Total Pageviews

Monday 29 July 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 6): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


(4).       Seorang yang lain pula namanya Dalil atau Tok Dalil.  Iaitu bukanlah seorang daripada negeri lain tetapi ialah daripada Kampung Pulau Padang Mukim Bota berdekatan dengan Pekan Parit.  Begitu juga satu masa ia datang duduk dan beranak isteri di Lambor Kiri.  Ia orangnya gemuk tidak beberapa tinggi dan perutnya buncit.  Ia adalah seorang tua yang suka sangat menyakat atau menakuti budak-budak lelaki perempuan dan gaya dan tingkah-lakunya yang luar biasa.  Semua budak-budak sungguh takut kepadanya terutama budak-budak kecil yang bersekolah semasa mereka pergi dan balik daripada sekolah sehingga mereka lalu merendah semak-samun dan hutan untuk menyimpang jalan atau menyimpangkan diri masing-masing daripada bertemu dengannya di jalan jika mereka nampak dari jauh ia ada lalu-lintas di jalan itu.

Ia ada bermacam-macam cara untuk menakuti kanak-kanak kecil di antaranya dibuncitkan perutnya ke kiri katanya “tengok kome budak-budak di dalam perut aku di sebelah kiri itu ialah kepala anak sianu yang aku sudah makan tadi”.  Demikian juga sebaliknya jika dibuncitkannya perutnya disebelah kanan katanya “itu kepada seorang budak yang telah dimakannya,  Ia acu-acukan mata pisau dikilir-kilirnya ke atas perutnya dengan tidak luka.

            Lagi pula gerak-geri ia dengan keruit (gerak) mulut dan matanya semua manakuti budak-budak.  Ia boleh menggerakkan dahi atau kulit kepalanya yang separuh sudah botak.  Bagaimana pula ia boleh berbuat demikian tidak lah diketahui dan harus dengan jalan cubaan (practise) dengan cubaan beberapa lama sehingga ia boleh berbuat demikian untuk menakutkan budak-budak kecil.

            Saya sendiri sungguh pun di dalam hati saya berasa takut gerun dan ngeri kepadanya, tetapi saya berani-beranikan dan tidak dinampakkan takut saya kepadanya.  Iapun tidak cuba menakukan saya kerana harus ia berasa segan kepada keluarga-keluarga saya kerana di mana-mana di dalam mana-mana perkumpulan atau perhimpunan kenduri-kendara yang di zaman itu, budak-budak kecilpun turut sama dengan datuk nenek mereka.  Maka, di masa-masa itu, sayapun bersama-sama dengan datuk saya tetapi keadaan itu berubah apabila saya telah masuk sekolah.

            Pada masa saya sudah bersekolah, saya terpaksa berjalan kaki hampir sebatu ke hilir daripada rumah saya.  Pada satu pagi di dalam perjalanan saya ke sekolah, apabila tiba berbetulan di tanah kampong pusaka datuk saya, saya tidak sangka ia (Tok Dalil) ada mengendap di sebalik pokok-pokok di situ.  Aapabila saya sampai dekat dengannya di situ, ia kecutkan saya.  Katanya “Kali ini aku baru berjumpa,”  saya terkejut tidak sedar lalu melompat sebatang parit dan menembusi pagar sasak dua lapis di atas parit itu.  Nasib baik pagar itu sudah lama (tua) dan tidak kuat lagi.  Saya berlari terus kepada bapa saudara saya Kulob Deris iaitu abang dan saudara yang tunggal kepada bapa saya Ngah Abas yang saya panggil “Ayah Tua”.  Ia terkejut melihat keadaan saya dan ia bertanya “Apa pasalnya?”  Saya pun ceritakan halnya.  Selepas itu, ia nasihatkan “lain kali jikalau bertemu dengan musuh, jangan lari tetapi hendaklah ditentang musuh itu.”  Ia terus beri fatwa bila saya menemui Tok Dalil kelak.

            Berselang beberapa hari kemudian daripada itu, ia cuba lagi menakutkan atau mengugut saya di tempat yang sama.  Saya jalankan lah sebagaimana fatwa bapa saudara saya itu.  Saya jawab, “Tok Aki tak boleh ganggu saya.  Ini Jalan Kompeni, lepaskan saya.”

            Ia seolah terperanjat serta mendekati saya.  Ditepuknya belakang saya.  Katanya, “Syabas anak, inilah cara anak jantan.”  Dalam hati saya, tuhan sahajalah yang mengetahui bagaimana kecutnya tetapi diberanikan jua.

            Kedua peristiwa ini telah saya jadikan pedoman hidup,  Selepas itu, di Sekolah Melayu saya berjaya terus naik kepada darjah lima di dalam setahun (1908) yang belum pernah terjadi di dalam satu-satu sekolah dan saya tamat di dalam Sekolah Inggeris di dalam masa kurang daripada empat tahun (3 1/2 tahun),  Di dalam jawatan pula saya tidak takut memasuki apa-apa peperiksaan di dalam jawatana dan saya lebih berjaya daripada rakan-rakan sejawat saya samaada daripada orang-orang Melayu  atau bangsa-bangsa asing.  Maklum sajalah di masa itu peluang bagi orang Melayu sangat tersekat bukan sebagaimana sekarang.  Bagaimanapun saya berbangga kerana saya adalah orang yang awal sekali meninggalkan kampong laman saya di Lambor Kiri pergi belajar di Sekolah Inggeris.  Nampaknya adik-beradik, saudara-mara dan anak-cucu saya ada memakai fatwa seumpama itu sungguhpun saya tidak pernah menurunkan fatwa itu kepada mereka.

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 22 July 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 5): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


Dengan kejadian itu, maka pihak Mat Melaka adalah rondak sedikit, tetapi lama kelamaan ia mula lupa peristiwa yang telah berlaku dan mulalah berlagak seperti di masa dahulu.  Tidak pula siapa menghiraukan kepadanya kecuali bapa saudara saya Uda Kidin, iaitu adik kepada ibu saya yang tidak senang hati melihat lagak dan keadaannya.  Pada masa peristiwa itu dahulu berlaku ia baru orang muda.  Sekarang ia sudah dewasa dan dikatakan sudah pula menuntut ilmu kebal.  Untuk mencuba kehandalannya Mat Melaka itu, ia mula cuba lawan berpenca tangan dengan Mat Melaka.  Mulanya ia menahan dahulu tetapi nampaknya ia cerdik.  Ia menahan kekuatannya dengan berkelit tangan kanan kepada lututnya dengan ia menekan tangan kanannya keatas lututnya serta disuruhnya lawannya (Mat Melaka) memerca atau memusingkan lengan atau tangan kanannya tetapi lawannya tidak dapat berbuat apa-apa kemudian ia suruh pula Mat Melaka menahan dan ia pula memerca tangan Mat Melaka dan dengan senang saja ia dapat memusingkan tangan Mat Melaka.

Dengan kekalahan Mat Melaka itu, ia tahulah dan dapat mengagak ataupun upaya melawan Mat Melaka.  Dan daripada masa itu bertumbuk di mana-mana saja mereka bertemu muka keduanya bertumbuk (bergaduh) tetapi bukan bergaduh betul seolah olok-olok sebagaimana pepatah orang-orang tua “seloror bunga kelai” diibaratkan kepada kanak-kanak dan begitulah keadaan mereka bedua beberapa lama bertahun-tahun selepas itu sehingga sampailah masanya pada satu petang mereka bertemu pula berdua, pada kali ini pun seperti biasa pada mulanya mereka bertumbuk olok-olok tetapi sesudahnya masing-masing sudah jadi hangat dan terus bergaduh serta bersungguh-sungguh hendak menunjukkan kehandalan masing-masing sehingga Mat Melaka telah kena luka parah oleh kerana tumbuk.  Ia terus dibawa ke Parit (atau Batu Gajah) sayapun tidak tahu untuk dipereksa dan dirawat kerana cedera parah.  Selepas itu bapa saudara Uda Kidin ditangkap oleh polis untuk dibicarakan serta-merta di Mahkamah Parit. 

Perbicaraan telah dijalankan di Mahkamah Parit di atas tuduhan memukul cedera parah.  Pihak yang dituduh menolak tuduhan itu dengan alasan mereka kedua tidak bergaduh tetapi bermain silat.  Di dalam tangkis menangkis sementara bersilat itu untuk mengelakkan pukulan lawan Mat Melaka telah tergelincir dan jatuh terhempas ke pangkal pokok rambutan dihalamam rumah cedera berdarah itu ialah disebabkan iaitu terjatuh.  Yang dituduh membawa saksi dan saksi itu menerangkan sebagaimana keterangan yang dituduh.  Selepas tuan pengadil dapat tahu sebenarnya Mat Melaka adalah seorang pendekar dan guru silat, pengadil buang bicara dan bebaskan Uda Kidin.  Apa terjadi lepas itu tidaklah saya ketahui kerana saya telah bersekolah di Sekolah Inggeris Kuala Kangsar tetapi tidaklah terdengar apa-apapun berlaku selepas itu di antara mereka.

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 15 July 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 4 ): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


(3)                Seorang yang lain namanya Mat Melaka.  Boleh  jadi ada lain namanya tetapi oleh kerana ia datang daripada negeri Melaka maka orang panggil ia Mat Melaka. Iapun beranak beristeri di Lambor Kiri.  Ia adalah seorang pendekar dan guru bersilat dan berbangga dengan kehandalannya .  Jika tidak, katanya, ia tidak merantau ke negeri orang dan begitu lagaknya di dalam tahun 1930, ia telah menyebabkan satu peristiwa yang buruk berlaku di dalam satu termasya atau perhimpunan didalam satu masa perkahwinan yang besar di Lambor Kiri.  Perkahwinan itu ialah di antara ibu saudara saya Teh Asiah binti Anjang Talib dengan Ahmad bin Haji Sulaiman dari Belanja.  Pengantin perempuan ialah anak Tok Penghulu Lambor Kiri di masa itu dan pengantin lelaki ialah anak guru kepada keluarga di Raja Belanja, oleh itu istiadat besar-besaran telah dijalankan beberapa hari dan malam dan dihadiri oleh sekelian puak-puak kelaurga di Raja daripada Belanja.  Mereka datang dengan berpuluh-puluh ekor gajah kenaikkan mereka dan mereka terpaksalah tinggal beberapa hari dan malam di situ.
Peristiwa buruk yang berlaku itu ialah pada hari yang akhir istiadat perkahwinan   itu, iaitu temasya mandi sampat yang telah diadakan pada satu petang di tepi pantai tebing Sungai Perak yang dia masa itu pantai sungai itu berpasir jauh ke tengah sungai.  Sebagaimana yang termaklum telah menjadi adat resam di masa itu, iaitu keluarga pengantin yang rapat akan membawa air serta itu kepada sudara mara dan kerabat handai yang dekat yang ada beserta di situ di masa itu, apatah lagi kepada mereka yang memakai kain baju yang elok dan demikianlah dilakukan dengan berbalas-balas kejar mengejar diantara mereka.

Diantara mereka yang mengambil bahagian itu termasuk Mat Melaka yang tersebut.  Pada mulanya, tidaklah berlaku apa-apa yang ganjil seperti biasa yang diperbuat oleh orang-orang lain tetapi rupanya ia telah terlebih dahulu sediakan sebotol air kantau (buah kabung yang muda yang amat gatal) dan di akhirnya ia percikkan air itu ke atas orang yang memukul rebana di situ.  Yang awal terkena ialah Megat Bongsu (Cu Kedah)  dan apabila terasa amat gatal tidak tertahan lagi ia sudah hilang akal fikiran.   Oleh itu, pergaduhan telah berlaku dan ada di antara mereka yang hadir telah sebelah menyebelah.  Pergaduhan itu telah berlaku semasa hadir bersama-sama di situ pihak keluarga di Raja dan yang lain daripada pihak pengantin laki-laki.  Bagaimanapun, pergaduhan itu telah dapat diselesaikan tetapi akibatnya pula sebelum itu sekelian orang-orang perempuan samada anak-anak bini orang atau bukan dan jua kanak-kanan laki-laki perempuan telah tergempar dan ketakutan.  Setengah daripada mereka terus lari ke hulu dan yang lain telah lari ke sebelah hilir berbatu-batu jauhnya melarikan diri dengan tidak tentu arah.  Di masa itu, hari hampir petang dan malam tiba, hebohlah sebuah mukim dan kampung kerana masing-masing mencari anak-bini masing-masing hingga larut malam.  Saya yang masih kecil bersamalah cabut lari ke hulu berbatu-batu jauhnya bila saya dijumpai datuk dan bapa saudara saya saya bertanya kalau saya terkena apa-apa untuk mereka mengambil bela tetapi mujurlah saya tidak terkena apa-apa.  Apa yang berlaku selepas itu tidaklah saya tahu tetapi saya fahamkan entah benar atau tidak, pihak keluarga di Raja malam itu telah menuntut dan menjatuhkan sedikit denda-denda atau bayaran kerana kekacauan itu yang difikirkan tidak sopan yang mereka terasa malu.  Tuan rumah pun membayar wang denda itu sebagai ganti atau menutup malu.  Pada pagi besoknya sekelian keluarga di Raja dan lain-lain daripada pihak pengantin laki-laki masing-masing pulang ke tempat masing-masing.

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 8 July 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 3): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


(2)               Seorang lagi namanya Mamat Ladin Panjang daripada Sabak Bernam, Selangor.  Ia digelar Mamat Ladin Panjang kerana ia memakai parang panjang.  Ia berkahwin di Kampung Telok, Lambor Kiri dan beranak cucu di situ.  Ia termasyhur kuat gagah berani orangnya dan ada pula pengetahuan yang luar biasa iaitu ia boleh tinggal didalam air dengan tidak timbul untuk bernafas lama hingga berjam.  Tidaklah diketahui bagaimana ia boleh berbuat begitu samada ia memakai apa-apa pesawat untuk bernafas atau memakai ilmu peruang air.
             Diceritakan iaitu di dalam satu masa kecemasan ia telah lari menyelamatkan diri lalu menyelam Sungai Perak diseberang Kampung Kuchai iaitu di sempadan hulu mukim Lambor Kiri dan ia telah timbul di kampunnya iaitu di Kampung Pasir Kayu di sempadan Lambor Kiri sebelah hilir sejauh tidak kurang daripada lima batu

Dimasa kami kecil, kami telah sendiri menyaksikan beberapa kali kehandalannya menyelam sungai dengan beberapa lama tidak timbul bagi bernafas iaitu semasa ia bermagun ikan.  Caranya ialah dengan ia menyediakan belat-belat yang diperbuat daripada buluh yang banyak tumbuh di merata-rata tempat di kampong-kampung dan tinggi belat-belat itu ialah seberapa tinggi yang dikehendaki mengikut seberapa dalam tempat yang hedak dibelat itu.  Mulanya, ia pasang belat-belat dengan mencacakkan tiang-tiangnya daripada turus-turus kayu.  Kemudian ia pacakkan belat-belat itu dengan diikatkan kepada tiang-tiang di tepi-tepi merata tebing Sungai Perak.  Oleh kerana ia boleh menyelam di dalam air beberpa lama maka senang sajalah ia memasang belat-belat itu dengan mengikatnya kepada tiang-tiang yang telah dipacak terlebih dahulu.  Tempat-tempat yang ia pasang belat itu ialah di tempat yang banyak tumbuh pokok peropok di merata-rata tebing sungai di mana ikan-ikan itu kecil, besar dapat berlindung.  Selepas dipasangnya belat-belat itu, maka mulalah pula ia memotong dan membersihkan pokok-pokok peropok itu dan ikan-ikan itu kesemuanya pun masuk kedalam magun yang telah dipasang dan dengan cara ini senang sajalah ia menangkap beberapa banyak ikan kecil dan besar untuk dijual dan dimakan.

Lagi pun, ia adalah seorang yang kuat perkasa, oleh itu, dengan senang saja ia memikul atau membawa barang-barang atau bebanan yang berat dan jua membengkokkan laras besi yang keras.

Difahamkan, iaitu ilmu atau pengetahuannya itu pernah diturunkan kepada seorang daripada anak-anaknya yang laki-laki tetapi anaknya itu cenderung menggunakannya atau salah gunakan ilmu pengetahuannya itu kepada jalan yang salah, oleh itu hilang  pengetahuannya itu  begitu  saja.
bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 1 July 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 2): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


 Ini telah berlaku di masa yang lebih dahulu, sekarang diterangkan pula sedikit  sebanyak yang telah berlaku di masa yang lebih dekat iaitu di antara 60 dan 70 tahun yang lalu, iaitu kisah-kisah beberapa keluarga yang telah datang atau berhijrah di Lambor Kiri lalu berkahwin dengan perempuan-perempuan atau gadis-gadis tempatan beranak-cucu dan mereka langsung berputus dengan kaum keluarga mereka tinggal di tempat mereka asal.  Mereka itu di antaranya ialah:-

(1)               Orang Tua – Tok Omar- berasal daripada Terengganu.  Dua kali kahwin dengan orang tempatan dan dengan kedua isteri ada belaka beranak cucu yang masih tinggal di Lambor Kiri dan jua di Lambor Kanan.  Ia adalah seorang yang pandai membuat usaha berbanding dengan tenaga yang kurang sebaliknya pendapatannya yang lebih daripada orang-orang lain.  Ia menggunakan akal fikiran, masa dan cuaca yang sesuai dan tidak pula diketahui samaada dengan pengetahuan atau dengan fikiran atau dengan perhatian untuk ia memulakan usaha.  Mulanya ia turun benih semai dan selepas itu ia menajak bendangnya semasa belum atau hampir musim hujan seolahnya ia tahu bila masanya hendak turun hujan.  Ia menajak tanah pula dengan caranya sendiri iaitu ia menajak ikut jalur-jalur atau lorong-lorong dan rumput atau pokok-pokok yang ditajaknya itu maka ia sebarkan atau tindihkan ke kiri dan ke kanan diatas jalur yang tidak ditajaknya dan jalur-jalur yang lain hendak ditajaknya pun dibuatnya begitu jua disebelah jalur tanah yang hendak ditajaknya dan ditajaknya jalur yang hendak ditajaknya itu.  Maka cara menindih tanah yang tidak ditajaknya apabila sudah siap menajak dengan cara itu maka hujan pun turunlah atau masa hujan pun sampai seolah ia mengetahu masanya maka dengan turun hujan itu hapuslah kesemua bendangnya dan kesemua rumputnya atau pokok-pokok samada diatas jalur yang ditajak dan yang tidak ditajak hapuslah kesemuanya dibawah rumput yang ditajak itu lalu mati busuk dan menjadi baja.  Ia dengan serta-merta tanam padi daripada anak padi semainya.  Dengan cara ini, anak-anak padi lekas hidup dengan subur dan kelazimannya tidak payah merempih lagi sebagaimana orang lain.
Dengan cara ini, nampaknya masapun tidak terbuang dan rumput pun tidak atau kurang naik kerana anak padi dengan cepat hidup sebelum rumput-rumput mula tumbuh.  Cara ia menuai padi pun berlainan daripada orang-orang lain sebagaimana cara di masa sekarang.

            Peladang-peladang yang lain biasanya tidak mengikut apa-apa peraturan.  Mereka tajak daripada pangkal ke hujung bendang, kesemuanya seluas-luasnya.  Biasanya, mereka menajak tanah sebelum tiba hujung bendang maka rumput yang mereka sudah tajak daripada di pangkal bendang sudah balik mula hidup dan kadang-kadang pula tergendala hendak menanam padi kerana anak-anak padi belum ada sedia atau sudah rosak akibatnya padi tidak berapa menjadi dan susah pula merumputnya dengan berkehendakkan tenaga yang berlebehan apatah pula mereka mengerjakan bendang mereka dengan tidak mengikut masa yang ditetapkan dan berlawanan pula dengan keadaan musim.  Oleh itu, amatlah payahnya.  Mereka tidak mahu menjalankan fikiran atau mahu mengikut cara yang lebih senang sebagaimana cara yang diperbuat oleh Tok Omar yang telah terdahulu disebutkan.
bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA