Total Pageviews

Monday 30 December 2013

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK: SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



BAHAGIAN YANG KETUJUH
  
 SEJARAH AWAL NEGERI PERAK

Maka tersebutlah riwayat Tun Khamis dan orang-orang ikutannya membuka Negeri Perak.  Mereka telah amat berjaya kerana mereka itu telah mendapat sambutan dengan mendapat menggunakan tenaga Orang Asli di negeri ini yang duduk bertebaran dengan jalan kerah iaitu bekerja dengan tidak dibayar upah atau gaji dan jika diberipun dengan cara yang sedikit.  Misalnya, dengan memberi mereka makan dan sedikit pemberian seperti tembakau.  Mereka itu tidak pula berani menolak atau menentang kerana sekiranya mereka segan atau malas bekerja maka mereka disakiti, di siksa (dipukul) dan jika mereka dapat melarikan diri mereka masuk jauh ke darat ke dalam hutan yang luas dan tebal maka sebab itulah mereka pada mulanya dipanggil “Sakai”

Di antaranya cara Tun Khamis dan orang-orang ikutannya memajukan bagi membuka kampung-kampung halaman di beberapa kawasan di sana-sini terutamanya di tepi-tepi tebing sungai iaitu dengan menempatkan seorang atau dua, tiga orang ikutan di satu-satu tempat yang hendak dibuka.  Maka orang-orang ikutan inilah yang mengumpulkan orang-orang asli itu untuk disuruh bekerja bagi menebas, menebang hutan-hutan serta bercucuk-tanam pokok buahan, makanan dan menjadikan kampung di tempat-tempat itu dan kesudahannya orang-orang itulah akan menjadi ketua atau ikutan orang-orang di tempat itu.  Demikianlah terjadi atau terbukanya kampung di sana-sini dan pada seluruhnya Tun Khamis menjadi pemerintahnya.

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 23 December 2013

KETURUNAN "MUNTAH LEMBU" (Sambungan 1):SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK

Di zaman itu diriwayatkan negeri ini belum ada nama lagi sungguhpun Bruas sudah termasyahur sebagai sebuah negeri yang makmur.  Jika telah ada nama pun tidaklah diketahui dengan jelasnya.  Oleh yang demikian, kedua adik Tun Khamis iaitu Tun Kelawang dan Tun Jelan memanggil negeri itu “Tanah Abang”.  Ada satu riwayat yang lain menceritakan bagaimana negeri ini pada asalnya dipanggil Negeri Perak.  Daripada keturunan atau zuriat Tun Khamis di Perak, maka terjadilah salasilah sebagaimana berikut:-

Salasilah keturunan keluarga "Muntah Lembu"






















Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA





Monday 16 December 2013

KETURUNAN "MUNTAH LEMBU" SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



BAHAGIAN YANG KEENAM

Keturunan “Muntah Lembu”

Di hujung ini digambarkan salasilah “Muntah Lembu” yang diriwayatkan turun-temurun di antara keluarga itu.  Sebagaimana yang diterangkan iaitu ialah salasilah “Muntah Lembu” atau salasilah keluarga muntah lembu dan sekadar begitulah sahaja berakhirnya.  Oleh itu, tidaklah diketahui atau menceritakan kisah adik yang ketiga yang dipelihara oleh ninda mereka Raja Petrali.

Mengikut satu cerita yang diriwayatkan setelah ditabal Sang Sapurba di Palembang atau Minangkabau maka Bahta telah dilantik menjadi seorang pembesar negeri itu dan berumah tangga di negeri itu dengan mendapat tiga orang anak lelaki (1) Tun Khamis (2) Tun Kelawang dan (3) Tun Jelan.

Di zaman itu, beberapa tempat atau negeri di Semenanjung Tanah Melayu termasuk negeri Perak belum lagi ada beraja atau pemerintah dan teluk rantau terutamanya di pantai sungai-sungai diduduki oleh kaum-kaum asli di sana-sini berpuak-puak seperti Sakai, Temiang, Semang dan lain-lain lagi dengan tidak ada ketua-ketua atau pemerintah-pemerintah yang tertentu.  Kebetulan itu di masa itu ketiga orang anak Bahta telah dewasa dan masing pula ada beberapa orang ikutan.  Mereka bermesyuarat di antara mereka dan bersetuju untuk berpindah atau berhijrah ke tanah besar untuk membuka negeri-negeri baharu yang lebih lapang.

Ketiga-tiga mereka adik-beradik dengan persetujuan Orang Besar dan ibu-bapa mereka, maka mereka telah sediakan sebuah kapal atau tongkang layar untuk menyeberang laut besar ke tanah besar iaitu Semenanjung Tanah Melayu.  Mereka meninggalkan tanah air mereka bersama-sama ikutan mereka.  Seorang daripada mereka Tun Kelawang sebagai ketua berserta dengan orang-orang ikutannya termasuk seorang Tuan Kadi telah mendarat dan masuk ke Negeri Perak dan seorang lagi iaitu Tun Jelan bersama-sama dengan orang ikutannya terus belayar dan mendarat di Negeri Melaka.

Tun Khamis berserta dengan Tuan Kadi dan semua orang-orang ikutannya masuk ke negeri Perak dengan melalui Sungai Perak mudik ke hulu untuk membuka negeri pada mulanya di tepi-tepi tebing Sungai Perak di sebelah kiri mudik termasuk Lambor Kiri.

bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA



Monday 9 December 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 8): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Demikian di zaman yang sama iaitu di zaman Al-Marhum Raja Muda Musa di Teluk Anson (Telok Intan) baginda telah juga memanggil untuk berkhidmat bersama baginda empat orang daripada keluarga kami di Lambor Kiri iaitu:-
(1)               Alang Mat Jabar bin Toh Dewa
(2)               Mat Amin (Omin) bin Toh Dewa
(3)               Arbi bin Toh Dewa
(4)               Pandak Logam bin Pandak Demat

Alang Mat Jabar bin Toh Dewa (Haji Mohd Jabar) telah dilantik sebagai Penghulu Lambor Kiri sebagaimana yang telah disebutkan dan bersara daripada jawatan di mukim itu juga.

Diriwayatkan selepas kemasukan pemerintah Kerajaan Inggeris maka telah dicuba dilantik orang daripada keluarga yang lain untuk gelaran Seri Dewa Maharaja tetapi dengan takdir tuhan mereka yang dilantik itu tidak berapa kekal dan meninggal dunia tidak berapa lama selepas mereka dilantik bagi jawatan atau gelaran itu.  Tidaklah diketahui dengan sebenarnya di masa itu adakah orang yang memegang gelaran itu demikian juga  gelaran Toh Maharaja Paduka.

Mengikut sebagaimana riwayat di zaman dahulu orang yang menyandang gelaran Toh Maharaja Paduka ialah utusan atau harapan baginda Sultan yang akan pergi ke tiap-tiap daerah daripada semasa ke untuk menerima cukai atau khazanah daripada pembesar-pembesar daerah bagi pihak baginda.  Dizaman itu selain daripada cukai kuala maka pembesar-pembesar daerahlah memungut cukai-cukai itu bagi pihak baginda.

Toh Seri Nara Diraja dan Toh Seri Dewa Maharaja pula diberi kuasa untuk mereka pada mulanya di kawasan Sungai Pelus iaitu daripada Sungai Pelus ke Gunung Bubu dan menjaga manusia yang bermukim di dalam kawasan tersebut termasuk Orang-orang Darat atau Orang Asli.  Tetapi di masa yang akhir sehingga tiba pemerintahan kerajaan Inggeris di negeri ini, maka mereka kedua yang di masa itu daripada satu keluarga telah memerintah di kawasan sebelah menyebelah Sungai Kinta hingga ke Kampar.  Di masa yang akhir seorang daripada anak Toh Dewa Maharaja Panjang Ogek iaitu Pandak Taha bin Panjang Ogek ditempatkan di Kampar untuk menjaga di kawasan itu yang ia telah berkahwin di tempat itu dan hingga sekarang ramai anak-anak cucunya bermukim dan tidak balik ke Lambor Kiri kerana ia telah meninggal dunia di situ.  Toh Seri Dewa yang tersebut telah meninggal dunia serta dikuburkan di Lambor Kiri selepas pemerintahan orang-orang Inggeris datang ke Perak.  Ia telah dikuburkan di dalam kawasan kampungnya atau dengan tegasnya di kampong isterinya Toh Kesuma Long Sharifah bin Toh Nara Pandak Manan sendiri, di Kampung Tua, Lambor Kiri dan kuburnya itulah jadi adat sentiasa dilawati oleh cucu cicitnya dan zuriatnya sendiri daripada semasa ke semasa.  Disitu juga didapati beberapa kubur orang-orang zaman dahulu di antaranya kubur-kubur anak-anak cucunya seperti kubur anaknya Alang Abdul Ghafar daripada masanya dahulu Penghulu di situ dan kubur anaknya Itam Nila iaitu nenek kami.







Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Editor: Ada seorang yang selalu masuk sini melalui laman tak senonoh. Buat malu mak bapak aje, belajar tinggi buat kerja macam itu. Eloklah buat kerja lain yang lebih baik. 



Monday 2 December 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 7): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Selepas ditabalkan mengikut Perjanjian Pangkor, bekas Sultan Ismail tidak juga mahu menyerahkan perkakas kebesaran Negeri Perak dan selepas peperangan yang berlaku maka perkakas-perkakas itu telah dihantar ke England untuk disimpan sementara.

Selepas itu, dengan tegasnya selepas kemasukan pemerintahan Inggeris ke negeri ini, gelaran-gelaran Seri Nara Diraja, Seri Dewa Maharaja dan Maharaja Paduka yang di zaman dahulu sebelum itu dilantik atau dipilih daripada keluarga kami yang duduk atau berasal daripada Lambor Kiri tidak lagi dilantik daripada keluarga kami yang duduk di Lambor Kiri dan oleh kerana Seri Nara yang akhir daripada keluarga kami yang duduk di Lambor Kiri telah meninggal dunia di Johor tidak balik ke Perak maka pihak kami pun tidak menuntut.  Bagaimanapun, pada kali yang akhirnya di zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Idris Munshid AL-Akzam Shah (1887-1916) Al-Marhum Rahmatullah Sultan yang kedua-puluh lapan, baginda telah memanggil untuk berkhidmat bersama baginda 4 orang daripada keluarga kami iaitu:-

(1)               Alang Mat Jeha bin Kulob Gebar
(2)               Pandak Manan bin Haji Othman
(3)               Kulob Ahmad bin Alang Abdul Ghaffar
(4)               Panjang Aboi bin Haji Hassan


Panjang Aboi telah balik ke kampong tidak berapa lama kemudian dan Kulob Ahmad bin Alang Abdul Ghaffar langsung berkahwin dengan seorang daripada keluarga isteri Al-Marhum Sultan Ali di Tepus, Belanja Kiri dan langsung meninggal dunia serta berkubur di sana.  Alang Mat Jeha bin Kulob Gebar telah dilantik sebagai Penghulu di Lambor Kanan sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu.


bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA