Apabila kami tiba ke pelabuhan kapal Pulau Pinang pada pagi besok kami dapati iaitu Bandar Pulau Pinang karam atau dibanjiri air. Dikatakan itulah julung-julung kali berlakunya semacam itu di bandar itu dan kami tidaklah ketahui adakah disebabkan oleh air hujan atau disebabkan oleh air pasang laut. Oleh itu tergendalalah kami hendak pergi ke Teluk Kumbar hari itu. Bagaimanapun, pada petangnya baharulah air itu surut dan baharulah kami dapat menuju ke Teluk Kumbar tetapi di dalam perjalanan ke sana pun masih jua karam lagi setengah tempat dan kereta kuda yang kami sewa terpaksa mengaruk air di separuh jalan. Keadaan di Teluk Kumbar pun kami dapati begitu juga.
Lebih sebulan kami duduk di sana dan semasa itu adalah jua kami keluar pergi ke Balik Pulau dan lain-lain serta melihat orang Melayu memukat ikan di laut. Kami pergi Balik Pulau daripada Teluk Kumbar dengan jalan kaki mendaki bukit yang mereka kata ialah jalan yang lebih dekat. Pada orang-orang yang lain ada bermacam pantang yang saya sendiri tidak faham. Satu daripadanya jika hendak naik ke rumah naiklah terus supaya ikan di laut pun begitu juga terus masuk belat mereka.
Di akhir cuti iaitu pada 6 haribulan Syawal kami balik daripada Teluk Kumbar dengan membawa seguni ikan kering yang dibuat sendiri dan tidak begitu masin sebagaimana yang dijual di pasar-pasar dan boleh pula disimpan lama.
Kami terpaksa jua menaiki kapal laut pada masa kami balik daripada Pulau Pinang melalui pelabuhan Teluk Anson tetapi kali ini perjalanan di laut adalah tenang, tidak kuat ombak dan kapal yang kami naik pula terlebih besar daripada kapal Canton yang kami naiki tempoh hari. Oleh itu tidaklah golek sebagaimana dahulu dan dapatlah kami berjalan-jalan ke sana-sini dengan amannya di atas kapal itu dan melihat sekelilingnya.
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment