Total Pageviews

Monday 27 May 2013

KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI (Sambungan 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


Tidaklah diketahui dengan jelas asal-usul yang sebenarnya bagaimana kampung atau mukim itu dinamakan Lambor Kiri tetapi mengikut satu cerita ialah berasal dari satu perkataan didalam bahasa Sakai yang sekarang ini terkenal dengan nama Orang Darat atau Orang Asli iaitu perkataan ‘Lambor’ yang bermakna satu tempat permainan orang Sakai atau satu tempat di mana satu macam atau jenis permainan orang Sakai yang mereka adalah daripada semasa ke semasa dan tempat itu  ialah Kampung Tua Lambor Kanan di zaman purbakala dan disitulah tempat orang-orang sakai berhimpul atau berkumpul bagi mengadakan keramaian atau permainan itu.  Apabila orang-orang Melayu datang membuka kampung di situ di kiri-kanan tebing Sungai Perak mereka terus pakai nama Lambor iaitu Lambor Kanan bagi kampong Tua disebelah kanan mudik dan Lambor Kiri bagi kampung yang dibuka di sebelah kiri mudik.  Orang-orang Asli disitu lalu berpindah jauh ke darat seperti Air Denak dan lain-lain.  Mereka yang tidak berpindah terus duduk atau bersekedudukan dengan orang-orang Melayu.  Satu riwayat yang lain mengatakan perkataan atau nama “Lambor” itu berasal atau dalam Bahasa Siam yang pada satu masa telah menaklukkan negara ini.  Begitu juga tidaklah diketahui dengan jelas tawarikh yang sebenar bila masa negeri ini atau mukim atau kampung ini mula dibuka dan diduduki.  Di dalam satu riwayat menyatakan kampung ini adalah diantara kampung yang awal dibuka dan diduduki oleh Tun Khamis dan pengikut-pengikutnya (daripada keturunan muntah lembu) yang mula membuka hutan rimba belentara di negeri ini untuk dijadikan kampung dan negeri bagaimanapun tidak syak lagi ini adalah satu daripada kawasan dan kampung yang tertua jika tidak yang tertua sekali dan telah wujud serta didiami orang semenjak beratus-ratus tahun lagi dan ini boleh disaksikan daripada tanda atau kejadian di antaranya :-

(1)   Di merata-merata tempat atau kawasan sepanjang-panjang kampung didapati bertaburan kubur-kubur orang dahulu termasuk kubur-kubur orang-orang ternama seperti kubur Paduka Busu Ayan, kubur-kubur Seri Nara Pandak Manan, Seri Nara Pandak Geluk, Seri Maharaja Dewa Panjang Ogek dan lain-lain lagi.  Di zaman itu orang-orang mati dikuburkan di kampung masing-masing iaitu di zaman yang belum diadakan kawasan tanah perkuburan khas sebagaimana selepas kemasukkan Kerajaan Inggeris ke Negeri Melayu di Semenanjung ini.

(2)   Diantara kubur-kubur yang lain yang banyak itu didapati ada satu kubur Laksamana Acheh dibezakan dengan kubur-kubur yang lain kerana batu nesannya amat besar dan harus tidak ada lagi batu nesan yang sebegitu besar di negeri ini.  Di situ juga di dapati beberapa kubur orang Acheh yang lain serta kubur-kubur orang Celebes atau Silawisi tidak diketahui dengan jelasnya adakah mereka iitu semua berkubur disitu setelah mati di dalam peperangan orang Perak dengan orang Acheh yang menankluki negeri Perak dalam zaman Seri Paduka Almarhum Sultan Mansur Shah yang pertama (1549-1577) atau terdahulu atau pun terkemudian daripada masa itu iaitu semasa negeri Perak telah jatuh di bawah pemerintahan atau takluk di bawah negeri Acheh semasa Sultan Mansur Shah yang tersebut iaitu jika Perak  yang kedua serta dengan anak-anak isterinya yang telah ditawan dan dibawa ke Negeri Acheh.
Jika sekiranya mereka itu telah mati ditangan pahlawan-pahlawan yang berani daripada orang-orang Lamboar Kiri.  Sekiranya mereka itu pula telah mati biasa selepas itu iaitu selepas mereka menaklukkan dan mengusai negeri Perak, maka ini adaalah menunjukkan Lambor Kiri di masa itu telah dibuka dan diduduki oleh orang kebih dahulu.

(3)   Al-marhum Paduka Seri Sulatan Muzzafar Shah ibni AhMarhun Sultan Mahmuid Shah Sultan yang pertama bagi negeri (1528-1547) telah dirajakan (ditabalkan) di Tanah Abang iaitu di satu tempat di Air Mati Mukim Lambor,  Lambor Kanan iaitu disebelah iaitu di seberang mukim Lambor Kiri (di seberang Sungai Perak) dan di masa itupun  mukim atau kampung di Lambor Kiri telah diduduki orang.  Diriwayatkan iaitu orang-orang Lambor Kiri daripada nenek moyang kami adalah orang-orang atau sekurang-kurangnya di antara orang yang pergi menjemput dan membawa masuk ke Perak Al-marhum Paduka Baginda itu untuk ditabalkan sebagai Sultan negeri Perak yang pertama selepas negeri Melaka dialah oleh dan ditakluki  oleh orang-orang Portugis dalam tahun masihi 1511.
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 20 May 2013

KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI: SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


BAHAGIAN PERTAMA


Kampung Saya Lambor kiri

 Lambor Kiri adalah nama satu mukim dan kampung terkecil di tepi Sungai Perak di dalam Jajahan Kecil Parit (dahulu dipanggil Jajahan Bruas dan Parit) kira-kira 15 batu ke hilir pekan Parit dan 18 batu daripada Jambatan Nordin, Tanjung Belanja menerusi jalan raya sebelah kiri Sungai Perak.  Zaman berzaman mukim ini adalah mukim yang berasingan dan penghulunya turun-temurun daripada satu keluarga tetapi di dalam tahun 1934, oleh kerana masa meleset (slump) maka kerajaan di masa itu di dalam kekurangan wang disebabkan kejatuhan harga getah dan bijeh maka mukim ini telah dicantumkan dengan Lambor Kanan di bawah seorang Penghulu Besar dan seorang Penghulu Muda sehingga masa ini.  Keadaan ini nampaknya akan terus menerus jika tidak ada desakan daripada pendudk-penduduk tempatan atau orang-orang ramai di mukim itu tambahan pula mukim itu telah tinggal separuh saja oleh kerana sebagaimana yang akan diterangkan hampir -hampir separuh kawasan tanahnya telah ditelan oleh Sungai Perak oleh sebab tebingnya telah rebak ke sungai dan mukim itu lebih lagi kecil.

 Mukim ini adalah mengandungi beberapa buah kampong termasuk Kampung Tua, Lambor Kiri, (dan nama mukim) Kampung Kucai, Kampun Baharu sebelah hulunya dan kampong Teluk sebelah hilirnya dan juga beberapa tempat atau kampong kecil iaitu Kampung Pulau, Parit Tangguh, Pasir Kubu, Teluk Sena, Paya Bacang, Lubok Bergaung, Permatang Gadfir, Bakong dan lain.  Dahulu kala ada satu kampong bernama Kampung Toh Nara oleh kerana di zaman itu gelaran Seri Nara adalah biasanya dipilih daripada family atau keluarga “muntah lembu” di Lambor Kiri yang ada dicatitkan sebagai lembaran kampung itu sudah ditelan sungai dan tidak ada lagi.

 Disebelah hilir Pasir Kubu ialah Kampung Pasir Garam namanya yang sekarang terletak di dalam Mukim Pulau Tiga, Jajahan Hilir Perak.  Daripada satu riwayat orang tua-tua dahulu di zaman perbakala Pasir Garam di masa itu asalnya terletak ditepi laut (tempat membuat garam) di pantai Selat Melaka.  Pantun-pantun seloka orang-orang dahulu di dalam cerita Nakhoda Mat Wain, pasir itu adalah panjangnya sejauh tiga hari tiga malam berdayung sampan.  Mereka cukup pandai cerita dan pantun-pantun seloka Nakhoda Mat Wain tetapi malangnya tidak siapapun yang diketahui ada mengambil ingatan atau menulis ingatan pantun-pantun seloka itu.  Oleh itu pantun-pantun itu telah lenyap hilang begitu sahaja.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 13 May 2013

PENGENALAN (Sambungan 3): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


 Di dalam cerita-cerita riwayat itu salasilah orang dahulu kala nampaknya tidak sunyi daripada cerita-cerita rekaan ikut suka hati pengarang atau penyusun-penyusun sahaja sehingga sukar hendak membezakan diantara yang benar dengan yang tidak benar dengan tokok-tambah yang direka itu sebagaimana satu misal yang didapati di dalam buku Sejarah Melayu katanya:-

 “Dengan takdir Allah Taala lembu kenaikkan baginda itupun muntah buih maka keluarlah daripada seorang manusia laki-laki dinamai Bahtha dan dastanya terlalu besar…”

 Ini harus disebabkan daripada dua perkataan “muntah lembu” iaitu satu keluarga yang orang gelar sedemikain daripada satu keturunan tetapi tatkala merekakan satu cerita atau salasilah patutlah diselidiki asal-usulnya yang sebenar yang boleh diterima akal atau tidak.  Sepatutnya apabila menulis cerita-cerita riwayat atau sejarah mesti dikaji dengan teliti terlebih dahulu.

 Bagaimanapun, kita patutlah bersyukur kerana dengan usaha rekaan mereka itu dapatlah dijadikan sejarah negeri ini.  Sebenarnya buku riwayat dan buku-buku lama karangan orang-orang dahulu kala nampaknya dimasa itu sudah habis atau hampir kesemuanya telah lenyap daripada dunia sekarang oleh beberapa sebab satu daripadanya ialah daripada awal mula-mula bangsa-bangsa Eropah menjajah negeri kita di sebelah sini mereka telah mengumpul buku-buku itu dan dibawa balik ke negeri mereka hingga dikatakan Tuan Sramford Raffles saja seorang telah mengumpul hampir berpuluh peti buku-buku itu yang dikatakan telah hilang di dalam pelayaran kesana apabila kapal kenaikkannya itu telah tenggelam di laut di dalam pelayaran itu tetapi baru-baru ini telah tersiar di akhbar-akhbar menyatakan setengah-setengah daripada buku-buku itu telah dijumpai di rumah tua tuan itu di Scotland sekianlah wa-billahi at-taufik wallahuaklam.


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
22/24 Jalan Haji Eusoff
Kampar Road
IPOH
1 Januari 1971



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Sunday 5 May 2013

PENGENALAN (Sambungan 2): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


 Surat salasilah itu bukanlah dicap semacam buku tetapi ialah dengan tulisan tangan diatas kertas tebal dan panjang serta digulung daripada atas kebawah dengan khat orang-orang dahulu kala dengan memakai huruf Arab yang tidak memakai huruf-huruf ca,pa,nga,ga dan nya.  Oleh itu adalah amat sukar bagi orang-orang sekarang mengeja dan mengertinya misalnya ba lam hamzah  bermakna atau bererti bagi, kaf nun dal qaf (kondek) bermakna atau bererti gundik dan lain-lain lagi tetapi iapun dapat juga diertikan atau difahamkan.  Adapun ayat-ayat yang lain yang amat susah ataupun dapat dapat difahamkan dengan jelas misalnya kaf nun ta nga.  Ini boleh diertikan  (1) kentang (ubi) (2) gantang (sukatan) (3) gunting (pemotong kain) (4) gentung atau (5) genting.  Oleh itu yang berbunyi kaf nun ta nga  ta ro kaf nun ta nga  apa benda sebenarnya yang terkandung adakah kentang, gantang atau gunting.

 Malangnya sejarah atau riwayat yang diturunkan oleh orang-orang dahulu kala tidak menyebut tarikh atau zaman perkara yang diriwayatkan itu berlaku sekurang-kurangnya abad yang mana ia terjadi oleh itu tidaklah dapat membandingkan dengan buku-buku tawarikh yang bercap sekiranya benar berlaku misalnya di dalam salasilah ini yang menceritakan benua keling (India) dan benua China pada masa dahulu diperintah oleh bangsa-bangsa asing.  Ini pernah berlaku didalam tawarikh yang begitu lama tiap-tiap negeri telah pernah dijajah.

 Misalnya lagi India beberapa lama telah pernah diperintah oleh pemerentah Monghul iaitu rajanya di antaranya ialah Akhbar, Jihankyu, Shah Jahan dan lain-lain dan negeri China pula diperentah oleh pemerentah negeri lain seperti Genghis Khan, Kublai Khan dan lain-lain didalam abad keduabelas dan ketigabelas masehi.

 Salasilah ini banyak berbeza dan kalanya bertentangan dengan hal cerita-cerita orang tua-tua kita sebagaimana yang tercatit di dalam buku Sejarah Melayu yang dikarang oleh Tun Seri Lanang yang harus jadi daripada keluarga yang sama tetapi tidak diketahui daripada mana terbitnya atau daripada mana pula ambilnya Tun Seri Lanang mendapat riwayat itu bagaimanapun jika diperhatikan buku Sejarah Melayu yang dikumpulkan oleh Tuan W.G. Shallabeza dengan buku yang sama yang dikumpulkan oleh Tuan R.O. Winstedt amat berbeza sungguhpun kedua-duanya adalah dikatakan dikarang oleh pengarang yang sama.
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Nota: Para satu mungkin ada kesilapan dalam menukar ejaan kerumi