Total Pageviews

Monday 26 March 2012

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Di antara beberapa kali saya mengikuti guru besar saya ke sana ke mari ke mana juga ia pergi, maka saya tidak boleh lupakan satu peristiwa yang mengelikan hati.  Pada kali ini seorang budak yang lain lebih kecil daripada saya tetapi berazam sangat hendak melihat pekan dan sanggup berjalan kaki daripada tempatnya Telok Bakong ke Tronoh melalui dan mengikut jalan simpang-siur, jalan penarik kerbau.  Ia adalah seorang budak namanya Alang (ada lagi namanya penuh tetapi saya berasa segan hendak menerangnya).  Ia duduk di seberang sungai, iaitu kampong Telok Bakong.  Ia datang ke Lambor Kiri dan duduk bersama Tok Guru, Guru Quran kami di Sekolah Melayu Lambor Kiri.  Namanya Imam Gamat yang duduk di Kampung Bakong iaitu di seberang tempat rumah ibu bapanya di Telok Bakong.  Di masa itu belum ada lagi sekolah di Telok Bakong (Mukim Lambor Kanan).  Oleh itu, lebih senang ia datang menyeberang ke Kampung Bakong untuk belajar Quran pada malam hari daripada pergi belajar di Sekolah Lambor Kanan yang lebih jauh.

Pada hari yang ditetapkan ia pergilah bersama-sama kami ke Tronoh.  Apabila kami sampai ke Tronoh dengan berasa letih dan dahaga maka Cikgu kami belikan kami masing-masing segelas kecil aiskrim daripada Cina panjang.  Saya terperanjat bila ia gigit telinga saya sebelah kiri.  Katanya, “Aku sejuk sangat” rupanya dengan sekali gus saja dimasukkan semua aiskrim yang amat sejuk itu ke dalam mulutnya kerana ia belum mengetahui memakannya sedikit demi sedikit.  Selepas itu kamipun masuklah ke dalam stesyen keretapi Tronoh.  Sementara Cikgu kami pergi membeli tiket hendak ke Seputih, ia bertanya saya “apa merogasnya datang merayap itu?”  Jawab saya, “itulah keretapi yang akan membawa kita ke Seputih.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 19 March 2012

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Di awal tahun 1911, saya telah berhenti daripada mengaji Sekolah Melayu.  Dengan sokongan dan galakkan guru saya, maka saya telah cuba bekerja sebagai monitor yang sekarang ini dipanggil sebagai guru pelatih.  Murid-murid yang saya ajar kebanyakkannya daripada pangkat bapa-bapa saudara saya dan kebanyakkannya daripada mereka terus berhenti daripada mengaji sekolah kerana kata mereka “mengikut pengetahuan orang-orang tua tanda dunia hendak kiamat sudah sampai, iaitu anak-anak mengajar bapa-bapa.”  Selain daripada itu pula, murid-murid yang berpangkat adik-adik kepada saya suka menangis jika saya mengajar mereka dengan suara yang sedikit kuat yang mereka sangka saya marah.  Di masa itu baharulah saya teringat mengapa Cikgu Quran saya bengis kepada saya kerana di masa itu saya berhati benak atau bebal, susah hendak mengingat atau memahami apa-apa yang diajar kepada saya.  Tetapi sebaliknya selepas itu di masa saya mengajar di Sekolah Melayu saya tidak berasa susah sangat dapat mengerti apa-apa yang diajarkan kepada saya.  Oleh itu, saya fikirkan murid-murid saya pun berhati begitu jua.  Oleh yang demikian, saya terpaksa berhenti dan cuba pula cari kerja yang lain di pekan-pekan seperti kerja posman (penghantar surat di Pejabat Pos) atau seumpamanya sementara saya mengikuti guru besar ke pekan-pekan apatah lagi apabila saya tidak mengaji lagi di sekoalah.  Di awal tahun 1911, maka  sentiasalah saya mengikuti guru besar saya tiap-tiap kali ia pergi ke pekan untuk menerima gajinya yang masa itu dibayar di Sekolah Melayu Pekan Seputih.  Di masa itu terpaksalah berjalan kaki daripada Lambor ke Parit dan daripada situ dengan kereta kuda (Gharry) ke Seputih.  Ataupun daripada Lambor ke Tronoh dengan berjalan kaki daripada Tronoh ke Seputih dengan berjalan kaki atau menaiki kereta kuda.  Di masa itu belum ada lagi kereta motokar mengambil sewa.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 12 March 2012

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI
YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA

Sebagaimana yang telah disebutkan saya dan tiga orang murid yang lain ialah murid-murid yang pertama sekali lulus di dalam darjah lima daripada Sekolah Melayu Lambor Kiri di tahun yang awal peperiksaan itu diadakan.  Kami yang berempat itu ialah:-

1.      Ngah Mohd Talib bin Kulop Karap
2.      Alang Mat Jali bin Kulop Deris
3.      Itam Kanda (Itam Abdul Ghani) bin Kulop Ali
4.      Mohd Yaakob Ngah Abas

Dalam tahun 1910, mereka yang ketiga telah dapat pekerjaan kerajaan belaka, iaitu:-

1.      Ngah Mohd Talib bin Kulop Karap
Sebagai Kastam O.D.A.
2.      Alang Mat Jali bin Kulop Deris
Sebagai Guru Penolong
3.      Itam Abdul Ghani bin Kulop Ali
Sebagai Guru Penolong

Tetapi Alang Mat Jali bin Kulop Deris, abang saudara saya itu tidak lama ia dalam jawatan kerana ia ditukarkan ke tempat lain.  Pada masa itu gaji guru penolong amat rendah.  Sebaliknya, harga getah perca beratus ringgit sepikul lalu ia meletakkan jawatan.

Oleh itu tinggallah saya seorang diri menganggur.  Bagaimanapun, saya bagi kali yang ketiga telah sekali lagi masuk di dalam peperiksaan darjah lima di hujung tahun itu (1910) dan dengan senang telah sekali lagi lulus di dalam darjah itu serta mendapat sijil.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 5 March 2012

MELAWAT PULAU PINANG (Sambungan): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Apabila kami tiba ke pelabuhan kapal Pulau Pinang pada pagi besok kami dapati iaitu Bandar Pulau Pinang karam atau dibanjiri air.  Dikatakan itulah julung-julung kali berlakunya semacam itu di bandar itu dan kami tidaklah ketahui adakah disebabkan oleh air hujan atau disebabkan oleh air pasang laut.  Oleh itu tergendalalah kami hendak pergi ke Teluk Kumbar hari itu.  Bagaimanapun, pada petangnya baharulah air itu surut dan baharulah kami dapat menuju ke Teluk Kumbar tetapi di dalam perjalanan ke sana pun masih jua karam lagi setengah tempat dan kereta kuda yang kami sewa terpaksa mengaruk air di separuh jalan.  Keadaan di Teluk Kumbar pun kami dapati begitu juga.

Lebih sebulan kami duduk di sana dan semasa itu adalah jua kami keluar pergi ke Balik Pulau dan lain-lain serta melihat orang Melayu memukat ikan di laut.  Kami pergi Balik Pulau daripada Teluk Kumbar dengan jalan kaki mendaki bukit yang mereka kata ialah jalan yang lebih dekat.  Pada orang-orang yang lain ada bermacam pantang yang saya sendiri tidak faham.  Satu daripadanya jika hendak naik ke rumah naiklah terus supaya ikan di laut pun begitu juga terus masuk belat mereka.

Di akhir cuti iaitu pada 6 haribulan Syawal kami balik daripada Teluk Kumbar dengan membawa seguni ikan kering yang dibuat sendiri dan tidak begitu masin sebagaimana yang dijual di pasar-pasar dan boleh pula disimpan lama.

Kami terpaksa jua menaiki kapal laut pada masa kami balik daripada Pulau Pinang melalui pelabuhan Teluk Anson tetapi kali ini perjalanan di laut adalah tenang, tidak kuat ombak dan kapal yang kami naik pula terlebih besar daripada kapal Canton yang kami naiki tempoh hari.  Oleh itu tidaklah golek sebagaimana dahulu dan dapatlah kami berjalan-jalan ke sana-sini dengan amannya di atas kapal itu dan melihat sekelilingnya. 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA