Total Pageviews

Monday 30 September 2013

PERPISAHAN ANAK-ANAK KAMPUNG KE LAIN-LAIN TEMPAT UNTUK BERKHIDMAT DIDALAM JAWATAN KERAJAAN ATAU LAIN-LAIN: SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK




BAHAGIAN YANG KEEMPAT

PERPISAHAN ANAK-ANAK KAMPUNG KE LAIN-LAIN TEMPAT UNTUK BERKHIDMAT DIDALAM JAWATAN KERAJAAN ATAU LAIN-LAIN

             Sebagaimana yang disebut di tempat lain oleh kerana Di sebelah darat Mukim Lambor Kiri sehingga ke sempadan Gelong Gajah di sebelah Bruas semata paya dan tidak dapat digunakan untuk bercucuk tanam dan sebelah hulunya pula semakin lama semakin tirus di sebabkan oleh Sungai Perak menelan kampung-kampung Kucai, Bakong, Kemenong Baru sehingga Kemenong Tua yang dari semasa ke semasa tebingnya rebak dan jatuh ke sungai oleh sebab keruntuhan tebing-tebing sungai di kampong yang tersebut.  Oleh itu, mukim ini yang sudah pun kecil semakin lama semakin tirus dan tidaklah ada tempat yang baru yang dapat dibuka lagi untuk bercucuk tanam yang akan dijadikan kampung untuk penduduk-penduduk mencarI nafkah hari-hari bagi kehidupan yang biasa.  Disebelah hulu mukim ini telah ditelan oleh Sungai Perak sehingga boleh diingatkan lagi iaitu, tebing sungai di Kampung Tanjung di dalam Mukim Lambor Kanan yang sekarang adalah asalnya di tebing Kampung Baru di dalam Mukim Lambor Kiri di zaman dahulu.  Sebaliknya, pula bilangan penduduk-penduduk Mukim Lambor Kiri sebagaimana di tempat-tempat lain semakin bertambah.
           
            Sungguhpun di zaman perbakala mukim ini adalah tempat tumpuan orang-orang daripada negeri-negeri dan jajahan-jajahan lain maka sekarang ini telah terbalik keadaanya. Dizaman dahulupun ada juga anak-anak kampung ini terutamanya pemuda-pemudanya berhijrah ke negeri-negeri atau tempat-tempat lain, maka lebih-lebih lagilah di masa yang akhir-akhir ini oleh kerana keadaan di kampung memaksa mereka, Mereka terpaksa berhijrah ke negeri-negeri atau tempat-tempat berselerak di merata-rata negeri di Malaysia terutama ke Ibu Kota Kuala Lumpur semada bekerja di dalam jawatan-jawatan kerajaan di merata-rata tempat di Malaysia.  Di gudang-gudang saudagar-saudagar kerja bersendirian atau lain mengikut pelajaran, kebolehan dan taraf masing-masing.

            Di antara mereka yang terpelajar di dalam Bahasa Inggeris terutamanya yang berpengetahuan atau lulus Ilmu Undang-undang baik pula yang telah bersara atau masih memegang jawatan-jawatan pentadbiran negeri yang tertinggi sehingga ada daripada keluarga kampung ini yang telah menduduki kerusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Organisation) di Amerika Syarikat dan ada pula yang menjalankan perusahaan yang besar seperti melombong bijih.  Bagi mereka yang kurang pengetahuan, bekerjalah sebagai buruh kasar atau sebagainya. 

            Beberapa banyak daripada anak-anak kampung atau mukim ini yang telah berhijrah ke tempat-tempat lain di dalam negeri ini seperti Bukit Gantang, Sayong, Manong, Simat, Jerlun dan lain bahkan ke negeri-negeri lain seperti Selangor, Pahang, Kedah sehingga ke negeri Siam pun ada.  Mereka ini pindah membawa anak-pinak dan isteri atau berkahwin pula serta beranak cucu-cicit di tempat mereka berhijrah itu.  Kelaziman mereka tidak pula pernah balik ke kampung asal dan lama kelamaannya hilanglah cerita mereka anak-cucu berputus langsung dengan kaum keluarga mereka yang di kampung datuk nenek mereka yang asal oleh sebab tidak berkenalan langsung.

 bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA



Monday 23 September 2013

RIWAYAT LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 3): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Sungguhpun di masa itu tidak lagi mengikut keturunan bagi melantik penghulu-penghulu bagi satu-satu mukim mengikut keturunan masing-masing, maka sempat juga mereka tiga adik-beradik berturut-turut menjadi penghulu di Lambor Kiri selepas kemasukan pemerintahan kerajaan Inggeris di Negeri ini.  Tok Penghulu Mohd Jabar telah bersara daripada jawatannya didalam tahun 1933.

Semenjak itu, sungguhpun beberapa orang daripada keluarga kami telah dilantik oleh kerajaan menjadi penghulu mukim tetapi kerajaan menempatkan mereka berkhidmat di tempat-tempat lain sebagaimana kakitangan kerajaan yang lain.

Bagaimanapun, di masa yang akhir ini, kerajaan negeri dengan serentak telah melantik empat orang daripada keluarga kami daripada Lambor Kiri sebagai penghulu-penghulu untuk berkhidmat di tempat-tempat atau di mukim-mukim lain di negeri ini.  Mereka itu ialah:-

(1)        Zahari (Cik E) bin Ahmad, cucu kepada Anjang Talib bin Toh Dewa, (penghulu semasa dahulu), anak kepada Ahmad bin Haji Shahbudin (penghulu semasa dahulu)
(2)        Sulaiman bin Bulon, cucu kepada Anjang Talib bin Toh Dewa, (penghului semasa dahulu)
(3)               Omar bin Alang Mat Jeha, anak kepada Mat Jeha, penghulu semasa dahulu
(4)         Yope Abdul Rahman bin Anjang Mat Diah, anak saudara kepada Alang Mat Jeha, (penghulu semasa dahulu)

 Daripada keluarga kami yang telah berhijrah ke tempat-tempat lain pula, ada diantara mereka pula yang telah dilantik sebagai penghulu.  Di antaranya ialah Haji Sallahuddin bin Tajul Ariffin cucu kepada Penghulu Mat Yatim tempoh hari.

Nombor 2 – Sulaiman bin Bulon, telah bersara daripada jawatan untuk bertanding dua kali telah berjaya terpilih sebagai Ahli Mesyuarat Undangan Negeri Perak dan sekarang ini sebagai Ahli Dewan Undangan Malayisa dan juga telah pernah menyandang sebagai Menteri Muda Malaysia.



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Monday 16 September 2013

RIWAYAT LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 2): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Di masa ianya (Haji Mohd Jabar) memegang jawatan Penghulu Lambor Kiri, maka soalan taraf bagi tiap-tiap mukim iaitu mukim yang lebih luas diberikan kelas atau darjah yang tinggi iaitu darjah satu.  Oleh kerana Mukim Lambor Kiri adalah satu mukim yang kecil dibandingkan dengan mukim-mukim yang lain di negeri Perak ini, maka mukim itu mendapat taraf darjah atau kelas III saja.  Oleh itu penghulunya di masa itu hendak dinaikkan pangkat kelas II dan ditukarkan ke Lambor Kanan iaitu di seberang sungai sahaja dan Penghulu Lambor Kanan di masa itu (Alang Mat Jeha ) yang juga daripada satu keluarga ditukarkan ke Lambor Kiri. 

Pertukaran-pertukaran ini sungguhpun masing-masing menyeberang sungai saja tetapi oleh kerana masing-masing sudah berumah kampong di mukim masing-masing, maka Tok Penghulu Lambor Kiri telah merayu kepada kerajaan supaya dibenarkan ianya terus duduk di rumahnya sendiri di Lambor Kiri jika tidak dinaikkan pangkatnya tidak mengapa.  Perkara atau rayuan itu telah sampai kepada pengetahuan Duli Yang Maha Mulia Sultan (sekarang Al-Marhum Iskandar Shah Gadda-sallah) yang telah memberi ampun kurnianya kepada hamba tuanya kenaikan daripada kelas III terus kepada kelas I dengan tidak bertukar daripada situ dan Tok Penghulu Lambor Kanan Alang Mat Jeha dinaikkan kelas II mengikut taraf mukim itu dengan tidak juga bertukar.  Duli Yang Maha Mulia Al-marhum sendiri telah berangkat dengan motorbot kecil kenaikkan baginda ke Lambor Kiri menyampaikan titah kurnia baginda kepada hamba-hamba tua yang diingati baginda sambil baginda mengambil alih angin. 


bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA 


Monday 9 September 2013

RIWAYAT LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Tidak berapa lama lepas itu, dalam masa Tok Adam memegang jawatan penghulu Lambor Kiri, maka kerajaan telah pula mengutip cukai (hasil) tanah dan sekali lagi orang-orang Mukim Lambor Kiri memberontak tidak mahu membayar hasil itu.  Pada kali ini Duli Yang Maha Mulia Sultan telah mengarahkan Tuan Sir Hugh Low, Resident British Perak hilir ke Lambor Kiri untuk berunding dan memberi nasihat berkenaan dengan perkara itu dengan penduduk-penduduk Lambor Kiri.

Tuan itu telah hilir daripada Kuala Kangsar ke Lambor Kiri dan sehari suntuk ia telah berunding dan bertikam lidah dengan penduduk-penduduk Lambor Kiri tetapi mereka tidak juga bersetuju dengan alasan lain mereka adalah daripada keluarga yang susah.  Apabila hari sudah petang, tuan itu berjalan kaki hendak balik ke tempat kenaikkannya (Boat House) di sungai dengan di iringi oleh orang-orang ramai berderet dan di belakangnya kerana di masa itu cuma ada jalan kaki yang boleh berjalan seorang saja dan diikuti oleh orang-orang lain berderet dari belakang.  Dalam deret yang ramai itu, dibelakang sekali ialah ninda kami Anjang Talib bin Toh Dewa (Panjang Ogek) sambil masing-masing berjalan menuju ke sungai itu ia merungut dan berceloteh di antara mereka sambil memberi sedikit sebanyak nasihat kepada mereka yang ada bersama-sama di situ.  Katanya, kerajaan sekarang berkehendakkan wang untuk dikembalikan faedahnya kepada orang-orang ramai dan kepada mereka bersama.  Satu daripadanya untuk menjaga keamanan dan jika kerajaan tidak cukup wang, apa yang boleh dibuat, katanya lagi.  Kerajaan tidak berkehendakkan hasil yang tinggi, sekadar yang difikirkan berupaya orang membayarnya, boleh dirundingkan kelak dan jika tidak dapat ditunaikan di masa ini, boleh bertangguh atau boleh di jual seekor dua ayam untuk membayarnya.  Diantara yang ramai itu seorang menyahut katanya “betul sangat” dan dituruti oleh orang lain pula.  Rupanya, percakapan mereka itu terdengar kepada Tuan Hugh Low dan ia terus berhenti di situ di dalam perjalanannya balik ke sungai dan ia bertanya “siapa orangnya ini?”  Seorang menjawab ia adalah seorang daripada anak Toh Seri Dewa Maharaja Panjang Ogek dan adik kepada Tok Penghulu yang dahulu (Alang Abdul Ghafar) kata Tuan Hugh Low lagi “inilah rupa orangnya yang patut dilantik jadi penghulu disini.”  Ninda itu menjawab”saya tidak pandai menulis tuan,” tuan itu menjawab “itu tidak menajadi hal, fikiran yang bagus yang boleh diikuti oleh orang-orang ramai yang dikehendakI”.  Dan dengan itu ia (Anjang Talib) dilantik menjadi Penghulu Lambor Kiri untuk mengantikan Tok Adam yang serta-merta dilucutnya sebagai penghulu di situ.  Begitulah keadaannya di masa itu.  Bagaimanapun, tentulah tuan itu memohonkan ampun dan persetujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan.  Ninda itu terus bertugas sebagai penghulu Lambor Kiri hingga masa ia bersara tahun 1911.  Selepas ia bersara, adiknya sebapa pula Alang Jabar (Haji Mohd Jabar Bin Toh Dewa Panjang Ogek) telah dilantikl untuk menggantikannya sebagai Penghulu Lambor Kiri.



bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 2 September 2013

RIWAYAT LAMBOR KIRI: SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


BAHAGIAN YANG KETIGA

Riwayat Lambor Kiri

Negeri Perak Darul Redzuan adalah terbahagi kepada beberapa jajahan atau daerah tertentu iaitu (1) Kerian (2) Larut, Matang dan Selama  (3) Hulu Perak (4) Dinding (5) Kuala Kangsar (6) Hilir Perak (7) Batang Padang (8)Kinta

Jajahan-jajahan ini dikatakan telah diwujudkan didalam masa pemerintahn Tuan Sir Hugh Low, Resident British yang ketiga di negeri Perak.  Tiap-tiap jajahan atau daerah pula terbahagi kepada beberapa mukim mengikut kecil atau besar daerah itu, begitulah pula kecil atau besar bilangan mukim dan tiap-tiap mukim terbahagi pula kepada beberapa kampung.

Mengikut cerita tawarikh di zaman purbakala, tiap-tiap mukim diketuai oleh seorang pemerintah yang dipanggil Penghulu daripada darjah atau gelaran Orang-orang Besar Tiga Puluh Dua dan mukim yang besar daripada darjah Orang Besar Enam Belas.

Kebanyakkan mukim itu maka penghulunya ialah daripada satu keluarga atau ketua yang asal membuka tempat atau mukim itu turun-temurun.  Misalnya,  Mukim Pasir Salak di bawah seorang penghulu daripada satu keluarga di situ.  Di Mukim Pulau Tiga pula daripada satu keluarga yang lain.  Di Mukim Lambor Kanan pula daripada satu keluarga yang lain pula dan demikian juga di Lambor Kiri dan seterusnya di mukim yang lain di negeri ini.

Peraturan atau keadaan ini telah berubah sedikit demi sedikit semenjak kemasukan pemerintahan kerajaan Inggeris ke negeri ini di dalam tahun 1874 oleh kerana penghulu-penghulu adalah juga diiktiraf sebagai Pegawai Kerajaan yang terpaksa bersara bila sampai umurnya tua untuk bersara, misalnya, di tempat lain di Mukim Lambor Kiri di masa itu penghulunya ialah daripada keluarga kami Alang Abdul Ghafar bin Toh Dewa (Panjang Ogek) mengikut riwayat apabila ia meninggal dunia di dalam masa pemerintahan Sir Hugh Low menjadi Resident British negeri Perak yang ketiga, maka seorang lain bernama Tok Adam daripada keluarga yang lain telah dilantik menjadi penghulu di situ untuk mengantikan Alang Abdul Ghafar.  Kejadian itu telah berlaku disebabkan oleh kerana di masa itu kerajaan telah ikhtiar bagi memungut cukai atau hasil negeri untuk rancangan kemajuan negeri dan membiayai pegawai-pegawai dan kakitangan pemerintah negeri ini dan satu daripada cukai yang telah diurakan ialah cukai kepala.  Cukai ini difikirkan oleh orang-orang ramai adalah menjadi keberatan kepada rakyat jelata terutama kepada keluarga yang besar atau ramai bilangan ahlinya dan di masa itu Tok Penghulu sendiri sebagai anak kepada Toh Dewa Panjang Ogek ada lima belas orang adik beradik selain daripada anak-anak mereka pula.  Oleh itu, ia sendiri tidak suka hendak menekan anak-anak buahnya yang telah memberontak tidak hendak membayar cukai yang telah diura-urakan itu.  Bagaimanapun, kerajaan tidak meneruskan rancangan itu.

bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA