Total Pageviews

Monday 24 February 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 8): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK

  
Dimasa tuntung bertelur, Duli Yang Maha Mulia Sultan atau anak-anak raja mewakili baginda bersama-sama pengiring-pengiring dan puteri-puteri Diraja berangkat ke Pasir Teluk setahun sekali selama beberapa hari untuk berkelah dan temasya berperang telur-telur tuntung sama-sama mereka dan menjala ikan lumba di Air Mati.

Temasya berperang telur tuntung itu biasanya diadakan di awal atau di tengah atau pertengahan musim tuntung bertelur.  Sebelum keberangkatan Duli Yang Maha Mulia atau putera-putera baginda tiba mewakilinya maka penjaga Pasir Telur itu menghimpunkan seberapa banyak telur sehingga beribu-ribu biji telur di dalam masa 4 atau 5 hari.  Telur-telur yang sudah terkumpul itu dibahagikan di antara dua pihak yang hendak mengambil bahagian, dua pihak sebelah-menyebelahi.  Ghalibnya pada esoknya selepas diadakan temasya itu maka didapati tuntung bertelur sekurang-kurangnya sekali ganda banyaknya itu jika digunakan 10,000 biji telur di dalam temasya itu pada malamnya tuntung-tuntung itu bertelur 20,000 biji telur dan jika didapati tidak begitu bermakna atau harus jadi ada orang yang belot tidak menyerahkan telur-telur itu untuk diri sendiri.  Kanak-kanak yang dapat pergi ke situ selepas berperang itu amat ria dan suka kerana dapat mengutip telur-telur yang sudah pecah tetapi isinya yang merah dapat dikumpulkan untuk dimakan atau dibuat kuih-muih.

Semasa lawatan itu juga pada ghalibnya diadakan pula temasya menjala ikan lumba-lumba di Air Mati.  Caranya dilakukan ialah dengan 10 buah sampan atau lebih.  Sampan baginda Sultan menanti di tengah air tenang (air mati) dan sampan-sampan yang lain itu berbaris di keliling dengan serentak orang-orang yang lain itu menyebarkan jala mereka masing-masing dan dengan itu ikan-ikan lumba yang tidak terkena jala-jala itu terkejut dan dengan serentak lari menuju kehaluan perahu kenaikkan baginda yang lapang.  Di masa itu baginda terus menebarkan jala kepada haluan ikan-ikan itu dan dapat tertangkap di dalam jala baginda yang teramat banyak sehingga tidak upaya bagi baginda seorang hendak menarik balik jala itu oleh kerana dipenuhi oleh ikan-ikan lumba yang banyak tertangkap itu.


bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 17 February 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 7): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



Oleh kerana air di pantai tebing Tanah Abang sekarang sudah jadi tenang dan liku disebabkan oleh air sungai tidak mengalir lagi dengan deras oleh sebab sudah dipesongkan menuju ke tebing ke sebalah kiri maka pasir dan serta aneka sampah-sarap yang dihanyutkan daripada hulu sungai tidak lagi terus dibawa air ke hilir tetapi kebanyakkannya tenggelam saja di hulu tebing Tanah Abang dengan tidak berapa lama maka hulunya telah jadi sebu dan selepas beberapa kali air sungai banjir maka tanah di situ semakin lama semakin tinggi sehingga dapat ditanam cucuk dan dapat dijadikan kampuxng. Apabila di sebelah hulu sungai di situ telah sebu (tidak lagi diikuti air) maka lingkungan air Sungai Perak di sebelah hilir telah jadi tasik (air mati) dan tempat itu dinamakan Air Mati sebagaimana sekarang ini.  Di sebelah tebing yang ke sungai di sebelah itu yang dahulunya sebahagian daripada tebing sebelah kiri sungai iaitu Kampung Kuchai, Lambor Kiri sudah berpasir atau tumbuh pasir serta jadi sebahagian sebelah kanan kerana sudah bercerai dengan tebing sebelah kiri – Pasir Teluk sekarang- yang menganjur ke sungai.

Maka apakala telah menjadi begitu keadaannya sebagaimana diriwayatkan maka dizaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Ismail (1871-1874) beberapa banyak anak-anak ikan lumba-lumba telah dibawa daripada tempat lain dan dicurahkan ke dalam tasik (air mati) untuk dibiakkan di situ.  Beberapa banyak tuntung pula telah dibawa dan dipilihara sebelah pasir yang sekarang dipanggil Pasir Teluk.  Apabila anak-anak tuntung itu telah besar berumur lebih kurang setahun anak-anak tuntung itu dilepaskan ke sungai pasir itu.  Tuntung-tuntung itu hilir ke laut untuk mencari makan tetapi apabila mereka sudah cukup besar dan hendak bertelur mereka mudik balik setahun sekali di tempat asal iaitu di tempat dipelihara mereka tempoh hari dan menetas anak-anak di situ dan anak-anak tuntung itu pun kelak akan mudik juga apabila hendak bertelur.  Pada umumnya tidaklah diketahui samada kejadian itu kejadian semulajadi mereka ataupun dengan sebab berkuasa ataupun berpawang.

Selepas itu ikan lumba-lumba menjadi-jadi di Air Mati dan tuntung bertelur di Pasir Teluk semakin lama semakin banyak di zaman itu iaitu di zaman antara 60 atau 70 tahun dahulu sehinggakan didalam lingkungan Air Mati di malam hari boleh didengar semacam ribut kerana ikan-ikan lumba itu berlumba-lumba bermain-main, melompat hingga diatas air bersuka-ria.  Di sebelah Pasir Tumbuh pula sebagaimana yang terdahulu disebutkan ibu-ibu tuntung itu mudik setahun sekali untuk bertelur dan oleh kerana sudah biak sangat jadinya hingga beratus-ratus tuntung itu naik ke darat ke atas pasir bertelur di dalam semalam di masa tuntung-tuntung itu sibuk bertelur.  Di masa itu kedua tempat itu iaitu di dalam lingkungan Pasir Teluk dan Air Mati dijaga rapi oleh wakil-wakil Duli Yang Maha Mulia Sultan dan sekelian sampan-sampan tidak dibenarkan hilir dan mudik atau melalui lintas kawasan Pasir Teluk terutama pada waktu malam hari.


bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 10 February 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 6): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK

   

Sebagai kelaziman di mana ada pasir di sebelah tebing sungai seperti di Pasir Tok Jom sentiasalah itu menjulur ke tengah sungai dan lama kelamaan, tempat itu menjadi tanjung atau bertanjung dan tebing seberangnya iaitu Kampung Sedengka sentiasa rebak tebingnya jatuh ke sungai dan lama kelamaannya tebing yang rebak itu semakin lama maka semakin dekat hampir dengan makam Al-Marhum Tanah Abang yang sedikit sebelah hilirnya.  Oleh itu, ditakuti pula makam itu jatuh ke sungai.  Oleh yang demikian, sebagaimana yang diriwayatkan iaitu di zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Ismail yang singkat dahulu ataupun sebelumnya maka ikhtiar telah dijalankan untuk menyelamatkan makam itu iaitu di masa yang sudah hampir seratus tahun.

Di masa itu masih ada lagi adat kerah iaitu mengerah rakyat jelata bekerja dengan tidak bergaji atau dibayar upah.  Rakyat jelata telah dikerah oleh Allahyarham Tuan Sheikh Muhammad Taib iaitu seorang yang ternama dan termasyhur di masa itu untuk mengorek atau mengali pasir besar untuk dijadikan terusan atau tali air (canal) di tebing sebelah kiri Sungai Perak iaitu di hujung Pasir Tok Jom di sempadan Kampung Kucai, Lambor Kiri untuk mengubah arusan sungai.  Setelah dikorek taliair itu, maka air Sungai Perak pun dilepaskan ke terusan itu menuju ke sebelah pantai sungai disebelah kiri.  Dizaman itu, Sungai Perak belumlah sebegitu luas sebagaimana sekarang ini tetapi lebih deras airnya.  Di masa yang terkemudian daripada itupun semasa saya kecil lagi di antara 60 dan 70 tahun dahulu di seberang kampung saya Lambor Kiri iaitu di seberang sungai kampung saya iaitu Lambor Kanan ada seorang namanya Kulub Bingung.  Apabila kami di sebelah Lambor Kiri melihatnya turun ke sungai pada pagi atau petang hari kami suruh ia menyanyi.  Oleh sebab keadaannya itu bingung sebagaimana namanya ia selalu terus menyanyi di antara lain nyanyiannya ialah “Allah Wali Wa Nikmat Wali” apa erti atau maknanya tidaklah kami ketahui tetapi apa yang dimasudkan ialah di masa itu orang-orang di sebelah sungai sini boleh bercakap dengan orang-orang di sebelah atau di seberang sana yang bermakna Sungai Perak di zaman itu tidaklah luas sangat sebagaimana sekarang.  Saya mengigatkan sejarah ini kerana ada bersangkut dengan sejarah kampong saya Lambor Kiri.  Sebagaimana yang saya akan terangkan di bawah atau terkemudian ataupun terdahulu daripada ini.

Selepas sahaja air Sungai Perak di situ di lepaskan mengalir melalui terusan atau parit besar (canal) yang telah digali di Kampung Kuchai sebelah kiri mudik Sungai Perak dalam mukim Lambor Kiri itu, maka air yang mengalir Sungai Perak tebing Tanah Abang yang jadi air mati sekarang telah jadi tenang disebabkan liku.  Sebelum itu airnya sangat deras dan dalam sehingga di satu tebing di antara Kampung Sedengka sebelah hulunya dengan Tanah Abang sebelah hilirnya ada satu lubang yang amat dalam airnya berpusing-pusing di tengah-tengah sungai di situ.  Ada pula satu teras tunggul kayu besar atau turus kayu besar dan di zaman itu orang hilir mudik bersampan takut berperahu dekat ke situ kerana takut tertarik masuk lingkung air pusing itu atau terlanggar kepada tunggul yang besar itu dan karam di situ.





bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 3 February 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 5): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK




Dan lagi harus jadi ada pula setia sulit di antara mereka kedua oleh kerana keadaan di zaman dahulu sebelum negeri itu bernaung dibawah Kerajaan Inggeris maka Al-Marhum-Al-Marhum Sultan-Sultan Perak yang terdahulu bersemayam di sebelah tebing Sungai Perak sebelah kanan mudik.

Satu lagi riwayat yang lain mengatakan iaitu oleh kerana Tun Khamis anak Bahta dan Sultan Mudzaffar Shah anak seorang putera Raja Chulan yang lain maka mereka kedua adalah cucu kepada Raja Chulan dan oleh kerana Tun Khamis terlebih tua dan ialah terlebih dahulu pergi membuka negeri Perak dan sedikit masa menjadi pemerintahnya sebelum Raja Mudzaffar Shah (Sultan yang pertama) dijemput dan ditabalkan sebagai Sultan maka itulah asalnya dipanggil Tanah Abang atau Negeri Abang.

Maka yang benar daripada riwayat ini tidaklah dapat ditentukan dengan jelasnya bagaimanapun oleh kerana makam Al-Marhum itu hingga masa ini terkenal dengan “Al-Marhum Tanah Abang” maka tentulah bersangkutan dengan negeri ini.

Tanah Abang di zaman Al-Marhum Sultan Mudzaffar Shah (Al-Marhum Tanah Abang) diantara 450-500 tahun dahulu di kawasan Air Mati sekarang ini ialah Sungai Perak yang dimaksudkan di sini ialah sungai yang sekarang sudah menjadi air mati (bukan kampungnya) yang sebenarnya Tanah Abang ialah tempat atau Kampung Air Mati yang ada sekarang tetapi tempat makam Al-Marhum Tanah Abang yang masih dikenal dengan nama Tanah Abang juga.

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh orang-orang tua yang dahulu, Makam Al-Marhum Tanah Abang di masa itu adalah di tepi tebing Sungai Perak (tetapi sekarang didalam lingkungan Kampung Air Mati).  Disebelah hulu Tanah Abang adalah sebuah kampong bernama Sedengke dan di seberang Kampung Sedengke ialah Pasir Tok Jom namanya.  Tok Jom barang kali adalah nama orang tua atau ketua yang membuka tempat itu dan tempat itu dinamakan mengikut namanya oleh pengikut-pengikutnya.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA