa yang dapat.  Oleh kerana di masa itu gelab gulita dan masing-masing berdulu-dulu dan bersungguh-sungguh pula berkehendakkan diging lembu itu, maka mereka pun lapah dengan kulitnya sekali.  Selepas itu selain daripada yang mereka buat gulai dan rendang mereka buat pula pekasam dan ada pula yang menjemur kering daging itu untuk disimpan lama.  Pendek kata, sudah tiga bulan mereka tidak pergi pasar untuk membeli daging dan ikan.

Yang anihnya tidaklah pula siapa-siapa pun daripapada mereka dapat sakit disebabkan memakan daging lembu yang terdahulu dikatakan tidak layak lagi dimakan oleh maknusia.
 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

 

Monday, 26 November 2012

BERTUKAR KERJA KE RUMAH SAKIT KAMPAR (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Didalam masa yang singkat itu jua dua perkara yang lain pula telah menarik perhatian saya iaitu:-

1.                  Menyabung Ayam

Daripada zaman purbakala menyabung ayam adalah permainan orang-orang Melayu sehingga Raja-raja dan orang-orang besar atau orang ternama pun mengambil bahagian.  Tetapi di tempat ini (Kampar) di masa itu saya dapati orang-orang bangsa lain pun mengambil bahagian dan lebih berjaya.

Ditakdirkan tuhan bersama saya bertugas ke situ dengan keretapi yang sama seorang pemuda yang lain daripada bangsa asing yang masih bujang Mr. L.P. pun turun di stesyen keretapi di situ (di waktu tengah malam) dan terus menuju Rumah Sakit Kampar bersama saya.  Rupanya, ia pun baru bertukar ke situ.  Tidak berapa lama lepas kami sampai ke situ, ia dengan tukang masak orang India di rumah sakit itu telah membuat satu team sabung ayam sehingga pergi kampung-kampung orang Melayu di sekeliling tempat atau pekan itu untuk bermain sabung ayam yang peliknya ayamnya itu tidak pernah kalah.

Orang-orang Melayu terpengaruh dan terpedaya kerana mereka memikirkan tentu dengan senang saja ayam sabung mereka boleh mengalahkan ayam sabung orang itu.  Kata mereka apa ia tahu selok-belok memelihara ayam sabung.  Mereka terperdaya kerana tiap kali mereka menyabung ayam, mereka kalah dan ia dengan senang saja mendapat wang pertaruhan sabung itu.

Saya tanya apa muslihat yang ia jalankan dan ia beri saya sedikit sebanyak petuanya dan di antaranya ialah:-

a.                   Ayam sabung itu hendaklah yang besar, gagah badannya dan tinggi pula supaya senang ia memagut ayam lawan daripada atas.

b.                  Hendaklah di jaga makannya dan tempat tidurnya iaitu:-

(i)         Disediakan jagung bertongkol, kupas sedikit dan gantung tinggi di atas supaya ayam itu terpaksa meloncat ke atas bagi biji-biji jagung itu untuk dimakannya.  Dengan cara ini, kaki-kaki dan lehernya akan kuat, keras dan cergas dan juga dengqan cara itu ayam itu biasa memandang ke atas dan tidak tunduk ke bawah bila berjalan.

(ii)     Sediakan kayu atau rotan unutk tempat ia hinggap atau berdiri semasa tidur dan dengan cara itu sentiasa kedua kakinya berpegang teguh kepada kayu atau rotan itu takut jatuh ke bawah di masa ia tidur.  Dengan itu, urat-urat peha kakinya sentiasa tegang kuat dan cergas.

(c)        Daripada semasa ke semasa mandikan ayam itu sambil merasa peha-peha dan kakinya untuk menguatkan lagi anggotanya.  Ada lagi sedikit petua yang lain yang saya sudah lupa.

Saya faham ia pelihara ayamnya didalam satu sangkar yang besar yang diletak di dalam bilek mandi atau jamban di rumahnya supaya jangan bercampur-gaul dengan ayam lain.  Tetapi, apa yang saya menyaksikan ialah adakah ia memelihara ayam, jantan yang lain selain daripada ayam sabungnya itu kerana saya dapati ia ada beberapa tempat atau sangkar ayam bertelur di sekeliling sangkar ayam itu atau di bawah rumahnya, pada hal ia tidak memelihara ayam bertina.  Tetapi ayam-ayam bertina kepunyaan jiran-jirannya dan orang lain selalu datang bertelur di tempat atau sangkar yang disediakannya itu.  Jiran-jiran atau orang-orang lain itu dapat tahu ayam-ayam betina mereka sudah bertelur di tempat lain.  Apabila ayam-ayam mereka balik hendak mengeram kerana telurnya sudah diambil daripada sangkar tempat ayam bertelur di rumahnya.  Pada hal jiran-jiran itu ada jua sediakan sangkat tempat ayam mereka bertelur – soalannya adakah ayam-ayam betina itu dibawa ke tempatnya oleh ayam jantan sabungnya atau ayam jantannya yang lain.
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 19 November 2012

BERTUKAR KERJA KE RUMAH SAKIT KAMPAR (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Selepas 11/2 tahun saya bekerja di situ, saya telah dapat pertanyaan sulit daripada Ibu Pejabat bertanyakan sukakah saya bertukar ke Rumah Sakit Teluk Anson pula.  Oleh itu, sebagaimana pepatah Melayu “macam belut pulang ke lumpur”.  Apatah lagi saya pun bersetujulah dan dalam bulan September 1923, sayapun bertukar ke sana.

Dalam masa yang singkat di Kampar itu, saya dapat juga sedikit-sebanyak pengelaman di antaranya:-

Pekan Kampar adalah tempat yang kaya dengan lombong bijih.  Penduduk-penduduknya kebanyakkan bangsa Tionghua.  Bagaimanapun, penduduknya daripada bangsa itu dengan orang-orang Melayu amatlah baik.  Oleh kerana ketua-ketua daripada kedua-dua pihak amat baik orangnya.  Oleh itu, pengikut-pengikut mereka begitulah jua satu sama lain.  Oleh kerana banyak bijih dikeluarkan daripada sini, maka Jabatan Keretapi menempatkan seorang bangsa Eropah sebagai Station Master di Kampar di masa itu.

Di masa-masa hari keramaian seperti perarakan Chingay, kami orang-orang Melayu dijemput dan disiapkan bagi kami tempat di atas loteng kedai untuk melihat perarakan itu.  Demikian jua pada keramaian-keramaian yang lain.  Hari Raya China, di masa Hari Raya orang Islam pula diraikan oleh orang-orang Melayu.  Oleh itu tidaklah ada apa-apa persengketaan.  Jarang ada dapat keadaan semacam ini di tempat yang saya tahu yang saya telah pernah duduk.

Kami daripada kakitangan kerajaan umumnya dan daripada Rumah Sakit Kampar khasnya selalulah pergi berkelah di tempat-tempat taukeh China terutamanya di King Cap Gardens kepunyaan taukeh Eu Tong Seng dan lain-lain taukeh Cina yang kaya, daripada semasa ke semasa di mana kami diberi sekurang-kurangnya minuman percuma selain daripada tempat yang kami gunakan untuk berkelah.

Di pasar (market) Kampar, cara berjual beli berdagangan oleh pemborong-pemborong yang hendak membeli itu menetapkan harganya.  Misalnya seorang samada ia Melayu atau Tionghua membawa ke situ satu kereta durian atau sebakul udang galah pemborongnya hendak membeli itu datang kepada orang yang hendak menjual dengan membisikkan harga tawarannya yang hendak dibayar.  Seorang lepas seorang.  Jika ia sudah bisikkan harganya itu dan harga itu telah diterima maka dengan harga itulah ia di bayar.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 12 November 2012

BERTUKAR KERJA KE RUMAH SAKIT KAMPAR (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Kejadian ini telah membangkitkan banyak ketegangan Ibu Pejabat Perubatan di Taiping dan memberi peluang kepada Kerani Besar di Ibu Pejabat itu membuat bermacam-macam soalan diantaranya:-

“Di dalam masa selama itu tidakkah pernah Penolong Pegawai Perubatan Kampar melawat atau pergi melihat tempat petangkuk atau tempat penakung air hujan yang disukat hari-hari.”

Doktor Kassim Penolong Pegawai Perubatan menjawab di antara perkara lain iaitu:-

“Yes, the rain gauge is situated in a line with a pannangkottai tree in front of my house.  I mean within the circuit of my daily rounds”.  “ Ya, tempat penakung air hujan (rain gauge) itu letaknya adalah sejajar atau sebaris dengan pokok pannangkottai di hadapan rumah saya duduk, saya maksudkan tempat itu saya lawat hari-hari”.

Apabila jawapan itu diterima di Ibu Pejabat Perubatan, apatah lagi diibaratkan sebagai memukul sarang tebuan.  Kerani Besar di Ibu Pejabat itu telah menulis tujuh muka kertas “minute Sheets” yang ditandatangan pula oleh Tuan Pegawai Kanan Perubatan, “Senior Medical Officer Perak” (sekarang S.M.H.O.).  Tetapi tuan itu menambah sendiri dengan tulisannya mengarah supaya Doktor Dive Pegawai Perubatan Batang Padang sendiri pergi ke Kampar untuk membuat siasatan.

Tuan itu dengan mengejut telah datang ke Rumah Sakit Kampar pada satu hari untuk menyiasat dan kami telah disiasat berjam-jam.  Sesudahnya, iapun garu kepala kerana tidak erti apa yang dihebuhkan kerana banyak perkara yang dibangkitkan itu tidak kena mengena langsung atau tidak bersangkut-paut dengan perkara return timbang atau ukuran air hujan yang menjadi punca siasatan itu.  Cuma nampaknya kepadanya perkara itu lebih perkara peribadi “personal”.  Apabila ia telah bangkit hendak pulang ke Tapah, ia bertanya apa itu “Pannangkottai Tree”.  Doktor Kassim menjawab sambil menunjukkan pokok itu di hadapan tempat ubat dispensary “That palmeira tree Sir”.  Doltor itu bertanya mengapa tidak tulis terus begitu.  Doktor Kassim menjawab katanya “That name is better known to these people” nama itu lebih dikenali oleh orang-orang itu.  Doktor itu kata lagi, “harus jadi dengan sebab itu menjadi pergaduhan itu.”  Katanya lagi di masa hadapan apa teguran atau arahan daripada Ibu Pejabat hendaklah dijawab “sudah ambil ingatan, untuk panduan di masa hadapan.  (Noted for future guidance) “.  Sambungnya lagi, ia akan jawab menamatkan perkara itu.  Apa jawapannya kepada Ibu Pejabat tidak kami ketahui kerana fail berkenaan dengan perkara itu dibawanya balik ke pejabatnya di Tapah.  Bagaimanapun, selepas itu tidaklah lagi perkara itu berbangkit dan perjalanan pejabatpun berjalanlah sebagaimana yang sepatutnya.
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 5 November 2012

BERTUKAR KERJA KE RUMAH SAKIT KAMPAR: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Sebagaimana yang saya telah sebutkan iaitu di masa dahulu teraju-teraju di pejabat kerajaan kebanyakkannya dijalankan oleh kakitangan daripada bangsa asing yang banyak ialah daripada bangsa Jafna sebagaimana di Pejabat Keretapi, Pejabt Kerjaraya dan Pos, Pejabat Bandaran dan hampir begitu jua di Pejabat Rumah Sakit terutama Rumah Sakit Kampar.

Saya telah ditukarkan untuk bekerja di Rumah Sakit Kampar dalam bulan Februari 1921.  Sebelum itu Doktor Shamsuddin Kassim telah ditukar ke situ oleh pemerintah sebagai Assistant Medical Officer (A.M.O.) iaitu sebagai Ketua Rumah Sakit itu.  Untuk menggantikan bangsa mereka, oleh itu apatah lagi hebuhnya di kalangan bangsa itu.  Mereka telah membuat bermacam-macam helah untuk menyinkirkan Doktor Kassim daripada situ sehingga pergaduhan, pukul-memukul, tumbuk-menumbuk berlaku di antara pekerja-pekerja seperti dresser (sekarang dipanggil Hospital Assistant) dan pekerja yang lain.  Cara yang lain pula untuk mencari salah dan keburukkan ke atas Doktor Kassim, mereka jalankan apatah lagi oleh kerani pejabatnya yang unclenya di masa itu ialah Kerani Besar di Ibu Pejabat Perubatan Perak di Taiping.  Oleh itu, saya telah ditukarkan ke situ untuk menggantikannya dan seorang lagi pula Encik Mohamed Nor Khan ditukarkan jua ke sana untuk mengantikan ketua dresser di situ.  Kami ketiga telah pernah bekerja bersama di satu tempat Kuala Kangsar di tahun 1916 di bawah doctor besar orang kulit putih ( Doktor R.D.) yang masa kejadian itu berlaku di Kampar, sudah menjadi Ketua Jabatan Perubatan (Senior Medical Officer) sekarang (State Medical Officer) Perak, yang di masa itu harus jadi ia masih ingat kepada kami bertiga.

Begitupun saki-baki daripada kaum ini yang ada tinggal di situ lagi tidak jua mahu berhenti daripada membuat kacau-bilau dengan jalan sulit iaitu di antaranya pada satu hari seorang daripada kaum ini mengantikan Encik Mohd Nor Khan bekerja di tempat ubat (Dispensary) semasa ia (Mohd Nor Khan) mengambil gilir cuti (off) tidak bekerja di hari minggu.  Semada dengan sengaja atau tidak tuhan saja yang mengetahui, iaitu ia telah memecahkan satu gelas ukuran mengira air hujan dan digantinya dengan satu gelas ukuran yang lain dengan sulit.  Gelas yang pecah atau yang dipecahkan itu ialah gelas untuk mengukur air atau menghitung air dengan kira-kira inci sebagaimana yang biasa diperbuat dan gelas yang digantinya itu ialah gelas yang mengukur atau menghitung dengan ukuran millimeter (mm).  Untuk maklumat satu inci adalah bersamaan dengan 25.4 milimeter.  Encik Mohd Nor Khan tidak tahu atau tidak diberitahu kejadian ini yang tidak disangka itu dan terus mengira air hujan dengan gelas yang menghitung ikut millimeter (mm) sebagai inci yang bermakna tiap-tiap 25.4 milimeter bersamaan dengan satu inci dikira sebagai 25.4 inci.  Ini bermakna ukuran air sudah dikira berganda 25.4 kali ganda.  Apatah lagi kesilapan itu tidak diketahui atau tidak didapati hingga beberapa bulan sudah lepas apabila return “Meteorological Return” bulanan diterima oleh Ibu Pejabat Kajicuaca Meteorological Department Kuala Lumpur daripada merata tempat di Negeri Melayu Yang Bersekutu (F.M.S.) baharu didapati iaitu jumlah turun hujan atau hujan turun di Kampar lebih banyak daripada jumlah hujan yang turun di seluruh Negeri Melayu Yang Bersekutu di masa itu.  Oleh itu, siasatan dijalankan bagaimana jadinya sampai begitu banyak.  Dan selepas itu barulah diketahui selepas diselidik dan didapati iaitu gelas ukuran yang dipakai ialah bagi ukuran ikut hitungan millimeter (mm) yang dikira sebagai inci.
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 29 October 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 14): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Sebagaimana biasa doktor besar itu terus pergi melawat orang-orang sakit di merata wad.  Kira-kira jam 10.30 pagi baru ia naik ke pejabat.  Sungguhpun di dalam masa lawatannya itu bertembung dan bercakap dengan Doktor B.M. tidaklah pula Doktor B.M. hendak bercakap perkara yang berlaku pagi tadi.  Lepas pukul 11.00 pagi baharu ia datang ke pejabat hendak berjumpa dengan doktor besar.  Ia mulakan dengan katanya yang ia suka hendak bercakap sedikit berkenaan dengan Mr. S.P.  Sebelum ia bercakap apa-apa, doktor besar berkata saya tahu semua dan tidak suka mendengar perkara itu lagi.  Doktor B.M mencelah juga lagi katanya “tetapi tuan” (But Sir).  Maka tuan doktor besar sebagaimana yang telah dikatakan keras orangnya dan terus berkata.  Saya sudah kata saya tidak suka mendengar lagi perkara itu, tidak ertikah?  Keluar: (get out) dan dengan itu tamatlah perkara itu begitu saja.

Bagi diri saya pula saya bersyukur terjadi begitu, tetapi untuk masa hadapan saya berterus-terang dengan doktor besar.  Tetapi tidaklah saya terangkan apa yang telah berlaku.  Saya minta arahan apa yang saya patut perbuat di masa hadapan sekiranya orang-orang sakit Melayu tidak mahu susu-susu itu.  Saya diperintahkan dikira keluarkan seberapa atau sebanyak yang dipakai saja.  Tetapi semenjak itu, keadaan sudah berubah dan orang-orang sakit Melayu sebaliknya sudah mula suka minim susu-susu itu.  Selepas saya menerangkan kepada mereka yang susu-susu itu sebenarnya susu lembu bukannya susu beruang laut sebagaimana yang mereka sangka, bahkan mereka pula berkehendakkan lebih banyak lagi jika boleh kerana al-maklumlah sebagaimana pantun menarik buaian kanak-kanak:-

Susu lembu manis x Santan Nyior muda
Adik jangan menangis x Abang ada sama (sama ada)

Saya berkata begitu ialah kerana pada satu hari tidak lama selepas itu, semasa saya menerima peti-peti susu yang baharu tiba daripada kereta lembu yang membawanya, saya silap tidak masukkan ke dalam setor di sebelah dapur rumah sakit itu.  Satu peti susu itu kerana peti itu tidak saya nampak, terletak di belakang setor.

Pada besok paginya, tatkala saya mengeluarkan tin-tin susu yang dikehendaki bagi hari itu seperti kelazimannya, maka peti susu yang tertinggal di luar setor malam semalam masih tinggal di belakan setor.  Apabila mereka jumpa peti itu, mereka harus menyangka peti susu itu pun bagi hari itu jua serta mereka buka dan habiskan semua sekali susunya.  Oleh itu terpaksalah saya bersusah payah menggantikannya dengan mengeluarkan wang sendiri untuk membeli di kedai satu peti susu cap junjung untuk mengantikannya kerana maklum sajalah yang saya baru bekerja dan baru saja bertukar.  Oleh itu, tidaklah ada wang di tangan dan terpaksalah meminjam daripada orang lain.  Bagaimanapun, saya tidaklah tersangat berasa kerugian kerana sudah berbulan-bulan saya minum susu itu dan jua memakan telur ayam dan itik yang telah direbus setengah atau cukup masak. 

Demikianlah halnya malu bertanya sesat jalan.





Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 22 October 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 13): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Mr. S.P. baru saja hendak bergerak lengor maka terjadi satu peristiwa sebagaimana disebutkan di bawah ini.

Untuk maklumat Rumah Sakit Umum di masa itu ialah di hadapan Sekolah Clifford Kuala Kangsar yang ada sekarang.  Rumah Sakit Melayu ialah di mana Rumah Sakit Umum yang ada sekarang.  Di masa itu kedua rumah sakit berasingan.  Rumah Sakit Perempuan pula di tempat lain, di Basung.

Di tempat bangunan Sekolah Clifford yang ada sekarang ialah terdiri rumah Penolong Pegawai Perubatan di masa itu dipanggil Assistant Surgeon sekarang A.M.O.  Di sebelah-menyebelah rumah itu di sebelah jalan ke pekan Kuala Kangsar ada dua buah rumah kecil dan di sebelah jalan ke Talang ada dua buah rumah semacam itu juga.  Yang bentuknya semacam-macam rumah merpati iaitu bagi kerani-kerani dan dreser-dreser (sekarang Hospital Assistant) Rumah Sakit Umum.  Rumah Penolong Pegawai Perubatan di masa itu diduduki oleh Doktor B.M. Master.  S.P. duduk di rumah hujung sekali sebelah jalan ke Talang.

Rupa-rupanya Mr. S.P. telah beransur-ansur bawa peti-peti susu cap junjung bagi Rumah Sakit Melayu yang telah disebutkan itu ke rumahnya.  Pada waktu subuh satu pagi ia suruh dua orang pekerja pengangkut najis (toty) membawa peti-peti susu itu – seorang satu peti untuk dihantar ke kedai kopi di pekan Kuala Kangsar.  Jalan yang sunyi dan dekat daripada celah belakang rumah Doktor B.M. kerana jika ikut jalanraya di sebelah hadapan rumah terang sangat dan jika ikut belakang rumahnya pula di masa itu ialah bangsal-bangsal lembu-lembu penarik kereta membawa najis Sanitary Board.  Nasib mreka yang malang tatkala mereka berdua lalu di belakang rumah Doktor B.M.  Kebetulan pula, doktor itu hendak ke tandas buang air harus jadi doktor itu (dipandang kepada sikap beraninya) ada mengidap penyakit selalu buang air.  Apabila mereka kedua terserempak dengan doktor itu dengan tidak disengaja, maka masing-masing mereka terkejut dan campakkan peti-peti susu itu ke tanah.  Apatah lagi, doktor itu pun sama terkejut dan hendak tahu apa mereka lakukan dan ke mana mereka hendak pergi.  Mereka keduapun ceritakan yang mereka disuruh oleh Mr. S.P. membawa peti-peti itu untuk dihantar ke gerai kopi di pekan.  Doktor itupun perintah mereka meninggalkan peti-peti susu itu di situ kerana ia akan report ke doktor besar.
 
Apabila diketahui hal itu oleh Mr. S.P., maka ia sudah macam cacing kepanasan, tidak tahu apa ia hendak buat dan sementara itu, ia mencari fikiran yang patut ia perbuat untuk menyelamatkan dirinya dan sesudahnya ia mengambil keputusan hendak bercakap dengan doktor besar sebelum Doktor B.M. berjumpa doctor besar.

Doktor Besar Kuala Kangsar di masa itu ialah Doktor R.D. yang masyhur keras orangnya.  Bila ia sampai ke rumah sakit pada jam 8.30 pagi itu, Mr. S.P. sudah menanti.  Sambil ia mengangkat tabik, ia bukakan pintu kereta motokar doktor besar itu.  Ia tanya ianya ada apa-apa hal.  Mr. S.P. memberi ia tahu katanya “pada pagi tadi di waktu saya menerima barang-barang makanan bagi hari itu di dapur, maka datang Doktor B.M. hendak memeriksa setor saya.  Saya minta ia nanti sedikit kerana saya hendak menerima barang-barang makanan bagi hari itu dengan sebab itu katanya saya kurang biadab dan hendak direportkannya saya kepada tuan.  Itulah saja ia bertabik sekali lagi.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 15 October 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 12): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Keadaan dan semacam ini berjalan sehingga pada satu hari di awal tahun 1917, kami dengar dengan terperanjat iaitu Mr Moreira Pemeriksa Setot-setor (Checker of Stores) Negeri-negeri Melayu Yang Bersekutu (F.M.S.) dari Kuala Lumput telah tiba di Rumah Sakit Umum Kuala Kangsar untuk lawatan tahunan memeriksa setor-setor.  Kami bernasib baik juga kerana ia pergi ke Rumah Sakit Umum dahulu dan dua tiga hari selepas itu baharu datang ke Rumah Sakit Melayu Kuala Kangsar.

Pada hari ia mula sampai ke Kuala Kangsar, kami dapati iaitu tidak kurang daripada 20 peti susu cair ada berlebih.  Kami kelang-kabut tidak tahu apa hendak buat.  Hendak berkata benarpun takut jadi salah.  Oleh yang demikian, kami cadangkan susu itu dibawa ke tempat lain.  Hendak dibawa ke rumah sendiripun takut jadi salah jua.  Oleh itu Allahyarham Encik Mohd Nor, Dresser Hospital Melayu yang baru bertugas ke situ menggantikan Encik. S. Sabdin yang telah ditukar ke Parit mencadangkan supaya susu-susu yang lebih itu ditanam kedalam tanah untuk sementara waktu. Maka telah berbangkitlah pula soal di mana hendak ditanam dan bagaimana pula jikalau susu-susu itu di korek dan dicuri kelak pada malam hari kerana sekurang-kurangnya dua orang lain tentu tahu iaitu nama Sibayam Tandil dan seorang kulinya.  Oleh itu, bersetujulah ditanam pada malam hari itu di belakang “Cottage” (sudah ada disebutkan) dengan ditebuk tin dan dituangkan susu itu daripada tinnya ke dalam lubang yang dikorek itu sebanyak tidak kurang daripada 20 peti.  Oleh itu, cadangan itu dipersetujui dan dijalankan.

Dengan itu difikirkan habislah riwayat susu-susu tin lebih yang orang-orang sakit Melayu tidak mahu makan.  Rupanya rahsia itu telah tiba kepada pendengaran Mr. S.P. kerani dan penjaga setor di Rumah Sakit Umum Kuala Kangsar.  Pada satu pagi, dengan seolah-olah mengugut saya ia cadangkan iaitu apabila membuat order susu yang akan datang, separuh daripada susu itu disimpan di setor di Rumah Sakit Umum yang di bawah jagaannya.  Sekiranya ada pemeriksa datang memeriksa, maka bolehlah diterangkan susu itu ada disimpan di setor rumah sakit umum.  Kerana di masa itu apabila peti-peti susu itu tiba dengan keretapi, maka kereta lembu yang membawa jenazah orang yang bukan Islam digunakan bagi membawa susu-susu itu daripada stesen keretapi ke Rumah Sakit Melayu.  Jenazah orang-orang Islam dikebumi khas oleh pemborong orang-orang Islam.  Oleh itu, Rumah Sakit Melayu tidak payah mengadakan kereta lembu baginya.  Saya di masa itu baru lima bulan bekerja di situ di dalam cubaan selama 6 bulan.  Oleh itu, mahu-tak mahu, turutlah sahaja kerana ditakuti kerja saya tertahan daripada disahkan (confirmed) selepas masa percubaan selama enam bulan itu.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 8 October 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 11): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Pada masa saya mula tiba untuk bekerja di situ, saya dapati beberapa perkara yang saya sendiri fikirkan ganjil iaitu di antaranya:-

(1)   Sebagaimana yang saya dahulu sebutkan iaitu kebanyakkan orang yang datang berubat ialah dari penyakit luka dan bermacam-macam jenis luka pula.  Mereka percaya atau mereka sangka merasai iaitu memakan telur ayam atau telur itik adalah membuat lagi kuat sakit luka mereka merebak dan membanyakkan nanah.  Semasa mereka berubat di rumah sakit mereka diberi makan daging dua kali seminggu, ikan dua kali seminggu, telur itik dua kali seminggu dan ikan kering sekali seminggu.  Oleh itu, apabial tiba giliran memakan telur itik tiga biji seorang pada sehari, mereka kebanyakkannya tidak mahu memakannya, maklum saja sebuah rumah sakit oleh itu Pak Uda (Syed Abu Bakar) penjaga wad himpunkan telur-telur itu ke dalam raga dan terkadang hingga penuh dua raga telur itik yang sudah direbus itu dibawa pulang.  Selain daripada dibuat gulai, kami makan begitu saja (ratah) tidak termakan-makan.  Di masa itu, saya masih lagi bujang dan Pak Uda duduk di bilik belakang rumah saya.  Begitulah halnya pada hal kerajaan mengadakan peraturan makanan yang cukup berzat seperti telur yang orang-orang Melayu di masa itu sendiri pula tidak suka memakannya.

(2)   Setengah daripada mereka yang mengidap penyakit yang dirawat di hospital pula disediakan makan telur ayam, yang direbus setengah masak mengikut keadaan sakitnya dan inipun serupalah nasibnya sebagaimana yang telah disebutkan di atas.

(3)   Setengah penyakit seperti penyakit cirit, terutama cirit darah (Dysentry) tidak dibenarkan makan makanan keras seperti nasi atau sebagainya.  Mereka diberikan makan susu cair cap junjung hingga sampai dua tin besar bagi seorang sehari dan pada lazimnya satu peti susu itu atau lebih dikeluarkan pada tiap-tiap hari untuk orang-orang yang mengidap penyakit itu.

Saya tidaklah tahu dari mana terbitnya berita yang mengatakan iaitu susu itu bukannya sebenar susu lembu tetapi ialah susu beruang putih di sebelah Kutub Utara “White Polar Bears”.  Oleh itu, kebanyakkan orang-orang sakit terpengaruh dan tidak mahu meminumnya.  Saya terpaksa keluarkan juga daripada stor sebanyak tin-tin susu yang dikehendaki mengikut hitungan dan aturan makanan bagi orang-orang sakit itu.  Saya tidaklah tahu bagaimana mereka buat sebelum saya sampai tetapi bila saya mula tiba, dicadangkan tin-tin yang orang-orang sakit tidak mahu minumnya itu dan asing dan sebelahkan.  Saya seorang yang baru tiba dan baharu bekerja, ikut sajalah sebagaimana yang saya diberitahu.

            Demikian keadaan dan perjalanannya pada masa itu pada hal sebagaimana yang telah saya katakan kerajaan membelanjakan wang yang banyak bagi mengadakan rumah sakit khas bagi orang-orang Melayu dan wang untuk membeli barang-barang makanan yang berzat seperti susu untuk orang-orang Melayu khasnya mendapat layanan dan membaiki kesihatan diri mereka sendiri yang mereka pada masa itu tidak berapa suka memakan atau meminumnya.  Sayapun tidak tetahan daripada meminumnya dalam stor sebelah dapur di situ satu atau dua tin pada tiap-tiap pagi bersama-sama dengan telur-telur ayam yang direbus setengah masak yang mereka itu jua tidak mahu memakannya sehingga di dalam masa empat atau lima bulan saja saya terpaksa membeli pakaian (kot dan pantloon) yang baharu oleh kerana saya telah jadi gemuk dan tidak boleh lagi memakai pakaian yang lama.

Monday, 1 October 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 10): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Sebagaimana yang saya telah sebutkan tadi, saya bertukar ke rumah sakit yang tersebut pada 16.9.1916.  Saya sampai ke situ pada hari Sabtu.  Encik Mohd Darus telah serah kepada saya barang-barang dalam stor pada pagi itu dan oleh kerana ia suka hendak pergi lekas, ia bersetuju datang bekerja pada petangnya (masa ditutup opis) bagi mengajar saya cara-cara bagaimana membuat hitungan dan membuat order barang-barang makanan tiap-tiap hari mengikut bilangan orang-orang sakit dan tiap-tiap satu macam atau kelas makanan mengikut peraturan “schedule” yang ditetapkan.  Kemudian daripada itu pula untuk saya belajar peraturan-peraturan dan kerja yang biasa diperbuat di pejabat itu dengan surat-menyurat, membuat baucer-baucer dan menyimpan rekod-rekod yang mustahak dan ia terpaksalah ajar saya sehingga petang hari yang mula itu.  Saya tidak sempat melihat bagaimana cara menerima barang daripada kontraktor yang saya pada pagi besoknya mesti jalankan sendiri tugas itu.

Pada hari yang mula itu, saya telah terkeliru kerana saya fikirkan hari minggu tentulah lambat kontraktor datang membawa barang-barang.  Oleh itu, saya datang pada jam 9.00 pagi yang biasa pada jam 7.00 pagi.  Saya tidak sangka iaitu tukang masak orang India yang menghalau saya tempoh hari waktu mengambil air di paipnya masih lagi bekerja di situ.  Ia terperanjat melihat saya datang dan sudah bekerja sebagai ketuanya.  Ia tidaklah berkata apa-apa dan saya pun demikian jua.  Pada pagi besoknya, saya pula terperanjat seorang diri kerana saya dapati ia telah lari meninggalkan kerjanya dan untuk memasak hari itu ia tinggalkan seorang kawannya daripada bangsanya untuk mengantinya.  Daripada hari itu tidaklah pernah saya berjumpa ia lagi dan kami pun bersetujulah mengekalkan kawannya itu sebagai tukang masak di situ.  Saya tidaklah tahu ia meninggalkan kerjanya itu adakah sebab ia berasa malu kepada saya atau difikirkannya saya akan membayar dendam ke atasnya.

Rumah Sakit Melayu di masa itu letaknya ialah di Talang iaitu di tempat Rumah Sakit Umum yang sekarang dan mengandungi tiga buah rumah (wad) berisi 40 buah tempat tidur, sebuah wad rumah yang dekat dengan jalan keretapi ialah bagi orang-orang sakit yang perempuan.  Selain daripada itu, ada pula empat rumah kecil yang berasingan dan dipanggil “cottage” untuk orang-orang besar, orang ternama dan orang-orang kerajaan masuk berubat.  Semuanya ini adalah bagi orang-orang Melayu khasnya dan bagi orang-orang Islam amnya.

Dua wad lagi yang lain ialah bagi orang laki-laki.  Kerajaan telah mengadakan rumah sakit khas bagi orang-orang Melayu datang masuk berubat dengan ubatan cara barat.  Saya dapati orang-orang Melayu yang datang itu ialah kebanyakkannya mengidapi luka daripada seluruh negeri Perak.  Di masa itu baru saya tahu ada 4 atau 5 macam luka.  (1) Luka (2) Tokak (3) Cabuk (4) Pekung (5) Miga dan entah apa lain pula.  Miga adalah satu macam cabuk juga tetapi ia berlubang-lubang di dalam daging semacam sarang anai.  Apabila dipancutkan (pam) air ubat, maka air itu meresap dan keluar mengikut lubang lain.  Semasa saya berada dan sudah bekerja di situ, barulah seorang daripada bapa saudara saya datang berubat sakit miganya hingga sembuh dan apabila ia balik ke kampung maka baharulah orang terima ia berkahwin. 

Ubatnya adalah cara barat tetapi apa yang saya berasa hairan ialah air pembasuhnya yang dikatakan “Seline-Dressing” iaitu air garam tetapi mengikut sukatan yang dikehendaki.  Daripada situ saya mengambil kesimpulan iaitu air garam itu tajam dan kuat kuasanya.  Jika saya sakit gigi hendak bengkak, saya gosokkan kepada gusi di mana gigi yang sakit itu dengan garam halus (bukan dikomorkan) lagi baik jika dapat digaulkan dengan air asam gelugur, dan dengan itu gigi yang hendak bengkak itu jadi kisip balik dan sakit gigi pun hilang atau sekurangnya jadi kurang serta beransur baik.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 24 September 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 9): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Opan datang melawat saya daripada Temoh di rumah sakit apabila ia mendengar saya sakit dan berada di rumah sakit.  Ia tiba semasa saya makan tengah-hari dan ia lihat saya makan sup yang saya telah sebutkan.  Ia larang saya memakannya kerana ditakutkan ayam-ayam itu tidak disembelih oleh orang-orang Islam kerana dilihatnya kesemua pekerja di situ ialah orang-orang Hindu.  Oleh itu, sungguhpun sup itu dibawa kepada saya tiap-tiap hari ada tiga atau empat hari yang saya tidak makan.  Orang yang sebelah katil saya di situ bertanya saya mengapa saya tidak memakannya kerana katanya jika sekiranya saya tidak memakannyapun, mereka kira jua harganya dan dengan itu sebagai pepatah orang-orang tua “Tuah ayam menikam dahulu”.  Saya pun mulalah balik memakannya.  Selepas itu saya baru siasat dan saya dapati sebenarnya ayam-ayam itu disembelih oleh orang-orang Islam.

Sudah sebulan saya berubat di rumah sakit.  Sementara itu rupanya pihak Kroh telah heboh kerana saya tidak jua sampai.  Pihak Parit Buntar pula menerangkan yang saya telah bertolak pada 31.5.1916.  Oleh itu hebohlah di antara Kroh, Parit Buntar dan Grik (tempat singgah ke sana) tulis-menulis satu sama lain pasal saya.  Masing-masing saya dianggap sudah lari kerja.

Sesudahnya lepas masa hampir sebulan kedua pihak Parit Buntar dan Kroh membuat repot yang saya sudah lari kerja.  Pihak Parit Buntar mencadangkan supaya dikeluarkan waran menangkap saya kerana melarikan wang petty cash yang saya telah ambil untuk membuat belanja di dalam perjalanan ke Kroh.  Apabila repot itu tiba kepada Tuan Penolong Setiusaha Residen Tuan Mark Rex, barulah ia teringat yang ia ada hantar seorang budak sebulan yang lepas.  Ia terus telefon kepada tuan doktor besar dan barulah diketahui yang saya berada di rumah sakit kerana di masa itu tuan doktor besar memberi sijik sakit selepas seorang pesakit itu keluar daripada rumah sakit sahaja.  Dengan serta-merta Tuan Penolong Setiusaha Residen memerintahkan seorang lain pergi bertukar ke Kroh.  Saya tidaklah tahu siapa yang mereka hantar ke sana dan selepas orang itu pergi ke sana barulah saya dikeluarkan daripada rumah sakit.

Apabila saya keluar daripada rumah sakit, saya diperintah untuk bekerja semula di Sekretariat Taiping dengan diturun balik menjadi kerani tambahan bagaimana asal hingga 16 September 1916 apabila saya telah ditukarkan ke Hospital Melayu Kuala Kangsar sebagai kerani dan penjaga stor.

Sebelum pertukaran itu, apabila di mana-mana ada kerja kosong, ketua saya bertanya saya sekiranya saya suka memenuhi kerja yang kosong itu di antaranya ialah satu jawatan Pegawai Perikanan di Port Weld.  Di masa itu saya ingat peristiwa di laut yang hampir karam bagaimana sensaranya di laut tambahan pula saya tidak biasa ke laut dan tidak tahu membezakan di antara ikan belanak dengan ikan senangin atau sebagainya.  Saya sangka mereka itu mengejekkan saya tetapi harus juga mereka benar dan iklas kerana di masa itu bilangan anak-anak Melayu yang tahu Bahasa Inggeris belum ramai.  Tuan Haji Abd. Malek Negeri Sembilan, Datuk Haji Mahmud bin Mat Pahang, Datuk Haji Mohamed Isa bin Kulop Shah dan Encik Othman bin Datuk Syahbandar Perak belum berapa tahun masuk bekerja dengan kerajaan.  Saya tolak semua itu sehingga satu masa tuan doktor besar Perak berkehendakkan budak Melayu pun jadi untuk bekerja di rumah sakit yang tersebut bagi mengantikan Encik Mohd Darus yang telah meminta bertukar daripada situ untuk membolehkan ia memasuki peperiksaan Junior Clerical Examination.  Saya berasa amat bergembira kerana saya akan bekerja di tempat saya mengaji dahulu dan dengan serta-merta saya terima.




bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 17 September 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Berbalik kepada kisah diri saya sendiri, saya tidaklah ketahui samada orang yang tersinggung hati bersabit dengan langkah saya berjumpa dengan Tuan British Resident tempuh hari dan dapat kerja dengan secepat mungkin.  Saya telah ditukarkan ke Pejabat Tanah ke Parit Buntar pada 1.5.1916 sebagai Pemangku Kerani Gred III iaitu di dalam masa kurang daripada dua bulan dan sayapun berasa girang hati kerana itu.  Tetapi dengan tidak semena-mena, di hujung bulan itu juga saya ditukar daripada sana ke Kroh Hulu Perak daripada 1.6.1916.  Surat hukum tukar itu diterima pada 31.5.1916 dan dengan serta-merta saya dikehendaki pergi sehingga tidak sempat saya menanti petang hari itu untuk berkhabar kepada Engku Shahriman yang saya tumpang rumahnya selama saya di Parit Buntar kerana di hari itu, ia pergi keluar di atas urusan jawatannya.

Untuk maklumat pada masa itu (1916) Pejabat Kecil Kroh yang dipanggil “New Territory” baru saja diserahkan ke Perak dan jalan terus-menerus Bukit Mentajam sebagaimana sekarang belum ada lagi.  Untuk pergi ke sana terpaksalah melalui Lenggong dan Grik dan daripada Grik ke Kroh terpaksa menunggang gajah naik bukit dan turun bukit 3 hari dan 2 malam di jalan.  Oleh itu, maklum sajalah bagaimana rasanya hendak pergi bertukar ke sana.  Kebetulan pula, semasa di Parit Buntar semasa hampir sebulan itu saya sudah berasa kurang sihat.  Bagaimana tidak ada jalan yang ternampak kepada saya selain daripada pergi juga, jika hendak bekerja terus.

Saya bertolak pada hari itu jua 31.5.1916 ke Taiping dan di sana saya berjumpa dengan bapa-saudara saya Tajul Ariffin yang baru bertukar ke bandar itu.  Ia nasihat saya berjumpa tuan doktor dan jika boleh terus masuk hospital.  Sayapun pergi ke hospital Taiping minta cuti sakit atau masuk rumah sakit.  Doktor minta saya bawa surat ketua pejabat saya.  Oleh itu saya pergi jumpa “O.A.” minta surat itu.  Ia marah mengapa saya belum pergi lagi dan saya jawab iaitu saya tidak boleh pergi kerana saya sakit.  Ia terus bawa saya berjumpa Penolong Setiausaha Resident iaitu Tuan Mark Rex.  Tuan itu beri saya surat kepada tuan Doktor.  Katanya:

M.O.

Please examine bearer Mohd Yakob bin Ngah Abas, who complains that he is ill.  He was due to leave for Kroh this morning

                                                                                    M.Rex
                                                                                    1/6/16 
           
Saya bawa surat itu berjumpa doktor dan kebetulan pula hari itu seorang doktor Melayu, Pandak Ahmad baru tiba daripada Kolej Perubatan Singapura.  Ia terus masukkan saya berubat di rumah sakit itu.  Saya di tempatkan dalam wad kelas dua yang di bawah jagaannya dan lawatan hari-hari oleh doktor besar Dr. S.C.G. Fox sendiri.  Ia tulis penyakit saya sebagai B.B. (Beri-Beri) mengikut rekod atau penjelasan di tiket saya dan diberi ubatan kerananya.  Sementara itu darah saya diambil dan dihantar ke Pusat Penyelidikan untuk diperiksa.  Lepas seminggu baru dapat jawab menyatakan darah saya mengandungi kuman B.T. (Benign Tertian) iaitu sejenis kuman deman kepialu “Malaria” dan Dr. C.B. Pasley yang melawat wad itu juga potong B.B. dan diganti dengan B.T.  Ia beri saya makan sekati sup ayam tiap-tiap hari selepas itu.  Bagaimana ia berbuat begitu tidaklah saya tahu dan barangkali oleh sebab pada pandangannya saya kurus kering kerana sebenarnya di masa itu saya telah sebenarnya didapati sakit.

            Saya bersyukur kepada Allah di masa itu kerana telah didapati saya sebenarnya sakit B.T.  Oleh itu, tepatlah saya tidak berolok-olok.  Lagipun, sekiranya saya dianggap sebagai pengidap penyakit B.B. harus saya terkena berhenti kerja kerana saya baru saja masuk kerja.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA