Total Pageviews

Monday 30 November 2015

SEKOLAH LATIHAN WANITA IPOH (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Selepas sebulan daripada itu saya tidak jua mendengar apa-apa perkhabaran daripadanya. Oleh itu saya telah hantar Allahyarham Ebrahim Karim seorang yang bangsa India kawan saya dimasa itu untuk berjumpa dengan adik saya itu di Kuala Lumpur dan baharulah saya dapat tahu yang ia telah bayar rumah dan harta itu sekembalinya saja ia daripada Hong Kong tetapi dengan harga yang asal iaitu $250,000 dan ia sudah pun jalankan rundingan dengan Setiausaha pertubuhan yang tersebut dimasa itu diatas perkara itu, bagaimanapun saya telah berasa gembira.
     Beberapa bulan kemudian daripada itu saya sekali lagi pergi ke Kuala Lumpur lalu melawat adik saya itu di pejabat dan dengan tidak disangka saya bertembung dengan Setiausaha pertubuhan yang tersebut ada di situ dan ia datang untuk meminta lagi tambahan bantuan sebanyak $150,000 untuk membaiki (Renovate) rumah itu dan untuk membeli perkakas-perkakas yang dikehendaki bagi menjalankan rancangan yang telah diperbuat atau dicadangkan. Saya nasihatkan kepadanya untuk berjimat cermat diatas perkara itu. Permintaan itu telah jua ada persetujukan. Selepas beberapa bulan kemudian daripada itu alhamdulillah cita-cita murni itu terutama cita (1) dan (2) sudahlah berjaya.  


bersambung

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Entry - 212

Monday 23 November 2015

SEKOLAH LATIHAN WANITA IPOH (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Selepas itu saya terus runding dengan adik saya Dato' Zainal Abidin bin Haji Abas yang semasa itu memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (Director of Social Welfare Services) Malaysia supaya rumah-rumah dan tanah itu dibeli oleh jabatannya untuk dijadikan rumah untuk pertubuhan bagi melatih perempuan-perempuan Melayu yang telah melarat disebabkan kesusahan hidup mereka atau sebagai sekolah latihan wanita-wanita.
     Tatkala mengemukakan cadangan itu diantara lain saya telah mengemukakan kaedah-kaedahnya iaitu:-
     (1)   Sebagai satu ikhtiar menebus harta-harta negara yang dimiliki oleh orang-orang bangsa asing
     (2)   Untuk faedah dan kebajikan kepada orang-orang Melayu sendiri
     (3)   Sebagai kenangan yang boleh dibanggakan oleh orang-orang Melayu kemudian hari diatas   jasa yang dijalankan olehnya.

Kebetulan pula dimasa itu adik saya itu hendak pergi keluar negeri - Hong Kong. Oleh itu ia berjanji dan mengaku membelinya selepas ia balik daripada sana bagi tujuan yang tersebut yang akan diserahkan serta dikelolakan oleh Pertubuhan Seruan Islam Perak.   

bersambung

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Entry - 211

Monday 16 November 2015

SEKOLAH LATIHAN WANITA IPOH (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Saya sebagai Setiusaha cawangan itu di Jabatan Hal Ehwal Ugama Perak telah dipanggil untuk merundingkan perkara itu, dengan terang saya telah menyatakan iaitu cawangan itu membeli harta-harta yang boleh mendapatkan khazanah dengan serta-merta seperti sewa-sewa daripadanya sahaja dan tidak upaya membeli harta sebagaimana yang hendak dijual itu kerana tidak dapat boleh disewakan untuk mendapat khazanah begitu sahaja tetapi harus berkemungkinan perbelanjaan yang banyak bagi membangun atau memindanya yang cawangan itu tidak akan berupaya membangunkan sebelum dapat digunakan untuk disewakan. Saya menambah lagi iaitu saya ada ikhtiar untuk membelinya dengan jalan lain, tetapi saya terangkan lagi iaitu saya menjalankan perkara ugama yang tidak membayar atau pun menerima sebarang wang komisyen diatas perkara semacam itu dengan tujuan harta-harta itu dapat dibeli dengan harga yang lebih murah dan dengan kenyataan saya itu Dato' Liew Why Hone telah menurunkan harga jualannya daripada $250,000 kepada $230,000 dan diserahkannya kepada saya sekelian surat-surat (termasuk pelan-pelan) yang berkenaan dengan harta itu untuk saya uruskannya.     

bersambung

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA



Entry - 210

Monday 9 November 2015

SEKOLAH LATIHAN WANITA IPOH: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Didalam tahun 1962 (atau dahulu daripada itu) Dato' Liew Why Hone telah datang mengadap Duli Yang Teramat Mulia Raja Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah  yang semasa itu memegang jawatan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak di pejabatnya di Ipoh. Dato' Liew Why Hone semasa itu ia adalah sebagai penjaga harta-harta seorang hartawan Cina Eu Tong Sen yang telah meninggal dunia beberapa tahun lepas dahulu dan tujuannya ialah untuk menjual rumah Eu Chateau dan tanah-tanah kawasannya kepada Cawangan Baitulmal, Zakat dan Fitrah Perak yang dimasa itu telah membeli beberapa buah rumah kedai batu dan lain di bandar Ipoh dan Kampar bagi disewa untuk menambah pendapatan dan harta cawangan itu

bersambung

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA


https://www.flickr.com/photos/geoff-inoz/7180453798/in/photostream/
Entry - 209 

Monday 2 November 2015

GURU-GURU UGAMA KERAJAAN (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Dengan rayuan itu maka tangga gaji guru-guru ugama telah diberikan pindaan yang berlipat ganda daripada tangga gaji mereka sebelum itu. Mereka dengan sukacitanya telah mengadakan kenduri kesyukuran dengan bebesaran selepas itu dengan mempersilakan pembesar-pembesar negeri dan orang-orang kenamaan.
      Semenjak itu, masa mereka mengajar telah diubah kesebelah pagi sebagaimana Sekolah-Sekolah Melayu (sekarang dipanggil Sekolah Kebangsaan) dibuka dan diatur cara baharu untuk membolehkan kesemua murid-murid disesebuah Sekolah Melayu itu dapat belajar perkara ugama termasuk membaca Quran dan mendapar sijil setelah seorang murid itu tamat,

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
     Dikatakan gaji permulaan guru-guru ugama tersebut telah dinaikkan daripada RM12 kepada RM120 sebulan. Ini adalah peningkatan sebanyak 10 kali ganda daripada gaji asal mereka.


Keluaran akan datang tajuk baru.

Entry - 208