Total Pageviews

Monday 27 April 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Pihak pembangkang telah menjalankan bermacam-macam helah atau cara untuk menghalang kutipan-kutipan itu oleh pihak kerajaan dengan cuba mengelirukan orang ramai dengan membangkan, menentang dan menghasut orang ramai.

      Ditahun yang awal kutipan fitrah mula dijalankan (1952) pihak pembangkang telah pura-pura meminta bantuan sebanyak $50,000 daripada kumpulan wang kutipan itu untuk membeli jentera cetak mencetak bagi memajukan perniagaan mereka sebagai pencetak buku-buku dan kertas-kerta yang mereka tahu sendiri pihak yang berkuasa tentu sekali tidak dapat mempersetujukan bagi satu-satu pihak dapat ditolong sebanyak itu. Oleh yang demikian mereka mulalah menjalankan dakyah mereka.

      Pihak yang berkuasa terpaksa menjalankan tindakan undang-undang keatas penghasut-penghasut dan pembangkang-pembangkang dan jua keatas mereka yang ingkar bagi menunaikan fitrah mereka. Tindakan itu terpaksa dijalankan sebagai pihak kerajaan oleh Tuan Pendakwa Raya (D.P.P.) Encik Abdul Kadir Yusof (sekarang Tan Sri) sendiri. Pihak yang dituduh daripada pihak pembangkang pula mengambil peguam (lawyer) yang termasyahur dan handal untuk membela mereka yang seorang daripadanya sekarang telah dilantik oleh kerajaan sebagai Penasihat Undang-Undang  disebuah negeri di Malaysia Barat   

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 20 April 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Saya dimasa itu masih memegang jawatan sebagai Pembantu Kewangan (FA) Jabatan Pelajaran Perak, selepas bertugas di pejabat-pejabat Perbendaharaan Kecil Telok Anson beberapa tahun lamanya dan jua pernah dilantik sebagai Bendahari berbagai pertubuhan dan saya telah meminta bersara daripada jawatan saya sedikit awal oleh kerana hendak mengelolakan pada mulanya kutipan fitrah, baitulmal dan kawalan wakaf daripada tahun 1952 dan zakat daripada tahun 1953 mengikut undang-undang yang tersebut yang telah mula berjalan kuatkuasanya daripada 1.5.1952

     Sebagai yang termaklum, sebelum itu sekelian kutipan yang tersebut dijalankan oleh Tok Guru Ugama dan alim ulama di kampung-kampung untuk faedah diri mereka sendiri. Maka dengan cara mengejut pula pihak kerajaan mengambil alih dengan kerajaan sendiri mengutipnya. Maka tentu sahajalah langkah itu telah ditentang hebat oleh setengah gulungan yang terasa rugi oleh kerananya. Oleh yang demikian bangkangan-bangkangan telah berlaku sama ada berterus terang dan dengan jalan sulit sehingga ada diantara mereka yang tergamak mengeluarkan disetengah tempat poster-poster satu daripadanya sebagaimana kembaran 'A' yag begitu buruk tujuannya.   
bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:

Kembaran akan diterbitkan kemudian seperti tempat yang sepatutnya

Monday 13 April 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Selepas itu pula kerajaan negeri Perak telah meluluskan tiga undang-undang baharu iaitu:-
  
          (1) Undang-Undang Perak 6/1951 Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu 1951
          (2) Undang-Undang Perak 7/1951 Baitulmal, Zakat dan Fitrah 1951
          (3) Undang-Undang Perak 8/1951 Kawalan Wakaf 1951

      dan juga peraturan undang-undang dibawah undang-undang pertamanya Undang-Undang 7/1951  

     Tugas pertama mengikut Undang-Undang 7/1951 dan 8/1951 ialah bagi mengutip dan mengelolakan kutipan baitulmal, zakat dan fitrah dan kawalan wakaf-wakaf seluruh negeri Perak. Oleh kerana kekurangan sangat diantara orang-orang Melayu dimasa itu yang mahir atau ada pengetahuan didalam perkara kewangan untuk mengatur satu cawangan yang baharu mula, bagaimana perpatah Melayu 'tiada ada rotan akar berguna,' maka kerajaan telah melantik saya sebagai Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Fund yang ditubuhkan mengikut ceraian 13 Undang-Undang Negeri Perak 6/1951 daripada 4.7.1952 untuk mengelolakan dan bertanggung jawab diatas perkara yang tersebut.    

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 6 April 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Daripada perundingan dan rancangan dihari itu satu peraturan gaji (scheme) bagi tingkatan gaji baharu bagi mufti, khadi besar dan khadi-khadi telah dirangka yang akan dikemukakan kepada kerajaan negeri Perak. Pada akhir rangka tingkatan gaji itu telah dikemukakan kepada kerajaan dan pihak kerajaan pula telah merundingkan perkara itu dan akhirnya telah meluluskan pindaan tingkatan gaji itu pada satu mesyuarat Majlis Kerajaan Ngeri yang bersidang hingga larut malam. Pada malam itu jua hampir pukul 10.00 malam dengan gembira dan sukacitanya Engku Raja Musa bin Raja Mahadi telah datang ke rumah saya serta memberi saya tahu kerajaan telah pun menerima peraturan bagi tingkatan gaji baharu itu serta mengucapkan terima kasih kepada saya diatas kerjasama saya dalam perkara itu - pada masa itu saya belum lagi berkhidmat di Jabatan Ugama Perak

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA