Total Pageviews

Monday 25 November 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 6): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Peristiwa yang berlaku selepas itu telah tercatit di dalam buku-buku tawarikh atau sejarah maka tidaklah payah diulangi bagaimana pun disebutkan juga serba ringkas yang ada sedikit dengan riwayat ini. 

Diantara peristiwa  yang terjadi ialah, Raja Muda Abdullah telah meminta bantuan daripada Kerajaan Inggeris dan dengan sebab itu Gabenor Negeri Selat Sir Andrew Clarke yang baru sampai telah datang ke Pangkor pada 15 Januari 1874 kerana berjumpa dan bermesyuarat dengan Raja Muda Abdullah dan Orang-orang Besar negeri Perak.  Sebagai hasil perjumpaan itu pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor (Pangkor Treaty) telah diperbuat di antara Kerajaan Inggeris dengan pihak Raja Muda Abdullah yang telah mengangkat Raja Muda Abdullah menjadi Sultan Perak.  Bendahara Ismail bekas Sultan dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda dengan bersara.

Kerajaan Inggeris telah menghantar seorang pegawai bernama J.W.W. Birch sebagai Resident British yang pertama.  Tidak berapa lama kemudian telah bangkit perselisihan di antara Sultan Abdullah dan Tuan Birch dan diakhirnya Tuan Birch telah terbunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Peperangan telah berlaku selepas itu dan akibat daripada peperangan itu Sultan Abdullah telah tertawan dan diasingkan ke Pulau Syechellis berdekatan dengan Benua Afrika bersama Orang Kaya Menteri dan Orang Kaya-kaya Laksamana dan Shahbandar.

Bekas Sultan Ismail telah diasingkan ke Johor dan bersama-sama mengiringi baginda ialah Toh Nara Diraja Dayan dan Toh Maharaja Paduka Alang Abu Kassim keduanya daripada keluarga kami daripada Lambor Kiri.  Bekas Sultan Ismail telah mangkat dan dimakamkan di sana sebagai Al-Marhum mangkat di Skudai.  Toh Seri Nara Diraja Dayan pun telah meninggal dunia serta berkubur di Johor tidak balik ke Perak tetapi anaknya Mohd Yatim dan balunya Toh Nara Suri Long Madin balik ke Perak selepas itu.


bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Monday 18 November 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 5): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Sebagaimana diriwayatkan keadaan semacam itu telah memakan masa beberapa hari pula.  Bagaimanapun, sementara itu Toh Dewa tidak juga jemu berulang alik di antara kedua pihak yang daripada jauh sudah jadi dekat dan membawa perutusan daripada satu pihak ke pihak yang lain itu.  Tetapi malangnya, sebagaimana yang telah disebutkan di atas tadi kedua pihak telah enggan bertemu dengan alasan masing-masing iaitu, pihak Raja Muda Abdullah berkata jika sebenarnya pihak Sultan Ismail bersungguh-sungguh hendak menyerahkan kuasa dan barang-barang perkakas kerajaan kepadanya, mengapa pula ia enggan menemuinya pada hal daripada jauh ia sudah datang berangkat mari.  Sebaliknya pula, pihak Sultan Ismail pula begitu juga berkata, jika sebenarnya Raja Muda Abdullah hendak datang mengadap dengan aman untuk mengambil barang-barang perkakas kerajaan dan hendak berunding dengannya mengapa pula ia enggan mudik sedikit pada hal dari jauh ia sudah berangkat mudik. 

Demikianlah diriwayatkan keadaan kedua pihak membuat dalih dan di akhirnya pada satu pagi telah kelihatan perangkatan perahu-perahu Sultan Ismail bertolak hilir daripada kepala pasir menuju kepada kenaikan Raja Muda Abdullah sambil hilir mengikut arus dengan tidak singgah di situ dan sementara ia melintasi kenaikkan Raja Muda Abdullah maka telah terdengar Sultan Ismail bertitah sekiranya Raja Muda Abdullah berkehendakkan gelaran dan barang-barang perkakas kerajaan maka bolehlah itu menuntut di hujung laras meriam dan senapang.  Dengan keadaan yang demikian, maka luputlah sama sekali pintu jalan perdamaian yang amat dikehendaki dan diikhtiarkan sebegitu lama.   




bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 11 November 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 4): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK





Pada mulanya, tiadalah ada apa-apa bantahan kerana mengikut satu riwayat perlantikan Sultan Ismail Muabidin Riayah Shah (1871-1874) sebagaimana yang telah disebutkan di atas ialah untuk sementara saja mengikut sebagaimana syarat dan penjelasan tatkala ia dilantik sebagai Raja Bendahara tempoh hari yang ia tidak akan boleh dinaikkan kepada jawatan atau gelaran yang lebih tinggi daripada Bendahara.  Tetapi apabila ia telah dilantik sebagai Sultan, maka perkakas kerajaan semuanya adalah di dalam tangannya dan ia tidak mahu menyerahkan kepada sesiapa dan ia telah mengambil sikap yang baru yang telah menjadi keadaaan bertambah tegang.

Dengan keadaan yang demikian, maka Orang-orang Besar Perak seolah telah tidak sanggup berbuat apa-apa dengan persengketaan yang boleh dianggap di antara sama keluarga Diraja dan harus jadi pula fikiran masing-masing telah berbelah bagi akibat daripada perselisihan itu.

Sebelum ini telah disebutkan iaitu di masa yang bergelora itu, maka moyangda-moyangda kami daripada Lambor Kiri iaitu Toh Seri Dewa Maharaja Panjang Ogek dan Toh Paduka Alang Abu Kassim serta moyangda saudara kami Toh Seri Nara Diraja Dayan yang memegang gelaran-gelaran atau jawatan-jawatan yang tersebut terpaksalah bersama-sama bertindak terutamana sekali iaitu Toh Dewa Maharaja Panjang Ogek yang telah mengambil peranan yang cergas yang telah bersusah payah tidak kira penat lelah bagi mengikhtiarkan supaya kedua belah pihak Sultan Ismail dan Raja Muda Abdullah mahu berunding sama-sama mereka untuk menyelesaikan perselisihan di antara mereka (riwayat ini ada tercatit di dalam buku tawarikh Negeri Perak, karangan ahli-ahli tawarikh di masa itu daripada orang bangsa Inggeris).

Untuk menjayakan tujuan atau cita-cita itu amatlah susah kerana di masa itu sebagaimana yang telah disebutkan maka perjalanan daripada Batak Rabit, Hilir Perak tempat semayan Raja Abdullah dan Sayong tempat semayam Sultan Ismail selepas ia ditabalkan yang begitu jauh cuma adalah sampan ikut Sungai Perak dan ia terpaksa berulang alik beberapa kali yang makan masa bertahun dan baharu pada akhirnya ia berjaya mempengaruh dan melembutkan hati kedua belah pihak untuk mengadakan satu perjumpaan di satu tempat di Belanja kerana dikatakan pihak Sultan Ismail telah bersetuju menyerahkan kuasa dan perkakas kerajaan yang dikusainya kepada Raja Abdullah.  Maka dengan tujuan itu, Raja Muda Abdullah telah berangkat mudik daripada Batak Rabit, Hilir Perak ke Belanja dan Sultan Ismail telah berangkat hilir daripada Sayong, Kuala Kangsar.  Tetapi, malangnya apabila kedua perangkatan itu tiba di Belanja, maka pihak Sultan Ismail telah singgah berlabuh di Kuala Pasir sebelah hulu dan pihak Raja Muda Abdullah pula singgah di Hujung Pasir di sebelah penyisir dan masing-masing telah jadi enggan hendak berangkat ke tengah pasir untuk perjumpaan yang sangat dicita dan dikehedaki itu.

bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri

HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 4 November 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 3): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK




Raja Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit, Hilir Perak tidak pula dapat mudik ke Sayong, Kuala Kangsar oleh kerana beberapa sebab antaranya:-

(1)               Perselisihan rumah tangga sendiri yang berpunca daripada isterinya Raja Tipah iaitu anahanda  kepada Al-Marhum Sultan Ali yang mangkat kerana semasa itu baginda masih gering lagi. Raja Tipah sudah berulang-ulang mengajak Raja Muda Abdullah suaminya berangkat mudik ke Sayong, Kuala Kangsar untuk melihat ayahandanya semasa gering.  Maka Raja Abdullah sehari ke sehari bertangguh hendak berangkat.  Boleh jadi sebab sebab memikirkan payah dan jauh sangat perjalanan dan pula tidak disangkakan kemangkatan itu berlaku. Raja Tipah telah merajuk lalu melarikan diri daripada Batak Rabit dengan Raja Daud saudara Raja Mahadi, orang kuat Selangor.

(2)               Raja Muda Abdullah harus tidak berani sebab takut Raja Yusof yang bersemayam di Singgang, di tengah jalan yang telah mengugut tempoh hari oleh itu Raja Muda Abdullah telah teragak agak mana langkah yang patut diambil lebih dahulu.

(3)               Tambahan pula perjalanan daripada Batak Rabit, Hilir Perak ke Sayong, Kuala Kangsar sejauh hampir 100 batu jauh kerana dimasa itu bukan bagaimana sekarang jalan ke sana ialah dengan bergajah atau dengan sampan mudik ikut Sungai Perak bergalah saja, yang akan memakan masa dan Orang-orang Besar Negeri semuanya telahpun pergi ke sana terlebih dahulu.  Oleh itu harus tidak ada siapa daripada Orang-orang Besar atau orang-orang yang boleh diharapkan hendak mengiringinya.

Sementara itu, Orang-orang Besar Perak bosan menanti keberangkatan Raja Muda Abdullah sehingga 32 hari (dan setengah riwayat berkata 40 hari) tidak jua tiba.  Oleh itu, mereka itu telah melantik Raja Ismail sebagai Sultan untuk sementara waktu bagi meluluskan mengisiytiharkan permakaman jenazah Al-Marhum Sultan Ali – Al-Marhum yang telah begitu lama ditangguhkan.

bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri

HAK CIPTA TERPELIHARA



SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH