Total Pageviews

Monday 26 October 2015

GURU-GURU UGAMA KERAJAAN (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Sebagaimana yang saya telah sebutkan semasa saya baharu bekerja di Pejabat Ugama Perak, guru-guru ugama belum lagi mendapat pindaan tangga gaji baharu dan tidaklah atau belumlah ada ura-ura pun hendak dipinda.
      Pihak guru-guru Quran atau guru-guru ugama kerajaan dimasa itu yang diketuai oleh Encik Sapari Ketua Guru Pelawat mereka telah meminta saya pula untuk merekakan sepucuk surat rayuan diatas perkara itu kepada Kerajaan Perak - keadaan mereka adalah amat berlainan dan gaji mereka rendah pula, sebagaimana yang telah disebutkan $8.00 dan $15.00 saja pada sebulan. Oleh itu amatlah payah hendak memperbuat bandingan tetapi oleh kerana saya baharu sahaja bersara daripada Jabatan Pelajaran Perak saya telah dapat menggunakan pengelaman saya semasa dipejabat itu dengan membandingkan gaji-gaji guru ugama dimasa itu dengan gaji-gaji yang dibayar oleh kerajaan kepada guru bangsa Cina dan guru bangsa India yang mengajar bahasa mereka masing di sekolah-sekolah  mereka dan bantuan oleh kerajaan 'Aided Schools' sambil merayu iaitu guru-guru sekolah-sekolah Ugama Islam iaitu Ugama Rasmi negeri ini mengikut Perlembagaan amat jauh tertinggal kebawah daripada guru-guru bangsa asing yang setaraf.    

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA
 
Entry - 207

Monday 19 October 2015

GURU-GURU UGAMA KERAJAAN (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Saya berasa insaf memikirkan keadaan mereka sudah pula gaji kecil susah pula mendapatnya. Oleh itu saya sendiri gaduh dengan Setiausaha Quaran dimasa itu bagi pihak guru-guru itu - kata saya diantara lain mereka kebanyakkannya mengajar dimerata tempat didalam jajahan ini dan jauh daripada pejabat tempat mereka merima gaji mereka dan jika mereka berupaya berjalan kaki sekalipun begitu jauh, mereka tidak boleh berenang sungai untuk pergi ketempat mereka menerima gaji itu dan terpaksa bayar tambang sampan menyeberang dan hendak makan dijalan pula. Jika mereka terpaksa berulang alik baharu dapat menerima gaji mereka apa yang ada tinggal daripada gaji mereka yang bergitu rendah ( $8.00 dan $15.00). Selepas gaduh itu baharulah wang gaji itu datang pada hari biasa bagi orang-orang lain menerima gaji bulan. 


bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 12 October 2015

GURU-GURU UGAMA KERAJAAN (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

         Saya juga masih teringat disatu masa yang lain saya terpaksa membela mereka (guru ugama).  Dimasa itu saya berkerja di pejabat Pegawai Daerah dan gaji mereka itu pun dibayar menerusi pejabat itu.  Biasanya guru datang untuk menerima gaji bulan pada hari kaki-kaki tangan pejabat yang lain menerima gaji mereka diakhir tiap-tiap bulan itu.  Selalunya wang atau cek-cek bagi guru itu belum diterima dimasa itu.  Oleh itu mereka terpaksa balik ke kampung masing-masing ditempat mereka mengajar.  Selepas seminggu daripada itu datang pula mereka sekali lagi dan dimasa itu pun belum jua wang gaji mereka diterima daripada ibu-pejabat mereka. Mereka kali ini pun nanti sehari dua dan tidak juga sampai.  Oleh itu mereka terpaksa jua balik ke kampung mereka dengan hampa tangan sekali lagi dan kali yang ketiga selepas itu harus mereka dapat menerimanya,    

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA