Total Pageviews

Monday 25 August 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 13): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

      Askar-askar Jepun itu membuat kacau bilau dengan mengacau perempuan-perempuan yang mereka nampak dan memukul orang-orang laki-laki yang tidak memberi apa-apa benda yang mereka kehendakkan kerana orang-orang Melayu di kampung-kampung masing-masing tidak mengetahui percakapan atau bahasa mereka. Oleh yang demikian tidak dapat memahamkan apa-apa kehendak mereka dan orang-orang Melayu tidak berani berbuat apa-apa kepada mereka kerana ditakuti pancung kepala atau dibakar sebuah kampung itu.

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Terbitan akan datang bab baru.

Monday 18 August 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 12): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 
Pada pagi besoknya pada 1.1.1942 daripada subuh lagi terdengar heboh di sungai kerana askar Jepun telah mula sampai daripada sebelah hulu ikut Sungai Perak. Pada mulanya kami tidak berasa takut atau gentar mereka hilir dengan perahu mengikut arus sungai tetapi apabila sebuah daripada perahu kenaikkan mereka telah tersangkut ke pasir maka mereka telah naik ke darat dan membuat kacau bilau, maka baharulah masing-masing mengerti dan mula berasa takut. Oleh itu masing-masing lari ke darat kampung dengan membawa anak isteri masing-masing serta membawa barang kemas yang dapat dibawa. Nasib baik setengah daripada setengah keluarga kami telah berikhtiar mencari sampan untuk menungkak arus air sungai supaya sampai kenaikkan askar-askar itu boleh lalu terus tidak sangkut kepasir dan dengan itu askar-askar itu tidaklah singgah di kampung kami Lambor Kiri serta terpeliharalah kami daripada kacau bilau itu. Bagaimana pun semenjak itu berjagalah masing-masing untuk memelihara keamanan keluarga-keluarga dan kampong halaman masing-masing.


bersambung    
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 11 August 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 11): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

        Pada pagi 31.12.1941 baharu kami bertolak ke Lambor Kiri tetapi saya tidak lagi boleh berjalan kerana sebelum kami bertolak daripada Telok Anson maka pada pagi 31.12.1941 itu sebelum kami bertolak daripada Telok Anson saya telah pergi ke pekan Telok Anson dengan basikal daripada Changkat Jong Road untuk memerhati sesiapa orang daripada kampung saya dan di tepi jalan saya telah melanggar sekumpulan kambing yang tidak semena-mena lari menyeberang jalan di hadapan basikal saya, maklum sajalah dimasa itu kambing-kambing telah ditinggalkan oleh tuan punya untuk ianya melarikan diri dan kambing-kambing itu tidak berkawal lagi oleh itu saya telah terjatuh daripada basikal saya. Kaki saya telah tercedera dan telah jadi bengkak semasa kami berjalan daripada Telok Anson ke Pulau Tiga. Oleh itu keluarga-keluarga saya daripada Telok Sareh telah datang ke Pulau Tiga untuk membawa kami dengan basikal tua pertama saya yang telah uzur dan kami pun selamat sampai di kampung.     

   bersambung    
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 4 August 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 10): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Selepas pejabat ditutup pada 24.12.1941 pun saya tidak dapat balik ke kampung kami Lambor Kiri kerana dimasa itu tiada ada lagi motor bot tambang atau apa-apa kenaikkan yang lain untuk pergi ke sana, sungguhpun kereta motokar saya yang sudah dibaiki masih ada, tetapi tidak dapat digunakan kerana jalan motokar untuk pergi ke sana yang terus dimasa itu belum mula lagi dan terpaksalah melalui Batu Gajah dan Parit, dan daripada Parit ke Lambor Kanan saja (tidak ke Lambor Kiri) dan jalan-jalan itu tidak lagi dibenarkan lalu lintas lagi kerana tentera Jepun telah semakin dekat. Oleh itu kami telah terkurung di Telok Anson. Bagaimana pun kami tidak boleh lupakan ikhtiar yang dijalankan keluarga-keluarga kami di kampung untuk menyelamatkan kami kerana pada 30.12.1941 dua orang daripada keluarga kami iaitu Encik Uda Idris (sekarang Haji) dan Encik Mohd Jadi telah mari ke Telok Anson untuk membawa kami balik ke Lambor, setibanya saja mereka ke Telok Anson maka kami dengan serta merta ketika itu jua berjalan kaki dengan melalui Sungai Manik meredah ke hulu, kebetulan pula dimasa itu Sungai Perak (banjir air bah) maka kami terpaksa meraduk air hingga sampai kedada kami, melalui jalan kaki dan diwaktu malam hari itu kami sampai ke Pulau Tiga dengan pakaian yang semua kuyub. Didalam masa gelab gulita itu suara saya dikenal oleh Cikgu Amran yang kenalkan saya, ia dengan murah hati menyemput kami ke rumahnya dan dijamunya kami malam itu dimana kami langsung bermalam






   bersambung    
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA