Total Pageviews

Monday 30 April 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Persiapan pun disediakan dan bapa saya telah menyewa sebuah perahu besar yang beratap dan berdinding sebagaimana sampan-sampan yang disewakan di masa itu untuk menghantar saya ke Kuala Kangsar.  Ibu saya telah panggil ayahnya Ngah Kenta daripada Selat Pulau dan juga ninda saya Anjang Talib bin Toh Dewa yang di masa itu baru bersara daripada jawatan Penghulu Lambor Kiri pergi bersama untuk menyerahkan saya kepada datuk saudara saya Tok Aki Mohd Yatim di Kuala Kangsar.  Bapa saudara saya, Uda Kidin pergi bersama untuk mengemudikan sampan dan seorang lain diupah untuk menolong bapa saya bergalah sampan mudik ke Kuala Kangsar.

Kami bertolak daripada Lambor Kiri pada pagi 1.11.1911 dan sampai di Kuala Kangsar selepas dua malam di jalan.  Selepas berada di Kuala Kangsar selama tiga hari dan dua malam, masing-masing bertolak balik ke hilir ke kampung kecuali ninda saya Anjang Talib yang tidak lalu hati meninggalkan saya begitu begitu cepat.

Pada 11.11.1911, ninda Anjang Talib pula berkhabar kepada saya yang ia pun hendak balik dan di masa itu baharulah saya terharu tidak tertahan airmata sebab itulah kalinya baharu bercerai dengan ibu-bapa dan saudara-mara dan saudara daging dan akan tinggal jauh daripada kampung halaman pula di rantau orang.  Dengan keadaan yang begitu, maka ninda saya tidak lalu hati hendak meninggalkan saya tetapi sebaliknya dibawanya saya ke Bendang Kering Sayong ke rumah bapa saudaranya Ismail (bin Alang Ra’in).  Kami tinggal dua malam di rumahnya dan orang tua itu himpunkan pula sekelian anak-anak cucunya dan keluarganya ke rumahnya untuk diperkenalkan kepada kami.  Selepas itu pula, anak-anak cucu dan keluarganya pula menjemput kami ke rumah mereka, bergilir.  Kami pun pergi bermalam daripada satu rumah ke satu rumah hingga 30 malam berturut-turut, selain pula yang kami lawat pada siang hari.  Sementara itu, kami jua dapat menghadhiri beberapa perkahwinan di antara kaum-kerabat di situ.  Jadi selepas 33 hari dan 32 malam baharu kami pulang daripada menziarahi kaum-kaum kerabat yang ramai di Sayong.  Selepas itu, selama 1½ bulan baharulah ninda Anjang Talib balik ke Lambor Kiri.  Sekarang ini, orang-orang tua di masa itu sudah tidak ada lagi, maka hilanglah cerita kaum-kerabat kami di Sayong dan jua di tempat-tempat lain seperti di Singgang, Simat, Lempor kerana masing-masing tidak berkenalan lagi kerana oleh sebab adat purbakala ziarah-menziarahi daripada masa ke semasa sudah hapus.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 23 April 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Keluarga saya lebih suka jikalau saya masuk belajar Ugama Islam di Mardrasah Tuan Sheikh Mohd Salleh di Teluk Intan atau di tempat lain.  Saya pula tidak tertarik hati samasa saya mengaji Quran tempoh hari.  Saya berasa amat payah mempelajarinya.  Tambahan pula, mereka-mereka yang telah dahulu pergi belajar ugama masing-masing telah balik ke kampung selepas sedikit masa belajar saja sehingga dapatlah satu title (pangkat) “mengaji batang tiang, mengaji mencari tunang”, selepas mendapat tunang yang dihajati, maka tamatlah pengajian.

Dengan takdir tuhan yang maha kuasa, pada awal tahun 1911 telah bertukar ke Pejabat Jajahan Kecil Parit.  Seorang daripada datuk saudara daripada pihak bapa kepada ibu saya Tok Ki Mohd Yatim bin Toh Nara Dayan sebagai Pegawai Penempatan (Settlement Officer) orang kampung panggil ia raja tanah.  Ia duduk di pekan Parit dan selalulah ia datang ke Lambor kerana di masa itu banyak tanah hutan dibuka di Cangkat Melintang Lambor Kanan dan Paya Machang Lambor Kiri.  Dengan tidak diketahui oleh ibu saya, maka bapa saudara saya telah meminta sekeping tanah di Changkat Melintang di sempadan sebelah hulu mukim Lambor Kanan dan sudah ia bayar wang deposit.  Selepas itu, baharu bapa saya beritahu ibu saya.  Ibu saya tidak amat bersetuju kerana tempat itu ialah hutan belantara di masa itu dan jauh daripada tempat duduk dan menyeberang sungai pula.  Jika hendak menjadikan tanah itu terpaksalah berpindah ke situ.  Ibu saya terus meronta jalan kaki dan mujur pula ia jumpa sampan kenaikan ninda saudara saya itu di Bota.  Ia minta balik wang yang telah dibayar oleh bapa saya itu, jika sekiranya “ayahcik” bapa saudaranya itu tidak dapat memberi ia tanah yang dekat Lambor Kiri. Maka dengan sebab itulah ibu saya itu dapat tanah di Matang Gedepior di Lambor Kiri, tidak jauh dengan rumah tua tempat kami duduk.  Tanah itupun didaftarkan di dalam nama ibu saya sendiri.  Di dalam perjumpaan yang tidak disangka itu, bangkit soalan pengajian dan pengangguran saya.

Selepas itu datuk saudara saya itu telah datang ke Lambor Kiri beberapa kali bagi menjalankan urusan jawatannya sambil melawat kakaknya Long Fatimah binti Toh Nara Dayan dan abangnya Esa bin Toh Nara Dayan yang di masa itu masih ada hayat masing-masing lagi.  Di dalam masa percutian sekolah maka anak-anaknya pun mari bersama.  Maka, di dalam masa lawatan mereka itulah saya dapat berkenalan dengan bapa-bapa saudara saya itu yang di masa itu seramai empat orang:-

1.      Mohd Tajul Ariffin bin Mohd Yatim
2.      Ahmad Tajul Hasnan bin Mohd Yatim
3.      Mohammad Tajul Arus bin Mohd Yatim
4.      Ahmad Tajul Muluk bin Mohd Yatim

Saya sebenarnya tidak tahu siapa dan bagaimana pula membangkitkan soalan pengajian sekolah saya sendiri.  Saya fahamkan iaitu datuk saudara itu mengaku memasukkan saya belajar di sekolah Inggeris dan akan berikhtiar memasukkan saya ke Maktab Melayu (Malay College) Kuala Kangsar, jika boleh, di mana anaknya sedang belajar dan keluarga saya pun amat bersetuju.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 16 April 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

MENGAJI DI SEKOLAH INGGERIS

Awal tahun 1911 ialah tarikh yang bersejarah di dalam penghidupan saya.   Pada masa itu saya tidak lagi mengaji mana-mana sekolahpun dan kerja pun tidak ada.  Saya kerap dibawa oleh Guru Besar kepada kaum keluarganya.  Adik-adik perempuannya seorang bernama Topin Tengah.  Sayapun tidak tahu nama-nama ini nama panggilan sahajakah dan ada nama-nama mereka yang lain.  Bagaimanapun, masing-masing ada beranak-pinak belaka dan seorang daripada anak adiknya duduk bersama dan belajar di Lambor Kiri.

Seorang lagi anak Topin yang lain pula telah masuk belajar di Sekolah Inggeris di awal tahun ini, selepas sebulan daripada saya datang melawat lagi bersama Cikgu saya.  Di masa itu bertembung dengan seorang daripada kawan bapa budak itu yang datang melawat kawannya.  Harus jua kawannya itu ialah seorang kerani pejabat kerajaan.  Ia suruh anak saudara guru saya itu bawa buku-bukunya.  Ia suruh budak itu baca buku itu iaitu buku baca darjah satu.  Ia dapat baca dan dapat jawab soalan yang dikemukakan kepadanya di dalam Bahasa Inggeris.  Saya telah amat tertarik hati kerana di dalam masa sebulan saja ia sudah erti Bahasa Inggeris sedikit sebanyak.  Sebelum itupun semasa melawat Pulau Pinang tempoh hari, saya sudah jua tertarik hati kerana saya tengok anak-anak orang Cina yang kecil sudah dapat bertutur Bahasa Inggeris.

Guru saya itupun mengalakkan saya untuk belajat di Sekolah Inggeris dan ia sedia berunding dengan keluarganya untuk tempatkan saya tinggal belajar tetapi saya tidak berani tinggal dengan mereka kerana mereka adalah daripada keluarga yang lain dan bahasa yang dipakai di rumah merekapun saya tidak faham jika mereka bercakap di antara sama mereka.

Setengah daripada keluarga saya pula tidak berapa bersetuju bagi saya belajar Bahasa Inggeris, masuk Serani konon dan tidak pernah seorangpun daripada kampung atau keluarga kami yang telah masuk belajar di Sekolah Inggeris.  Sebelum itu, ada seorang telah masuk belajar di Sekolah Inggeris.  Ia telah meninggal dunia semasa ia mengucapkan dengan Bahasa Inggeris dan itulah sebabnya kata orang tua-tua di masa itu “masuk Serani”.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 9 April 2012

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Saya tertarik hati kepada satu kejadian yang mengelikan hati iaitu cerita tiga serangkai daripada orang kita Melayu.  Berlakunya cerita ini ialah di masa di Cangkat Melintang mula-mula menanam pokok getah para di situ.  Pada kali pertama getah mereka ditoreh dan dibekukan jadi getah berkeping-keping, mereka ketiga itu bermuafakat telah hendak menjualkan getah mereka ke bandar (pekan) pekan yang terdekat ialah Tronoh.  Jalan kapal ke Teluk Anson atau Parit belum lagi ada, mereka bawalah getah mereka dengan berkandar ke Tronoh.  Di masa itu, harga getah para amat tinggi sehingga dua ratus ringgit sepikul atau hampir sebanyak itu maka ketiganya orang gagah belaka, besar dan tinggi orangnya.

Selepas mereka jual getah mereka maka wang yang mereka dapat daripada jualan itupun beroleh sedikit wang kerana tinggi harga.  Oleh itu mereka berhajatlah hendak menjamu selera mereka.  Mereka ketiga pergi bersama-sama ke sebuah kedai nasi di pekan itu.  Mereka dibawa oleh tuan kedai itu ke dalam di mana ada satu meja dan empat kerusi.  Mereka tidak tahu apa hendak dibuat.  Seorang daripada mereka berkata “mika pergilah dahulu” dan begitulah berdolak-dalik di antara mereka dan sesudahnya seorang daripada mereka yang lebih berani, besar dan tinggi orangnya masuk dahulu.  Ia berasa serba salah adakah benda yang empat (kerusi) itu sebagai tangga hendak naik ke atas meja atau tempat berjuntai kaki bila sudah naik ke atas.  Demikianlah seorang demi seorang naik.  Sementara itu, tuan kedai pergi keluar untuk membawa juadah-juadah yang mereka kehendaki.  Mereka tidak terfikir yang kerusi itu ialah tempat meletakakn hidangan (untuk makluman kedai-kedai nasi di masa itu di situ memberi orang makan di atas pelantar dengan bersila.  Apabila mereka ketiga-tiga telah duduk di atas meja itu, ada yang bersila dan ada yang berjuntai, maka meja itu lalu roboh dan mereka ketiga jatuh tersepuh ke lantai oleh kerana meja itu tidak tertahan oleh keadaan keberatan mereka ketiga, sebagaimana yang telah dikatakan besar, tinggi orangnya dan kuat badan tubuh masing-masing.  Apatah lagi riuh rendah dan hebohkah tuan kedai itu.

Mereka ketiga simpan rahsia itu beberapa lama.  Orang tidak tahu tetapi orang-orang lain perhatikan apabila mereka ketiga bertemu di mana-mana selalulah mereka gelak-ketawa di antara mereka dan sesudahnya pecah jua rahsia itu.  Saya sendiri dapat tahu dalam satu masa di dalam perhimpunan kenduri di satu perkahwinan di rumah seorang bapa saudara saya yang telah berkahwin di situ dan di masa itu mereka ketiga bertembung dan gelak ketawa sama-sama mereka sebagaimana biasa maka baharulah seorang daripada mereka menceritakan peristiwa yang sudah lama itu, peristiwa meja roboh namanya.  Di masa ini, tentulah orang tidak dapat mempercayai ini tetapi perkara ini sebenar berlaku 60 tahun yang lalu.





Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 2 April 2012

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Di dalam perjalanan kami dengan keretapi itu, ia asyik bertanya itu dan ini (ia pakai ilmu segan bertanya sesat jalan) itu apa namanya? Saya jawab itulah kapal.  Ia tanya saya lagi.  Itukah kapal yang membawa Pak Haji Mohd Saleh ke Mekah dahulu.  Saya jawab bukan.  Ini ialah kapal korek untuk melombong bijih, bukannya kapal laut yang membawa orang-orang haji ke Mekah dan balik.  Ia tidak puas hati juga dan hendak bertanya lagi.  Terus saya bagi isyarat tidak usah bertanya di masa itu kerana berasa malu kepada orang-orang yang bersama pergi dengan keretapi itu.

Demikian keadaannya di masa enam puluh tahun dahulu pekan Tronoh (dan pekan-pekan lain yang berhampiran seperti Seputih, Pusing, Menglembu) di masa itu baharu rumah-rumah bangsal melombong dan kedai-kedai atap saja yang ada kerana di masa itu kerja melombong bijih baharu dimulakan di Tronoh.  Taukeh-taukeh lombong mengadakan kesenangan, keseronokan dan hiburan-hiburan bagi pekerja-pekerja lombong atau menyukakan hati mereka daripada berpindah tempat lain yang sudah lama dibuka.  Bermacam-macam judi pula biak dan sebaliknya pula kerapkali berlaku rompak-merompak, curi-mencuri oleh pihak yang kalah judi.  Bermacam-macam cerita hiburan pula diadakan dengan mengadakan wayang-wayang yang bermain siang dan malam di tengah-tengah jalanraya dengan percuma dan terbuka kepada orang-orang ramai untuk menarik pekerja-pekerja daripada tempat lain datang bekerja di situ.  Kebanyakkan pekerja-pekerja lombong itu ialah daripada bangsa Tionghua tetapi orang-orang Melayu daripada kampung-kampung pun dapat jua peluang mencari makan dengan jalan memotong kayu hutan untuk dijual kepada taukeh-taukeh lombong untuk mendirikan rumah-rumah pekerja-pekerja palung-palung dan lain-lain.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA