Total Pageviews

Monday 17 March 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 11): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



Kampung Telok Bakong di sebelah kanan dinamakan Telok Bakong kerana dizaman dahulu di situ berteluk dan di seberangnya ialah Kampung Bakong tetapi sekarang ini telah terbalik keadaannya kerana Kampong Bakong di sebelah kiri telah berteluk.

Kejadian ini telah berjalan hampir 100 tahun.  Pada awalnya tanah rebak atau runtuh ialah tanah rizab sungai yang seluas dua rantai daripada tebing dan kubur-kubur orang-orang tua dahulu kala yang ada di masa itu di merata-rata tepi tebing di situ telah dipindahkan oleh waris-warisnya simati ke tanah wakaf perkuburan orang-orang Islam.  Setelah habis tanah rizab sungai maka rebaklah pula tanah kepunyaan penduduk-penduduk kampong iaitu tanah yang ada bergeran sehingga habislah pula tanah-tanah itu jatuh ke sungai dan tinggallah gerannya saja pada tuan punya tanah-tanah itu. 

Jika dihitung satu depa saja tanah itu rebak setahun telah jadi hilang tidak kurang daripada seratus depa yang jauhnya daripada Kampung Kuchai di sebelah hulu hingga ke Kampung Tua Lambor Kiri tanah yang telah ditelan oleh sungai sebagaimana pepatah orang-orang tua yang telah disebutkan terlebih dahulu “sekali bah sekali pantai berubah”, tetapi sekadar berubah tidaklah mengapa kerana ada tukar gantinya.  Di sini gantinya bertambah di tebing sebelah kanan sungai di dalam mukim yang lain dan rebaknya sebagaimana disebutkan terlebih dahulu kerana didapati di Kampong Tua pusaka nenek moyang kami apabila sepokok durian tua kami yang dipanggil “Buluh Pelang” (sebab berdekatan dengan seperdu buluh pelang) jatuh ke sungai maka rebak bersamanya berpuluh-puluh depa tanah yang ada di sekelilingnya.  Perubahan di tepi sungai di situ adalah begitu cepat sehingga saya tidak ingat di mana saya hendak singgah apabila balik ke kampong dengan sampan selepas beberapa tahun saya tidak balik ke kampong.

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA
Catatan: 
Dengan hormaynya dimaklumkan selepas 143 terbitan, mulai minggu hadapan Blog Al-Lamborri akan bercuti selama empat minggu. Insyaallah jika panjang umur, murah rezeki dan ada keupayaan bertemu kembali diminggu kelima. Terima kasih kerana sudi membaca 

Monday 10 March 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 10): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK


Berbalik kembali kepada riwayat arus air Sungai Perak yang telah diubah dan dilepaskan melalui terusan atau taliair besar yang telah digali atau dikorek sebelah kiri Sungai Perak di Kampung Kuchai di dalam Mukim Lambor Kiri tempoh hari, maka oleh kerana airnya amat deras dan dalam maka dalam sedikit masa saja sungai di situ semakin luas kerana tebingnya semakin rebak lebih-lebih lagi selepas air bah sebagaimana pepatah orang-orang tua sekali bah sekali pantai berubah.

Di sebelah Kampung Air Mati (Tanah Abang) dan Pasir Telur di sebelah Telok Bakong di pantai sebelah kanan Sungai Perak oleh kerana air sungai yang melalui pantai di situ telah tenang maka pasir pula yang dibawa oleh sungai daripada hulu telah timbul di olak itu lalu menganjur jauh ke tengah sungai.  Pasir yang timbul itu semakin lama semakin tinggi terutama selepas air bah.  Tidak beberapa lama tumbuh pula pokok kayu di atas pasir itu jadi tanah dan akhirnya boleh dicucuk-tanam dengan pokok buahan dan pokok getah.  Tempat itu sudah jadi tanjung dan langsung dinamakan Kampung Tanjung dan dengan kejadian itu Mukim Lambor Kanan telah dapat sebuah kampong baharu yang luas.  Masih diingati lagi di masa tempat itu semata-mata pasir.

Keadaan ini akibatnya amat buruk kepada pantai tebing kampung seberangnya di sebelah kiri Sungai Perak daripada Kampung Kuchai sebelah hulunya hingga Kampung Tua Lambor Kiri sebelah hilir kerana semenjak itu pantai tebing sungai sebelah kiri sentiasalah rebak tanahnya jatuh ke sungai lebih-lebih lagi di lingkungan Kampung Bharu kerana di seberang kampong itulah di sebelah kanan sungai sebagaimana telah disebutkan telah muncul sebuah kampong baharu yang dinamakan Kampung Tanjung yang sentiasa bertambah menganjur jauh ke tengah.  Oleh itu, air sungai di situ lebih deras airnya menuju ke kampong disebelah kiri yang mana tanahnya lebih rendah daripada tempat-tempat lain.
 

bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA


Catatan: 

Nama Kampung Ayer Mati telah bertukar nama kepada Kampung Padang Marhum sejak tahun 70an maklumat daripada Encik Shaudin (shaudin)

Monday 3 March 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 9): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK

 
Pada masa yang akhir ini difahamkan telur-telur tuntung di Pasir Telur dan ikan-ikan lumba di Air Mati tidak lagi begitu meriah sebagaimana di masa dahulu.  Ini boleh jadi disebabkan Pasir Teluk yang di masa dahulu bagitu luas dan lapang maka di masa ini dinaiki oleh pokok kayu-kayan.  Pasir itu tidak pula bertambah oleh itu tinggal sedikit sangat tempat yang ada lagi lapang untuk tempat ibu-ibu tuntung itu bertelur, oleh itu sekarang ini susah sangat mendapat telur itu untuk dimakan apatah lagi hendak mengadakan temasya di situ sebagai mana di zaman dahulu. 

Diriwayatkan satu peristiwa yang telah berlaku di Pasir Teluk pada satu malam lebih kurang 70 tahun yang lalu di waktu dini hari semasa penjaga Pasir Teluk tertidur.  Maka dua orang pencuri telah datang hendak mencuri telur tuntung.  Kebetulah di masa itu ada seekor ibu tuntung yang besar sedang bertelur.  Adatnya ibu-ibu tuntung semasa mengeluarkan telurnya tidak perdulikan sesiapa atau apa-apa pun hingga selesai mereka bertelur baharu mereka hendak lari.  Seorang daripada pencuri itu telah pergi memungut telur-telur yang telah keluar serta terus menyeluk ke dalam rongga punggung ibu tuntung itu yang sedang ternganga untuk mengambil telur-telur daripada dalam perut, atau punggung ibu tuntung yang sedang bertelur itu.  Setelah habis telur maka punggung ibu tuntung balik tertutup dan tangan pencuri terlekat di dalam lubang punggung ibu tuntung itu dan terus ditarik oleh ibu tuntung itu ke dalam sungai yang pencuri itu tidak berupaya sama sekali manahankan oleh sebab sangat kuat tarikan tuntung itu.  Aapabila mereka kedua hampir tenggelam barulah datang fikiran pencuri itu hendak menyelamatkan dirinya daripada mati lemas dengan ia menerajang kakinya dengan sekuat-kuat hati ke punggung tuntung itu dan dengan itu iapun terselamat.

Sebaliknya pula kawannya yang tercegat tunggul di atas pasir di atas tebing usahkan hendak menolong dalam kejadian itu tetapi ia berdekah-dekah gelak-ketawa yang amat sangat kerana suka sangat melihat keadaan yang ganjil yang terjadi ke atas kawannya itu sambil ia berkata, “rasakan kamu hakap sangat tak sabar”.  Rupanya oleh sangat amat gembira ia terus mati terdiri di situ.  Demikianlah halnya kudrat iradat dan takdir tuhan azzawajalla keatas hambanya yang di dalam merbahaya dapat terselamat dan yang tidak ada apa-apa merbahaya pula menerima ajal kerana sudah sampai masanya.  Samada cerita ini benar atau tidak, maka tidaklah diketahui tetapi bolehlah dijadikan beberapa pelajaran atau pengajaran daripadanya. 
  
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA