Total Pageviews

Monday 25 November 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 6): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Peristiwa yang berlaku selepas itu telah tercatit di dalam buku-buku tawarikh atau sejarah maka tidaklah payah diulangi bagaimana pun disebutkan juga serba ringkas yang ada sedikit dengan riwayat ini. 

Diantara peristiwa  yang terjadi ialah, Raja Muda Abdullah telah meminta bantuan daripada Kerajaan Inggeris dan dengan sebab itu Gabenor Negeri Selat Sir Andrew Clarke yang baru sampai telah datang ke Pangkor pada 15 Januari 1874 kerana berjumpa dan bermesyuarat dengan Raja Muda Abdullah dan Orang-orang Besar negeri Perak.  Sebagai hasil perjumpaan itu pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor (Pangkor Treaty) telah diperbuat di antara Kerajaan Inggeris dengan pihak Raja Muda Abdullah yang telah mengangkat Raja Muda Abdullah menjadi Sultan Perak.  Bendahara Ismail bekas Sultan dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda dengan bersara.

Kerajaan Inggeris telah menghantar seorang pegawai bernama J.W.W. Birch sebagai Resident British yang pertama.  Tidak berapa lama kemudian telah bangkit perselisihan di antara Sultan Abdullah dan Tuan Birch dan diakhirnya Tuan Birch telah terbunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Peperangan telah berlaku selepas itu dan akibat daripada peperangan itu Sultan Abdullah telah tertawan dan diasingkan ke Pulau Syechellis berdekatan dengan Benua Afrika bersama Orang Kaya Menteri dan Orang Kaya-kaya Laksamana dan Shahbandar.

Bekas Sultan Ismail telah diasingkan ke Johor dan bersama-sama mengiringi baginda ialah Toh Nara Diraja Dayan dan Toh Maharaja Paduka Alang Abu Kassim keduanya daripada keluarga kami daripada Lambor Kiri.  Bekas Sultan Ismail telah mangkat dan dimakamkan di sana sebagai Al-Marhum mangkat di Skudai.  Toh Seri Nara Diraja Dayan pun telah meninggal dunia serta berkubur di Johor tidak balik ke Perak tetapi anaknya Mohd Yatim dan balunya Toh Nara Suri Long Madin balik ke Perak selepas itu.


bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


No comments:

Post a Comment