Total Pageviews

Monday 28 October 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 2): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Apabila Al-Marhum Sultan Jaafar Muazam Shah mangkat di dalam tahun 1865 maka Raja Muda Ali telah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang kedua-puluh empat.  Paduka Seri Sultan Ali Al-Mukamil Inayat Shah (1865-1871) dan Raja Muda Abdullaj, putera sulung Sultan Jaafar Muazam Shah sepatutnya dilantik sebagai Raja Bendahara tetapi oleh kerana Raja Ismail, Raja Bendahara tidak boleh dinaikkan kepada gelaran Raja Muda sebagaimana yang telah dijelaskan, maka Raja Abdullah terus menjadi Raja Muda.  Raja Yusof dan Raja Ismail tetap dalam jawatan lama dan dengan ini Raja Yusof sekali lagi diketepikan.  Sungguhpun bagitu, tidaklah menjadi pergaduhan dan mungkin Raja Yusof tidak mahu bergaduh atau tiada penyokongnya.  Bagaimanapun, ia telah menulis kepada pihak British menceritakan hal itu dan mengugut iaitu apbila Sultan Ali mangkat kelak ia akan bertindak untuk dirinya bagi gelaran sultan sepatutnya ia yang berhak.

Sebagaimana yang diriwayatkan, Paduka Seri Sultan Ali Al-Marhum Inayat Shah yang bersemayam di Sayong Kuala Kangsar telah mangkat dalam tahun 1871.  Mengikut adat maka Raja Muda Abdullah mengambil tempat Sultan dan mengistiharkan permakaman jenazah Al-Marhum Sultan yang mangkat.

Peredaran zaman mengambil alih tidak sebagaimana yang dijangka kerana Raja Yusof tidak pula mengambil apa-apa tindakan sebagaimana yang telah diugutnya.  Ini boleh jadi oleh sebab ia tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pihak dan sebaliknya ia berdiam diri di Singgang pada hal pada kali inilah peluang ia terbuka.



bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 21 October 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Didalam masa yang bergelora di masa itu maka ketiga terpaksalah bersama-sama bertindak oleh itu peluang ini diambil untuk menyebut sedikit sebanyak riwayat Negeri Perak yang berlaku di masa itu terutama yang bersabit dengan perkara yang menjadi perselisihan di masa itu sebagaimana yang diriwayatkan oleh orang-orang tua daripada nenek-moyang yang terdahulu dan juga daripada cerita-cerita yang lain

Mengikut adat resam dan istiadat Negeri Perak Darul Redzuan gelaran Sultan itu ialah menerusi gelaran Raja Bendahara dan Raja Muda daripada tiga keluarga.  Apabila seorang Sultan mangkat, maka Raja Muda dengan persetujuan Orang-orang Besar akan ditabalkan menjadi Sultan maka Raja Bendahara pula akan naik kepada gelaran Raja Muda dan putera baginda Al-Marhum yang sulung akan dinaikkan jadi Raja Bendahara daripada gelarannya Raja Di Hilir dan dengan yang demikian putera sulung Sultan yang baru ditabalkan kelak akan mengambil tempat sebagai Raja di Hilir.  Sekiranya putera sulung itu difikirkan oleh Orang-orang Besar Negeri tidak layak oleh satu-satu sebab, maka ia akan diketepikan.  Satu lagi syaratnya adalah gelaran itu dipilih daripada waris-waris Diraja daripada keturunan pihak lelaki.

Adat atau peraturan ini akan memberi peluang iaitu seorang Sultan itu ialah seorang yang telah berumur tua oleh kerana ia akan memegang dua jawatan atau gelaran sebelum ia dilantik atau ditabalkan menjadi Sultan.  Ini akan membolehkan bakal-bakal Sultan mendapat pengetahuan yang penting di dalam menjalankan kewajipannya kelak sebagai seorang pemerintah.  Ada juga tidak baiknya yang boleh menyebabkan seorang itu boleh diketepikan (passed over) sebagaimana yang telah terjadi kepada Raja Yusof dan Raja Abdullah.

Sebagaimana yang diriwayatkan iaitu kejadian itu berpunca selepas kemangkatan Al-Marhum Sultan Abdullah Muhammad Shah, Sultan Perak yang kedua-puluh dua (1841-1850) Al-Marhum Durian Sebatang di dalam tahun 1850.  Mengikut adat, maka Raja Yusof, Raja di Hilir, putera sulong kepada Al-Marhum yang baru mangkat sepatutnya dilantik menjadi Raja Bendahara.  Sebaliknya, Raja Muda Jaafar yang baru ditabalkan sebagai Sultan yang kedua-puluh tiga – Paduka Seri Sultan Jaafar Muazam Shah (1850-1865) tidak bersetuju dengan Raja Yusof dilantik sebagai Raja Bendahara kerana pergaduhan di antara mereka berdua semasa pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Syah (ayahanda Raja Yusof).  Seperkara lagi dikatakan Raja Yusof amat garang orangnya dan tidak disukai oleh ramai.  Oleh kerana halangan daripada Sultan Jaafar, maka Raja Yusof telah diketepikan.  Sebaliknya pula, Raja Ismail ibni Syed Alkhairat Siak dilantik sebagai Raja Bendahara tetapi lantikan itu ada kesulitan kerana Raja Ismail tidak boleh mewarisi takhta kerajaan Perak kerana ayahandanya daripada Siak dan bondanya saja daripada keturunan raja-raja Perak.  Kesulitan itu telah dapat diatasi dengan syarat dan penjelasan iaitu di masa hadapan Raja Ismail tidak akan boleh dinaikkan kepada jawatan atau gelaran ke atas daripada Bendahara tambahan pula di zaman dahulu pun jawatan atau gelaran Bendahara adalah dipegang oleh orang kebanyakkan daripada keturunan Megat.  

 

bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 14 October 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI: SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


BAHAGIAN YANG KELIMA


SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG
 DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI
 

Dizaman dahulu kala, diriwayatkan iaitu gelaran Toh Seri Nara Diraja dan Toh Dewa Maharaja Negeri Perak biasanya dilantik daripada satu keluarga keturunan “muntah lembu” daripada anak-anak bumiputera Lambor Kiri daripada nenek moyang kami yang sudah ramai bilangan mereka itu dan oleh kerana berpanjangan masanya berkurun-kurun maka kesemua nama mereka itu tidak lagi dapat diingati.  Pengingatan-pengingatan yang ada sudah hilang, sudah hilang semasa negeri ini dilanggar oleh askar-askar Jepun yang telah memerintah negeri ini dalam tahun 1941-1945.  Orang-orang tua yang tahu salasilahnya telah pula meninggal dunia tetapi di antaranya nama-nama mereka yang diingati ialah:-

 

1.       Toh Paduka Busu ‘Ayin (‘Ayan)

2.       Toh Nara Diraja Kukut

3.       Toh Nara Diraja Canggang

4.       Toh Nara Diraja Pandak Gelok

5.       Toh Nara Diraja Meru

6.       Toh Nara Diraja Dayan (meninggal dunia di Johor)

7.       Toh Nara Diraja Uda Masud (setelah berhijrah ke Selat Pulau)

8.       Toh Seri Dewa Maharaja Panjang Ogek

9.       Toh Maharaja Paduka Alang Abu Kassim

 
Didalam masa yang begitu panjang berkurun-kurun lamanya, maka keluarga kami di Lambor Kiri, semakin bertambah dan ramai.  Oleh itu, setengah daipada mereka itu terpaksa berhijrah ke tempat-tempat lain seperti Sayong, Singgang, Simat, Menora dan lain-lain lagi di negeri ini sehingga datuk saya sendiri iaitu bapa ibu sayapun telah berhijrah ke Selat Pulau, Hilir Perak dan setengah-setengah daripada mereka telah berhijrah ke negeri lain untuk mecari kelapangan kehidupan masing-masing.  Oleh demikian, keluarga yang biasa dipilih sebagai Toh Seri Nara Diraja dan yang lain itu terpaksalah digilirkan daripada mereka yang masih duduk di Lambor Kiri dan daripada mereka yang telah berhijrah, atau daripada keturunan mereka yang telah berhijrah ke tempat-tempat lain seperti Singgang atau Simat. Bagaimanapun didalam masa pemerintahan Al-Marhum Sultan Al-Mukamil Inayah Syah ibni Al-Marhum Sultan Shahbuddin Ra’ayat Syah ibni Syed Sheikh Al-Khairat Assiak (Sultan yang kedua-puluh lima 1871-1874) sehingga ke semasa perselisihan dengan Al-Marhum Sultan Abdullah Muhammad Syah ibni Al-Marhum Sultan Jaafar Muazam Syah Sultan yang kedua-puluh enam (1874-1876).  Maka, gelaran Seri Nara Diraja mulanya dipegang oleh keluarga yang masih tinggal di Lambor Kiri iatu Toh Seri Nara Pandak Manan dan menantunya Panjang Ogek sebagai Toh Maharaja Paduka.  Apabila Toh Seri Nara Diraja Pandak Manan meninggal dunia di masa pemerintahan Al-Marhum Sultan Ali, maka temparnya diganti oleh Toh Seri Nara Diraja Dayan daripada keluarga yang tinggal di Lambor Kiri.



bersambung



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Selamat menyambut Aidiladha

Monday 7 October 2013

PERPISAHAN ANAK-ANAK KAMPUNG KE LAIN-LAIN TEMPAT UNTUK BERKHIDMAT DIDALAM JAWATAN KERAJAAN ATAU LAIN-LAIN (SAMBUNGAN 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Keadaan semacam ini ada kalanya atau boleh dikatakan membanggakan tetapi ada akibatnya yang tidak menyenangkan hati oleh kerana mereka yang merantau itu selepas mereka bersara atau berhenti daripada kerja mereka jarang kali atau tidak langsung balik duduk ke kampung asal.  Sebaliknya, orang-orang tua di kampung dahulu telah meninggal dunia dan kampung-kampung halaman mereka yang dahulunyapun berpagar sekelingnya sudah jadi hutan yang dipenuhi oleh pokok-pokok hutan, pokok buluh yang tidak boleh digunakan ataupun dijual.  Pokok buah-buahan yang ditanam oleh orang-orang tua dahulu kala seperti durian, rambutan, macang, mempelam, cempedak, nangka dan lain-lain yang telah tumbang ke sungai, beransur-ansur mati dan yang ada tinggal yang masih boleh berbuah tertinggal begitu saja.  Ikut siapa suka mengambilnya buah-buahnya dan tanah yang bertanam dengan pokok-pokok getahpun juga nasibnya jika dipajak pun tidak dapat $1.00 pada satu ekar tanah pada sebulan oleh kerana masing-masing telah meninggalkan kampung halaman ke negeri tempat lain untuk mencari nafkah sehari-hari.  Oleh itu, keadaan di kampung sekarang sudah menjadi lengang sehinggakan jika hendak mengadakan kenduri sedikit sebanyakpun sudah tidak ada beberapa orang yang hendak dijamu.

            Keadaan semacam ini adalah mendukacitakan dan jika tidak ada rancangan perusahaan yang baru di kampong ini oleh kerajaan ataupun oleh anak-anak kampong sendiri samada yang sudah berhijrah yang ada pula bermodal atau pemodal-pemodal lain untuk anak-anak kampung dapat bekerja di tempat sendiri maka ditakuti keadaan di kampong kita ini akan lagi merosot.  Hendak ditinggalkan langsung haruslah tidak.

            Saya rasa patutlah sangat dapat diadakan satu cara kehidupan baru bagi anak-anak kampung ini mendapat pekerjaan dengan tidak berhijrah ke tempat lain seperti mengadakan perusahaan tangan yang anak-anak kampung boleh diajar atau satu cara perniagaan atau perusahaan yang mereka boleh mendapat pekerjaan kerana maklum sajalah kita semua manusia bukan malaikat dan berada di dunia lagi (bukan di dalam syurga) serta berkehendakkan makan-minum, pakaian dan tempat kediaman yang berpatutan mengikut peredaran zaman dan masa.  Baik perkara-perkara yang tidak diingini berlaku oleh sebab perut lapar yang menghilangkan akan fikiran yang siuman.

 
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA