Total Pageviews

Monday 28 July 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 9): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Untuk membakar atau merosakkan baki-baki wang yang ada lagi ditangan itu maka wang kertas (note) dan lain-lain itu terpaksa dibawa ke tengah padang untuk dibakar. Sebelum itu tuan Pegawai Jajahan yang menjalankan tugas itu ada berkata kepada kami yang ia berkuasa atau boleh memberikan wang-wang itu kepada sesiapa tetapi orang ramai akan tahu, oleh itu nyawa orang yang akan diberikannya wang itu akan terancam tidak akan selamat, oleh itu hendaklah ditunjukkan kepada orang ramai yang wang-wang itu atau apa-apa jua yang boleh berguna sudah dibinasakan dan itulah sebababnya dibakar ditengah-tengah padang yang luas dihadapan pejabat-pejabat. Begitupun tidak satu sen pun diberikan kepada kami-kami yang bersama termasuk ketua pejabat saya Bendahari Kecil dan seorang peon Lope Ahmad



   bersambung    
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

SELAMAT HARI RAYA 
MAAF ZAHIR BATIN  

 

Monday 21 July 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Di pejabat kami bekerja jua terus menerus hingga hari petang pada 24 Disember 1941, sebagaimana yang saya sudah pun disebutkan, sebelum cuti Kerismes dan pada petang itu Tuan Pegawai Jajahan bertanya saya dimana saya tinggal diwaktu malam dan saya beri ia tahu yang saya tidak lagi boleh duduk di rumah kerajaan dan sudah berpindah ke rumah  seorang saudara saya di Horley Road. Oleh itu ia terus meminta kepada saya sekelian kunci peti besi pejabat Perbendaharaan Kecil yang didalam tangan saya kerana katanya susah hendak mencari saya bila-bila dikehendaki terutama dimalam hari.

Dimasa itu baharulah saya tahu sedikit sebanyak huru-hara peperangan, ia itu pertamanya sekali pekakas kerajaan yang harus berguna hendaklah dibinasakan supaya jangan terlepas ketangan musuh untuk diguna melawan kepada ------, barang-barang yang dibinasa itu termasuk baki wang yang ada ditangan Bendahari Kecil dengan dibakar atau dirosakkan dan dimasa itu putihlah mata saya melihat dan sedikitpun saya tidaklah berani meminta apa-apa wang pendahuluan sebagaimana orang-orang lain.   


  bersambung
   
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 14 July 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 7): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

    
     Oleh kerana pihak tentera Jepun semakin sehari semakin dekat ke Telok Anson daripada sebelah hulu atau utara mengikut Sungai Perak dan dari sebelah laut sebelah hilir maka rumah saya itu dan demikian jua rumah-rumah yang lain terpaksa ditinggalkan kerana keadaan yang semakin genting. Saya cuba duduk menunggu rumah saya itu seorang diri sedang  saya pindahkan isteri dan anak-anak saya ketempat lain tetapi saya tidak boleh tidor waktu malam hari kerana terdengar ketelingan saya  bermacam bunyi didalam malam gelab gulita pula 

         Keadaan yang genting ini telah sampai sampai kepada pengetahuan  keluarga-keluarga saya di kampong. Oleh itu adik ipar saya Allahyarham Talib Ali bin Haji Mohd Zain telah datang ke Telok Anson daripada Lambor dengan menyewa sebuah sampan motor (motor boat) untuk membawa balik isteri dan anak-anak saya terutama yang masih kecil. Oleh kerana dimasa itu telah terjadi dharurat maka motor bot itu dapat singgah di jeti Pasir Berdamar saja tidak dapat dibawa mudik sedikit pun perkakas-perkakas rumah dan lain-lain kerana untuk pergi ke rumah saya di Jalan Court House terpaksalah mengelilingi tanjung dihujung Pasir Berdamar yang bergitu jauh dan mengambil masa berjam-jam. Oleh itu tidaklah ada kesempatan dan saya sendiri pun tidak dapat meninggalkan kerja saya tambahan pula masa pun sudah hampir petang untuk balik mudik begitu jauh, maka tinggalah saya di Telok Anson bersama-sama dengan anak-anak saya yang yang laki-laki yang sudah sedikit besar (Mohd Shamsudin dan Ahmad Tajuddin)     

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 7 July 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



         Sebagaimana yang saya telah sebutkan kami terpaksa bekerja pula dimasa itu daripada pagi hingga petang. Oleh itu tidak ada masa untuk dapat saya membuat apa-apa persiapan atau mengambil langkah untuk menyelamatkan diri dan barang-barang kepunyaan saya seperti perkakas rumah dan lain-lain, selain daripada itu pula saudara mara dan keluarga-keluarga saya pula yang berkhidmat ditempat-tempat lain, sama ada di jabatan kerajaan dan lain-lain pula datang membawa harta benda dan perkakas mereka untuk disimpan sementara di rumah saya semasa didalam peperangan itu, di rumah saya yang letaknya di tepi pantai Sungai Perak di Jalan Mahkamah (Court House Road) Telon Anson berdekatan dengan dan berhampiran dengan kediaman tuan Pegawai Jajahan.
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA