Total Pageviews

Tuesday 25 November 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

        Terkemudian daripada itu pula saya telah jumpa kembali empat buah kerusi saya yang agak berlainan dengan kerusi-kerusi orang lain dihadapan rumah luar Perak Club iaitu sebuah kelab bangsa Eropah yang terletak ditepi Sungai dijalan ke Batar Rabit tidak jauh daripada rumah tempat saya duduk dimasa itu.
     
     Seorang India penjual roti memberi saya tahu iaitu semasa barang-barang kepunyaan saya itu dipindah  ubah oleh orang yang mengambilnya ia mengingatkan kepada mereka itu supaya mereka tidak berbuat demikian kerana katanya tuan punya barang itu ialah orang ia kenal benar dan baik orangnya. Mereka menjawab diantara lain dimasa itu masing-masing bebas berbuat apa kehendaknya.
          
         Dibawah tajuk kasih ibu, saya telah sebutkan sedikit berkenaan dengan _______ dan kesusahan yang dialami diawal pemerintahan Jepun di negeri ini. Sedikit lagi saya suka mecatitkan diantara pengelaman yang dialami dimasa itu sudah maklum iaitu tentera Jepun telah melanggar negeri ini dengan cara mengejut dan didalam sedikit masa sahaja mereka itu telah dapat menduduki negeri ini.



 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 17 November 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Sebagaimana yang telah saya sebutkan iaitu akibah daripada pelarian kebanyakkan penduduk di pekan ke kampung yang berpindah daripada peperangan yang datang mengejut oleh tentera Jepun melanggar negeri ini untuk menyelamatkan diri masing-masing dengan meninggalkan rumah dan harta benda masing-masing. Maka rumah saya yang saya tinggalkan untuk sementara sebagaimana rumah-rumah orang-orang yang lari ketempat lain telah dibuka oleh siapa saja yang suka dan barang-barang didalamnya habis diambil.  Daripada rumah saya sahaja dikatakan tidak kurang daripada tujuh buah sampan telah dimuatkan kerana dimasa itu berbetulan pula dengan air sungai naik pasang rabung dan rumah saya ialah ditepi sungai dijalan ke Batak Rabit maka barang itu dibawa dengan sampan kesebelah hilir seperti Sungai Durian dan lain-lain  yang dekat sebelah hilir sungai kerana barang-barang itu susah hendak dibawa mudik ke hulu oleh kerana terpaksa melingkung tanjung yang jauh jika hendak dibawa mudik ke hulu. Bagaimana pun saya telah terjumpa dua keping gambar besar saya sendiri dan gambar ayah saya saya di tepi sungai disebelah rumah saya itu dan gambar-gambar itu  masih ada sekarang untuk ingatan peristiwa itu.

     Selepas Telok Anson diduduki oleh tentera Jepun maka pihak tentera telah membuat peristiharan iaitu mereka yang mengambil barang-barang orang lain hendaklah pulangkan atau serah balik barang-barang itu kepada tuannya yang punya dan jika tidak atau sesiapa yang melanggar peristiharan itu akan dikenakan hukum berat. Akibah daripada pengistiharan itu atau oleh sebab ketakutan maka barang-barang itu kesemuanya telah dibuang kedalam Sungai Perak dan berbulan-bulan kemudian daripada itu sekelian barang-barang yang ringan yang tidak terus tenggelam dapat kelihatan terapung-terapung hilir mudik dibawa arus sungai pasang surut dan tidaklah siapa pun yang berani mengambilnya. Demikian jua pemerintah dimasa itu pun tidak pula mengumpulkannya - demikianlah kejadian didalam masa yang tidak ada pemerintahan, masing-masing jadi raja dihatinya.      

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 10 November 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Alhamdullilah nampaknya doa ayah saya yang iklas itu berkat dan tuhan yang maha kuasa telah makburkan kepada anak-anak cucu-cucunya dan saya pun begitu jualah berdoa moga anak-anak cucu dan zuriat-zuriat saya kesemuanya akan maju jaya makmur kaya raya berbahagia aman makmur sihat walafiat seterusnya.

     Diingatkan iaitu satu daripada tangkal untuk mencapai tujuan yang tersebut ialah dengan menuntut pelajaran yang tinggi yang sekarang boleh dapat di negeri ini dan ini tidak boleh tercapai dengan tidak bersungguh-sungguh menuntut dan/atau dengan tidak ada pengorbanan dan tolong menolong diantara satu dengan lain.

         Saya ingatkan riwayat itu mungkin akan jadi pedoman kepada anak-anak cucu yang terkemudian, bagaimana pun saya saya berserah kepada Allah Subhanahuataala yang maha kuasa dan sambil mendoakan sebagaimana telah saya telah sebutkan    

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 3 November 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:


   Ayah saya itu meneruskan katanya iaitu satu zaman pemerintahan seorang sultan di negeri ini dahulu kala, Toh Tongsa yang disebutkan itu ialah seorang yang terkaya dan seorang pembesar (Orang Kaya Besar) dizamannya - ia berniat hendak membuat kenangan zamannya dengan menempah satu nafiri yang diperbuat daripada emas yang ia akan persembahkan kepada kebawah duli paduka baginda.

     Sementara itu kebetulan pula ia telah marah serta dipukulnya anak angkatnya dan budak inilah telah pergi membuat pesona menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan iaitu bapa angkatnya Toh Tongsa sedang bersedia hendak merampas kerajaan Duli Baginda dan untuk buktinya boleh disaksikan yang ia sedang membuat pekakas kerajaan oleh seorang tukang membuat sebuah nafiri daripada emas

     Dengan pesonanya itu Baginda Sultan masa itu dengan tidak berkata lagi telah terpengaruh dan percaya diatas pesona anak angkat Toh Tongsa itu dan dengan itu ia dilucutkan daripada jawatannya dan dirampas hartanya. Maka dengan sebab itulah Toh Tongsa yang yang diketika itu mengangkat sumpah anak-anak cucu dan zuriatnya tidak boleh kaya sekadar lepas makan pagi petang sahaja dan anak cucunya tidak harus bersahabat dengan orang-orang seperti keturunan anak angkatnya itu.  
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA