Total Pageviews

Monday 28 April 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 13): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



Di masa yang akhir ini nampaknya kerajaan pun telah sedar keadaan itu kerana bangunan kerajaan bagi klinik dan rumah-rumah bidan kerajaan di Kampung Baru selalu saja dibanjiri oleh air yang dalam sehingga tidak dapat diduduki beberapa masa.  Oleh itu kerajaan telah mula membuat benteng (Band) di tepi tebing sungai daripada sebelah hulu sehingga ke hilir mukim.  Samada langkah ini akan berjaya manahankan tebing-tebing itu daripada lagi rebak maka masa sajalah akan menyaksikan.  Bagaimanapun, nampaknya di masa ini terpeliharalah tempat-tempat itu daripada dibanjiri air.

Pada masa mula Kerajaan Inggeris masuk ke negeri ini iaitu di masa terusan air di Kampung Kuchai digali dengan kerja kerah telah juga terjadi di Bandar Telok Anson yang di masa itu dipanggil Telok Mak Intan dimana telah terjadi peristiwa yang serupa iaitu satu terusan air digali dengan kerja kerah jua dan dilepaskan air Sungai Perak ke dalamnya tetapi oleh kerana akibatnya telah jadi buruk sehingga setengah Bandar Telok Anson di masa itu iaitu di tempat yang berdekatan dengan jam tinggi sekarang hampir jatuh ke sungai yang dikorek itu.  Maka terusan itu terpaksa ditutup balik untuk menyelamatkan Bandar itu dan tempat yang dikorek dan ditutup itu sekarang tinggal namanya saja iaitu Canal Road.


Tamat


 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA


Catatan:
1.   Tidak diketahui Canal Road masih ada atau telah ditukar nama.
2.  Dengan ini SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK telah habis diterbitkan. Terbitan selanjutnya adalah satu kembaran (lampiran) yang terdapat dalam buku tersebut





Monday 21 April 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 12): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



Di masa lebih kurang 60 tahun yang lalu masih diingati iaitu di sebelah Kampong Baru tuan-tuan punya tanah yang telah kehilangan tanah mereka masing-masing disebabkan sudah jatuh ke sungai ada di antara mereka yang nakal dengan membawa geran-geran tanah mereka ke pekan-pekan untuk meninjau wang daripada pemodal-pemodal iaitu ceti-ceti bangsa India. Mereka berjaya mendapat meminjam wang dengan meyandarkan geran tanah mereka. Setelah seorang mereka berjaya maka orang-orang lain kawannya ikutlah pula berbuat demikian. Apabila didapati mereka itu tidak datang membayar wang yang dipinjam daripada ceti-ceti itu pada masa yang dijanjikan maka baharulah ceti-ceti itu menyiasat untuk mengambil tindakan undang-undang dan di masa itu baharulah mereka tahu keadaannya yang sebenar. Sesudahnya mereka pujuk mereka yang meminjam iaitu mereka sudi lagi memberikan pinjaman tetapi dengan cagaran geran tanah yang lain. Mereka maklum sajalah tidak mahu lagi meminjamkan wang. Akhirnya ceti-ceti itu tidak lagi mengambil apa-apa tindakan sama ada sebab mereka malu atau sebab tidak dapat diambil lagi apa-apa tindakan tidaklah diketahui tetapi ceti-ceti itu gulung tikar-bantal dan balik ke negeri mereka (India) dengan tidak balik ke negeri ini barangkali harus disebabkan mereka sudah jadi bangkrap (papa).


 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
     Difahamkan tanah yang telah menjadi sungai tersebut telah diganti dengan tanah yang lain dan geran baru telah dikeluarkan. Namun demikian geran tanah asal tersebut telah tidak ditarik balik atau dibatalkan. Memandangkan buku ini ditulis pada tahun 1971, kejadian ini mungkin berlaku disekitar tahun 1911.