Total Pageviews

Monday 29 September 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:



 Apabila musuh yang diseberang sungai telah nampak orang-orang Melayu Lambor Kiri bersedia menentang mereka, maka dengan takdir Allah mereka pun nampaknya tidak berani hendak menyeberang sungai dan apabila hari sudah petang masing-masing pun pulang ketempat mereka dan didalam masa dharurat didalam pemerintahan Jepun tidak pula mereka cuba lagi hendak menyerang Lambor Kiri, sekadarkan telah kedengaran khabar menyatakan iaitu orang-orang Cina masih berdendam pertamanya kepada kami adik beradik dengar kata mereka yang mereka menanti sekiranya sesiapa daripada adik beradik iaitu anak kepada Haji Abas mudik daripada Telok Anson ke Lambor Kiri orang-orang Cina akan cuba membalas dendam mereka dengan apa-apa cara yang mereka hendak lakukan keatas kami adik beradik.


Sungguh pun begitu, daripada semasa kemasa kami mudik jua ke kampung mana-mana masa keramaian kenduri kendara, nikah kawin di kampung, tidaklah pula mendapat apa-apa ugutan, sekadarkan diakhir atau dihujung pemerintahan Jepun adik ipar kami Talib Ali bin Haji Mohd Zain telah ditangkap atau diambil oleh orang Cina serta dibawa ke darat dan sehingga masa ini tidaklah diketahui apa mereka lakukan keatasnya dan kami tidak ketahui dimana ia berkubur.


bersambung

  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
 

Monday 22 September 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:



Dengan itu masing-masing turun ke tanah dan terus ke luar pagar kawasan rumah. Tok Ketua Uda Baharum memberi tahu orang-orang Cina itu jangan gaduh dan ia akan muafakatkan perkara itu, dengan itu pun orang Cina itu pergi daripada situ.

 Pada sangkaan masing-masing perkara itu tamatlah disitu atau untuk sementara waktu, tetapi dengan tidak semena-mena atau tidak disangka-sangka telah kedengaran khabar yang dibawa oleh orang sebelah hilir kampung iaitu orang-orang Cina disebelah Pasir Kubu dikatakan telah berkumpul hendak menyerang Lambor Kiri dan semakin matahari naik tinggi pada 3.1.1942 dikatakan mereka telah berkumpul di Lambor Kanan bersama-sama dengan orang-orang Cina daripada Padang Changkat dan daripada tempat-tempat disebelah darat Lambor Kanan telah siapa sedia hendak menyeberang sungai untuk menyerang orang Lambor Kiri. Maka pada masa itu orang-orang Melayu Lambor Kiri telah gelisah tidak tahu apa hendak diperbuat. Maka bernasib baiklah ada seorang yang lebih pintar dan lebih ikhtiarnya daripada orang-orang lain iaitu Haji Abdul Aziz bin Abdul Salam, maka dengan perangsang daripadanya mereka yang laki-laki semua kalau ada dengan apa jua jenis senjata, senapang, bagi siapa yang ada menaruhnya keris, lembing, kapak dan apa-apa jua yang ada serta keluar beramai-ramai untuk menentang musuh yang telah ternyatanya di seberang sungai dengan ternampak mereka beramai ke hulu dan kehilir.




bersambung

  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
           

Monday 15 September 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:



Tok Ketua Uda Baharum pada mulanya bawa ketua Cina itu bersama-sama dengan kawan-kawannya dan perempuan Cina itu berjumpa dengan ibu mentua saya, pada mulanya di tepi sungai kerana masih pagi lagi. Selepas itu di tepi jalan luar pagar kawasan rumah, mereka ikut masuk kedalam pagar rumah dibawa oleh Ketua Uda Baharum. Apabila tiba ke tangga rumah hendak naik ke rumah maka ibu mentua saya merayu supaya jangan ia disalahkan diatas perbuatan budak-budak yang nakal itu dan daripada cahaya mukanya dengan jelas menunjukkan yang ia adalah didalam keadaan takut dan tiada pula siapa hendak membelanya. Saya sendiri dimasa itu didalam keuzuran kerana kaki saya semakin bengkak kerana jatuh daripada basikal tatakala melanggarkan sekawan kambing yang bermaharajalela di jalan raya Telok  Anson

Mereka semua naik keatas rumah dan duduk di atas kerusi di anjung rumah kerana merundingkan perkara itu diantara Tok Ketua Uda Baharumdan mereka orang-orang Cina itu. Tidak semena-mena ayah saya tiba naik ke rumah dan langsung ia tarik tangan Tok Ketua Uda Baharum dan tolak turun ke tanah sambil ia berkata, “Jika jadi satu pergaduhan atau satu-satu perkara di atas rumah siapa akan bertanggung jawab,’ kerana orang lain sekarang penghulu besok pergilah berjumpa dengan yang berkuasa.


bersambung

  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 8 September 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:



Selepas askar Jepun melalui tempat ini dengan sampan hilir ikut Sungai Perak, pada pagi 1.1.1942 itu pada malamnya itu jua barangkali setengah budak-budak nakal dikatakan telah pergi ke pondok tempat perempuan Cina itu duduk seorang diri di situ untuk menakuti didalam masa yang gelora peperangan yang baru meletus di negeri ini – apa yang telah berlaku sebenarnya tidaklah diketahui.

Pada pagi besoknya 2.1.1942 sebagai mana yang telah disebutkan, perempuan Cina itu telah pergi mengadu kepada ketua kaumnya mengatakan ia telah disamun atau dirampas oleh orang-orang Melayu dan habis harta serta wang ringgitnya. Maklum sajalah dimasa itu kongsi atau pakatan orang Cina sangat kuat.        

Orang Cina yang dikatakan ketua kaum mereka ini telah datang mengadu kepada Tok Ketua Kampung orang-orang Melayu yang dimasa itu bagi Kampung Tua Lambor Kiri ialah Uda Baharum serta menuntut kerugian perempuan Cina ini. Pada masa itu tinggal mentua saya Hajah Fatimah kerana mentua saya Haji Mohd Jabar Penghulu Mukim Lambor Kiri telah digantikan dengan orang lain dan jua ia telah meninggal dunia. 


bersambung

  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Monday 1 September 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG.

      Pada pagi besoknya 2.1.1941 pula maka satu kejadian yang buruk yang hampir menjadikan huru-hara sebuah kampong atau mukim Lambor Kiri. Apa kejadian yang dikatakan buruk itu? Adalah lebih kurang berikut. Seorang perempuan Cina yang sudah separuh umur atau hampir tua telah menumpang berkebun sayur di atas sekeping tanah kepunyaan mentua saya Haji Mohd Jabar di Kampung Lambor Kiri. Tanah itu seluas 10 ekar telah dibenarkan oleh kerajaan semasa ia menjadi Penghulu Lambor Kiri tempoh hari.

bersambung

  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA