Total Pageviews

Monday 27 August 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Surat itu sepatutnya memberi gembira kepada saya tetapi bagaimana pula saya berasa hiba dan tidak tertahan airmata saya kerana:-

(1)   Baru saya berfikir iaitu sekiranya saya dapat berjumpa O.A. pada hari saya berjumpa Tuan Residen itu sebelum pejabat ditutup hari itu harus saya tidak pergi ke mana-mana dan harus saya terus bekerja kerana sekiranya tuan itu jalankan seperti kebiasaan ditaruhnya surat itu di dalam tempat surat keluar (out-tray) maka surat itu akan berjalan seperti biasa.  Tetapi sebaliknya tuan itu suruh saya sendiri bawa surat itu untuk memperkenalkan saya kepada O.A.  Bagaimanapun, O.A. panggil saya bekerja di dalam masa seminggu saja dan kelewatan berlaku kerana saya tidak di alamat yang diberi.

(2)   Saya tidak menyagka yang saya boleh dapat pekerjaan di dalam sebegitu masa yang singkat.  Sungguhpun gajinya kecil pada mulanya tetapi besar maknanya iaitu pengajian saya telah mendapat penghargaan kerana dengan itu dapatlah saya berdiri di atas tapak sendiri dan tidak lagi bergantung dan berhamba diri kepada orang lain.

(3)   Baru saya mengerti iaitu orang-orang bangsa dan berugama lainpun lebih insaf kepada saya di masa itu.

(4)   Saya telah terpelihara daripada gangguan anasir yang lain untuk mendapatkan pekerjaan.

(5)   Dengan kelewatan saya mengambil kerja itu, nama saya telah terkebawah lebih daripada berpuluh orang lain dalam daftar jawatan saya dan keseluruhan masa saya di dalam jawatan saya terkebelakang untuk menaiki kelas di dalam jawatan.  Lagi pula, harus saya diiktiraf tidak berkehendakkan pekerjaan itu dan tempat saya diisi oleh orang lain kerena kelewatan itu.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 20 August 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Tugas saya selama di dalam perjalanan itu yang memakan masa selama 21 hari itu ialah untuk membawa beg pakaiannya.  Satu raga besar yang diisi sepenuh-penuhnya dengan lauk-pauk yang akan digunakan selama di dalam perjalanan itu iaitu daripada rendang pedas, sambal goreng dan lain yang boleh disimpan lama, untuk suruh-sarah pada umumnya.  Pada malam hari pula saya disuruh memicit seluruh badannya yang terasa letih dan sakit sebab berjalan dan menjalankan tugas sehari itu.  Maklumlah saja di masa seorang yang telah berumur tua dan apabila disuruh tidur barulah saya tidur.  Dan terkadang-kadang ia tertidur dahulu dan apabila telah larut malam jam 1.00 atau 2.00 pagi, baru ia terjaga balik dan baharu saya disuruh tidur.  Semua arahan saya perbuat dengan tidak mengelak, sayapun tidak tahu seolah-olah saya telah terkena ilmu dan cakapnya yang lemak-manis.

Di masa kami berada di pekan-pekan di masa kami tidak menumpang di rumah sesiapa, kami menumpang di atas loteng kedai orang India kedai kain, dan di masa itu saya biasa disuruh pergi beli sepinggan nasi untuk kami berikan dua dan lauknya ialah dihabiskan dahulu rendang pedas dan kemudian itu sambal goreng yang boleh lebih lama disimpan.

Daripada Kuala Kangsar baharu kami balik ke Taiping dan setiba saja di sana saya terus pulang ke tempat saya menumpang.  Saya dipanggil balik dan pada mulanya diberi saya upah 54 sen dan selepas saya hampir ke tempat saya menumpang dipanggilnya saya balik selepas ia tonggang balik uncang duitnya diberinya saya tiga sen lagi berjumlah 57 sen.  Saya berfikir bagaimana jadi saya dapat gaji atau upah sebanyak itu kerana jika saya dibayar tiga sen seharipun selama 21 hari daripada 10 Februari hingga 2 Mac 1916 tahun lompat (Leap Year), saya akan dapat 63 sen sekurang-kurangnya tidak kira overtime bekerja sampai jam 2 pagi jika ditolak saja, iaitu hari pergi atau hari balik.  Bagaimanapun, saya teringat iaitu, tolak dua hari minggu iaitu satu Ahad dan satu hari Ahad di Bukit Chandan tidak pergi ke mana-mana.  Wang tiga sen yang dibayar selepas saya dipanggil balik itu ialah bagi satu hari Ahad yang bekerja keras di Selinsing di masa ia menjamu pekerja-pekerjanya sebagaimana yang telah disebutkan.

Apabila saya sampai balik ke Taiping pada 2 Mac 1916, Tok Aki Tahir gaduh ke mana saya telah pergi, tidak balik begitu lama kerana sepeninggalan saya selama 22 hari itu telah diterimanya sepucuk surat untuk saya daripada Pejabat Setiausaha Residen dan surat itu bertarikh dua minggu yang telah lepas.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 13 August 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Kami lama tinggal di Jajahan Kerian.  Di masa itu peladang-peladang telah mula memajak bendang kepunyaannya.  Tengku sibuk mengarahkan orang-orang menajak bendang kepunyaannya yang luas di jajahan itu.  Saya tidak tahu samada orang itu dikerah atau diupah.  Tetapi dihari akhir sebelum kami bertolak daripada situ, berjanji akan memberi mereka makan dengan sekenyang-kenyangnya kerana pekerjaan itu hendak disiapkan pada hari itu jua sebab hendak ke tempat lain.  Tetapi saya berasa hairan kerana di rumah tempat menumpang pun tidak ada persiapan untuk menjamui orang-orang itu.  Saya berfikir di masjid pulalah agaknya dan di situ pun saya dapati begitu juga.  Saya tahu kerana saya pergi bersama dengannya.

Di waktu tengah-hari ia pergi lagi melihat orang bekerja di bendangnya dan demikian jua sekali lagi berjanji.  Pada waktu lebih kurang jam 3.00 petang sekali lagi saya pergi dan sayapun pergi pula bersama untuk membawakan satu bungkus berbalut kertas.  Bendangnya hampir siap dan selepas menanti setengah jam baharu siap dan iapun hendak menjamu orang itu sebagaimana janjinya.  Disuruhnya orang-orang itu berbaris dan daripada bungkusan yang disuruhnya saya bawa itu dikeluarkannya roti kepal seberat lebih kurang dua kati.  Ia beri tiap-tiap seorang dua keping roti yang nipis itu dan bulat rupanya.  Ada pula orang-orang yang dikenalnya yang diberinya tiga keping pada seorang selepas itu barulah masing-masing bersurai.

Pada pagi besoknya, kami bertolak terus ke Kuala Kangsar dan menumpang sebuah bilik di Istana Negara.  Selama kami di sana beberapa hari dan malam, Tengku pergi ke sana kerana melihat keadaan kebun-kebun getahnya di belakang Changkat Negara, Bukit Chandan di lereng-lereng bukit itu dan saya bersamalah pergi membuat kawannya menaiki bukit itu.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 6 August 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Selepas itu, disuruhnya saya sampaikan surat itu kepada O.A. selepas ia menulis sedikit perkataan di atasnya dan ditandatangannya.  Saya tidak tahu pula siapa O.A. itu.  Oleh itu saya balik pulang ke rumah Tok Aki Tahir.  Hendak bertanya orang lainpun berasa malu.  Oleh itu, saya lihat dan selidik betul dalam kamus Inggeris (English Dictionary) tetapi tidak jua saya dapat makna huruf potong itu.  Sementara itu, saya dapat membaca apa yang tertulis oleh Tuan Resident tadi.  Katanya:-

O.A.

Note his name for the first vacancy.

                                                            O.M.

Apabila Tok Aki balik ke rumah untuk makan tengah hari saya tanya ianya siapa O.A. itu.  Katanya, Kerani Besar pejabat secretariat itulah.  Saya jawab kerani besar dipanggil orang C.C. (Chief Clerk).  Oleh itu, katanya lagi assistantnya.  Daripada situ baharulah saya fahamkan maknya (Office Asst).  Pada pukul 2.00 petang itu saya pergi pula ke pejabat itu dan sebagaimana nasib pada pagi tadi begitulah jua pada petangnya.  Saya diusir daripada tangga pejabat itu bila saya sampai ke situ.

Pada pukul 5.30 petang, semua orang lain kecuali O.A. Mr M.S. Ariaady sudah pulang.  Di waktu itu, ia tinggal seorang dan tinggal ia mengunci pejabat sendiri.  Saya tunjukkan surat itu.  Ia marah mengapa pula begitu sudah lambat baru datang.  Saya jawab daripada pagi tadi saya sudah datang, tetapi diusir oleh pekerja-pekerja di pejabatnya.  Oleh itu, ia buka balik pejabat.  Diambilnya daripada saya surat permintaan saya itu.  Katanya ia akan jawab kelak.  Haripun sudah hampir malam.  Oleh itu, sayapun pulang balik ke rumah Tok Aki Tahir.

Pada masa itu, Tok Aki Tahir duduk di berek di belakang Istana Kelab sebuah rumah tumpangan raja-raja di masa itu di Taiping dekat dengan “Lake Garden”.  Selepas berjumpa dengan Tuan Resident itu dan pada pagi besok, saya bangkit untuk melihat sekeliling tempat itu.  Saya telah ternampak kepada seorang besar Perak yang saya tidak kenal.  Ia bertanya kepada Tok Aki Tahir – budak ini adakah bekerja dan jika tidak sukakah saya mengikutnya ke Pulau Pinang pada pagi itu.  Dengan tidak berfikir panjang lagi, sayapun bersetuju dan sebentar itu jua kami bertolak ke sana.  Sayapun tidak bertanya dan Tok Aki Tahir pun tidak memberikan saya tahu siapa ia dan saya pun tidak kenal.  Oleh itu, terkadang saya berbahasa tuan lepas itu pula engku dan tengku kepadanya.

Mula-mula kami terus ke Pulau Pinang dan bermalam di sana kerana ada urusan dengan Pejabat Boroh (Labour).  Selepas itu, kami terus ke Jajahan Kerian dan yang lama sekali tinggal di Selinsing.  Maka di sanalah baru saya tahu gelarannya. 


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA