Total Pageviews

Monday 29 April 2013

PENGENALAN (Sambungan 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


 Selepas kemangkatan Al-Marhum Sultan Ismail jua maka Toh Seri Nara Di Raja Dayan pun meninggal dunia dan berkubur di Johor tidak sempat hendak berpindah balik ke Perak.  Saya masih ingat iaitu di masa saya lagi kecil kerana diam bersama mereka iaitu datuk saudara saya itu ada menyimpan surat ciri (ataupun salianannya saya tidak tahu) yang digantung dalam satu tabung dibawah bumbung rumah diatas para kerana takut dilangkah oleh binatang atau manusia jadi tulah.  Saya sekarang tidak tahu siapa daripada anak cucunya yang menyimpannya sekarang jika ada lagi surat itu.
 Dizaman dahulu Toh Seri Nara Di Raja ialah orang yang menggelar atau mentabalkan sultan yang kelima mengikut sebagaimana salasilah yang tersebut dan ialah jua membaca surat ciri serta membisikkan ketelingga baginda yang baru ditabalkan itu rahsia-rahsianya di masa istiadat itu dijalankan dan hingga masa inipun nampaknya istiadat membisikkan itu lagi dijalankan semasa pertabalan seorang sultan yang baharu.
 Berbalik kepada surat salasilah ‘muntah lembu’ itu yang termasuk jua salasilah di Raja maka begitu jualah surat itu saya simpan gantung di dalam tabung baginya di kepala atau diatas tiang seri dan di masa yang akhir disimpan di dalam satu almari diatas petak yang diatas sekali.  Apabila meletusnya peperangan dunia kedua pada 8 Disember 1941, maka saya bawa salasilah itu bersama lari serta berpindah ke tempat lain tetapi apabila Bandar Telok Anson dimana saya dimasa itu bekerja telah terkena bom oleh tentera Jepun maka kami terpaksa lari ke hulu Sungai Perak dengan meranduk air di setengah-setengah tempat kerana kebetulah di masa itu dibanjiri air mengalir pantai-pantai tebing sungai.  Kami lari dengan sehelai sepinggang maka sekelian harta-harta benda dan perkakas-perkakas termasuk salasilah itu terpaksa ditinggalkan disitu.  Apabila kami balik tidak beberapa lama selepas itu atau selepas tentera darat Kerajaan Jepun mendarat pada 1 Januari 1942 maka kami dapati rumah kami dan rumah tempat kami menumpang sementara telah dipecah dan dimasuki orang serta mengambil apa-apa yang ada.  Tabung tempat salasilah itu masih ada lagi tetapi isinya iaitu salasilah itu sudah dicarik-carik orang dan tidak dapat dibaca lagi kerana susah bercerai-cerai dan koyak-rabak.  Oleh itu di masa itu difikirkan tidak apa gunanya menyimpannya oleh kerana tidak dapat dibaca lagi.
 Pada mulanya saya fahamkan ada orang lain daripada keturunan yang sama yang ada menyimpan salinan salasilah itu tetapi selepas saya siasat hingga sekarang belumlah lagi saya berjawapan bagaimanapun tidaklah saya tahu pula adakah orang lain daripada keturuan yang sama yang telah berhijrah ke tempat lain seperti Senggang atau Semat yang ada menyimpan salasilah itu kerana daripada pihak merekalah gelaran-gelaran Toh Seri Nara di Raja sekarang dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan.

 Oleh yang demikian, keadaan dimasa itu maka terpulanglah kepada masing-masing samada hendak percaya atau tidak.  Bagaimanapun, setengah daripada setengah adat istiadat itu seumpama berbisik ke telingga Sultan semasa pertabalan seorang Sultan yang baru masih diikuti lagi.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 22 April 2013

PENGENALAN : SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


   PENGENALAN

Sejarah dan riwayat kampong saya ini telah saya kumpul daripada beberapa riwayat dan cerita-cerita mulut daripada orang-orang tua dahulu daripada datuk nenek moyang saya sendiri semata-mata.  Bagaimanapun cerita-cerita yang saya sebutkan daripada kisah-kisah cerita-cerita dan riwayat-riwayat daripada orang kampong saya ialah daripada pengelaman saya sendiri.  Saya sebut cerita-cerita dan riwayat mereka itu ialah saya sendiri berasa bangga dengan kehandalan dan dan pengetahuan mereka daripada kampong saya yang saya anggap boleh dijadikan teladan dan pedoman hidup, jauh sekali daripada berniat hendak menyinggung perasaan dan hati kecil yang berkenaan dengan atau daripada keluarga-keluarga yang tersebut.
 Saya kembarkan pula salasilah ‘Muntah Lembu’ atau dan keluarga ‘Muntah Lembu’ kerana didapati banyak orang tidak memahami atau mengerti salasilah itu.  Salasilah itu telah dipetik daripada salasilah yang tersebut yang turun-temurun dirahsiakan di antara keluarga itu.
            Saya ingin menerangkan bagaimana pula salasilah itu telah sampai ke tangan saya.  Ini adalah berpunca daripada riwayat yang disebutkan di dalam riwayat ini, kelak iaitu ialah moyangda saya Toh Maharaja Paduka Alang Abu Kassim berdua dengan saudaranya Toh Seri Nara Dayan telah mengiringi bersama Al-Marhum Sultan Ismail Muhibudin Riayah Shah yang telah diasingkan ke Johor selepas Peperangan Perak dengan orang-orang Inggeris selepas Perjanjian Pangkor (Pangkor Treaty 1874)
 Selepas kemangkatan Sultan Ismail di Johor dan dimakam di sana sebagai Al-Marhum mangkat di Skudai maka moyanghanda kami Toh Maharaja Paduka Alang Abu Kassim dengan dua orang anaknya iaitu Long Jati dan Ngah Kenta iaitu bapa kepada ibu saya Long Ganti yang bersama datuk saya telah pindah balik ke Perak
 Salasilah itu (ataupun salinannya) kepunyaan atau ada bersama moyangda kami itu. Ia berikan atau pusakakan pula kepada anaknya yang laki-laki iaitu datuk saya Ngah Kenta.  Oleh kerana difikirkannya saya sebagai cucunya yang tua sekali itu juga kepada anaknya yang tua sekali iaitu ibu saya dan jua di masa itu saya terlebih sedikit terpelajar maka diserahkannya salasilah itu kepada saya dengan pesanan yang rapi untuk dipilihara atau disimpan dengan baik untuk dipesakai oleh yang terkemudian kerana katanya pesaka yang lainpun ia tidak ada.
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Gambar makam boleh dirujuk disini: 
http://merbawi.blogspot.com/2009/07/mencari-makam-sultan-ismail-muabidin.html
 dan
http://merbawi.blogspot.com/2009/08/sultan-ismail-ahli-keluarga-dan.html

Monday 15 April 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 10): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


(5)   Lower Perak Malay Club

Saya biasanya daripada mula lagi selalu dilantik sebagai Bendahari Yang Kehormat kelab yang tersebut.  Kelab yang tersebut letaknya ialah dihadapan pejabat saya bekerja di masa itu Sub-Treasury.  Selalulah pula saya dapati di masa orang-orang lain bekerja di pejabat selalu orang bermain billiard di kelab itu.  Tetapi pada petang hari apabila saya lalu kelab masa hendak balik ke ruamah saya selepas bekerja saya selalu singgah di situ dan saya dapati tidak ada seorangpun yang membayar cukai “Tax”.  Saya tanya penjaga kelab bagaimana jadi begitu.  Pada hal sepanjang masa ada orang bermain Penjaga Kelab “Club Boy” jawab itu bukanya main betul tetapi main-main cocok saja.  Saya jawab main cocokpun main juga dan harus jadi lebih merbahaya dan lagi lekas meja itu jadi rosak.
  
Cocok punya cocok pada satu hari saya dapati kain meja billiard itu sudah koyak berkaki panjangnya dan sungguhpun orang yang bermain cocok itu yang merosakkan meja itu terpaksa membayar upah yang mahal bagi membaiki kain meja yang rosak itu.  Tetapi ahli-ahli kelab yang lain telah mogok dan memberontak dan kelab terpaksalah membeli satu meja billiard yang baru.  Pasal cocok punya cocok, dengan harga beribu-ribu ringgit,  


 TAMAT


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Sehingga ini sahaja catatan yang dijumpai daripada buku  "Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri".  SElanjutnya isyaallah catatan yang ditulis oleh Allahyarham daripada buku "Sejarah dan Riwayat Kampung Saya Lambor Kiri, Parit, Perak" akan disiarkan.  Untuk makluman, terdapat catatan daripada buku tersebut ada yang berbeza dengan pendapat dan pandangan ahli sejarah, diharapkan ianya dapat diterima seadanya.

Editor

Monday 8 April 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 9): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


(4)   Di satu masa kemudian daripada itu pula seorang Pegawai Pentadbiran Melayu (MCS) telah memegang jawatan memangku Pegawai Jajahan Hilir Perak dan iapun mengaku dirinya dan orang-orang ramai pun panggil ia “Smith” Melayu iaitu Encik Megat Yunus.  Saya semasa itu berkhidmat sebagai Ketua Kerani (C.C.) di pejabatnya.  Ia begitu jua orangnya jika ia tidakpun lebih garang orangnya daripada J.D.M. Smith.  Saya cukup perhatikan dan ia cukup pandai mencari kesalahan orang lain di bawah tangannya sehingga dengan mata kepala saya sendiri pernah melihat seorang pegawai yang sudah berpangkat “super scale” bertaburan air mata apabila dimarah oleh Megat Yunus.  Apatah lagi di hadapan orang lain.  Saya yang bekerja terus di bawah tangannya pula berasa ngeri.  Oleh itu, dengan sulit saya telah katakan kepadanya jika saya tersilap atau tersalah ia boleh buat sebagaimana ia buat kepada orang lain, tetapi jangan di hadapan orang lain (iaitu dengan sulit) kerana masing-masing ada maruah di hadapan masyarakatnya.  Bagaimanapun, sayapun tidak tahu apa sebabnya maka ia tidak pernah marah kepada saya samada dalam sulit atau di hadapan orang lain.  Oleh itu, orang-orang lain berasa hairan sehingga pada satu petang mereka berhimpun di satu tempat dan mereka panggil saya untuk bertanya saya bagaimana saya seorang saja yang mereka dapati tidak pernah kena marah oleh Encik Megat Yunus.  Saya jawab mesti kerja kuat, kerja betul jangan buat salah kemudian serah kepada Allah.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 1 April 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



(3)   Tuan Pegawai Jajahan

Di satu masa sebelum meletus peperangan Dunia Yang Kedua telah datang bertukar ke Teluk Anson seorang pegawai bangsa kulit putih yang termasyhur, garang orangnya iaitu Tuan J.D.M. Smith sebagai Pegawai Jajahan (sekarang Pegawai Daerah) Hilir Perak.  Setibanya saja maka ia selalulah melawat ke sana sini.  Nampaknya untuk mencari salah.

Pada satu pagi, ia datang ke pejabat saya dan ia terus bertanya atau hendak tahu apa kerja-kerja yang saya buat dan tanggungan saya.  Oleh itu, saya jalankanlah fatwa bapa saudara saya Kulop Deris tempuh hari.  Saya terangkan sejelas-jelasnya kerja dan tanggungan saya yang memakan sedikit masa.  Sesudahnya saya jelaskan kepadanya satu perkara yang saya buat iaitu perkara selalunya Tuan Oliver (orang bangsanya) A.D.O. Sungai Manik di masa itu selalu bawa check-roll gaji kuli-kuli yang digaji untuk menebas menebang hutan di Sungi Manik dan di Labu Kubung yang di masa itu hutan belentara yang besar yang berjumlah diantara 20 dan 30 ribu ringgit.  Pada pukul sepuluh pagi dan berkehendakkan bayaran pada pukul dua pertang itu juga.  Saya kata lagi mengikut Peraturan ‘Am ia mesti beri masa sekurang-kurangnya tiga hari.  Tetapi katanya, orang-orang semua sudah behimpun untuk menerima gaji mereka.  Oleh itu saya terpaksalah cari jalan yang singkat.  Misalnya didalam sebulan yang mengandungi 30 hari, sekiranya didalam check-role itu seorang itu akan menerima gaji selama 23 hari, maka saya hitung yang pendek iaitu hari yang ia tidak bekerja 7 hari.  Tetapi sebaliknya jika ia akan menerima gaji 7 hari saja maka kira balik hari yang ia bekerja dan begitulah seterusnya dan begitupun saya kata saya terpakasa tidak balik pulang ke rumah untuk makan tengah hari.. Nampaknya ia nampak tertarik hati dengan penjelasan saya itu dan tidaklah saya ketahui apakah dengan sebab cakap saya itu ataupun lain maka saya dapati di awal tahun hadapannya dapat tambah seorang kerani di pejabat saya itu.

Semenjak itu tidaklah pernahlah dapat apa-apa teguran atau panggilan daripada tuan itu.

Selepas itu ia beralih pula meyoal ketua saya Bendahari Kecil.  Saya tidaklah tahu sama ia tidak tahu menjawab atau sebab ketakutan.  Saya dapati jawapan-jawapan yang diberinya itu biasanya tidak betul.  Pada satu pagi tuan itu bertanya kepadanya adakah “Adjudication fee” dikutip di sini.  Ia jawab ada.  Pada besok pagi pula tuan itu datang lagi bertanya berapa banyak “Adjudication fee” dikutip dalam sebulan.  Ia jawab beratus ringgit tuan.  Tuan itu tanya lagi kamu ertikah apa “Adjudication fee” itu.  Ia mula gagap dan sesudahnya ia tidak jawab yang memuaskan.  Oleh itu, tuan itu dengan marah katanya “You are a blinking empty coconut shell”.

Daripada itu nampaklah ia tidak boleh lagi bekerja dengan atau di bawah tuan itu dan pada petang itu jua ia pergi berjumpa dengan seorang manager besar sebuah ladang kelapa (estate) bangsa Eropah yang ia kenal kerana menager itu selalu datang menukar cek ladangnya di Perbendaharaan Kecil itu dan jua ia tahu tuan itu adalah kawan baik kepada Tuan British Resident Perak di masa itu dan ia meminta tuan itu berikhtiar dengan Pejabat Tuan Brutish Resident supaya ia ditukarkan atau dapat bertukar daripada Teluk Anson.  Dengan ikhtiar itu ia telah ditukarkan ke Ipoh di dalam masa seminggu saja dan diganti oleh seorang yang sebangsa dengannya.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA