Total Pageviews

Monday 14 December 2015

SEKOLAH LATIHAN WANITA IPOH (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Dimasa itu telah sampai masanya untuk mengadakan majlis pembukaan rasmi bagi sekolah yang tersebut itu oleh Duli Yang Maha Mulia Armarhum Sultan Yusoff Izzuddin Shah (Almarhum Ghafarullahu-lah) dan rundingan untuk menetapkan daif-daif yang ternama untuk yang hendak dijemput kemajlis itu. Sehingga sampai akhir maka nama adik saya Dato' Zainal Abidin yang telah berjasa menubuhkan sekolah itu tidak tersebut. Oleh itu saya sendiri mengemukakan namanya untuk dijemput, tetapi saya terperanjat apabila saya mendengar bangkangan daripada Setiausaha pertubuhan itu dengan alasan iaitu pergaduhan akan timbul jika ia dijemput kerana dimasa itu ia tidak lagi menjadi Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan orang lain telah dilantik bagi mengantikannya dan orang itu akan dijemput sebagaimana yang telah dipersetujukan.




bersambung

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA




 
Entry - 214

Monday 7 December 2015

SEKOLAH LATIHAN WANITA IPOH (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Ditahun itu saya tidak dilantik sebagai seorang Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Seruan Islam Perak oleh kerana saya tidak hadir didalam Mesyuarat Agung Ulang Tahun yang diadakan diawal tahun itu oleh kerana dihari itu saya ditugaskan oleh Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak untuk mewakilinya didalam satu majlis merasmikan pembukaan sebuah Sekolah Ugama Rakyat di tempat lain oleh itu saya tidaklah mencampur tangan diatas perkara merangkakan satu peraturan bagi mengelolakan Sekolah Latihan Wanita yang dibuka daripada ikhtiar-ikhtiar bagi menubuhkannhya tetapi ditahun yang terkemudian daripada itu iaitu ditahun hadapannya saya telah dapat hadir didalam Mesyuarat Agung Ulang Tahun dan saya telah dilantik semula sebagai seorang Ahli Jawatankuasanya. 



bersambung

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Entry - 213

Monday 30 November 2015

SEKOLAH LATIHAN WANITA IPOH (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Selepas sebulan daripada itu saya tidak jua mendengar apa-apa perkhabaran daripadanya. Oleh itu saya telah hantar Allahyarham Ebrahim Karim seorang yang bangsa India kawan saya dimasa itu untuk berjumpa dengan adik saya itu di Kuala Lumpur dan baharulah saya dapat tahu yang ia telah bayar rumah dan harta itu sekembalinya saja ia daripada Hong Kong tetapi dengan harga yang asal iaitu $250,000 dan ia sudah pun jalankan rundingan dengan Setiausaha pertubuhan yang tersebut dimasa itu diatas perkara itu, bagaimanapun saya telah berasa gembira.
     Beberapa bulan kemudian daripada itu saya sekali lagi pergi ke Kuala Lumpur lalu melawat adik saya itu di pejabat dan dengan tidak disangka saya bertembung dengan Setiausaha pertubuhan yang tersebut ada di situ dan ia datang untuk meminta lagi tambahan bantuan sebanyak $150,000 untuk membaiki (Renovate) rumah itu dan untuk membeli perkakas-perkakas yang dikehendaki bagi menjalankan rancangan yang telah diperbuat atau dicadangkan. Saya nasihatkan kepadanya untuk berjimat cermat diatas perkara itu. Permintaan itu telah jua ada persetujukan. Selepas beberapa bulan kemudian daripada itu alhamdulillah cita-cita murni itu terutama cita (1) dan (2) sudahlah berjaya.  


bersambung

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Entry - 212

Monday 23 November 2015

SEKOLAH LATIHAN WANITA IPOH (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Selepas itu saya terus runding dengan adik saya Dato' Zainal Abidin bin Haji Abas yang semasa itu memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (Director of Social Welfare Services) Malaysia supaya rumah-rumah dan tanah itu dibeli oleh jabatannya untuk dijadikan rumah untuk pertubuhan bagi melatih perempuan-perempuan Melayu yang telah melarat disebabkan kesusahan hidup mereka atau sebagai sekolah latihan wanita-wanita.
     Tatkala mengemukakan cadangan itu diantara lain saya telah mengemukakan kaedah-kaedahnya iaitu:-
     (1)   Sebagai satu ikhtiar menebus harta-harta negara yang dimiliki oleh orang-orang bangsa asing
     (2)   Untuk faedah dan kebajikan kepada orang-orang Melayu sendiri
     (3)   Sebagai kenangan yang boleh dibanggakan oleh orang-orang Melayu kemudian hari diatas   jasa yang dijalankan olehnya.

Kebetulan pula dimasa itu adik saya itu hendak pergi keluar negeri - Hong Kong. Oleh itu ia berjanji dan mengaku membelinya selepas ia balik daripada sana bagi tujuan yang tersebut yang akan diserahkan serta dikelolakan oleh Pertubuhan Seruan Islam Perak.   

bersambung

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Entry - 211

Monday 16 November 2015

SEKOLAH LATIHAN WANITA IPOH (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Saya sebagai Setiusaha cawangan itu di Jabatan Hal Ehwal Ugama Perak telah dipanggil untuk merundingkan perkara itu, dengan terang saya telah menyatakan iaitu cawangan itu membeli harta-harta yang boleh mendapatkan khazanah dengan serta-merta seperti sewa-sewa daripadanya sahaja dan tidak upaya membeli harta sebagaimana yang hendak dijual itu kerana tidak dapat boleh disewakan untuk mendapat khazanah begitu sahaja tetapi harus berkemungkinan perbelanjaan yang banyak bagi membangun atau memindanya yang cawangan itu tidak akan berupaya membangunkan sebelum dapat digunakan untuk disewakan. Saya menambah lagi iaitu saya ada ikhtiar untuk membelinya dengan jalan lain, tetapi saya terangkan lagi iaitu saya menjalankan perkara ugama yang tidak membayar atau pun menerima sebarang wang komisyen diatas perkara semacam itu dengan tujuan harta-harta itu dapat dibeli dengan harga yang lebih murah dan dengan kenyataan saya itu Dato' Liew Why Hone telah menurunkan harga jualannya daripada $250,000 kepada $230,000 dan diserahkannya kepada saya sekelian surat-surat (termasuk pelan-pelan) yang berkenaan dengan harta itu untuk saya uruskannya.     

bersambung

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA



Entry - 210

Monday 9 November 2015

SEKOLAH LATIHAN WANITA IPOH: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Didalam tahun 1962 (atau dahulu daripada itu) Dato' Liew Why Hone telah datang mengadap Duli Yang Teramat Mulia Raja Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah  yang semasa itu memegang jawatan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak di pejabatnya di Ipoh. Dato' Liew Why Hone semasa itu ia adalah sebagai penjaga harta-harta seorang hartawan Cina Eu Tong Sen yang telah meninggal dunia beberapa tahun lepas dahulu dan tujuannya ialah untuk menjual rumah Eu Chateau dan tanah-tanah kawasannya kepada Cawangan Baitulmal, Zakat dan Fitrah Perak yang dimasa itu telah membeli beberapa buah rumah kedai batu dan lain di bandar Ipoh dan Kampar bagi disewa untuk menambah pendapatan dan harta cawangan itu

bersambung

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA


https://www.flickr.com/photos/geoff-inoz/7180453798/in/photostream/
Entry - 209 

Monday 2 November 2015

GURU-GURU UGAMA KERAJAAN (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Dengan rayuan itu maka tangga gaji guru-guru ugama telah diberikan pindaan yang berlipat ganda daripada tangga gaji mereka sebelum itu. Mereka dengan sukacitanya telah mengadakan kenduri kesyukuran dengan bebesaran selepas itu dengan mempersilakan pembesar-pembesar negeri dan orang-orang kenamaan.
      Semenjak itu, masa mereka mengajar telah diubah kesebelah pagi sebagaimana Sekolah-Sekolah Melayu (sekarang dipanggil Sekolah Kebangsaan) dibuka dan diatur cara baharu untuk membolehkan kesemua murid-murid disesebuah Sekolah Melayu itu dapat belajar perkara ugama termasuk membaca Quran dan mendapar sijil setelah seorang murid itu tamat,

 Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
     Dikatakan gaji permulaan guru-guru ugama tersebut telah dinaikkan daripada RM12 kepada RM120 sebulan. Ini adalah peningkatan sebanyak 10 kali ganda daripada gaji asal mereka.


Keluaran akan datang tajuk baru.

Entry - 208

Monday 26 October 2015

GURU-GURU UGAMA KERAJAAN (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Sebagaimana yang saya telah sebutkan semasa saya baharu bekerja di Pejabat Ugama Perak, guru-guru ugama belum lagi mendapat pindaan tangga gaji baharu dan tidaklah atau belumlah ada ura-ura pun hendak dipinda.
      Pihak guru-guru Quran atau guru-guru ugama kerajaan dimasa itu yang diketuai oleh Encik Sapari Ketua Guru Pelawat mereka telah meminta saya pula untuk merekakan sepucuk surat rayuan diatas perkara itu kepada Kerajaan Perak - keadaan mereka adalah amat berlainan dan gaji mereka rendah pula, sebagaimana yang telah disebutkan $8.00 dan $15.00 saja pada sebulan. Oleh itu amatlah payah hendak memperbuat bandingan tetapi oleh kerana saya baharu sahaja bersara daripada Jabatan Pelajaran Perak saya telah dapat menggunakan pengelaman saya semasa dipejabat itu dengan membandingkan gaji-gaji guru ugama dimasa itu dengan gaji-gaji yang dibayar oleh kerajaan kepada guru bangsa Cina dan guru bangsa India yang mengajar bahasa mereka masing di sekolah-sekolah  mereka dan bantuan oleh kerajaan 'Aided Schools' sambil merayu iaitu guru-guru sekolah-sekolah Ugama Islam iaitu Ugama Rasmi negeri ini mengikut Perlembagaan amat jauh tertinggal kebawah daripada guru-guru bangsa asing yang setaraf.    

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA
 
Entry - 207

Monday 19 October 2015

GURU-GURU UGAMA KERAJAAN (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Saya berasa insaf memikirkan keadaan mereka sudah pula gaji kecil susah pula mendapatnya. Oleh itu saya sendiri gaduh dengan Setiausaha Quaran dimasa itu bagi pihak guru-guru itu - kata saya diantara lain mereka kebanyakkannya mengajar dimerata tempat didalam jajahan ini dan jauh daripada pejabat tempat mereka merima gaji mereka dan jika mereka berupaya berjalan kaki sekalipun begitu jauh, mereka tidak boleh berenang sungai untuk pergi ketempat mereka menerima gaji itu dan terpaksa bayar tambang sampan menyeberang dan hendak makan dijalan pula. Jika mereka terpaksa berulang alik baharu dapat menerima gaji mereka apa yang ada tinggal daripada gaji mereka yang bergitu rendah ( $8.00 dan $15.00). Selepas gaduh itu baharulah wang gaji itu datang pada hari biasa bagi orang-orang lain menerima gaji bulan. 


bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 12 October 2015

GURU-GURU UGAMA KERAJAAN (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

         Saya juga masih teringat disatu masa yang lain saya terpaksa membela mereka (guru ugama).  Dimasa itu saya berkerja di pejabat Pegawai Daerah dan gaji mereka itu pun dibayar menerusi pejabat itu.  Biasanya guru datang untuk menerima gaji bulan pada hari kaki-kaki tangan pejabat yang lain menerima gaji mereka diakhir tiap-tiap bulan itu.  Selalunya wang atau cek-cek bagi guru itu belum diterima dimasa itu.  Oleh itu mereka terpaksa balik ke kampung masing-masing ditempat mereka mengajar.  Selepas seminggu daripada itu datang pula mereka sekali lagi dan dimasa itu pun belum jua wang gaji mereka diterima daripada ibu-pejabat mereka. Mereka kali ini pun nanti sehari dua dan tidak juga sampai.  Oleh itu mereka terpaksa jua balik ke kampung mereka dengan hampa tangan sekali lagi dan kali yang ketiga selepas itu harus mereka dapat menerimanya,    

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 15 June 2015

GURU-GURU UGAMA KERAJAAN (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Pada satu masa pernah tidak dibayar gaji atau diberhentikan sementara kerana wang peruntukan itu sudah habis sebelum akhir tahun. Saya masih ingat peristiwa itu kerana dimasa itu saya sebagai Pegawai Wang Negeri atau Bendahari UMNO Perak telah mengemukakan perkara itu didalam Mesyuarat Agung UMNO supaya diadakan atau dilantik sekurang-kurangnya seorang daripada ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu yang baharu hendak dilantik seorang pegawai Melayu yang ada berpengetahuan bagaimana hendak diperbuat sekiranya terjadi semacam itu lagi - dengan kekurangan wang baginya bagaimana hendak meminta tambahan wang 'supplement' atau apa-apa lagi yang patut diambil supaya guru-guru itu tidak terkena semacam teraniaya oleh kerana tidak ada pegawai yang boleh menjalankan tugas atau meminta tambahan peruntukan wang sebelum peruntukan itu habis.   
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 8 June 2015

GURU-GURU UGAMA KERAJAAN: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

 GURU-GURU UGAMA KERAJAAN

     Apabila saya mula berkerja di Jabatan Ugama Islam Perak sebagaimana yang saya telah sebutkan, dimasa itu gaji Guru Ugama kerajaan yang dimasa itu dipanggil Guru Quaran yang mengajar di Sekolah-Sekolah Melayu di negeri ini belum lagi mendapat pindaan gaji (Revised Salary) sebagaimana pegawai-pegawai dan kaki-kaki tangan kerajaan di pejabat lain.

      Keadaan mereka dimasa itu adalah berlainan sedikit daripada kaki-kaki tangan kerajaan di pejabat-pejabat lain kerana mereka dimasa itu cuma dibayar gaji atau elaun $8.00 sebulan bagi Penolong Guru dan $15.00 sebulan bagi Guru Besar dan mereka mengajar dua jam sehari daripada pukul dua petang - empat petang - mereka dibayar daripada satu peruntukan dibawah Committee For Koran Instructions. 
   
 

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 1 June 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 10): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

(5)     Kerajaan terpaksa mengubal atau memperkanunkan satu tambahan undang-undang atau peraturan-peraturan baharu untuk memberi kuasa menarik balik tauliah mengajar ugama Islam daripada guru-guru ugama yang didapati membangkang atau jadi penghasut atau penghalang kutipan zakat dan fitrah 

         Demikianlah diantara peristiwa-peristiwa yang berlaku tatkala kutipan-kutipan itu mula dijalankan dan ada beberapa banyak lagi perkara yang berlaku yang ________ membacanya jika dirakam untuk mengetahui kesulitan-kesulitan yang ditempoh maka memadailah pada perasaan saya setakat ini.  




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
______ : Tidak boleh baca 

Monday 25 May 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 9): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

(4)     Pihak pembangkang telah menggunakan seluasnya akhbar tempatan bagi membangkang dan menjalankan dakyah mereka bertahun-tahun lamanya dan sesudahnya saya dan Encik Shaari, Nazir Baitulmal, Zakat dan Fitrah dimasa itu telah dapat satu jalan atau langkah sulit untuk mencegah atau memadamkan perkara itu dan baharulah berhasil

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
Difahamakan Encik Sahaari dan Tuan Haji Mohd Yaakob telah pergi berjumpa dan berunding dengan pemberita yang sering menulis tentang perkara tersebut diakhbar tempat ia berkerja. Kerjasama beliau telah diminta untuk tidak lagi menulis perkara berkenaan didalam akhbarnya. Selepas rundingan tersebut baharulah bantahanan terhadap kutipan Zakat dan Fitrah yang dijalankan oleh Jabatan Ugama Negeri Perak tidak disiarkan lagi diakhbar berkenaan. 

Monday 18 May 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

(3)     Seorang daripada pihak pembangkang tidak mahu untuk atau engkar daripada menunaikan fitrah kepada amil yang dilantik bagi mengutipnya dan pihak yang berkuasa terpaksa mengambil tindakan undang-undang keatasnya.  Apabila perbicaraan dimulakan muka dengan muka yang manis dan ia tergamak mengaku yang ianya tidak wajib menunaikan fitrah kerana katanya ia bukan berugama Islam - demikianlah hingga terjadinya disebabkan mencari helah hendak melepas diri. Perbicaraan terpaksa ditangguhkan untuk membolehkan pihak Nazir Zakat dan Fitrah membawa saksi-saksi bagi menerangkan pihak yang dituduh biasa datang ke masjid dan mardarsah ditempatnya untuk sembahyang waktu subuh dan waktu-waktu yang lain  

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 11 May 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 7): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     (2)  Selepas itu pihak pembangkan tidak jua puas hati - mereka memanggil penyokong besar mereka iaitu seorang ulama yang besar dan termasyahur daripada negeri lain untuk memberi syarahan bagi pihak mereka pembangkang tetapi selepas sahaja beberapa minit tuan itu memulakan syarahanya maka dengan takdir tuhan seorang daripada peserta yang hadir bersama di situ telah menegur tuan penyarah itu, iaitu nas yang digunakan tidak kena pada tempatnya dan tidak betul. Maka dengan itu tuan itu harus terasa malu dan hilang fikirannya dan dengan serta merta telah jatuh sakit terok disitu jua, tidak upaya meneruskan syarahannya dan syarahan terpaksa diberhentikan kerana tidak ada siapa lain hendak mengantinya dan jua tuan itu terpaksa diusung daripada situ balik dan pada besoknya langsung meninggal dunia.
bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 4 May 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Selain daripada itu beberapa peristiwa telah berlaku diantaranya:-
   
     (1) Allahyarham Tuan Haji Ashaaya - Mufti Negeri Perak yang semasa itu sebagai Khadi di Ibu-Pejabat (1952)Ugama Perak telah diarah untuk pergi keluar memberi penerangan diatas kutipan yang tersebut. Sebelun saja ______  _____ ia mula penerangan pihak pembangkan telah terus membangkang yang mereka datang bukanlah hendak mendengar penerangan tetapi hendak berbincang . Majlis terus dialih bagi perbahasan tetapi tidak pula sesiapa pun daripada pihak mereka membukakan atau membahaskan apa-apa melainkan membuat kacau bilau yang hampir jadi pergaduhan dan majlis terpaksa ditutup dengan serta merta dan masing-masing pulang ketempat masing-masing 




bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan: 
     ______  Tidak boleh baca.    

Monday 27 April 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Pihak pembangkang telah menjalankan bermacam-macam helah atau cara untuk menghalang kutipan-kutipan itu oleh pihak kerajaan dengan cuba mengelirukan orang ramai dengan membangkan, menentang dan menghasut orang ramai.

      Ditahun yang awal kutipan fitrah mula dijalankan (1952) pihak pembangkang telah pura-pura meminta bantuan sebanyak $50,000 daripada kumpulan wang kutipan itu untuk membeli jentera cetak mencetak bagi memajukan perniagaan mereka sebagai pencetak buku-buku dan kertas-kerta yang mereka tahu sendiri pihak yang berkuasa tentu sekali tidak dapat mempersetujukan bagi satu-satu pihak dapat ditolong sebanyak itu. Oleh yang demikian mereka mulalah menjalankan dakyah mereka.

      Pihak yang berkuasa terpaksa menjalankan tindakan undang-undang keatas penghasut-penghasut dan pembangkang-pembangkang dan jua keatas mereka yang ingkar bagi menunaikan fitrah mereka. Tindakan itu terpaksa dijalankan sebagai pihak kerajaan oleh Tuan Pendakwa Raya (D.P.P.) Encik Abdul Kadir Yusof (sekarang Tan Sri) sendiri. Pihak yang dituduh daripada pihak pembangkang pula mengambil peguam (lawyer) yang termasyahur dan handal untuk membela mereka yang seorang daripadanya sekarang telah dilantik oleh kerajaan sebagai Penasihat Undang-Undang  disebuah negeri di Malaysia Barat   

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 20 April 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Saya dimasa itu masih memegang jawatan sebagai Pembantu Kewangan (FA) Jabatan Pelajaran Perak, selepas bertugas di pejabat-pejabat Perbendaharaan Kecil Telok Anson beberapa tahun lamanya dan jua pernah dilantik sebagai Bendahari berbagai pertubuhan dan saya telah meminta bersara daripada jawatan saya sedikit awal oleh kerana hendak mengelolakan pada mulanya kutipan fitrah, baitulmal dan kawalan wakaf daripada tahun 1952 dan zakat daripada tahun 1953 mengikut undang-undang yang tersebut yang telah mula berjalan kuatkuasanya daripada 1.5.1952

     Sebagai yang termaklum, sebelum itu sekelian kutipan yang tersebut dijalankan oleh Tok Guru Ugama dan alim ulama di kampung-kampung untuk faedah diri mereka sendiri. Maka dengan cara mengejut pula pihak kerajaan mengambil alih dengan kerajaan sendiri mengutipnya. Maka tentu sahajalah langkah itu telah ditentang hebat oleh setengah gulungan yang terasa rugi oleh kerananya. Oleh yang demikian bangkangan-bangkangan telah berlaku sama ada berterus terang dan dengan jalan sulit sehingga ada diantara mereka yang tergamak mengeluarkan disetengah tempat poster-poster satu daripadanya sebagaimana kembaran 'A' yag begitu buruk tujuannya.   
bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:

Kembaran akan diterbitkan kemudian seperti tempat yang sepatutnya

Monday 13 April 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Selepas itu pula kerajaan negeri Perak telah meluluskan tiga undang-undang baharu iaitu:-
  
          (1) Undang-Undang Perak 6/1951 Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu 1951
          (2) Undang-Undang Perak 7/1951 Baitulmal, Zakat dan Fitrah 1951
          (3) Undang-Undang Perak 8/1951 Kawalan Wakaf 1951

      dan juga peraturan undang-undang dibawah undang-undang pertamanya Undang-Undang 7/1951  

     Tugas pertama mengikut Undang-Undang 7/1951 dan 8/1951 ialah bagi mengutip dan mengelolakan kutipan baitulmal, zakat dan fitrah dan kawalan wakaf-wakaf seluruh negeri Perak. Oleh kerana kekurangan sangat diantara orang-orang Melayu dimasa itu yang mahir atau ada pengetahuan didalam perkara kewangan untuk mengatur satu cawangan yang baharu mula, bagaimana perpatah Melayu 'tiada ada rotan akar berguna,' maka kerajaan telah melantik saya sebagai Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Fund yang ditubuhkan mengikut ceraian 13 Undang-Undang Negeri Perak 6/1951 daripada 4.7.1952 untuk mengelolakan dan bertanggung jawab diatas perkara yang tersebut.    

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 6 April 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Daripada perundingan dan rancangan dihari itu satu peraturan gaji (scheme) bagi tingkatan gaji baharu bagi mufti, khadi besar dan khadi-khadi telah dirangka yang akan dikemukakan kepada kerajaan negeri Perak. Pada akhir rangka tingkatan gaji itu telah dikemukakan kepada kerajaan dan pihak kerajaan pula telah merundingkan perkara itu dan akhirnya telah meluluskan pindaan tingkatan gaji itu pada satu mesyuarat Majlis Kerajaan Ngeri yang bersidang hingga larut malam. Pada malam itu jua hampir pukul 10.00 malam dengan gembira dan sukacitanya Engku Raja Musa bin Raja Mahadi telah datang ke rumah saya serta memberi saya tahu kerajaan telah pun menerima peraturan bagi tingkatan gaji baharu itu serta mengucapkan terima kasih kepada saya diatas kerjasama saya dalam perkara itu - pada masa itu saya belum lagi berkhidmat di Jabatan Ugama Perak

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 30 March 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Selepas perundingan dihari itu saya telah mengaku mengelolakan atau merundingkan perkara itu dengan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak (Raja Musa b. Raja Mahadi) dan pada besoknya jua selepas balik daripada Kuala Kangsar (hari Sabtu) saya terus berjumpa Allahyarham itu di pejabatnya dan ia terus membuat janji akan menguruskan perkara itu didalam masa enam bulan daripada masa itu kerana katanya ia baharu sahaja sampai ke pejabat itu - saya ______  dan terus menjawab iaitu perkara itu sudah pun terlambat dan sekiranya ia hendak mendapat pandangan yang baik daripada pegawai-pegawai dan kaki tangannya serta orang-orang lain maka ia hendaklah mengambil langkah dengan serta merta dan terus saya cadangkan perkara itu dimulakan pada besoknya (hari Ahad kelepasan) jua - ia terus minta saya uruskan sendiri perkara itu, tetapi saya menjawab yang saya tidak dapat membuat demikian kerana saya berkhidmat disatu jabatan yang sentiasa sebok dengan perkara-perkaranya sendiri, tetapi saya boleh berkerjasama dengan membawa apa-apa bahan daripada pejabat saya untuk menyokong permohonan yang akan dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan. Oleh yang demikian kami telah merancangkan dan merundingkan serta membuat laporan diatas perkara itu di rumahnya pada hari Ahad itu jua.      

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:  Pada masa ini hari Sabtu adalah hari berkerja separuh hari
             ____ : Tak boleh baca

Monday 23 March 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Pada masa hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak bagi tahun itu sebagaimana ditahun-tahun yang lalu saya telah mendapat jemputan untuk hadir didalam perayaan hari yang tersebut di Istana Iskandariah Bukit Chandan Indera Mulia Kuala Kangsar. Dihari itu kononnya khabarnya khadi-khadi hendak mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk menyembahkan perkara itu kepada Duli Yang Maha Mulia.

     Saya tidaklah dapat ketahui dapatkah mereka mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan. Pada hari itu harus tidak kerana maklum sahaja hari itu ialah hari bagi keramaian. Bagaimanapun selepas perayaan hari itu Tuan Haji Ayub yang semasa itu Khadi Telok Anson dan Tuan Haji Kassim, Khadi Parit Buntar telah menemui saya serta mereka bawa saya ke rumah Haji Hashim dimasa itu Khadi Kuala Kangsar yang duduk di rumah khas bagi khadi yang yang berdekatan dengan Masjid Ridzuaniah pekan Kuala Kangsar.

     Mereka terutamanya Tuan Haji Ayub telah meminta fikiran saya apa yang elok mereka buat untuk mendapat pindaan kepada tangga gaji 'salary scheme' mereka termasuk Khadi Besar, Mufti dan lain-lain sebagaimana pegawai-pegawai dan kaki tangan kerajaan yang lain telah mendapat pindaan tingkatan gaji mereka.    

     Berbetulan pula pada masa itu, Allahyarham Raja Musa bin Raja Mahadi baharu sahaja dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Melayu Perak untuk mengantikan Almarhum Raja Kamarulzaman, Raja Di Hilir Perak. Mereka ketahui yang saya dimasa itu rapat baik dimana Allahyarham Raja Musa daripada masa kami berkhidmat di Telok Anson tempoh hari. 


bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 9 March 2015

DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

    


  DILANTIK DAN BERKERJA SEBAGAI SETIAUSAHA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU FUND, JABATAN HAL EHWAL UGAMA PERAK.

     Saya telah mula bercuti sebelum bersara pada 5.7.1952 untuk bersara daripada jawatan saya sebagai Pembantu Kewangan (Financial Asst) di Jabatan Pelajaran Perak pada 25.9.1952 selepas berkhidmat dalam jawatan kerajaan selama 36 tahun 6 bulan 22 hari dan saya terus diambil berkerja semula daripada hari saya bercuti pada 5.7.1952 sebagai Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Fund Perak yang telah ditubuhkan mengikut Undang-Undang Negeri Perak 6/1951 dengan dibayar gaji sebagai seorang yang telah bersara daripada jawatan kerajaan dan tugas saya ialah bagi mengatur dan mengelolakan kutipan zakat, fitrah, baitulmal dan kawalan wakaf seluruh negeri Perak mengikut Undang-Undang Negeri Perak 7/1951 dan 8/1951 

      Saya sendiri tidaklah meminta jawatan itu dan saya dipilih bagi jawatan itu adalah berpunca daripada tahun 1950 dimasa itu tingkatan gaji kaki tangan kerajaan di pejabat-pejabat yang lain telah dipinda (Revised) tetapi tingkatan gaji bagi pegawai dan kaki tangan Pejabat Ugama seperti Khadi belum ada lagi ura-ura pun hendak dipinda.   

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Thursday 5 March 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 11): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

       2) Tambahan Guru-Guru Melayu
      Didalam Peranggaran Tahunan (Estimates) tahun itu ada disediakan tambahan guru-guru Melayu (New Appointments) sebanyak 60 orang. Kebetulan pada satu hari tuan Nazir Sekolah-Sekolah Perak Selatan datang ke ibu pejabat. Tuan Nazir Agung berkata kepadanya daripada 60 guru-guru tambahan itu ia bolehlah dapat 30 orang.

      Hampir sebulan terkemudian datang tuan itu ke ibu pejabat berjumpa tuan Nazir Agung - katanya sebagaimana percakapan dahulu maka sudah pun ia lantik 30 orang guru-guru Melayu tambahan - tuan Nazir Agung terdengar berkeriyau di biliknya dan jadilah satu pertengkaran dan pergaduhan diantara lain kata Nazir Agung ia sekadar berkhabar sahaja tetapi ia tidak memberi kuasa untuk melantik sendiri dan sekarang bagi ibu pejabat sudah lantik 60 orang dan siapa yang bertanggung jawab untuk 30 orang lagi itu. Mereka kedua berluru datang meja saya, masing-masing hendak dulu bercakap. Nazir Agung nampaknya sangat marah.

      Dengan takdir tuhan dihati saya dan saya pun jawab - dengan kuat kuasa saya - saya benarkan tuan Nazir Perak Selatan melantik 40 orang guru lagi. Dengan itu tuan Nazir Agung nampaknya hendak marah kepada saya pula. Saya terangkan lagi iaitu yang 60 orang itu ialah sebagai tambahan kepada bilangan guru-guru yang sudah ada sekarang - sekarang ini sudah ada 2,800 guru Melayu dan jika sekiranya mereka berkerja pukul rata 40 tahun sekali pun maka akan didapati 70 oarang akan bersara, berhenti dan tidak termasuk dua orang guru yang telah lari daripada Sekolah Melayu Tiang Bertarah, meninggal dunia atau sebagainya.

     Dengan itu nampaknya tuan Nazir Agung harus berasa malu dan dikelekkan tangannya kebelakang terus balik ke opisnya. Tuan Nazir Sekolah-Sekolah Perak Selatan pula amat sayang dan terima kasih kepada saya selepas itu. 


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA
 

Monday 2 March 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 10): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Saya suka membangkitkan dua perkara atau peristiwa yang saya alami apabila saya mula berkhidmat di Jabatan Pelajaran Perak pada awal tahun 1949 iaitu:-

     (1)  Bayaran Gaji Pendahuluan Bagi Orang-Orang Hindu Untuk Deepavali
              Lebih kurang dua bulan lepas saya mula berkerja di situ maka satu siaran dari kerajaan telah diterima untuk bayaran sebulan gaji penuh pendahuluan untuk orang India yang berugama Hindu untuk hari sambutan mereka Deepavali. Tuan Nazir Agung dimasa itu pergi melawat sekolah-sekolah dan selepas seminggu baharu ia balik ke pejabat. Sebelum itu Tukang Kebun Hindu di Sekolah Anderson Ipoh telah gaduh kerana rakan-rakan sejawatannya yang berkerja di pejabat lain telah pun dibayar. Oleh itu saya terpaksa membuat bayaran itu termasuklah elaun guru-guru Hindu yang berkerja dimerata ladang getah (estates) dan lain yang dibayar elaun 'Grant in aid'.

                    Apabila tuan Nazir Agung balik ke pejabat diperiksanya dan didapatinya rupanya buku bayaran 'cash book' tujuh muka buku itu mengandungi bayaran itu dan ia panggil kerani wang V.M. Krishnasamy dan ia marah kerani itu hingga menangis - selepas itu ia suruh kerani itu panggil saya pula dan saya pergi berjumpa dengannya. Saya pun pergi dan beberapa minit saya menanti tidak dipanggilnya dan sesudahnya ia mencampakkan buku-buku itu dan lain-lain ke lantai dengan bermacam-macam kata marahnya diantara lain ialah, mengapa kamu bayar guru-guru Hindu yang bukan kerajaan tetapi cuma mendapat 'Grant in aid' saja dan jika mereka lari apa kamu hendak buat? Saya nanti hendak menjawab sehingga ia berhenti bercakap - kata saya - saya sudah bayar mereka kerana hendak menjaga nama baik pejabat - tidak ada 'discrimination' - tentu tuan harus tahu apa saya akan buat jika mereka lari, saya akan beri setinggi tabik kepada mereka, saya tidak payah lagi membayar gaji mereka bulan depan. 
          "If they abscord I will give them a grand salute, Sir, because I will not have to pay them next month." 
Dengan jawapan saya itu maka tuan itu terus tertawa berdekah-dekah dan ia kutip balik buku-buku yang telah dicampakkannya . Rupa-rupanya dimasa itu kerani wang ada menanti dicelah pintu masuk dan ia pula naik radang - tuan itu cuma menjawab,  "Thats all right."     


bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 23 February 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 9): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Saya dapati ada sekolah-sekolah itu pula yang tidak menyimpan kira-kira wang langsung atau menyimpan kira-kira yang tidak sempurna.  Selepas satu-satu lawatan saya beri satu penyata kepada tuan Nazir Agung dan selepas itu tidaklah saya tahu apa-apa langkah diambilnya tetapi terkadang-kadang ada ternampak ia memanggil ketua sekolah itu ke pejabatnya, sama ada fasal itu atau perkara lain tidaklah saya tahu - keadaan ini ialah semasa saya berkhidmat di situ tempoh hari, tetapi tidaklah saya tahu keadaanya dimasa ini.    
bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 16 February 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:


(5) Sekolah Inggeris Private (Aided Mission School)

      Diantara Sekolah Inggeris, besar dan kecil - termasuk sekolah-sekolah private yang dibantu oleh kerajaan dengan cara dibayar bantuan 'Grant In Aid' kepada sekolah-sekolah itu termasuklah sekolah-sekolah yang bercorak ugama Kristian (Nasrani).

      Cara bantuan itu ialah dengan sekolah-sekolah itu menerima bantuan persekolahan daripada murid-murid yang belajar didalam sekolah itu, mengikut peraturan kerajaan itu bantuan yang diterima itu terpulang kepada sekolah-sekolah itu dan pihak kerajaan membayar baki yang tidak cukup bagi gaji guru dan sedikit sebanyak bayaran yang lain bagi menyara sekolah-sekolah itu selepas ditolak bayaran wang yang mereka terima bagi bantuan sekolah yang dikutip daripada murid-murid (school fees) sebagaimana yang disebutkan tadi.

     Gaji-gaji dan elaun yang dibayar kepada guru-guru yang dibayar di situ ialah mengikut sebagaimana peraturan (Scheme) kerajaan jua.

     Diantara tugas saya dimasa itu ialah pergi ke sekolah-sekolah termasuk sekolah-sekolah yang tersebut untuk memeriksa kira-kira kewangan dan laim-lain dan melihat cara menyimpan kira-kira. Apa yang amat menarik perhatian saya ialah gaji-gaji dan elaun yang dibayar kepada guru-guru daripada bangsa kulit putih sama ada bangsa Inggeris atau Amerika yang mengajar di sekolah yang tersebut tidak dibayar terus kepada guru-guru itu tetapi dibayar kepada ketua-ketua 'Brother Director' sekolah itu yang saya dapati pada lazim guru itu tidak menanda tangani surat bayaran gaji (paysheets) dan memadailah dengan tanda tangan Pengetua Sekolah yang telah saya sebutkan seorang saja - wang-wang itu selepas membayar keperluan guru-guru itu sedikit sebanyak seperti belanja makanan, pakaian dan sekali sekala pergi keluar dimasa penggal cuti persekolahan maka bakinya terpulang terus kepada sekolah sekolah itu setengah-setengah daripada guru-guru itu telah lama berkhidmat oleh itu menerima gaji yang tinggi hingga beribu ringgit pada sebulan yang dibayar bakinya sebulan seberapa tidak cukup oleh kerajaan.

     Selain daripada itu pula sekolah-sekolah itu menerima beberapa bayaran daripada murid-murid seperti bayaran permainan 'Games Fees' dan beberapa bayaran yang lain yang terpulang kepada sekolah-sekolah itu. Dengan cara ini sekolah itu biasanya mempunyai banyak wang yang terkumpul yang boleh digunakan bagi kemajuan sekolah-sekolah mereka dengan membesar lagi sekolah itu atau membuat sekolah-sekolah yang lain sambil menjalankan dakyah bagi memajukan ugama mereka ugama Kristian dan dengan cara inilah nampaknya dakyah mereka maju oleh kerana pengorbanan mereka terhadap pelajaran dan ugama.  .                

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
     Untuk makluman guru-guru tersebut merupakan mubaligh atau paderi Kristian yang ditempatkan oleh badan antarabangsa ugama mereka di sekolah-sekolah berkenaan. Kediaman atau tempat tinggal mereka adalah disediakan lazimnya di bangunan sekolah itu sendiri. Dimana kemudahan makanan, mencuci pakaian dan kebersihan kediaman disediakan.  Setiap mereka mempunyai bilek  atau ruang untuk kegunaan persendirian. Oleh itu keperluan kewangan mereka adalah minima berbanding dengan gaji yang diterima. Mereka mempunya sistem pentadbiran yang tersusun rapi diperingkat dunia, wilayah, rantau, negara dan daerah

Monday 9 February 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 7): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

 (4)   Guru-Guru Sekolah Melayu Darjah Khas (Special Grade)

         Pada awal perkhidmatan saya (1949) di situ, saya dapati tiga jawatan itu telah kosong beberapa tahun oleh kerana pemegang jawatan itu tempoh hari bersara dan saya kemukakan supaya jawatan itu dipenuh dengan menaikkan guru-guru yang lain - tuan Nazir Agung menjawab yang ia tidak dapat memenuhkan jawatan itu kerana katanya pada pandangannya tidak seorang pun daripada guru yang ada dimasa itu yang difikirkannya layak untuk dinaikkan kedarjah itu, bagaimana pun katanya ia masih lagi memikirkan perkara itu, barang kali tuan itu ketahui yang adik saya sendiri Ngah Mohd Tawi adalah diantara yang kanan sekali diantara guru-guru itu.  Tetapi apabila peraturan gaji (scheme-skim) baharu diluluskan bagi guru-guru Sekolah Melayu, tidak lama selepas itu maka didapati lebih daripada 60 orang guru itu yang ia fikirkan layak untuk mengisi 40 jawatan yang dinaikkan kedarjah itu mengikut bilangan guru-guru Sekolah Melayu dimasa itu.       

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan: 
Allahyarham Haji Mohd Tawi menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Telok Bakong daripada 13 Januari 1923 hingga 13 November 1942. Difahamkan semasa Allahyarham Haji Mohd Tawi bertugas di situ, pada satu pagi mendiang E.C. Hicks telah pergi ke sekolah tersebut. Beliau tiba pada pukul 7.50 pagi dan mencepatkan jamnya selama 10 minit. Bila bertemu dengan Allahyarham Haji Mohd Tawi, mendiang E.C. Hicks sambil melihat jam tangannya telah bertanya kenapa sudah pukul 8.00 pagi murid masih belum masuk sekolah lagi.  Allahyarham telah menjawab, "Maaf tuan, di sini tiada pejabat pos atau balai polis untuk dijadikan contoh. Di sini cuma ada Radio Malaya sahaja, jam saya malam tadi ikut jam Radio Malaya, belum pukul 8.00 lagi."

Monday 2 February 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

(3) Gaji Guru-Guru Pertukangan - Tukang Kayu (Carpenter)

           Demikian jua saya dapati tukang-tukang kayu yang mengajar disetengah Sekolah Melayu dibayar gaji dengan cara gaji hari sungguh pun ada peraturan (scheme-skim) adanya peruntukan bagi gaji yang tetap - apabila saya kemukakan perkara itu tuan Nazir Agung setuju membayar mereka dengan gaji yang tetap tetapi ia tidak bersetuju dibayar gaji terkebelakang (arrears) atau membayar tonggakan gaji mengikut lama bekerja, oleh itu seorang yang telah berkhidmat selama 28 tahun samalah gajinya dengan seorang yang baharu masuk bekerja dan kemudian daripada itu saja diberi kenaikkan gaji tahunan, sehingga akhir saya tidak dapat membetulkannya dan telah ternampak kepada saya iaitu tuan itu tidak sanggup bersoal jawab dengan pihak atasan.
bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan: 
     Kemungkinan besar mendiang E.C. Hicks tidak sanggup memberi gaji terkebelakang kepada Guru-Guru Pertukangan Kayu kerana bilangan mereka adalah lebih ramai jika dibandingkan dengan Guru-Guru Membuat Labu dan implikasi kewangannya adalah besar. Guru Membuat Labu hanya terdapat di Sayong dan Pulau Tiga sahaja, manakala Guru Pertukangan Kayu terdapat diseluruh negeri Perak.
     
            

Monday 26 January 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:




     Daripada permulaan itu dan dengan takdir Tuhan kemudiannya telah dilantik sebagai seorang Pegawai Pentadbir M.A.S. dan beberapa tahun telah bertugas sebagai Penolong Pegawai Jajahan Kuala Lumpur - ia telah lulus didalam peperiksaan undang-undang dan dinaikkan kepada darjah M.C.S. (Malaysian Civil Service).

      Sekarang iaitu 1971 sebagai Pegawai Daerah ia-itu  meneruskan perkhidmatannya dan lagi masih muda 


bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA
 Catatan:

M.A.S.:   Malay Administrative Service atau Pegawai Tadbir Melayu kemudiannya dikenali sebagai Pegawai Tadbir Am. Kini jawatan ini telah dimansuhkan.

M.C.S.:   Malaysian Civil Service kini jawatan ini dikenali sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik

Ahmad Tajudin telah kembali ke Rahmatullah beberapa tahun kemudian di Kuala Lumpur kerana deman denggi

Monday 19 January 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:


(2)  Seorang Daripada Anak Saya  

            Dengan itu saya telah dapat satu kesimpulan iaitu tuan itu telah tertarik hati kepada saya dan cukup percaya kepada saya. Kebetulan pada masa itu anak saya Ahmad Tajuddin belum lagi berkerja kerana kelulusannya rendah daripada yang lain dimasa itu dan kebetulan jua dimasa itu saya baharu sampai, Pejabat Pelajaran baharu sahaja lepas mengadakan peperiksaan temuduga dan telah melantik beberapa guru T.E.V.S. (Teacher of English in Vernacular Schools) yang ia ada cukup kelayakan pelajaran bagi jawatan itu.
             Saya terus jumpa tuan itu saya kata yang saya kurang nasib kerana baharu saja lepas pejabat itu telah melantik beberapa orang bagi jawatan guru semacam itu yang seorang anak saya ada kelulusan baginya tetapi saya telah terlambat tiba.
              Tuan itu tanya saya nama anak saya itu di mana ia berada dimasa itu dan saya pun terus beri ia tahu - tuan itu sendiri pergi dengan motokarnya yang ia pandu sendiri ke rumah saya baharu duduk pagi itu di Kuala Kangsar Road, Ipoh. Ia kata, 'Tajuddin - dress up and come" ia terus bawa anak saya itu berjumpa Guru Besar Anderson School katanya 'F.A's Son - give him Work' dan dengan perkataan-perkataan yang kurang daripada sepuluh patah itu dengan serta-merta anak saya itu dilantik menjadi seorang guru Bahasa Inggeris.  


bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
     Difahamkan setelah beberapa bulan bertugas Allahyarham Ahmad Tajuddin telah tidak dibayar gajinya.  Allahyarham Haji Mohd Yaakob sekali lagi telah bertemu dengan E.C. Hicks memaklumkan perkara tersebut. Hicks sekali lagi telah pergi ke Anderson School berserta dengan Allahyarham Haji Mohd Yaakob. Hicks telah berjumpa dengan Guru Besar sekolah tersebut bertanya kenapa gaji Ahmad Tajuddin tidak dibayar. Guru Besar tersebut menjelaskan bahawa tiada surat menyurat yang membolehkan ia membayar gaji kepada Ahmad Tajuddin. Hicks telah menyatakan surat beliau besar atau beliau sendiri besar dan mengarah Guru Besar tersebut serta-merta membayar gaji Ahmad Tajuddin.     

Monday 12 January 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELAJARAN NEGERI PERAK (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      (1) Gaji Guru Tukang Membuat Labu

            Pada masa saya mula tiba di pejabat itu saya dapati iaitu guru membuat labu di Sayong, Kuala Kangsar dan di Pulau Tiga, Hilir Perak masing-masing dibayar elaun sebanyak $2.00 (dua Ringgit) seorang sebulan. Saya tanya tuan Nazir Agung bagaimana mereka hendak hidup dengan elaun sebanyak itu dan tuan itu memberi saya tahu iaitu mereka itu dikehendaki berkhidmat beberapa jam saja didalam sebulan. Saya kemukakan iaitu tidak boleh disalahkan kepada mereka dan tujuan bekerja ialah untuk mecari makan dan jika mereka dibayar gaji yang cukup atau yang munasabah siang malam pun mereka boleh bekerja jika berkehendakan. Dengan itu maka tuan itu dengan serta merta bersetuju mereka itu dibayar gaji yang tetap  sebagai guru yang tiada berlatih 'Untrained Teacher' dengan gaji yang berlipat ganda. 
  

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 5 January 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELAJARAN NEGERI PERAK (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

         Saya tidak menyangka yang surat saya yang kecil dan pendek itu telah dipanjangkan kepada ________ pemerintah dimasa itu dan tuan yang berkhidmat Ketua Undang-Undang Negeri Melayu Yang Bersekutu telah setuju dengan pemandangan saya itu dan dengan itu telah terselamat mereka yang harus terlibat sehingga diakhirnya mereka boleh bersara diakhir perkhidmatan mereka.

               Maka dengan keputusan itu nampaknya tuan ketua saya itu telah amat percaya kepada saya sehinggakan ia beri kepada saya satu surat kecil jua yang memberi saya kuasa penuh didalam hal ehwal kewangan di pejabat itu oleh itu maka selepas itu saya telah ambil peluang untuk membela nasib pertamanya orang-orang Melayu di jabatan itu yang mana boleh, misalnya:  

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA