Total Pageviews

Monday, 18 November 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 5): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Sebagaimana diriwayatkan keadaan semacam itu telah memakan masa beberapa hari pula.  Bagaimanapun, sementara itu Toh Dewa tidak juga jemu berulang alik di antara kedua pihak yang daripada jauh sudah jadi dekat dan membawa perutusan daripada satu pihak ke pihak yang lain itu.  Tetapi malangnya, sebagaimana yang telah disebutkan di atas tadi kedua pihak telah enggan bertemu dengan alasan masing-masing iaitu, pihak Raja Muda Abdullah berkata jika sebenarnya pihak Sultan Ismail bersungguh-sungguh hendak menyerahkan kuasa dan barang-barang perkakas kerajaan kepadanya, mengapa pula ia enggan menemuinya pada hal daripada jauh ia sudah datang berangkat mari.  Sebaliknya pula, pihak Sultan Ismail pula begitu juga berkata, jika sebenarnya Raja Muda Abdullah hendak datang mengadap dengan aman untuk mengambil barang-barang perkakas kerajaan dan hendak berunding dengannya mengapa pula ia enggan mudik sedikit pada hal dari jauh ia sudah berangkat mudik. 

Demikianlah diriwayatkan keadaan kedua pihak membuat dalih dan di akhirnya pada satu pagi telah kelihatan perangkatan perahu-perahu Sultan Ismail bertolak hilir daripada kepala pasir menuju kepada kenaikan Raja Muda Abdullah sambil hilir mengikut arus dengan tidak singgah di situ dan sementara ia melintasi kenaikkan Raja Muda Abdullah maka telah terdengar Sultan Ismail bertitah sekiranya Raja Muda Abdullah berkehendakkan gelaran dan barang-barang perkakas kerajaan maka bolehlah itu menuntut di hujung laras meriam dan senapang.  Dengan keadaan yang demikian, maka luputlah sama sekali pintu jalan perdamaian yang amat dikehendaki dan diikhtiarkan sebegitu lama.   




bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment