Total Pageviews

Monday 30 March 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Selepas perundingan dihari itu saya telah mengaku mengelolakan atau merundingkan perkara itu dengan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak (Raja Musa b. Raja Mahadi) dan pada besoknya jua selepas balik daripada Kuala Kangsar (hari Sabtu) saya terus berjumpa Allahyarham itu di pejabatnya dan ia terus membuat janji akan menguruskan perkara itu didalam masa enam bulan daripada masa itu kerana katanya ia baharu sahaja sampai ke pejabat itu - saya ______  dan terus menjawab iaitu perkara itu sudah pun terlambat dan sekiranya ia hendak mendapat pandangan yang baik daripada pegawai-pegawai dan kaki tangannya serta orang-orang lain maka ia hendaklah mengambil langkah dengan serta merta dan terus saya cadangkan perkara itu dimulakan pada besoknya (hari Ahad kelepasan) jua - ia terus minta saya uruskan sendiri perkara itu, tetapi saya menjawab yang saya tidak dapat membuat demikian kerana saya berkhidmat disatu jabatan yang sentiasa sebok dengan perkara-perkaranya sendiri, tetapi saya boleh berkerjasama dengan membawa apa-apa bahan daripada pejabat saya untuk menyokong permohonan yang akan dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan. Oleh yang demikian kami telah merancangkan dan merundingkan serta membuat laporan diatas perkara itu di rumahnya pada hari Ahad itu jua.      

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:  Pada masa ini hari Sabtu adalah hari berkerja separuh hari
             ____ : Tak boleh baca

Monday 23 March 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Pada masa hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak bagi tahun itu sebagaimana ditahun-tahun yang lalu saya telah mendapat jemputan untuk hadir didalam perayaan hari yang tersebut di Istana Iskandariah Bukit Chandan Indera Mulia Kuala Kangsar. Dihari itu kononnya khabarnya khadi-khadi hendak mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk menyembahkan perkara itu kepada Duli Yang Maha Mulia.

     Saya tidaklah dapat ketahui dapatkah mereka mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan. Pada hari itu harus tidak kerana maklum sahaja hari itu ialah hari bagi keramaian. Bagaimanapun selepas perayaan hari itu Tuan Haji Ayub yang semasa itu Khadi Telok Anson dan Tuan Haji Kassim, Khadi Parit Buntar telah menemui saya serta mereka bawa saya ke rumah Haji Hashim dimasa itu Khadi Kuala Kangsar yang duduk di rumah khas bagi khadi yang yang berdekatan dengan Masjid Ridzuaniah pekan Kuala Kangsar.

     Mereka terutamanya Tuan Haji Ayub telah meminta fikiran saya apa yang elok mereka buat untuk mendapat pindaan kepada tangga gaji 'salary scheme' mereka termasuk Khadi Besar, Mufti dan lain-lain sebagaimana pegawai-pegawai dan kaki tangan kerajaan yang lain telah mendapat pindaan tingkatan gaji mereka.    

     Berbetulan pula pada masa itu, Allahyarham Raja Musa bin Raja Mahadi baharu sahaja dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Melayu Perak untuk mengantikan Almarhum Raja Kamarulzaman, Raja Di Hilir Perak. Mereka ketahui yang saya dimasa itu rapat baik dimana Allahyarham Raja Musa daripada masa kami berkhidmat di Telok Anson tempoh hari. 


bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 9 March 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

    


  DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK.

     Saya telah mula bercuti sebelum bersara pada 5.7.1952 untuk bersara daripada jawatan saya sebagai Pembantu Kewangan (Financial Asst) di Jabatan Pelajaran Perak pada 25.9.1952 selepas berkhidmat dalam jawatan kerajaan selama 36 tahun 6 bulan 22 hari dan saya terus diambil berkerja semula daripada hari saya bercuti pada 5.7.1952 sebagai Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Fund Perak yang telah ditubuhkan mengikut Undang-Undang Negeri Perak 6/1951 dengan dibayar gaji sebagai seorang yang telah bersara daripada jawatan kerajaan dan tugas saya ialah bagi mengatur dan mengelolakan kutipan zakat, fitrah, baitulmal dan kawalan wakaf seluruh negeri Perak mengikut Undang-Undang Negeri Perak 7/1951 dan 8/1951 

      Saya sendiri tidaklah meminta jawatan itu dan saya dipilih bagi jawatan itu adalah berpunca daripada tahun 1950 dimasa itu tingkatan gaji kaki tangan kerajaan di pejabat-pejabat yang lain telah dipinda (Revised) tetapi tingkatan gaji bagi pegawai dan kaki tangan Pejabat Ugama seperti Khadi belum ada lagi ura-ura pun hendak dipinda.   

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Thursday 5 March 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 11): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

       2) Tambahan Guru-Guru Melayu
      Didalam Peranggaran Tahunan (Estimates) tahun itu ada disediakan tambahan guru-guru Melayu (New Appointments) sebanyak 60 orang. Kebetulan pada satu hari tuan Nazir Sekolah-Sekolah Perak Selatan datang ke ibu pejabat. Tuan Nazir Agung berkata kepadanya daripada 60 guru-guru tambahan itu ia bolehlah dapat 30 orang.

      Hampir sebulan terkemudian datang tuan itu ke ibu pejabat berjumpa tuan Nazir Agung - katanya sebagaimana percakapan dahulu maka sudah pun ia lantik 30 orang guru-guru Melayu tambahan - tuan Nazir Agung terdengar berkeriyau di biliknya dan jadilah satu pertengkaran dan pergaduhan diantara lain kata Nazir Agung ia sekadar berkhabar sahaja tetapi ia tidak memberi kuasa untuk melantik sendiri dan sekarang bagi ibu pejabat sudah lantik 60 orang dan siapa yang bertanggung jawab untuk 30 orang lagi itu. Mereka kedua berluru datang meja saya, masing-masing hendak dulu bercakap. Nazir Agung nampaknya sangat marah.

      Dengan takdir tuhan dihati saya dan saya pun jawab - dengan kuat kuasa saya - saya benarkan tuan Nazir Perak Selatan melantik 40 orang guru lagi. Dengan itu tuan Nazir Agung nampaknya hendak marah kepada saya pula. Saya terangkan lagi iaitu yang 60 orang itu ialah sebagai tambahan kepada bilangan guru-guru yang sudah ada sekarang - sekarang ini sudah ada 2,800 guru Melayu dan jika sekiranya mereka berkerja pukul rata 40 tahun sekali pun maka akan didapati 70 oarang akan bersara, berhenti dan tidak termasuk dua orang guru yang telah lari daripada Sekolah Melayu Tiang Bertarah, meninggal dunia atau sebagainya.

     Dengan itu nampaknya tuan Nazir Agung harus berasa malu dan dikelekkan tangannya kebelakang terus balik ke opisnya. Tuan Nazir Sekolah-Sekolah Perak Selatan pula amat sayang dan terima kasih kepada saya selepas itu. 


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA
 

Monday 2 March 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 10): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Saya suka membangkitkan dua perkara atau peristiwa yang saya alami apabila saya mula berkhidmat di Jabatan Pelajaran Perak pada awal tahun 1949 iaitu:-

     (1)  Bayaran Gaji Pendahuluan Bagi Orang-Orang Hindu Untuk Deepavali
              Lebih kurang dua bulan lepas saya mula berkerja di situ maka satu siaran dari kerajaan telah diterima untuk bayaran sebulan gaji penuh pendahuluan untuk orang India yang berugama Hindu untuk hari sambutan mereka Deepavali. Tuan Nazir Agung dimasa itu pergi melawat sekolah-sekolah dan selepas seminggu baharu ia balik ke pejabat. Sebelum itu Tukang Kebun Hindu di Sekolah Anderson Ipoh telah gaduh kerana rakan-rakan sejawatannya yang berkerja di pejabat lain telah pun dibayar. Oleh itu saya terpaksa membuat bayaran itu termasuklah elaun guru-guru Hindu yang berkerja dimerata ladang getah (estates) dan lain yang dibayar elaun 'Grant in aid'.

                    Apabila tuan Nazir Agung balik ke pejabat diperiksanya dan didapatinya rupanya buku bayaran 'cash book' tujuh muka buku itu mengandungi bayaran itu dan ia panggil kerani wang V.M. Krishnasamy dan ia marah kerani itu hingga menangis - selepas itu ia suruh kerani itu panggil saya pula dan saya pergi berjumpa dengannya. Saya pun pergi dan beberapa minit saya menanti tidak dipanggilnya dan sesudahnya ia mencampakkan buku-buku itu dan lain-lain ke lantai dengan bermacam-macam kata marahnya diantara lain ialah, mengapa kamu bayar guru-guru Hindu yang bukan kerajaan tetapi cuma mendapat 'Grant in aid' saja dan jika mereka lari apa kamu hendak buat? Saya nanti hendak menjawab sehingga ia berhenti bercakap - kata saya - saya sudah bayar mereka kerana hendak menjaga nama baik pejabat - tidak ada 'discrimination' - tentu tuan harus tahu apa saya akan buat jika mereka lari, saya akan beri setinggi tabik kepada mereka, saya tidak payah lagi membayar gaji mereka bulan depan. 
          "If they abscord I will give them a grand salute, Sir, because I will not have to pay them next month." 
Dengan jawapan saya itu maka tuan itu terus tertawa berdekah-dekah dan ia kutip balik buku-buku yang telah dicampakkannya . Rupa-rupanya dimasa itu kerani wang ada menanti dicelah pintu masuk dan ia pula naik radang - tuan itu cuma menjawab,  "Thats all right."     


bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA