Kejadian ini
telah membangkitkan banyak ketegangan Ibu Pejabat Perubatan di Taiping dan
memberi peluang kepada Kerani Besar di Ibu Pejabat itu membuat bermacam-macam
soalan diantaranya:-
“Di dalam masa
selama itu tidakkah pernah Penolong Pegawai Perubatan Kampar melawat atau pergi
melihat tempat petangkuk atau tempat penakung air hujan yang disukat hari-hari.”
Doktor Kassim Penolong Pegawai Perubatan menjawab
di antara perkara lain iaitu:-
“Yes, the rain
gauge is situated in a line with a pannangkottai tree in front of my house. I mean within the circuit of my daily
rounds”. “ Ya, tempat penakung air hujan
(rain gauge) itu letaknya adalah sejajar atau sebaris dengan pokok pannangkottai
di hadapan rumah saya duduk, saya maksudkan tempat itu saya lawat hari-hari”.
Apabila jawapan
itu diterima di Ibu Pejabat Perubatan, apatah lagi diibaratkan sebagai memukul
sarang tebuan. Kerani Besar di Ibu
Pejabat itu telah menulis tujuh muka kertas “minute Sheets” yang ditandatangan
pula oleh Tuan Pegawai Kanan Perubatan, “Senior Medical Officer Perak”
(sekarang S.M.H.O.). Tetapi tuan itu
menambah sendiri dengan tulisannya mengarah supaya Doktor Dive Pegawai
Perubatan Batang Padang sendiri pergi ke Kampar untuk membuat siasatan.
Tuan itu dengan
mengejut telah datang ke Rumah Sakit Kampar pada satu hari untuk menyiasat dan
kami telah disiasat berjam-jam.
Sesudahnya, iapun garu kepala kerana tidak erti apa yang dihebuhkan
kerana banyak perkara yang dibangkitkan itu tidak kena mengena langsung atau
tidak bersangkut-paut dengan perkara return timbang atau ukuran air hujan yang
menjadi punca siasatan itu. Cuma
nampaknya kepadanya perkara itu lebih perkara peribadi “personal”. Apabila ia telah bangkit hendak pulang ke
Tapah, ia bertanya apa itu “Pannangkottai Tree”. Doktor Kassim menjawab sambil menunjukkan
pokok itu di hadapan tempat ubat dispensary “That palmeira tree Sir”. Doltor itu bertanya mengapa tidak tulis terus
begitu. Doktor Kassim menjawab katanya
“That name is better known to these people” nama itu lebih dikenali oleh
orang-orang itu. Doktor itu kata lagi,
“harus jadi dengan sebab itu menjadi pergaduhan itu.” Katanya lagi di masa hadapan apa teguran atau
arahan daripada Ibu Pejabat hendaklah dijawab “sudah ambil ingatan, untuk
panduan di masa hadapan. (Noted for
future guidance) “. Sambungnya lagi, ia
akan jawab menamatkan perkara itu. Apa
jawapannya kepada Ibu Pejabat tidak kami ketahui kerana fail berkenaan dengan
perkara itu dibawanya balik ke pejabatnya di Tapah. Bagaimanapun, selepas itu tidaklah lagi
perkara itu berbangkit dan perjalanan pejabatpun berjalanlah sebagaimana yang
sepatutnya.
|
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment