Total Pageviews

Monday 23 February 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 9): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Saya dapati ada sekolah-sekolah itu pula yang tidak menyimpan kira-kira wang langsung atau menyimpan kira-kira yang tidak sempurna.  Selepas satu-satu lawatan saya beri satu penyata kepada tuan Nazir Agung dan selepas itu tidaklah saya tahu apa-apa langkah diambilnya tetapi terkadang-kadang ada ternampak ia memanggil ketua sekolah itu ke pejabatnya, sama ada fasal itu atau perkara lain tidaklah saya tahu - keadaan ini ialah semasa saya berkhidmat di situ tempoh hari, tetapi tidaklah saya tahu keadaanya dimasa ini.    
bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 16 February 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:


(5) Sekolah Inggeris Private (Aided Mission School)

      Diantara Sekolah Inggeris, besar dan kecil - termasuk sekolah-sekolah private yang dibantu oleh kerajaan dengan cara dibayar bantuan 'Grant In Aid' kepada sekolah-sekolah itu termasuklah sekolah-sekolah yang bercorak ugama Kristian (Nasrani).

      Cara bantuan itu ialah dengan sekolah-sekolah itu menerima bantuan persekolahan daripada murid-murid yang belajar didalam sekolah itu, mengikut peraturan kerajaan itu bantuan yang diterima itu terpulang kepada sekolah-sekolah itu dan pihak kerajaan membayar baki yang tidak cukup bagi gaji guru dan sedikit sebanyak bayaran yang lain bagi menyara sekolah-sekolah itu selepas ditolak bayaran wang yang mereka terima bagi bantuan sekolah yang dikutip daripada murid-murid (school fees) sebagaimana yang disebutkan tadi.

     Gaji-gaji dan elaun yang dibayar kepada guru-guru yang dibayar di situ ialah mengikut sebagaimana peraturan (Scheme) kerajaan jua.

     Diantara tugas saya dimasa itu ialah pergi ke sekolah-sekolah termasuk sekolah-sekolah yang tersebut untuk memeriksa kira-kira kewangan dan laim-lain dan melihat cara menyimpan kira-kira. Apa yang amat menarik perhatian saya ialah gaji-gaji dan elaun yang dibayar kepada guru-guru daripada bangsa kulit putih sama ada bangsa Inggeris atau Amerika yang mengajar di sekolah yang tersebut tidak dibayar terus kepada guru-guru itu tetapi dibayar kepada ketua-ketua 'Brother Director' sekolah itu yang saya dapati pada lazim guru itu tidak menanda tangani surat bayaran gaji (paysheets) dan memadailah dengan tanda tangan Pengetua Sekolah yang telah saya sebutkan seorang saja - wang-wang itu selepas membayar keperluan guru-guru itu sedikit sebanyak seperti belanja makanan, pakaian dan sekali sekala pergi keluar dimasa penggal cuti persekolahan maka bakinya terpulang terus kepada sekolah sekolah itu setengah-setengah daripada guru-guru itu telah lama berkhidmat oleh itu menerima gaji yang tinggi hingga beribu ringgit pada sebulan yang dibayar bakinya sebulan seberapa tidak cukup oleh kerajaan.

     Selain daripada itu pula sekolah-sekolah itu menerima beberapa bayaran daripada murid-murid seperti bayaran permainan 'Games Fees' dan beberapa bayaran yang lain yang terpulang kepada sekolah-sekolah itu. Dengan cara ini sekolah itu biasanya mempunyai banyak wang yang terkumpul yang boleh digunakan bagi kemajuan sekolah-sekolah mereka dengan membesar lagi sekolah itu atau membuat sekolah-sekolah yang lain sambil menjalankan dakyah bagi memajukan ugama mereka ugama Kristian dan dengan cara inilah nampaknya dakyah mereka maju oleh kerana pengorbanan mereka terhadap pelajaran dan ugama.  .                

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
     Untuk makluman guru-guru tersebut merupakan mubaligh atau paderi Kristian yang ditempatkan oleh badan antarabangsa ugama mereka di sekolah-sekolah berkenaan. Kediaman atau tempat tinggal mereka adalah disediakan lazimnya di bangunan sekolah itu sendiri. Dimana kemudahan makanan, mencuci pakaian dan kebersihan kediaman disediakan.  Setiap mereka mempunyai bilek  atau ruang untuk kegunaan persendirian. Oleh itu keperluan kewangan mereka adalah minima berbanding dengan gaji yang diterima. Mereka mempunya sistem pentadbiran yang tersusun rapi diperingkat dunia, wilayah, rantau, negara dan daerah

Monday 9 February 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 7): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

 (4)   Guru-Guru Sekolah Melayu Darjah Khas (Special Grade)

         Pada awal perkhidmatan saya (1949) di situ, saya dapati tiga jawatan itu telah kosong beberapa tahun oleh kerana pemegang jawatan itu tempoh hari bersara dan saya kemukakan supaya jawatan itu dipenuh dengan menaikkan guru-guru yang lain - tuan Nazir Agung menjawab yang ia tidak dapat memenuhkan jawatan itu kerana katanya pada pandangannya tidak seorang pun daripada guru yang ada dimasa itu yang difikirkannya layak untuk dinaikkan kedarjah itu, bagaimana pun katanya ia masih lagi memikirkan perkara itu, barang kali tuan itu ketahui yang adik saya sendiri Ngah Mohd Tawi adalah diantara yang kanan sekali diantara guru-guru itu.  Tetapi apabila peraturan gaji (scheme-skim) baharu diluluskan bagi guru-guru Sekolah Melayu, tidak lama selepas itu maka didapati lebih daripada 60 orang guru itu yang ia fikirkan layak untuk mengisi 40 jawatan yang dinaikkan kedarjah itu mengikut bilangan guru-guru Sekolah Melayu dimasa itu.       

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan: 
Allahyarham Haji Mohd Tawi menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Telok Bakong daripada 13 Januari 1923 hingga 13 November 1942. Difahamkan semasa Allahyarham Haji Mohd Tawi bertugas di situ, pada satu pagi mendiang E.C. Hicks telah pergi ke sekolah tersebut. Beliau tiba pada pukul 7.50 pagi dan mencepatkan jamnya selama 10 minit. Bila bertemu dengan Allahyarham Haji Mohd Tawi, mendiang E.C. Hicks sambil melihat jam tangannya telah bertanya kenapa sudah pukul 8.00 pagi murid masih belum masuk sekolah lagi.  Allahyarham telah menjawab, "Maaf tuan, di sini tiada pejabat pos atau balai polis untuk dijadikan contoh. Di sini cuma ada Radio Malaya sahaja, jam saya malam tadi ikut jam Radio Malaya, belum pukul 8.00 lagi."

Monday 2 February 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

(3) Gaji Guru-Guru Pertukangan - Tukang Kayu (Carpenter)

           Demikian jua saya dapati tukang-tukang kayu yang mengajar disetengah Sekolah Melayu dibayar gaji dengan cara gaji hari sungguh pun ada peraturan (scheme-skim) adanya peruntukan bagi gaji yang tetap - apabila saya kemukakan perkara itu tuan Nazir Agung setuju membayar mereka dengan gaji yang tetap tetapi ia tidak bersetuju dibayar gaji terkebelakang (arrears) atau membayar tonggakan gaji mengikut lama bekerja, oleh itu seorang yang telah berkhidmat selama 28 tahun samalah gajinya dengan seorang yang baharu masuk bekerja dan kemudian daripada itu saja diberi kenaikkan gaji tahunan, sehingga akhir saya tidak dapat membetulkannya dan telah ternampak kepada saya iaitu tuan itu tidak sanggup bersoal jawab dengan pihak atasan.
bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan: 
     Kemungkinan besar mendiang E.C. Hicks tidak sanggup memberi gaji terkebelakang kepada Guru-Guru Pertukangan Kayu kerana bilangan mereka adalah lebih ramai jika dibandingkan dengan Guru-Guru Membuat Labu dan implikasi kewangannya adalah besar. Guru Membuat Labu hanya terdapat di Sayong dan Pulau Tiga sahaja, manakala Guru Pertukangan Kayu terdapat diseluruh negeri Perak.