Total Pageviews

Monday 31 December 2012

PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK DAN KELUARGA (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Sebagaimana yang telah disebutkan, saya biasa dilantik sebagai Bendahari atau Penyimpan Wang Yang Kehormat pada tiap-tiap tahun tetapi bagaimanapun saya teringat peristiwa di dalam satu mesyuarat Agung Ulang Tahun di mana seorang daripada ahli yang hadir telah bangun menentangkan yang wang saguhati yang dicadangkan oleh jawatankuasa syarikat itu bagi saya bagi tahun yang baharu lepas dikurangkan daripada $600.00 kepada $300.00.  Saya pandang kepadanya dan saya nampak ia bersungguh-sungguh dengan cadangannya itu dengan alasan yang menarik.  Oleh itu, saya telah minta izin Tuan Pengerusi Mesyuarat iaitu Tuan J.A. Miller Pegawai Jajahan Hilir Perak sebagai jawatannya Yang DiPertua Syarikat yang tersebut untuk saya meninggalkan mesyuarat itu supaya mereka dengan seluas-luasnya boleh membahaskan perkara itu sambil saya menerangkan iaitu saya telah dilantik oleh Mesyuarat Agung Ulang Tahun yang lalu dengan tidak apa-apa janji untuk dibayar sebarang wang sagu hati bagi perkhidmatan yang saya telah jalankan.  Oleh itu, sekiranya saya tidak dibayar apa-apa sagu hatipun, tidak mengapa.  Sekadarkan di masa hadapan, jika saya juga dilantik bagi jawatan itu, maka saya akan berfikir pula.  Tuan itu tidak benarkan saya keluar daripada mesyuarat sambil ia meminta jika ada sesiapa hendak menyokong bagi cadangan untuk pindaan itu.  Oleh kerana tiada sesiapa pun yang hendak menyokong cadangan bagi pindaan itu, maka cadangan itu gagal – tidak dibenarkan dan ia mempersetujukan cadangan awal (dengan tidak dipinda) dengan sebulat suara.

Semenjak itu, saya sentiasa dilantik sebagai Bendahari atau Penyimpan Wang Yang Kehormat syarikat yang tersebut kerana jasa dan kecekapan saya membuat pekerjaan itu.  Oleh kerana sebelum saya dilantik sebagai Bendahari maka Mesyuarat Agung Ulang Tahun selalu saja lambat hingga akhir tahun yang terkemudian kerana menantikan kira-kira wang tahunan diperiksa dan disahkan oleh Pemereksa Kira-kira Jabatan Kerjasama Perseketuan Tanah Melayu yang Bersekutu (F.M.S.).  Oleh itu, bayaran-bayaran sagu hati dan wang bahagian untung (dividen) biasa terlewat setahun terkemudian ataupun lebih.  Selepas saya dilantik maka saya dapat menyediakan kira-kira wang tahunan selepas saja akhir tahun itu dan biasanya pula awal hari dibuka pejabat di tahun yang baru, saya telah dapat menyediakan kira-kira wang tahunan dan dalam minggu yang awal di tahun baharu itu, saya sudah dapat bukan saja menyediakan kira-kira wang tahunan yang baharu lepas, tetapi juga penyata tahunan untuk Mesyuarat Agung di dalam bulan itu pula atau di awal bulan Februari dan selepas itu bayaran bahagian untung (dividen) dan lain dapat dibayar di dalam bulan Februari yang samasa dahulunya dapat dibuat selepas masa setahun atau lebih baru wang sagu hati dan bahagian untung boleh dibayar.

Untuk menyediakan kesemua ini dengan begitu cepat bukanlah senang dan orang lain harus tidak boleh berbuat demikian kerana kerja saya di pejabat Bendahari Kecil (Sub-Treasury) Kerajaan pun selalu sibuk dan selain daripada itu, saya juga selalu dilantik sebagai Bendahari Kehormat Kelab Melayu Hilir Perak (Lower Perak Malay Club) kerapkali juga sebagai Bendahari Yang Kehormat Masjid Melayu Teluk Anson dan apabila Bendahari Kecil (Sub-Treasurer) Hilir Perak bercuti daripada semasa ke semasa, saya pula memangku jawatan itu.  Lain pula saya dilantik sebagai Pemeriksa Kira-kira di pertubuhan-pertubuhan yang lain dan juga sebagai Pengerusi Malay Co-operative Store Teluk Anson.

bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA




Monday 24 December 2012

PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK DAN KELUARGA: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


BAHAGIAN KEDUA

PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK DAN KELUARGA




Sebagaimana yang telah terdahulu saya sebutkan, maka sayalah budak atau orang yang pertama meninggalkan Kampong Lambor Kiri untuk belajar di sekolah Inggeris di pekan dan sebagai pelajar Bahasa Inggeris daripada kampong saya yang dapat bekerja di pejabat kerajaan.  Semasa saya bekerja pada mulanya di Kuala Kangsar dan kemudian daripada itu di Kampar belum lagi beberapa ramai di dalam tanggungan saya yang hendak diberi pelajaran terutama pelajar di sekolah-sekolah Inggeris.  Begitupun saya berikhtiar untuk menambah pendapatan saya dengan jalan halal dengan cara sambilan dengan membawa kerja ke rumah di waktu malam untuk membuat atau menyediakan bil-bil bulanan atau sebagainya bagi pekedai-pekedai Cina atau lain yang saya kenal di pekan-pekan itu.  Saya tidak terima bayaran bulanan yang tetap tetapi minta bantuan apabila saya berkehendaki bagi membuat bayaran yang tertentu.

Di waktu saya mengaji sekolah Inggeris pun dengan dorongan dan ikhtiar seorang bapa saudara saya Tajul Arus, saya telah menjadi ejen tunggal kepada satu gudang di Ipoh iaitu “The Federal Rubber Stamp Co.” untuk menjual perkakas tulis-menulis dan sedikit sebanyak barang-barang yang lain seperti baju kemeja kepada pelajar-pelajar di Malay College Kuala Kangsar dan di sekolah tempat saya belajar.  Barang-barang yang saya jual itu amat laris kerana barangnya elok daripada barang yang didapati di pekan dengan harga yang amat berpatutan.  Barang-barang yang dapat saya sendiri jual diluar dan di kampong saya semasa sekolah saya bercuti daripada tumpah lelahnya dapatlah saya sedikit komisyen kerana kami tidak mengambil untung di atas harga jualan tetapi daripada barang-barang yang dijual kepada pelajar-pelajar di Malay College Kuala Kangsar maka bapa saudra saya itulah yang mendapat untungnya.

Keadaan ini telah berubah apabila saya bertukar bekerja di Teluk Anson kerana pekan itulah yang terlebih dekat dengan kampong saya Lambor Kiri.  Di masa itu selain daripada adik-adik dan anak-anak saya maka beberapa orang kanak-kanak daripada saudara-mara dan keluarga saya samada daripada pihak ibu atau bapa saya pun datang duduk di rumah saya untuk belajar sama di sekolah Inggeris ataupun di sekolah Melayu dan lain-lain, kecuali seorang berdua saja maka nampaknya masing-masing berjaya mendapatkan pekerjaan kerajaan dan masing-masing berjaya belaka dalam jawatan-jawatan masing-masing.

Pada masa mula saya tiba, saya jalankan sebagaimana yang saya telah perbuat sebagaimana di masa saya di Kuala Kangsar dan Kampar.  Tetapi kebetulan pula tidak berapa lama selepas saya bertukar ke Teluk Anson maka kerajaan telah membuka iaitu Pejabat Syarikat Kerjasama dan di antaranya ialah Syarikat Orang-orang Melayu Kerajaan Kerjasama Kerana Jimat Cermat dan Pinjam dengan Tangungan Berhad Teluk Anson.  Saya pada mulanya tidak mahu menjadi seorang ahlinya kerana saya tidak yakin lulusnya pada sisi Syarak menerima faedah di atas wang yang diberi pinjam kepada ahli-ahlinya tetapi selepas sedikit masa saya telah masuk menjadi ahli dan selepas itu  itu biasanya saya dilantik sebagai Penyimpan Wang Yang Kehormat.  Maka dengan perlantikan itu saya dibayar wang sagu hati diantara $300.00 dan $600.00 setahun pada akhir tiap-tiap tahun yang di masa itu bolehlah dipandang atau dikatakan tinggi dan dapat menampung keperluan saya.  Selain daripada itu pula, boleh mendapat bayaran bahagian untung (dividen) tahunan di atas wang simpanan saya sebagai ahli atau wang deposit yang tertentu (specific deposit)


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 17 December 2012

BERTUKAR KE TELUK ANSON (Sambungan): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Apabila saya balik ke situ, maka masing-masing bersetujulah tidak lagi bergaduh sama-sama mereka di masa hadapan.  Saya jelaskan kepada mereka yang saya belum lagi percaya akan boleh jadi aman mengikut sebagaimana yang telah berlaku di masa yang telah lepas.  Pak Man minta saya terangkan kepada mereka bagaimana cara yang saya kehendaki.  Saya beritahu mereka yang saya tidak mahu tahu siapa yang benar dan siapa yang salah.  Yang saya kehendaki ialah cuma orang-orang yang muda meminta maaf kepada yang lebih tua di hadapan orang ramai di situ sekarang.  Oleh itu terpaksalah keluar mulanya anak-anak dara mereka yang selalu menjadi punca pergaduhan yang lalu dan dengan cara itu habislah masing-masing semua keluar daripada rumah atau bilik mereka - tidak kira anak dara, janda atau bini orang - habislah masing-masing bermaaf-maaf di antara mereka,.

Setelah itu saya katakan lagi kepada Pak Man yang saya tidak lagi yakin aman atau selesai.  Pak Man garu kepalanya yang sudah botak sambil berkata apa lagi hendak dibuat.  Saya jawab jika mereka masing-masing hendak bedamai, saya akan beri wang saya sendiri untuk beli dua gantang pulut dan orang yang ramai hendaklah muafakat pada masa itu jua untuk membeli dua ekor ayam dan perkakas memasak yang lain.  Dengan serta merta mereka tangkap dua ekor ayam mereka dan disembelih sekejab itu jua dan jadilah pada petang itu satu kenduri yang bersejarah bagi orang-orang Melayu di situ, khasnya dan orang-orang lain di situ amnya.

Selepas itu pula pada pagi besoknya seorang daripada mereka telah berkejar dengan gopoh-gapah berjumpa saya di pejabat mengatakan kepada saya iaitu Abang Mat … ada di pintu jalan masuk ke rumah sakit itu hendak memukul ianya.  Saya pun pergi lihat daripada tingkat atas pejabat dan saya dapati sebenarnya orang itu ada di situ.  Saya kata, Mat Isa namanya – mike pergi unjuk tangan bersama dengannya, buat baik kepadanya dan jika ia pukul mike, maka saya dan sekelian yang ada di rumah sakit ini akan menjadi saksi sebelah mike.  Iapun pergi berbuat demikian tetapi tidaklah terjadi apa-apa.  Orang itu kata yang ia hendak berjumpa dengan adiknya (Mat….) dan ia lalu berpesan kepadanya untuk adiknya datang sebentar berjumpa dengannya.

Semenjak itu tidaklah terjadi lagi apa-apa pergaduhan di situ dan jadi terus aman dan jua hari itu dijadikan hari ulang tahun dan di hari yang sama mengingatkan hari yang bersejarah kepada mereka.  Bukan itu saja, maka dijadikan satu pakatan untuk mereka menyimpan wang bagi kegunaan mereka di mana-mana masa mereka berkehendakkan pertolongan atau di masa kecemasan kerana di masa itu belum ada lagi syarikat kerjasama kerajaan sebagaimana sekarang.

Saya bekerja di rumah sakit itu lebih daripada sepuluh tahun dan apabila saya telahpun bertukar daripada situ, mereka tidak lupakan saya bila-bila masa mereka mengadakan kenduri keramainan itu pada tiap-tiap tahun yang selalu mereka adakan sebagai berkelah di tepi sungai di situ.

Saya teringat peristiwa itu dan selama saya bekerja di situ bersama mereka apabila saya mengadakan kenduri-kendara, mereka semua bertungkus-lumus menolong saya dan pula membawa buah tangan sebagai tanda peringatan.

Oleh kerana masanya telah berpanjangan semenjak itu, iaitu telah lebih daripada 45 tahun yang lalu, maka kakitangan-kakitangan dan pekerja-pekerja di Rumah Sakit Teluk Anson daripada orang-orang Melayu yang berkhidmat di situ di masa itu tentulah kesemuanya telah berhenti kerja dan banyak pula yang telah meninggal dunia.  Oleh itu, saya tidaklah tahu lagi dan haruslah tidak lagi diingati dan diadakan kenduri hari ulang tahun yang bersejarah yang telah diadakan di masa dahulu beberapa tahun.  Bagaimanapun, keadaan di situ sebagaimana yang telah disebutkan telah jadi aman sentosa hingga masa ini.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA



Monday 10 December 2012

BERTUKAR KERJA KE TELUK ANSON: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


BERTUKAR KERJA KE TELUK ANSON

Sebagaimana yang saya terdahulu sebutkan saya telah ditukarkan daripada Rumah Sakit Kampar untuk bekerja di Rumah Sakit Teluk Anson dalam bulan September 1923.  Sebagaimana pepatah Melayu sebagai “belut pulang ke lubuk” kerana Teluk Anson ialah bandar yang dekat sekali dengan kampong saya Lambor Kiri dan boleh bertemu dengan orang daripada kampong saya setiap masa.

Pada masa saya mula sampai di situ, keadaannya lebih kurang serupalah jua sebagaimana keadaan mula saya tiba di Rumah Sakit Kampar.  Tetapi, apa yang amat menarik perhatian saya ialah persengketaan di antara orang-orang pekerja Melayu di situ yang amat kecil bilangannya.  Kerap-kali berlaku pukul-memukul atau pergaduhan di antara sama-sama mereka dan keluarga-keluarga mereka tidak berputus-putus pergaduhan-pergaduhan selalu berpunca daripada rumah mereka dengan cara sindir-menyindir bersama-sama ahli dan anak-anak pinak mereka.  Yang dijadikan bahan-bahan sindiran itu ialah ayam, kucing atau apa-apa jua.  Misalnya jika sekumpulan ayam mereka lalu di situ satu pihak menyindir.  Katanya, tengoklah ayam jalang itu pandai hendak ambil laki orang atau apabila dua ekor kucing berkelahi satu pihak menyindir. Katanya, “pandai muka hang pandai hendak ambil bini orang”, jadi di jawab oleh pihak yang lain yang dirasa dirinya kena sindir itu.  Katanya, “Apa hang kata, kurang hajak!” “Hang berani mai keluar, aku nak hajak hang”, dan dengan itu mereka bergumpal sehingga orang-orang lain datang beramai-ramai untuk melerai mereka daripada bergaduh.

Beberapa kali sudah saya cuba selesaikan terutama di dalam satu pergaduhan di antara dua pekerja di situ.  Pada satu pagi, saya panggil dua pekerja yang telah bergaduh sama-sama mereka.  Saya beri bermacam-macam nasihat yang saya tahu dan merekapun nampaknya bergembira dan maaf-memaaf dan sesudahnya berjabat tangan dan bersalam-salam sama mereka di hadapan saya.  Saya fikir selesailah sudah perkara itu di situ, tetapi pada petang itu jua sepihak yang bergaduh itu telah memukul anak muda laki-laki pihak lawan yang disyaknya mengadukan perkara itu kepada saya.

Saya tidak lagi tahu apa langkah hendak atau patut diambil.  Ada orang berkata iaitu pada masa itu 1923 ada kongsi gelab atau samseng di antara orang-orang Melayu di pekan itu.  Saya tidaklah dapat tahu benar atau tidak tetapi sendiri sudah berasa takut hendak pergi keluar ke pekan pada petang hari.  Bagaimanapun, saya tidak putus asa untuk mencari jalan bagi memadamkan perselisihan di kalangan pekerja-pekerja daripada orang-orang Melayu di situ.

Dengan tujuan itu, pada petang besoknya selepas pergaduhan itu berlaku, saya telah khabarkan kepada seorang yang tertua sekali daripada mereka di situ, iaitu Pak Man tukang masak Melayu di rumah sakit itu iaitu saya hendak berjumpa dengan mereka kesemua pada petang itu di hadapan rumah berek tempat mereka duduk selepas mereka masing-masing habis bekerja pada petang itu untuk berunding atau mencari jalan bagi memadamkan persengketaan di antara mereka yang ada.

Saya sudah sampai ke situ pada jam 5.00 petang lebih kurang dan merekapun hairan.  Nampaknya apa pula budak yang mentah ini dapat buat apa-apa.  Sayapun lambakkan apa yang ada di hati saya dan nampaknya mereka masing-masing berdiam diri saja.  Tetapi di akhirnya dengan serta-merta ada pula diantara yang ramai itu membawa parang keluar daripada bilik mereka dengan cakap yang kasar.  Saya cabut lari sambil berfikir, kearah pejabat tetapi sebenarnya saya sudah berasa takut.

   Orang tua Pak Man telah berkerian sesungguhnya suruh saya mari balik.  Ia kejar saya dari belakang.  Saya jawab iaitu saya tidak mahu balik kerana saya hendak beritahu (report) kepada Tuan Besar Rumah Sakit dan kepada polis untuk mereka datang bagi menyelesaikan pergaduhan di antara mereka di situ.  Orang tua Pak Man sudah jadi kelang-kabut dan ia minta bersungguh-sungguh jangan direportkan perkara itu kepada Tuan Besar dan polis dan meminta juga saya balik ke situ.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 3 December 2012

BERTUKAR KERJA KE RUMAH SAKIT KAMPAR (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

         
2.                  Di Pejabat Haiwan

Semasa saya bekerja di rumah sakit yang tersebut ada dua ekor lembu jantan dipelihara di situ untuk menarik kereta lembu yang membawa mayat-mayat orang yang mati di rumah sakit itu untuk ditanam di tanah wakaf perkuburan.  Kereta itu jua digunakan untuk membawa kayu yang diambil oleh penjaga kereta itu daripada hutan yang berdekatan untuk dijadikan kayu api bagi memasak makanan orang sakit di rumah sakit itu.  Pada mula saya tiba ke situ, saya pun diberi kayu api itu untuk dapur saya sebagaimana adat sebelum saya ke situ.  Tetapi saya kata tidaklah payah saya diberi kayu itu kerana saya tidak ada orang yang hendak memotong dan menariknya.  Oleh itu, saya tidaklah diberi lagi.

Lembu-lembu itu sudah tua tetapi masih gemuk lagi kerana diberi makan yang cukup daripada makanan lembu yang dibeli kerananya, selain daripada rumput yang disediakan.  Oleh kerana lembu itu kepunyaan kerajaan, maka selalulah dilawati oleh Tuan Penolong Pegawai Haiwan daripada semasa ke semasa.  Pada satu masa tuan itu memberi penyata (report) iaitu lembu-lembu itu sudah tua dan tidak boleh digunakan lagi.  Saya kata saya boleh cari orang kampung untuk membelinya dengan atau jika harganya berpatutan atau dijual dipajak potong dan dengan cara itu kerajaan pun tidak rugi.

Tuan itu tidak sekali-kali bersetuju.  Katanya lagi lembu-lembu itu sudah tua dan tidak boleh digunakan lagi kerana menyiksa binatang iaitu kejadian tuhan jua yang tidak boleh berkata untuk membela diri sendiri dan jika disembelih dagingnya tidak lagi layak dimakan oleh maknusia.  Oleh itu, hendaklah ditembak untuk menamatkan penderitaannya (orang kerajaan bila cukup umur diberhentikan dengan diberi saraan).  Binatang-binatang tidak siapa hendak menyara bila sudah tua tidak boleh bekerja lagi.

Pada satu petang, sampailah masanya untuk dibawa kedua ekor lembu itu ke tanah wakaf perkuburan untuk ditembak dan ditanamkan yang akan didaksikan oleh Tuan Penolong Pegawai Haiwan.  Saya tidak lalu hati hendak melihatnya dan saya pergi terkemudian daripada itu menyaksikan lembu-lembu itu sudah ditembak dan ditanam.

Apabila tugas itu telah dijalankan, haripun hampir gelab malam dan masing-masing bersurai balik pulang ke rumah masing-masing.  Di antara mereka pekerja-pekerja di rumah sakit itu yang pergi bersama untuk bertugas menanam lembu itu ada yang meminta kebenaran daripada saya untuk mengambil hati lembu-lembu itu untuk mereka.  Saya tidak bersetuju dan tidak berani membenarkannya.

Pada fikiran saya habislah sudah riwayat kedua ekor lembu itu.  Tetapi selepas tiga bulan daripada itu, tatkala saya pergi melawat rumah-rumah berek tempat duduk pekerja-pekerja rumah sakit itu yang letaknya di luar kawasan rumah sakit itu, saya mencium bau yang busuk.  Saya siasat daripada mana datangnya bau itu dan mereka masing-msing yang duduk di situ berdiam saja tetapi seorang daripada mereka yang harus tidak mencampur tangan dalam perkara itu memberitahu saya iaitu selepas saja kami balik selepas menanam kedua-dua ekor lembu itu, pekerja-pekerja di situ pergi balik ke tempat itu.  Mereka korek balik lubang-lubang itu.  Maklum sajalah kerana baru saja di timbus.  Pada mulanya mereka lapah kedelapan peha dan kaki kedua ekor lembu itu serta dengan kulitnya sekali kerana hendak segera.  Mereka berbagi di antara mereka sepeha seorang.  Apabila pekerja-pekerja yang lain pula dapat khabar itu, mereka pula bawa pisau masing-masing dan lapah seberapa yang dapat.  Oleh kerana di masa itu gelab gulita dan masing-masing berdulu-dulu dan bersungguh-sungguh pula berkehendakkan diging lembu itu, maka mereka pun lapah dengan kulitnya sekali.  Selepas itu selain daripada yang mereka buat gulai dan rendang mereka buat pula pekasam dan ada pula yang menjemur kering daging itu untuk disimpan lama.  Pendek kata, sudah tiga bulan mereka tidak pergi pasar untuk membeli daging dan ikan.

Yang anihnya tidaklah pula siapa-siapa pun daripapada mereka dapat sakit disebabkan memakan daging lembu yang terdahulu dikatakan tidak layak lagi dimakan oleh maknusia.
 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA