Total Pageviews

Monday 29 December 2014

BERTUGAS DI JABATAN PELAJARAN NEGERI PERAK (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Saya bawa surat itu ke bilik saya dan terus saya baca dan saya dapati iaitu surat itu mengandungi perintah memberi notis kepada semua guru-guru perempuan yang telah berkahwin mengikut Peraturan Pencen (Pension Rules) sebagaimana yang telah dijalankan keatas mereka yang berkhidmat di jabatan -jabatan lain seperti Jabatan Ubatan atau Telekom dan lain-lain. Maka baharulah saya mengerti iaitu tuan itu hendak berlindung daripada keburukan yang akan berlaku sekiranya peraturan itu dijalankan dan telah ternampak kepada saya dengan jelas iaitu adalah betul yang hendak difikirkan selama-lamanya. Oleh itu saya telah berpura-pura meminta izin pergi keluar selepas itu untuk menguruskan hak ehwal petukaran saya iaitu pindah memindah dan ubah mengubah serta hendak mencari tempat atau rumah untuk menempatkan atau memindahkan barang-barang saya yang sudah sampai dan dengan itu mahu tak mahu ia terpaksa benarkan.

       Saya tidak dapat tidor lelap pada malam itu kerana memikirkan jika hukuman itu dijalankan maka beberapa orang daripada keluarga saya yang perempuan akan terlibat termasuklah cik-cik guru Sharifah, Esah, Rahmah, Puteri Yah dan beberapa orang-orang lain yang saya kenal selain daripada keluarga saya dan juga harus pula saya dianggap sebagai seorang yang tidak bertanggung jawab dan tidak bertimbang rasa keatas nasib mereka yang sebangsa dan seugama dengan saya, maka dengan keadaan yang demikian saya sudah berasa serba salah. Diakhirnya terafak kepada saya satu fikiran dan saya terus tulis satu surat kecil menyatakan pemandangan saya diantara lain iaitu "perintah atau hukuman itu tidak boleh dikenakan kepada gutu-guru Melayu perempuan yang berkahwin oleh kerana nikah kahwin itu bukan dengan kehendak guru-guru perempuan itu sendiri pada lazimnya tetapi adalah mengikut ajaran ugama Islam ysng berkehendakksn ibu-bapa iaitu anak-anak mereka yang perempuan dikahwinkan, dikahwinkan seberapa segera oleh itu sudah jadi adat resam orang-orang Melayu dan Ugama Islam yang mana Kerajaan tidak boleh mencampur mengikut Pangkor Teriti 1874."


bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 22 December 2014

BERTUGAS DI JABATAN PELAJARAN NEGERI PERAK: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

       BERTUGAS DI JABATAN PELAJARAN NEGERI PERAK: 
 
       Selepas kembali kerajaan British diakhir peperangan dunia kedua pada mulanya saya telah balik bekerja di Pejabat Perbendaharaan Kecil Telok Anson, kemudian di Pejabat Daerah Telok Anson, sebelum saya bertukar ke Jabatan Pelajaran Negeri Perak Ipoh pada 1.1.1949 sebagai Pembantu Kewangan (Financial Asst).

       Setibanya saya di Ibu Pejabat Pelajaran Perak Ipoh pada 16.1.1949 saya terus berjumpa ketua pejabat iaitu E.C. Hicks, Nazir Agung Sekolah-Sekolah Negeri Perak. Sebelum saya duduk dikerusi saya tuan itu dengan serta merta beri kepada saya satu surat daripada pejabat besar Kuala Lumpur yang dikatakan ia sudah simpan surat itu selama tujuh bulan dan dikehendaki saya memberi fikiran untuk dijawab dengan serta merta kerana katanya beberapa surat ulangan telah diterima serta minta tempoh cuma dua atau tiga hari dan ia berkehendak jawab dengan segera jua, pada hal ia sendiri salah menyimpan selama tujuh bulan.       

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:

En. E. C. Hicks Senior Inspector1945 - 1950

Copy and WIN : http://bit.ly/copy_win
 E.C. Hicks bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri Perak daripada 1945 hingga 1950 berpangkat Senior Inspector
En. E. C. Hicks Senior Inspector1945 - 1950

Copy and WIN : http://bit.ly/copy_win
En. E. C. Hicks Senior Inspector1945 - 1950

Copy and WIN : http://bit.ly/copy_win

Monday 15 December 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 9): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

        Banyak perkara lagi yang saya dapat catitkan terutama berkenaan dengan perkara belajar Jepun dan orang-orang Jepun pula belajar Melayu yang akan memakan ruang yang banyak.

          Selepas kerajaan Jepun ditubuhkan dibawah Pemerintahan Tentera Jepun (Millitary Administration) pada mulanya saya telah diambil bekerja semula di pejabat Bendahari Kecil ditempat saya bekerja tempoh hari dan selepas itu saya pula telah diambil bekerja di pejabat Bandaran Telok Anson sebagai Pegawai Penaksir "Assessment Officer" sehingga akhir pemerinyahan Jepun 



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 8 December 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Setelah itu pula mereka ajar lagu taat setia 'Patriotic song' yang berbunyi lebih kurang:-
               Mi oto okai no sara ketek      
               Tiwa  ku jitsu ta ka ku ka ga ya kei ba      
               Ten chinu saya ga haitasurasu toh         
               Kiba wa uduru uwa  ya siba                   
              Owo sayaaiwa noaiya gu huwa ni          
              Su biyu ru pu ji noh suh ka ta koh soh    
              Kin no uma getsu yu ra gi na ki                   
              Waga Nippon No uwa ku re na rae(1)

        Apa makna atau tujuannya tidaklah kami ketahui dan mereka pun mengajar kami yang kami mesti patuh tiada siapa berani bertanya tetapi diakhir pemerintahannya (regime) kami telah sendiri-sendiri berani menukar Nippon No kepada perkataan Marai No (Melayu). Kami sekalian pula diajar membaca dan menulis huruf-huruf Nippon Go (yang sekarang sudah langsung kami lupa) dan kami pun tidak beragu lagi menyuarakan 'Nippon Go' Jepun pergi yang sebenarnya maknanya bahasa Jepun dan perkataan 'Dai Nippon' kepada 'Die Nippon' yang sama bunyinya tetapi berlainan maksudnya 'mati Jepun' yang sebenarnya selamat Jepun.         
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

__________________________________________________________________________

(1) Seperti ditulis oleh Allahyarham dalam tulisan jawi yang dirumikan
Lagu tersebut adalah seperti berikut yang terdapat dalam blog "Kembara Masa dan Dunia"

Aikoku koshinkyoku
Miyo! Tokai no sora akete,
Kyokujitsu takaku kagayakeba,
Tenchi no seiki hatsuratsu to
Kibo wa odoru Oyamashima.
O, seiro no asagumo ni
Sobiyuru Fuji no sugata koso
Kin'omuketsu yuruginaki
Waga Nippon no hokori nare.
Tate! Ikkei no okimi wo
Hikari to towa ni itadakite,
Shinmin warera mina tomoni
Miitsu ni sowan daishimei.
Yuke, hakko wo ie to nashi,
Shikai no hito wo michibikite,
Tadashiki heiwa uchitaten.
Riso wa hana to saki kaoru.
Ima ikutabi ka waga ue ni,
Shiren no arashi takeru tomo,
Danko to mamore sono seigi.
Susuman michi wa hitotsu nomi.
A, yuen no kamiyo yori,
Todoroku hocho uketsugite,
Daikoshin no yuku kanata
Kokoku towani sakae are!

Ini lagu tentera Jepun semasa berkawat. Dicipta pada tahun 1938 dengan tajuk Aikoku koshinkyoku (愛国行進曲), ciptaan Setoguchi Tokichi dan lirik oleh Morikawa Sachio.

Maksud lagu:  dipetik daripada blog http://gunka.sakura
     Japanese typical symbols (Rising Sun or Mt. Fuji) and, the pride that Japan has never been invaded by foreign countries(Kin'omusketsu).
     About the political constitution and the national ideal of Japan: the absolute authority of her Emperor, and the ideal of universal brotherhood under him(Hakko-ichiu).
      Even if hard, protect Japanese justice and inherit her history. Long live Japan and her Emperor!
 
Nyanyian terdapat disini
https://www.youtube.com/watch?v=ncKuQZZjwB0

Monday 1 December 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 7): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Didalam sedikit masa jua mereka telah mengadakan pemerintahan tempatan yang terus mereka jalankan pemerintahan mereka yang pertama kali mereka ajarkan ialah mengajar orang-orang ramai terutama sekali pegawai-pegawai dan kaki tangan kerajaan ialah lagu kebangsaan mereka yang berbunyi lebih kurang 

       Kimi ga yo wa awo wa
       Chi yo ni  yaci yo ni sazare 
       Ishi no iwao to na re te kawo ke no mu u su u mah de (dae) (1)

      Sepatah huruf pun atau perkataan itu hendaklah dilafazkan dengan tepat dihadapan ketua mereka dengan cukup kusyuk dan tawaduk dengan menundukkan kepada 'sai-kirai' kepadanya
          
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA
_________________________________________________________________________________

(1) Ini adalah seperti yang dicatat oleh Allahyarham didalam tulisan jawi yang dapat dirumikan, tetapi didalam Wikipedia adalah seperti berikut:-

           Bahasa Jepun                              Terjemahan
          Kimi ga yo wa                         Semoga kekuasaan tuanku
          Chiyo ni,                                  Berlanjut selama seribu (tahun),
          Yachiyo ni                                Lapan ribu generasi,
          Sazare ishi no                          Sampai kerikil,
          Iwao to narite                         Berubah menjadi batu karang,
         Koke no musu made.               Yang diselimuti lumut.

Tuesday 25 November 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

        Terkemudian daripada itu pula saya telah jumpa kembali empat buah kerusi saya yang agak berlainan dengan kerusi-kerusi orang lain dihadapan rumah luar Perak Club iaitu sebuah kelab bangsa Eropah yang terletak ditepi Sungai dijalan ke Batar Rabit tidak jauh daripada rumah tempat saya duduk dimasa itu.
     
     Seorang India penjual roti memberi saya tahu iaitu semasa barang-barang kepunyaan saya itu dipindah  ubah oleh orang yang mengambilnya ia mengingatkan kepada mereka itu supaya mereka tidak berbuat demikian kerana katanya tuan punya barang itu ialah orang ia kenal benar dan baik orangnya. Mereka menjawab diantara lain dimasa itu masing-masing bebas berbuat apa kehendaknya.
          
         Dibawah tajuk kasih ibu, saya telah sebutkan sedikit berkenaan dengan _______ dan kesusahan yang dialami diawal pemerintahan Jepun di negeri ini. Sedikit lagi saya suka mecatitkan diantara pengelaman yang dialami dimasa itu sudah maklum iaitu tentera Jepun telah melanggar negeri ini dengan cara mengejut dan didalam sedikit masa sahaja mereka itu telah dapat menduduki negeri ini.



 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 17 November 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Sebagaimana yang telah saya sebutkan iaitu akibah daripada pelarian kebanyakkan penduduk di pekan ke kampung yang berpindah daripada peperangan yang datang mengejut oleh tentera Jepun melanggar negeri ini untuk menyelamatkan diri masing-masing dengan meninggalkan rumah dan harta benda masing-masing. Maka rumah saya yang saya tinggalkan untuk sementara sebagaimana rumah-rumah orang-orang yang lari ketempat lain telah dibuka oleh siapa saja yang suka dan barang-barang didalamnya habis diambil.  Daripada rumah saya sahaja dikatakan tidak kurang daripada tujuh buah sampan telah dimuatkan kerana dimasa itu berbetulan pula dengan air sungai naik pasang rabung dan rumah saya ialah ditepi sungai dijalan ke Batak Rabit maka barang itu dibawa dengan sampan kesebelah hilir seperti Sungai Durian dan lain-lain  yang dekat sebelah hilir sungai kerana barang-barang itu susah hendak dibawa mudik ke hulu oleh kerana terpaksa melingkung tanjung yang jauh jika hendak dibawa mudik ke hulu. Bagaimana pun saya telah terjumpa dua keping gambar besar saya sendiri dan gambar ayah saya saya di tepi sungai disebelah rumah saya itu dan gambar-gambar itu  masih ada sekarang untuk ingatan peristiwa itu.

     Selepas Telok Anson diduduki oleh tentera Jepun maka pihak tentera telah membuat peristiharan iaitu mereka yang mengambil barang-barang orang lain hendaklah pulangkan atau serah balik barang-barang itu kepada tuannya yang punya dan jika tidak atau sesiapa yang melanggar peristiharan itu akan dikenakan hukum berat. Akibah daripada pengistiharan itu atau oleh sebab ketakutan maka barang-barang itu kesemuanya telah dibuang kedalam Sungai Perak dan berbulan-bulan kemudian daripada itu sekelian barang-barang yang ringan yang tidak terus tenggelam dapat kelihatan terapung-terapung hilir mudik dibawa arus sungai pasang surut dan tidaklah siapa pun yang berani mengambilnya. Demikian jua pemerintah dimasa itu pun tidak pula mengumpulkannya - demikianlah kejadian didalam masa yang tidak ada pemerintahan, masing-masing jadi raja dihatinya.      

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 10 November 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Alhamdullilah nampaknya doa ayah saya yang iklas itu berkat dan tuhan yang maha kuasa telah makburkan kepada anak-anak cucu-cucunya dan saya pun begitu jualah berdoa moga anak-anak cucu dan zuriat-zuriat saya kesemuanya akan maju jaya makmur kaya raya berbahagia aman makmur sihat walafiat seterusnya.

     Diingatkan iaitu satu daripada tangkal untuk mencapai tujuan yang tersebut ialah dengan menuntut pelajaran yang tinggi yang sekarang boleh dapat di negeri ini dan ini tidak boleh tercapai dengan tidak bersungguh-sungguh menuntut dan/atau dengan tidak ada pengorbanan dan tolong menolong diantara satu dengan lain.

         Saya ingatkan riwayat itu mungkin akan jadi pedoman kepada anak-anak cucu yang terkemudian, bagaimana pun saya saya berserah kepada Allah Subhanahuataala yang maha kuasa dan sambil mendoakan sebagaimana telah saya telah sebutkan    

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 3 November 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:


   Ayah saya itu meneruskan katanya iaitu satu zaman pemerintahan seorang sultan di negeri ini dahulu kala, Toh Tongsa yang disebutkan itu ialah seorang yang terkaya dan seorang pembesar (Orang Kaya Besar) dizamannya - ia berniat hendak membuat kenangan zamannya dengan menempah satu nafiri yang diperbuat daripada emas yang ia akan persembahkan kepada kebawah duli paduka baginda.

     Sementara itu kebetulan pula ia telah marah serta dipukulnya anak angkatnya dan budak inilah telah pergi membuat pesona menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan iaitu bapa angkatnya Toh Tongsa sedang bersedia hendak merampas kerajaan Duli Baginda dan untuk buktinya boleh disaksikan yang ia sedang membuat pekakas kerajaan oleh seorang tukang membuat sebuah nafiri daripada emas

     Dengan pesonanya itu Baginda Sultan masa itu dengan tidak berkata lagi telah terpengaruh dan percaya diatas pesona anak angkat Toh Tongsa itu dan dengan itu ia dilucutkan daripada jawatannya dan dirampas hartanya. Maka dengan sebab itulah Toh Tongsa yang yang diketika itu mengangkat sumpah anak-anak cucu dan zuriatnya tidak boleh kaya sekadar lepas makan pagi petang sahaja dan anak cucunya tidak harus bersahabat dengan orang-orang seperti keturunan anak angkatnya itu.  
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 27 October 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Oleh kerana tidak ada apa barang-barang yang di tinggal yang hendak dikumpulkan, maka kami dua beranak telah duduk bertenggung diatas lantai bilek tengah sambil mengenangkan nasib malang kami dan orang yang melalui peperangan dimasa itu. Ayah saya telah mula merungut dan telah terjadi satu riwayat yang lebih kurang seperti berikut:-

   Ayah saya berkata: "Engkoma (Kamuma) selepas ini tidak akan naik lagi kerana sudah sumpah nenek moyang kita dahulu Tok Tongsa yang anak cucu dan zuriatnya sebagaimana nasibnya supaya tidak jadi kaya sebagaimana ia-nya sekadar makan pagi petang saja dan engkoma semua dimasa yang baharu lepas dikurnia Tuhan sudah cukup mewah dan dan berbahagia."

     Saya jawab - Ayah ialah ayah saya dan cakap ayah itu sudah jadi doa atau sumpah kepada kami adik beradik - saya tahu daripada syarahan alim ulama ia-itu doa tiga orang tidak ditolak oleh Tuhan sekadar ada kala ditangguhkam pada menunaikan doa orang itu, satu daripadanya ialah doa ibu-bapa bagi anaknya - elokkah doa ayah itu kepada kami anak-anak ayah  - saya tidaklah tahu siapa Tok Tongsa itu yang telah bersumpah sebagaimana ayah sebutkan itu, lagi pun harus telah berkurun-kurun lamanya dan jua telah berapa lapis keturunan telah jadi harus telah lepas sumpahnya dan sekarang ini ayah pula buat semula keatas anak-anak ayah, yang kedua orang yang teraniaya, orang yang menganiaya harus lalu tidur lenyak tetapi yang terkena aniaya ia tidak tidak lalu tidor dan ditengah malam ia terkenang akan nasibnya kena aniaya itu dan ia terkenang itu sudah jadi doa kepada Tuhan. Sebelum saya menghabiskan percakapan saya itu saya lihat ayah saya telah terjatuh hiba dan saya berasa menyesal dan jatuh pula air mata saya sendiri. 

   Ayah saya meneruskan katanya - Aku tidak berniat begitu dan sambil air matanya jatuh ia mengangkat dua tangannya dan terus mendoakan sekelian anak-anak cucu dan zuriat akan aman makmur dan berbahagia kesemua dengan kaya raya, maju jaya dan aman sentosa.            
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
     Maklumat daripada salasilah yang telah dapat dikumpulkan,
     Mohd Yaakob bin Ngah Abas bin Kulop Seman bin Orang Kaya Besar Tok Tongsa Panjang Ismail



Monday 20 October 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

   
  Selama saya meninggalkan Telok Anson selama lapan belas hari itu apabila saya kembali maka saya dapati pejabat kerajaan yang terkenal dengan panggilan opis tiang seribu telah terbakar dan apabila saya bersama dengan bapa saya sampai ke rumah saya maka kami dapati rumah itu telah dibuka dan dibongkar oleh maknusia yang tidak ada lagi kemaknusiaan pada diri mereka kerana jarum patah pun tidak mereka tinggalkan, bukan saja perkakas dan isi rumah saya bahkan sekalian perkakas-perkakas dan barang-barang saudara mara saya daripada kaki tangan kerajaan dan saudara mara yang lari daripada tempat-tempat lain telah bawa sekalian kepunyaan mereka untuk ditumpangkan bagi sementara di rumah saya didalam masa pelarian dharurat didalam peperangan itu telah kesemuanya diambil orang.   

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 13 October 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH

     Sebagaimana yang telah disebutkan, sepasukan daripada tentera Jepun telah melalui sungai daripada hulu dan menghilir Sungai Perak dan telah sampai serta bertemu dengan pasukan tentera Amerika daripada laut yang sampai di Telok Anson pada 2.1.1942 daripada situ mereka terus menuju ke Selatan Tanah Melayu dan pada akhirnya Singapura tempat pertahanan Inggeris yang akhir telah jatuh ketangan mereka pada 15 Februari 1942. Maka dengan ini bermakna mereka telah menaklukkan Tanah Melayu dalam masa kurang daripada 70 hari atau sepuluh minggu.

     Selepas sahaja Singapura jatuh ketangan tentera Jepun maka Kerajaan Jepun telah ditubuhkan di sana sini. Oleh itu kami daripada kaki tangan kerajaan yang lama mulalah balik ke tempat masing-masing. 

     Apabila saya terdengar khabar yang dibawa oleh orang yang pergi bersampan ke Telok Anson iaitu kerajaan tentera Jepun telah menakluk pekan Telok Anson dan melantik seorang Mayor bernama J.N.Bhaduri sebagai Mayor untuk sementara maka saya balik ke Telok Anson pada 18.1.1942. Allahyarham bapa saya pergi mengikut bersama dan anak-anak dan isteri saya tinggal di Lambor Kiri.


 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 6 October 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Kami tidak ketahui apa sebabnya ia diambil, adakah berpunca daripada kejadian yang di Lambor Kiri tempoh hari, tetapi ada angin-angin mengatakan yang orang Cina telah bertelingkah dengannya didalam ruangan perniagaan, kerana ia tidak dapat mereka saja didalam perniagaan membeli dan menjual getah yang dikatakan dimasa itu , ikut kata pembeli-pembeli getah orang-orang Cina di pekan-pekan Telok Anson dan Parit kecoh kerana Talib Ali selalu berusaha menjualkan getahnya ke tempat-tempat lain dimana saja dapat ia menjual getahnya dengan harga yang lebih tinggi dengan jalan ia berunding dengan pembeli-pembeli getah daripada orang Melayu di pekan-pekan lain melalui telefon dan menghantar getahnya ke situ dengan kereta. Oleh yang demikian pembeli-pembeli getah daripada bangsa Cina di pekan Parit dan Telok Anson sudah khuwathir penjual-penjual getah daripada orang-orang  Melayu yang lain pula akan mengikut jejak langkah itu dan akhirnya mereka akan rugi atau sekurang-kurangnya orang Melayu akan berkurangan menjual getah kepada mereka. 


  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Selamat Hari Raya Aidiladha 
Keluaran akan datang tajuk baru.
 

Monday 29 September 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:



 Apabila musuh yang diseberang sungai telah nampak orang-orang Melayu Lambor Kiri bersedia menentang mereka, maka dengan takdir Allah mereka pun nampaknya tidak berani hendak menyeberang sungai dan apabila hari sudah petang masing-masing pun pulang ketempat mereka dan didalam masa dharurat didalam pemerintahan Jepun tidak pula mereka cuba lagi hendak menyerang Lambor Kiri, sekadarkan telah kedengaran khabar menyatakan iaitu orang-orang Cina masih berdendam pertamanya kepada kami adik beradik dengar kata mereka yang mereka menanti sekiranya sesiapa daripada adik beradik iaitu anak kepada Haji Abas mudik daripada Telok Anson ke Lambor Kiri orang-orang Cina akan cuba membalas dendam mereka dengan apa-apa cara yang mereka hendak lakukan keatas kami adik beradik.


Sungguh pun begitu, daripada semasa kemasa kami mudik jua ke kampung mana-mana masa keramaian kenduri kendara, nikah kawin di kampung, tidaklah pula mendapat apa-apa ugutan, sekadarkan diakhir atau dihujung pemerintahan Jepun adik ipar kami Talib Ali bin Haji Mohd Zain telah ditangkap atau diambil oleh orang Cina serta dibawa ke darat dan sehingga masa ini tidaklah diketahui apa mereka lakukan keatasnya dan kami tidak ketahui dimana ia berkubur.


bersambung

  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
 

Monday 22 September 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:



Dengan itu masing-masing turun ke tanah dan terus ke luar pagar kawasan rumah. Tok Ketua Uda Baharum memberi tahu orang-orang Cina itu jangan gaduh dan ia akan muafakatkan perkara itu, dengan itu pun orang Cina itu pergi daripada situ.

 Pada sangkaan masing-masing perkara itu tamatlah disitu atau untuk sementara waktu, tetapi dengan tidak semena-mena atau tidak disangka-sangka telah kedengaran khabar yang dibawa oleh orang sebelah hilir kampung iaitu orang-orang Cina disebelah Pasir Kubu dikatakan telah berkumpul hendak menyerang Lambor Kiri dan semakin matahari naik tinggi pada 3.1.1942 dikatakan mereka telah berkumpul di Lambor Kanan bersama-sama dengan orang-orang Cina daripada Padang Changkat dan daripada tempat-tempat disebelah darat Lambor Kanan telah siapa sedia hendak menyeberang sungai untuk menyerang orang Lambor Kiri. Maka pada masa itu orang-orang Melayu Lambor Kiri telah gelisah tidak tahu apa hendak diperbuat. Maka bernasib baiklah ada seorang yang lebih pintar dan lebih ikhtiarnya daripada orang-orang lain iaitu Haji Abdul Aziz bin Abdul Salam, maka dengan perangsang daripadanya mereka yang laki-laki semua kalau ada dengan apa jua jenis senjata, senapang, bagi siapa yang ada menaruhnya keris, lembing, kapak dan apa-apa jua yang ada serta keluar beramai-ramai untuk menentang musuh yang telah ternyatanya di seberang sungai dengan ternampak mereka beramai ke hulu dan kehilir.




bersambung

  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
           

Monday 15 September 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:



Tok Ketua Uda Baharum pada mulanya bawa ketua Cina itu bersama-sama dengan kawan-kawannya dan perempuan Cina itu berjumpa dengan ibu mentua saya, pada mulanya di tepi sungai kerana masih pagi lagi. Selepas itu di tepi jalan luar pagar kawasan rumah, mereka ikut masuk kedalam pagar rumah dibawa oleh Ketua Uda Baharum. Apabila tiba ke tangga rumah hendak naik ke rumah maka ibu mentua saya merayu supaya jangan ia disalahkan diatas perbuatan budak-budak yang nakal itu dan daripada cahaya mukanya dengan jelas menunjukkan yang ia adalah didalam keadaan takut dan tiada pula siapa hendak membelanya. Saya sendiri dimasa itu didalam keuzuran kerana kaki saya semakin bengkak kerana jatuh daripada basikal tatakala melanggarkan sekawan kambing yang bermaharajalela di jalan raya Telok  Anson

Mereka semua naik keatas rumah dan duduk di atas kerusi di anjung rumah kerana merundingkan perkara itu diantara Tok Ketua Uda Baharumdan mereka orang-orang Cina itu. Tidak semena-mena ayah saya tiba naik ke rumah dan langsung ia tarik tangan Tok Ketua Uda Baharum dan tolak turun ke tanah sambil ia berkata, “Jika jadi satu pergaduhan atau satu-satu perkara di atas rumah siapa akan bertanggung jawab,’ kerana orang lain sekarang penghulu besok pergilah berjumpa dengan yang berkuasa.


bersambung

  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 8 September 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:



Selepas askar Jepun melalui tempat ini dengan sampan hilir ikut Sungai Perak, pada pagi 1.1.1942 itu pada malamnya itu jua barangkali setengah budak-budak nakal dikatakan telah pergi ke pondok tempat perempuan Cina itu duduk seorang diri di situ untuk menakuti didalam masa yang gelora peperangan yang baru meletus di negeri ini – apa yang telah berlaku sebenarnya tidaklah diketahui.

Pada pagi besoknya 2.1.1942 sebagai mana yang telah disebutkan, perempuan Cina itu telah pergi mengadu kepada ketua kaumnya mengatakan ia telah disamun atau dirampas oleh orang-orang Melayu dan habis harta serta wang ringgitnya. Maklum sajalah dimasa itu kongsi atau pakatan orang Cina sangat kuat.        

Orang Cina yang dikatakan ketua kaum mereka ini telah datang mengadu kepada Tok Ketua Kampung orang-orang Melayu yang dimasa itu bagi Kampung Tua Lambor Kiri ialah Uda Baharum serta menuntut kerugian perempuan Cina ini. Pada masa itu tinggal mentua saya Hajah Fatimah kerana mentua saya Haji Mohd Jabar Penghulu Mukim Lambor Kiri telah digantikan dengan orang lain dan jua ia telah meninggal dunia. 


bersambung

  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Monday 1 September 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG.

      Pada pagi besoknya 2.1.1941 pula maka satu kejadian yang buruk yang hampir menjadikan huru-hara sebuah kampong atau mukim Lambor Kiri. Apa kejadian yang dikatakan buruk itu? Adalah lebih kurang berikut. Seorang perempuan Cina yang sudah separuh umur atau hampir tua telah menumpang berkebun sayur di atas sekeping tanah kepunyaan mentua saya Haji Mohd Jabar di Kampung Lambor Kiri. Tanah itu seluas 10 ekar telah dibenarkan oleh kerajaan semasa ia menjadi Penghulu Lambor Kiri tempoh hari.

bersambung

  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 25 August 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 13): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

      Askar-askar Jepun itu membuat kacau bilau dengan mengacau perempuan-perempuan yang mereka nampak dan memukul orang-orang laki-laki yang tidak memberi apa-apa benda yang mereka kehendakkan kerana orang-orang Melayu di kampung-kampung masing-masing tidak mengetahui percakapan atau bahasa mereka. Oleh yang demikian tidak dapat memahamkan apa-apa kehendak mereka dan orang-orang Melayu tidak berani berbuat apa-apa kepada mereka kerana ditakuti pancung kepala atau dibakar sebuah kampung itu.

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Terbitan akan datang bab baru.

Monday 18 August 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 12): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 
Pada pagi besoknya pada 1.1.1942 daripada subuh lagi terdengar heboh di sungai kerana askar Jepun telah mula sampai daripada sebelah hulu ikut Sungai Perak. Pada mulanya kami tidak berasa takut atau gentar mereka hilir dengan perahu mengikut arus sungai tetapi apabila sebuah daripada perahu kenaikkan mereka telah tersangkut ke pasir maka mereka telah naik ke darat dan membuat kacau bilau, maka baharulah masing-masing mengerti dan mula berasa takut. Oleh itu masing-masing lari ke darat kampung dengan membawa anak isteri masing-masing serta membawa barang kemas yang dapat dibawa. Nasib baik setengah daripada setengah keluarga kami telah berikhtiar mencari sampan untuk menungkak arus air sungai supaya sampai kenaikkan askar-askar itu boleh lalu terus tidak sangkut kepasir dan dengan itu askar-askar itu tidaklah singgah di kampung kami Lambor Kiri serta terpeliharalah kami daripada kacau bilau itu. Bagaimana pun semenjak itu berjagalah masing-masing untuk memelihara keamanan keluarga-keluarga dan kampong halaman masing-masing.


bersambung    
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 11 August 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 11): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

        Pada pagi 31.12.1941 baharu kami bertolak ke Lambor Kiri tetapi saya tidak lagi boleh berjalan kerana sebelum kami bertolak daripada Telok Anson maka pada pagi 31.12.1941 itu sebelum kami bertolak daripada Telok Anson saya telah pergi ke pekan Telok Anson dengan basikal daripada Changkat Jong Road untuk memerhati sesiapa orang daripada kampung saya dan di tepi jalan saya telah melanggar sekumpulan kambing yang tidak semena-mena lari menyeberang jalan di hadapan basikal saya, maklum sajalah dimasa itu kambing-kambing telah ditinggalkan oleh tuan punya untuk ianya melarikan diri dan kambing-kambing itu tidak berkawal lagi oleh itu saya telah terjatuh daripada basikal saya. Kaki saya telah tercedera dan telah jadi bengkak semasa kami berjalan daripada Telok Anson ke Pulau Tiga. Oleh itu keluarga-keluarga saya daripada Telok Sareh telah datang ke Pulau Tiga untuk membawa kami dengan basikal tua pertama saya yang telah uzur dan kami pun selamat sampai di kampung.     

   bersambung    
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 4 August 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 10): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Selepas pejabat ditutup pada 24.12.1941 pun saya tidak dapat balik ke kampung kami Lambor Kiri kerana dimasa itu tiada ada lagi motor bot tambang atau apa-apa kenaikkan yang lain untuk pergi ke sana, sungguhpun kereta motokar saya yang sudah dibaiki masih ada, tetapi tidak dapat digunakan kerana jalan motokar untuk pergi ke sana yang terus dimasa itu belum mula lagi dan terpaksalah melalui Batu Gajah dan Parit, dan daripada Parit ke Lambor Kanan saja (tidak ke Lambor Kiri) dan jalan-jalan itu tidak lagi dibenarkan lalu lintas lagi kerana tentera Jepun telah semakin dekat. Oleh itu kami telah terkurung di Telok Anson. Bagaimana pun kami tidak boleh lupakan ikhtiar yang dijalankan keluarga-keluarga kami di kampung untuk menyelamatkan kami kerana pada 30.12.1941 dua orang daripada keluarga kami iaitu Encik Uda Idris (sekarang Haji) dan Encik Mohd Jadi telah mari ke Telok Anson untuk membawa kami balik ke Lambor, setibanya saja mereka ke Telok Anson maka kami dengan serta merta ketika itu jua berjalan kaki dengan melalui Sungai Manik meredah ke hulu, kebetulan pula dimasa itu Sungai Perak (banjir air bah) maka kami terpaksa meraduk air hingga sampai kedada kami, melalui jalan kaki dan diwaktu malam hari itu kami sampai ke Pulau Tiga dengan pakaian yang semua kuyub. Didalam masa gelab gulita itu suara saya dikenal oleh Cikgu Amran yang kenalkan saya, ia dengan murah hati menyemput kami ke rumahnya dan dijamunya kami malam itu dimana kami langsung bermalam






   bersambung    
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 28 July 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 9): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Untuk membakar atau merosakkan baki-baki wang yang ada lagi ditangan itu maka wang kertas (note) dan lain-lain itu terpaksa dibawa ke tengah padang untuk dibakar. Sebelum itu tuan Pegawai Jajahan yang menjalankan tugas itu ada berkata kepada kami yang ia berkuasa atau boleh memberikan wang-wang itu kepada sesiapa tetapi orang ramai akan tahu, oleh itu nyawa orang yang akan diberikannya wang itu akan terancam tidak akan selamat, oleh itu hendaklah ditunjukkan kepada orang ramai yang wang-wang itu atau apa-apa jua yang boleh berguna sudah dibinasakan dan itulah sebababnya dibakar ditengah-tengah padang yang luas dihadapan pejabat-pejabat. Begitupun tidak satu sen pun diberikan kepada kami-kami yang bersama termasuk ketua pejabat saya Bendahari Kecil dan seorang peon Lope Ahmad



   bersambung    
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

SELAMAT HARI RAYA 
MAAF ZAHIR BATIN  

 

Monday 21 July 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Di pejabat kami bekerja jua terus menerus hingga hari petang pada 24 Disember 1941, sebagaimana yang saya sudah pun disebutkan, sebelum cuti Kerismes dan pada petang itu Tuan Pegawai Jajahan bertanya saya dimana saya tinggal diwaktu malam dan saya beri ia tahu yang saya tidak lagi boleh duduk di rumah kerajaan dan sudah berpindah ke rumah  seorang saudara saya di Horley Road. Oleh itu ia terus meminta kepada saya sekelian kunci peti besi pejabat Perbendaharaan Kecil yang didalam tangan saya kerana katanya susah hendak mencari saya bila-bila dikehendaki terutama dimalam hari.

Dimasa itu baharulah saya tahu sedikit sebanyak huru-hara peperangan, ia itu pertamanya sekali pekakas kerajaan yang harus berguna hendaklah dibinasakan supaya jangan terlepas ketangan musuh untuk diguna melawan kepada ------, barang-barang yang dibinasa itu termasuk baki wang yang ada ditangan Bendahari Kecil dengan dibakar atau dirosakkan dan dimasa itu putihlah mata saya melihat dan sedikitpun saya tidaklah berani meminta apa-apa wang pendahuluan sebagaimana orang-orang lain.   


  bersambung
   
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 14 July 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 7): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

    
     Oleh kerana pihak tentera Jepun semakin sehari semakin dekat ke Telok Anson daripada sebelah hulu atau utara mengikut Sungai Perak dan dari sebelah laut sebelah hilir maka rumah saya itu dan demikian jua rumah-rumah yang lain terpaksa ditinggalkan kerana keadaan yang semakin genting. Saya cuba duduk menunggu rumah saya itu seorang diri sedang  saya pindahkan isteri dan anak-anak saya ketempat lain tetapi saya tidak boleh tidor waktu malam hari kerana terdengar ketelingan saya  bermacam bunyi didalam malam gelab gulita pula 

         Keadaan yang genting ini telah sampai sampai kepada pengetahuan  keluarga-keluarga saya di kampong. Oleh itu adik ipar saya Allahyarham Talib Ali bin Haji Mohd Zain telah datang ke Telok Anson daripada Lambor dengan menyewa sebuah sampan motor (motor boat) untuk membawa balik isteri dan anak-anak saya terutama yang masih kecil. Oleh kerana dimasa itu telah terjadi dharurat maka motor bot itu dapat singgah di jeti Pasir Berdamar saja tidak dapat dibawa mudik sedikit pun perkakas-perkakas rumah dan lain-lain kerana untuk pergi ke rumah saya di Jalan Court House terpaksalah mengelilingi tanjung dihujung Pasir Berdamar yang bergitu jauh dan mengambil masa berjam-jam. Oleh itu tidaklah ada kesempatan dan saya sendiri pun tidak dapat meninggalkan kerja saya tambahan pula masa pun sudah hampir petang untuk balik mudik begitu jauh, maka tinggalah saya di Telok Anson bersama-sama dengan anak-anak saya yang yang laki-laki yang sudah sedikit besar (Mohd Shamsudin dan Ahmad Tajuddin)     

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 7 July 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



         Sebagaimana yang saya telah sebutkan kami terpaksa bekerja pula dimasa itu daripada pagi hingga petang. Oleh itu tidak ada masa untuk dapat saya membuat apa-apa persiapan atau mengambil langkah untuk menyelamatkan diri dan barang-barang kepunyaan saya seperti perkakas rumah dan lain-lain, selain daripada itu pula saudara mara dan keluarga-keluarga saya pula yang berkhidmat ditempat-tempat lain, sama ada di jabatan kerajaan dan lain-lain pula datang membawa harta benda dan perkakas mereka untuk disimpan sementara di rumah saya semasa didalam peperangan itu, di rumah saya yang letaknya di tepi pantai Sungai Perak di Jalan Mahkamah (Court House Road) Telon Anson berdekatan dengan dan berhampiran dengan kediaman tuan Pegawai Jajahan.
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 30 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;




Bagi diri saya sendiri pula oleh kerana sedikit perselisihan saya dengan tuan Pegawai Jajahan itu ditempoh hari, maka tidaklah saya berani hendak meminta apa-apa wang bantuan atau wang pendahuluan, maka saya adalah seorang yang puteh mata saja melihat orang-orang lain mendapat wang pendahuluan dan saya nampak diantara yang menerima wang pendahuluan itu ada diantara yang telah menukar cek daripada pejabat yang dikatakan bukan bagi bayaran gaji mereka, tetapi bagi bayaran yang lain – tambahan pula dimasa itu wang gaji saya bagi bulan Disember 1941 yang telah saya terima sudah habis saya belanjakan untuk membaiki (overhaul) motokar saya kerana difikirkan dengan kereta itu yang sudah diperbaiki maka senanglah hendak lari ke mana-mana dengan tidak takut rosak untuk melindungi diri sendiri dan keluarga daripada apa-apa bencana peperangan, tetapi kesudahannya -------- saja --------  tetapi saya hingga jadi kecewa kerana ketiadaan apa-apa wang lagi ditangan.       


 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
         

               Catatan: ------ perkataan tidak boleh dibaca 

Monday 23 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Dimasa itu nampaknya masing-masing dibayar wang pendahuluan kepada siapa yang berkehendak dan berani pula meminta-minta dan dibayar wang pendahuluan untuk beberapa bulan yang kehadapan sekurang-kurangnya sebulan gaji atau masa dharurat yang dikatakan atau dijanji akan dibayar balik kelak- dimasa itu tidak disangka yang pejabat-pejabat di situ terbakar

Pada masa itu pula belum ada lagi bank yang lain selain daripada bank Cina yang yang telah disebutkan. Oleh itu manager-manager kebun getah dan kelab yang besar di jajahan ini yang tidak mahu menyimpang wang mereka di bank yang tersebut dibenarkan menukar cek mereka dengan bank-bank di Ipoh dan lain di Perbendaharaan Kecil dengan membayar wang komesyen yang biasa. Didalam masa yang kacau bilau itu - disebabkan oleh peperangan itu manager-manager yang tersebut kesemuanya datang menukar cek mereka dengan wang tunai daripada Perbendaharaan Kecil yang tersebut.      
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 16 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Pejabat-pejabat lain telah mula ditutup, tidak lagi menjalankan tugas-tugas harian mereka. Pejabat saya Perbendaharaan Kecil terpaksa terus berjalan oleh kerana membuat bermacam-macam bayaran dengan arahan tuan Pegawai Jajahan dimasa itu iaitu A.V. Aston hingga petang 24 Disember 1941 sebelum cuti hari kelepasan Kerismes kerana dimasa itu hujung tahun kami terpaksa bekerja keras untuk membuat bayaran gaji pegawai-pegawai dan kaki-kaki tangan kerajaan dan jua bayaran-bayaran yang lain yang terpaksa dibayar sebelum habis tahun, kontrak-kontrak misalnya dan jua membayar cek bank yang dikeluarkan terutama oleh jabatan-jabatan Federal dan lain-lain dan bayaran-bayaran yang lain pula yang dimasa itu nampaknya tidak lagi mematuhi peraturan kewangan. Setelah habis membuat bayaran yang biasa maka datang pula beberapa pegawai dan orang-orang lain daripada sebelah utara yang mana telah diduduki oleh tentera-tentera Jepun meminta-minta bantuan kerana dikatakan di tempat-tempat mereka pejabat Perbendaharaan Negeri lebih terdahulu telah ditutup sebelum cek-cek dan gaji mereka bagi bulan Disember 1941 dan lain-lain dapat dibayar. Selain daripada itu itu pula maka pegawai dan kaki-kaki tangan kerajaan yang bertugas di Telok Anson pun sama ada daripada pejabat Negeri atau Federal telah mula meminta-minta wang pendahuluan (Advances). Gaji yang dibayar dengan kebenaran atau persetujuan tuan Pegawai Jajahan dengan tidak menyediakan apa-apa baucer lagi cuma diatas sekeping atau secebik kertas kecil saja. Kebetulan pula pada masa itu Overseas Chinese Bank Telok Anson hendak menutup bank itu untuk lari dengan menyerahkan semua wang yang ada di bank itu kepada Perbendaharaan Kecil kerajaan dengan mengambil sekeping cek daripada Perbendahaan Kecil sebanyak wang yang diserahkan untuk gantinya yang akan boleh diguna kelak kerana dengan cara itu wang mereka akan terselamat daripada merbahaya perompak, wang itu pula dapat diguna oleh Perbendaharaan Kecil untuk bayaran yang dikehendakinya



 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 9 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 
Selepas sahaja pengistiharan perang diumumkan maka orang ramai mula berpindah daripada bandar ke kampung-kampung dengan membawa barang-barang dan perkakas-perkakas rumah mereka masing-masing. Pekedai-pekedai telah menutup kedai-kedai mereka dan memindahkan barang-barang ke tempat-tempat lain yang jauh daripada bandar oleh itu orang ramai tidaklah lagi boleh mendapat membeli barang-barang keperluan harian mereka.
 
 
 
 
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
 
             Catatan: Setakat yang mampu dilakukan

Monday 2 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;




Oleh kerana belum pernah berlaku peperangan di negeri ini semenjak saya dilahirkan maka tidaklah kami ketahui apa langkah yang patut diambil untuk menghadapi sebarang kemungkinan, tambahan pula kami berfikir negeri adalah bernaung saja di bawah panji-panji pemerintahan kerajaan Inggeris bukan takluknya, oleh itu kami juga berfikir iaitu negeri ini tidak jadi musuh kepada mana-mana kerajaan yang memerangi kerajaan Inggeris ------- atau sekurang-kurangnya kerajaan Inggeris yang termegah mempunyai kerajaan yang  matahari tidak pernah jatuh atau cukup kekuatan untuk menawani negeri-negeri dibawah naungannya.

Dimasa peperangan itu mula berlaku pada 8.12.1941 anak saya yang tua sekali Mohamed Shamsudin (sekarang Dato) ada mengaji di Raffles College Singapura (dibawah takluk Inggeris) selepas bandar itu dijatuhkan bom oleh pihak tentera pada awal peperangan itu maka telah terdengar khabar menerusi akhbar dan radio iaitu beberapa orang budak yang  sama mengaji dengan anak saya itu ------------------------------------letupan bom dan tiga orang daripadanya termasuk seorang anak kepada Incik Muhammad Yusof pegawai perumahan pejabat Bandaran Telok Anson telah terbunuh . Pelajar-pelajar yang lain melarikan diri kesana sini dan oleh kerana perjalanan kereta api Tanah Melayu telah terputus   maka mereka tidak dapat balik pulang terus ketempat  masing-masing oleh yang demikian mungkin tidaklah dapat apa-apa perkhabaran daripada anak saya itu sehingga beberapa hari terkemudian ia sampai ke rumah kami di Telok Anson diwaktu malam dalam masa gelab gulita oleh kerana masa berkurung telah dikuatkuasa dan orang-orang ramai dilarang keras memasang lampu pelita diwaktu malam di rumah masing-masing dan pelita di jalan raya tidak dipasang lagi.

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
  

Catatan:  Tanda ------------- adalah bagi perkataan yang tidak dapat dibaca dan akan dimasukkan sekiranya dapat dibaca kelak 



 
        

Monday 26 May 2014

PERANG DUNIA KEDUA: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



           PERANG DUNIA KEDUA


Pada pagi subuh 8 Disember 1941 heboh terdengar menerusi radio ia-itu Kerajaan Jepun telah memulakan peperangan dengan Kuasa Yang Bersekutu termasuk Amerika Syarikat dan Britain. Dikatakan jua ia-itu Jepun telah mula menyerang musuh sebelum peperangan diistiharkan dan kubu-kubu kepunyaan Amerika Syarikat di Pearl Harbour telah dibedil terok oleh Angkatan Laut Jepun.

Pada masa itu saya berkerja di pejabat Perbendaharaan Kecil (Sub-Treasury) Telok Anson dan pada pagi-pagi hari itu kami pergi ke pejabat dan telah dapat tahu tentera Jepun telah masuk mendarat di Kelantan sebelah utara.

Kejadian itu telah memeranjatkan keadaan kerana dimasa Perang Dunia yang Pertama tahun 1914-18 pihak Jepun adalah disebelah pihak Kuasa Yang Bersekutu. Oleh itu tidaklah terjadi peperangan disebelah sini, kecuali di Pulau Pinang dimana kapal Perang Inggeris semasa belayar di situ telah dibedil oleh kapal perang Jerman bernama “EMDEN”.

Peperangan Dunia yang Kedua telah bermula di Eropah semenjak tahun 1939 tetapi oleh kerana dimasa itu Jepun belum lagi menyebelahi dimana-mana kuasa maka tidaklah berlaku peperangan disebelah sini hingga 8 Disember 1941 sebagaimana yang telah disebutkan. Bagaimanapun pemerintah Inggeris telah mengambil langkah untuk bersedia bagi sebarang kemungkinan        

 bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA