Total Pageviews

Monday 26 August 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 11): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


(7).    Seorang lagi namanya Ngah Manah binti Sheikh Mohamad Taib iaitu anahanda yang kedua kepada Allahyarham Tuan Sheikh Mohamad Taib yang termasyahur di masa dan selepas peperangan Perak dengan Inggeris 1874 terutama di zaman Tuan Sir Hugh Low, Resident  British yang ketiga pemerintahan negeri Perak tidak berapa lama lepas perjanjian (treaty) Pangkor 1874.

(a)  Anahanda Tuan Sheikh Mohamad Taib yang pertama Long Aminah berkahwin dengan Al-Marhum Raja Muda bergelar Toh Puan Besar Aminah ialah bonda kepada Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abdul Aziz Al-Muktasim-billahi Shah (Al-Marhum Nikmatullah) Sultan Perak yang ketiga puluh satu dan ninda kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda ibni Al-marhum Sultan Abdul Aziz iaitu Raja Muda Negeri Perak sekarang.

(b)  Anahanda Tuan Sheikh Mohamad Taib yang ketiga ialah Allahyarham Dato Haji Ahmad, orang Kaya Syahbandar Negeri Perak.

(c)  Bagaimana pula anahanda yang kedua Ngah Manah telah berkahwin dengan Pandak Kasim Lambor Kiri, adalah takdir tuhan yang pertemuan, pencarian, ajal maut kesemuanya di bawah takdirnya.  Anak-anak cucu dan zuriat mereka adalah ramai di Lambor Kiri.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri

HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 19 August 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 10): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


Beberapa kisah lagi dapat dirakamkan berkenaan dengan kisah orang- orang daripada negeri-negeri atau tempat-tempat lain daripada pihak lelaki yang berpindah serta langsung beranak cucu dan tinggal jadi anak Kampung Lambor Kiri hingga masa ini.  Satu keluarga telah mengahwinkan dua anak perempuannya adik-beradik satu daripadanya dengan seorang pemuda daripada Kampar Sumatra dan yang seorang lagi dengan seorang bangsa Tionghua yang telah memeluk ugama Islam serta meninggalkan anak cucunya di sini. Saya suka pula menyambung lagi sedikit daripada pihak kaum perempuan pula diantaranya ialah:-

(6).     Seorang perempuan namanya atau dipanggil orang namanya Cina. Pada mulanya tidaklah diketahui daripada negeri mana ianya berasal.  Di masa mudanya jelita orangnya dan harus dengan sebab itu dipanggil si Cina.  Difahamkan asalnya ia adalah seorang penari ronggeng, manora, makyong dan lain-lain datang bermain di kampong ini.  Pada masa muda ia berkahwin dengan pemuda-pemuda kampung lepas seorang bercerai dan berkahwin pula dengan seorang pemuda yang lain, lepas seorang ke seorang.

Apabila ia telah berumur tua maka ia telah berkahwin dengan seorang namanya Madat bin Uda Batak (selepas mereka kedua Madat dan bapanya menunaikan fardhu haji di tanah suci Makah Al-musarrafah mereka diubah nama Haji Abdullah bin Haji Muhammad) selepas ia berkahwin yang akhir ini barulah dibawanya suaminya ke negeri tempat tumpah darahnya Sumatera dan diketahui yang ia adalah ibu saudara kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Deli Sumatera.  Semasa ia di sana ia dibenarkan oleh anak saudaranya Sultan Deli hasil negeri untuk saraannya.  Begitupun, ia tidak suka tinggal di sana lama kerana di masa itu negeri itu adalah di bawah pemerintahan kerajaan Belanda.  Rupanya ia telah lari daripada pemerintahan Belanda tempoh hari.
bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 12 August 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 9): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


(b) Satu lagi pengetahuan yang luar biasa ialah ia amat pandai mengail ikan sungai iaitu, di dalam sedikit masa saja ia boleh mengail banyak ikan.   Ikan yang dikailnya itu biasanya ialah satu macam atau jenis ikan saja iaitu ikan baung yang amat lemak dan sedap digulai dengan tempoyak atau dipanggang.  Ikan-ikan ini biasanya berhimpun didalam satu lubuk.  Mata kailnya tidak tenggelam jauh ke bawah air sebab diikatkannya kepada ???? yang lebih kecil daripada tuntung.  Apabila dapat dikailnya seekor ikan itu maka ia potong ekornya dan dilepaskan balik ke sungai.  Selepas itu, ikan itu yang lain bertalu-talu menyambar kailnya memakan umpannya apabila saja kailnya itu dilemparkan balik ke sungai.  Ia bertalu-talu akan melemparkan kailnya sehingga dapat kembaIi ikan yang mula tadi yang telah dilepaskan balik ke sungai dengan tanda ekornya yang sudah terpotong itu berkerat yang menandakan semua ikan tu yang ada dilubok itu sudah habis maka baharu ia berhenti mengail di situ.  Jika mustahak ia pergi pula ke lubok yang lain.

      Tidaklah diketahui rahsianya sama ada ia ada memakai umpan yang istimewa atau pakai ilmu jampi selepas balik melepaskan balik ikan yang pertama itu atau ilmu yang lain dan tidak pula diketahui sama ada ilmu itu telah diturunkannya kepada orang lain atau dapat pengetahuan atau ilmu itu daripadanya oleh anak-cucunya.  Bagaimanapun, pada zahirnya tidaklah ada orang lain yang memakai dua ilmu itu.  Oleh itu, ilmu itu hilangnya begitu sahaja oleh kerana ilmu-ilmu orang-orang tua dahulu tidak diturunkan kepada anak-cucu mereka dan tidaklah pula ada orang atau sukar mencari orang yang boleh menulis untuk mengambil iangatan bagi masa itu.

      Diriwayatkan yang ganjil nya daripada harga-harga jualan ikan-ikan itu ia tidak boleh simpan tetapi hendaklah dihabiskan hari itu jua oleh itu ia tidak boleh senang dengan pencarian itu.   Oleh yang demikian, ia terpaksa berikhtiar cara lain cara hidup sebagai cara biasa diperbuat di kampong iaitu dengan bercucuk tanam dan sebagainya

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 5 August 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 8): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK

(5).       Seorang lagi yang lain namanya Alang Karim bin Dimin demikian jua ia bukannya orang daripada negeri lain tetapi daripada jajahan ini jua di Mukim Lambor Kiri daripada Kampung Bagung namanya yang telah berkahwin di Lambor Kiri dan mininggal anak-cucu di situ.  Sungguhpun begitu, ia ada mempunyai dua pengetahuan yang luar biasa.

(a)  Ia boleh berjalan kaki amat cepat dan pantas.  Jika diperhatikan, ia berjalan nampaknya singkat tetapi cepat dan pantas sebagaimana Sintaro didalam cerita atau lakunan Samurai cerita Jepun di dalam televisyen.

Pada satu masa kira-kira lebih daripada 60 tahun dahulu ia diupah oleh satu keluarga di Lambor Kiri untuk pergi ke Jerlun atau Manong, Kuala Kangsar (saya kurang ingat)  untuk menyampaikan perkhabaran satu kematian kepada seorang waris simati yang telah berhijrah ke sana kerana di masa itu adatnya mayat seorang yang mati tidak dikebumikan hingga waris-warisnya tiba untuk perjumpaan yang akhir.  Di masa, belum ada jalan enam kaki atau jalanraya terus menerus.  Ia terpaksa berjalan kaki meredah kampong dan hutan belantara di setengah tempat di jalan.  Ia bertolak pada pagi hari di antara pukul 5 dan 6 pagi dan balik daripada sana pada jam 2 tengah-hari itu selepas berjumpa dengan orang itu dan membawa perkhabaran atau pesanan daripada waris simati itu meminta nanti hingga pukul 6 petang dan jika ia tidak sampai hingga masa itu bolehlah ditanam mayat saudaranya itu.  Sebetulnya, orang itu dengan gopoh-gapah telah sampai sebelum itu.  Bagaimana ia boleh pergi dan balik sebegitu jauh di dalam masa beberapa jam saja dengan berjalan kaki adalah menghairankan.

      Diceritakan ia boleh berjalan begitu cepat dan pantas sehingga apabila hendak berhenti dicarinya tempat yang tidak ada orang lain di tempat yang ada pokok (junjur??) di tepi jalan itu untuk ia bertahan ke pokok kayu itu bila ia hendak berhenti.  Tidaklah diketahui bagaimana ia boleh berjalan begitu cepat samada ia memakai ilmu atau dengan cara berlatih dirinya.
bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA



Catatan:  Minggu ini dua entri, bersama dengan yang sebelum entri ini.

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 7): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


Berbalik kepada riwayat Tok Dalil tadi boleh dikatakan nakal orangnya.  Jika ia adalah seorang budak-budak, saya berkata begitu ialah oleh kerana satu kejadian yang dilakukannya disatu tempat dan di satu masa kemudian daripada itu.  Masanya ialah didalam tahun 1907 atau 1908 dan kejadian itu berlaku di Kampung Kuchai di Lambor Kiri.  Tetapi kali ini bukanlah menakutkan budak-budak kecil sebagaimana di masa-masa yang lain, bahkan orang-orang tua pula.  Kejadian ini dilakukannya di dalam istiadat satu perkahwinan di antara dua keluarga di Lambor Kiri.  Kedua pihak iaitu pihak laki-laki dan jua pihak perempuan terlebih dahulu telah bersetuju iaitu pihak lelaki akan membayar wang belanja hangus semasa dijalankan istiadat akad nikah dan belanja tubuh (mahar) berhutang atau bertempoh ke satu masa yang dijanjikan.  Adat ini selalunya berlaku di kampong-kampung.  Kenduri besar-besaran telah dijalankan oleh pihak perempuan dengan memotong kerbau untuk jamuan bagi tamu atau orang-orang jemputan.  Tok Dalil berangkali telah tahu hal perjanjian itu tetapi apabila istiadat akad nikah sedang dijalankan, wang belanja hangus telah ditunaikan oleh pihak lelakidan mempelai lelaki sedang berjabat tangan dengan Tok Naib Kadi yang menjalankan istiadat itu sebelum mempelai laki-laki melafazkan lafaz ijab kabul maka Tok Dalil telah datang meminta penjelasan samaada wang belanja tubuh (mahar) sudah dijelas tidak, hubungannya lagi ia sekali-kali tidak bersetuju anak saudaranya iaitu pengantin perempuan dikahwinkan dan ia terus menahan perkahwinan itu tidak diteruskan.  Sebelum itu, pintu naik ke rumah tempat bersanding telah ditutupnya.  Oleh itu, maklum sajalah pihak pengantin lelaki telah berasa amat malu dan pengantin lelaki pula sudah tidak ingatkan diri serta mencabut keris hendak mengamuk kerana malu yang amat sangat (saya kata bergitu kerana jika dikatakan kerana kemaluan yang amat besar atau amat besar kemaluannya maka harus jadi lain maknanya)

            Peristiwa itu telah membangkitkan huru-hara dan kelam kabut dan dengan serta-merta sekelian terutama budak-budak dan perempuan-perempuan samada daripada pihak laki-laki yang datang dan jua pihak pengantin perempuan yang menanti semuanya cabut lari meninggalkan tempat perkahwinan itu dan tidak ada tinggal lagi orang yang hendak dijamu daripada persiapan yang begitu besar.  Nasib baiklah juga didalam masa kelam kabit itu, kedengaran suara kakak pengantin laki-laki mengatakan yang ia ada membawa cukup wang bagi bayaran wang mahar itu.  Oleh itu perkahwinan itu diteruskan jua.  Dengan berkat Allah subha-nahu wa-taala sehingga masa ini telah menjadi satu keluarga yang ramai anak-anak cucu.  Saya di masa itu adalah bersama tetapi tidak berani hendak lari jauh daripada situ kerana takut sesat dan nampaknya pun jauh daripada tempat saya duduk tetapi malang tidak dapat makan kenduri oleh kerana masing-masing telah pulang ke tempat masing-masing.  Oleh itu sayapun pulanglah dengan perut yang kosong.  Itupun saya bernasib baik kerana saya dapat kawan untuk bersama pulang ke hilir balik ke rumah saya.

 Saya tidak tahu adakah daripada anak-anak cucu Tok Dalil yang berbakat atau mengikut jejak-langkahnya dan jika adapun saya rasa tidak lagi begitu ngeri lagi sebagaimana di masa kami kecil 60-70 tahun dahulu yang pemandangan kami masih sempit kerana di masa sekarang keadaan sudah berubah dan kanak-kanak sekarang sudah luas pemandangan dan pendengaran mereka tidak takut apa-apa ugutan.

            Di masa kami kecil dahulu. Oramg-orang tua suka menakutkan budak-budak kecil untuk muslihat misalnya duduk petang bila hari hendak malam senjakala masanya kanak-kanak suka atau berleka bermain-main dihalaman rumah.  Bila mereka disuruh naik ke rumah banyak yang berdegil kerana mereka masih lagi asyik bermain.  Oleh itu, orang-orang tua berkata “anak kome (kamuma) naik ke rumah sudah senjakala, takut gongok alin (setengah orang berkata jambit air) merah mata nya.
           
            Terkadang kebetulan pula di masa itu riang rimba (sejenis binatang teriang yang kecil tetapi besar berbunyinya) berbunyi kerana hari hendak malam.  Orang-orang tua kecutkan budak-budak katanya, “Kamu pergi ke hulu, budak-budak tidak ada di sini.”

            Muslihatnya ialah di waktu senjakala (hendak malam) sekelian kala lipit, ular dan binatang-binatang yang menyepit keluar daripada tempat mereka tinggal.  Oleh itu, merbahaya kepada kanak-kanak kerana takut atau harus kena sengat binatang-binatang itu.

            Selepas masing-masing telah besar dan dewasa barulah masing-masing tahu iaitu yang dikatakan gongok alin mata merah itu adalah sejenis nyamuk atau agas tidak besar daripada nyamuk tiruk tetapi merah sayap dan matanya yang kanak-kanak amat takuti.  Satu kejadian tuhan yang begitu kecil!  Bagaimanapun, kami adik-beradik tidaklah pernah ditakuti oleh orang-orang tua kami.  Oleh kerana kami selalu tidak pernah berdegil.
bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA