Total Pageviews

Monday 24 June 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


BUGIS
Daripada satu riwayat diceritakan di antara yang lain keluarga dan berpindah ke Mukim pada satu masa dahulu kala ada tujuh orang anak.  Kemudian datanglah serangan dari luar memerangi negeri Bugis.  Raja Bugis dan enam puteranya telah terkorban di dalam peperangan itu, cuma tinggal anaknya yang bongsu.

 Anak Raja Bugis yang bongsu itu selepas membunuh 99 orang musuhnya maka terus ia menghilangkan diri (ghaib).  Anak Raja Bugis yang bongsu itu sudahpun berkahwin sebelum peperangan itu berlaku dan daripada benih inilah sampai ke Tanah Melayu.  Keturunannya adalah diceritakan di bawah ini:-
                                   
Pandak Kala  X  Teh Hawa
                                    Anak-anaknya dengan satu ibu:-
(1)    Ngah Samad -  Kuburnya di Lambor Kanan
(2)   Uda Mamat   -  Kuburnya di Lambor Kiri   

Anak-anaknya dengan isteri yang lain:-
Tok Lamat kuburnya di Lambor Kiri
Pandak Lamat
Itam Kohor 
Anjang Kassim

 Didalam peperangan, Pandak Kala telah kena tembak di tangan kiri.  Kemudian masuk ke Perak maka jadilah keturunan hingga sekarang.

Berikut pula ialah keturunan yang lebih dekat:-

Pandak Lamat X  Saadiah binti Teh Bulan (isteri kedua)
Anaknya 
(1)   Long Sari
(2)   Mohamed Sharif
(3)   Sa’adiah

Pandak Lamat  X  Fatimah Bte Toh Muda (isteri pertama)
Anaknya 
(1) Aminah
      (2) Abu Jangga


bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA




Monday 17 June 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN: SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


BAHAGIAN KEDUA  

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN.
                       
            Diriwayatkan iaitu di zaman dahulu mukim Lambor Kiri adalah lebih luas di masa tebing sungai disebelah kiri Sungai Perak di situ belum lagi mula rebak sebagainana yang akan diceritakan dan penduduk-penduduk lebih ramai daripada sekarang terutama negeri ini tiga keturunan daripada masa Tun Khamis yang bergelar Toh Maharaha Lambor memerintah di situ dan terkemudian daripada itu.

 Dimasa itu boleh dikatakan mukim itu adalah satu tempat tumpuan orang-orang dari tempat-tempat dan negeri lain berpindah dan beranak-isteri di mukim itu dan meninggalkan zuriat mereka daripada mereka itu termasuklah orang berniaga daripada bangsa-bangsa lain seperti bangsa Tionghua yang menjalankan perniagaan mereka termasuk tukang-tukang emas dan barang keperluan yang setengah daripada mereka langsung memeluk Islam serta berkahwin dengan gadis-gadis atau kaum perempuan tempatan dan meninggalkan zuriat mereka.  Seorang daripada mereka itu yang datang awal harus berkurun dahulu diceritakan ialah seorang yang datang berniaga dengan membawa beberapa ekor kerbau yang hendak dijual kepada orang-orang kampong.  Berkebetulan pada masa itu mula tiba di situ, maka hujan turun dengan lebat.  Ia datang menemui Tok Penghulu atau ketua mukim itu meminta tolong.  Katanya “Oh! Latuk pinjam kajang kerbau laman sutah basah (Oh! Dato’ pinjam kajang kerbau dihalaman sudah basah kena hujan)” ia meminta tolong melaung-laungkan rayuan kerana pada sangkaanya hujan adalah merbahaya, boleh mendatangkan penyakit kerana di tempatnya kerbau lembu berkandang di bawah tempat yang beratap.

 Diantara mereka daripada negeri lain yang datang berhijrah mulanya ke Lambor Kanan dan daripada zuriat mereka datang pula ke Lambor Kiri ialah satu keluarga daripada negeri Pahang yang langsung duduk beranak-anak cucu di situ yang tidak balik ke negeri mereka yang asal.  

bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 10 June 2013

KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI (Sambungan 3): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


 Satu lagi riwayat yang lain tetapi harus berlaku bukan di masa pemerentahan Al-Marhum Sultan Muzzaffar Shah tetapi terjadi di negeri ini jua tempoh hari ialah pada satu masa Orang Besar negeri Kedah daripada sebelah utara jua telah datang ke Perak hendak mencari sebab atau punca hendak melanggar dan menaklukkan negeri Perak.  Mereka telah jua disambut dengan cara aman, oleh itu mereka pihak Orang-orang Besar negeri Kedah itu tidak dapat menyalahkan apa-apa untuk mencari sebab atau punca perselisihan.  Pda akhirnya mereka bertanya “di antara Gunung Jerai di Negeri Kedah dan Gunung Kerbau di negeri Perak yang mana lebih tinggi?”  Soalan itu telah ternampak kepada Orang-orang Besar Perak iaitu jika mereka menjawab Gunung Kerbau lebih tinggi sebagaimana sebenarnya akan tentu jadi punca peperangan sebagaimana tujuan mereka Orang-orang Besar dan hulubalang daripada negeri Kedah itu, oleh itu mereka menjawab dengan muka yang manis ‘mana boleh lawan tinggi Gunung Jerai di negeri Kedah tetapi kami lawan Gunung Kerbau lebih panjang daripada Gunung Jerai dan dengan itu tidaklah jadi punca pergaduhan atau peperangan oleh itu Orang-orang Besar daripada negeri Kedah serta pengikut-pengikut merekapun kembalilah balik ke negeri mereka dengan cara persahabatan yang erat.



 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 3 June 2013

KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI (Sambungan 2): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


 Satu riwayat menceritakan iaitu setelah terdengar khabar ke Negeri Siam iaitu setelah Sultan Muzzafar Shah ditabalkan sebagai Sultan yang pertama negeri Perak maka askar-askar daripada negeri Siam telah dihantar untuk melanggar dan menakluk negeri Perak yang baru sahaja berkerajaan sendiri.  Mereka datang dengan angkatan yang besar dan Sultan Muzzafar Shah serta orang-orang Perak telah sambut mereka cara damai.  Mereka sediakan makan minum dan tempat-tempat bagi askar-askar itu.

 Orang-orang Perak telah masakkan berkawah-kawah nasi dengan bertungkukan buah-buah sukun yang besar yang dipetik daripada pokok-pokok buah itu yang banyak disekeliling itu.  Buah Sukun yang dijadikan tungku itu sudah masak dan sedap dimakan maka mereka-mereka orang Siam yang memerhatikannya hairan melihat perkara itu yang mereka anggap ganjil kerana mereka menyakkakan ubi yang biasanya jadi di dalam tanah telah berpokok pula. Selepas mereka askar-askar Siam itu dijamukan makan-minum maka disediakan pula tempat mereka hendak tidur.  Oleh itu, telah disediakan satu tempat yang lapang dengan bertikarkan daun jelatang gajah yang banyak tumbuh dekat situ.  Apatah lagi apabila mereka tidur di malam itu maka masing-masing mereka telah dijangkit penyakit yang amat gatal oleh kerana tubuh mereka bersentuh kepada tikar-tikar jelatang gajah itu sehingga mereka masing-masing tidak tertahan lagi lalu terjun ke Sungai Perak yang berhampiran yang terlalu deras airnya dan setengah daripada mereka telah hanyut dibawa arus yang deras itu dan langsung ghaip.  Mana-mana yang ada tinggal lagi terus cabut lari pada malam itu jua kerana mereka telah memikirkan iaitu alangkan daun kayu kayan yang tumbuh di negeri itupun lalu melawan mereka dan tungku-tungku tempat mereka memasak nasi pun boleh dimakan apatah lagi orangnya melawan berperang. Tentulah mereka tewas.  Hingga masa ini tempat itu yang dinamakan Parit Siam masih ada lagi di Kampung Sedingka disebelah utara dan berdekatan dengan makam Al-Marhum Tanah Abang.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA