Total Pageviews

Friday 26 August 2011

IBU SAYA (Sambungan) : Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

          Sebagaimana diriwayatkan oleh nenek saudara kami Teh Rela yang kami anggap lebih daripada nenek kandungnya kami sendiri dan yang memelihara kami adik-beradik di masa kami kecil kerana sebagaimana yang telah termaklum kami di masa itu dan tidak pernah ada nenek kami sendiri sama ada di pihak bapa ataupun ibu maka dengan takdir tuhan yang maha kuasa pada masa itu terjadilah satu keramaian di Bandar DiRaja Kuala Kangsar  bersempena dengan satu perkahwinan DiRaja di Bandar itu.  Sebagaimana kebiasaan di masa itu (dan sekarangpun) maka berbagai-bagai permainan dan pertunjukkan telah diadakan di situ siang dan malam selama 40 hari dan malam maka berhimpunlah sekalian rakyat jelata seluruh negeri untuk melihat dan menyaksikan temasya itu.  Maka pihak tok nenek dari keluarga kami daripada Lambor Kiri pun datang mudik dengan sampan ke Kuala Kangsar dan di antara yang pergi ke sana itu termasuklah ibu saya yang di masa itu sudah dara sunti.  Perahu mereka lalu singgah di tepi sungai Kuala Kangsar dan dengan tidak disangka-sangka rupanya sekadar berselang sebuah sampan saja dengan perahu dinaiki datuk saya Ngah Kenta yang telah terlebih dahulu sampai ke situ daripada Selat Pulau.

            Apabila masing-masing telah mengetahui kejadian yang tidak disangka itu maka  bermuafakatlah pihak waris-waris ibu saya dan keputusannya mereka bersetuju menjumpakan dan mengenalkan ibu saya itu dengan ayahnya bagi kali yang pertama -  bagi pihak datuk saya pula sebelum dikenalkan anaknya kepadanya ia telah mengerti terlebih dahulu dan dengan teriak tangis masing-masing mengaku bermaaf-maaf satu sama lain sebagaimana perpatah orang-oran tua “Buang yang keruh ambil yang jernih”, “Busuk-busuk daging kikincah-kincah dimakan jua” dan semenjak itu baharulah ia datang menjenguk dan unjuk-beri kepada anaknya.

            Sebagaimana yang telah disebutkan dahulu, ibu saya telah beribu angkat menyusukan kepada semua ibu-ibu yang beranak kecil semasa ia lepas dilahirkan ke dunia ini di seluruh mukim itu sudah jadi saudara sesusu berhimpun kepadanya yang menghalang perkahwinan kerana sepersusu tetapi dengan takdir tuhan bapa saya Ngah Abas (Haji Abas) yang hampir sekali ganda umurnya dengan umur ibu saya di masa itu belum lagi berkahwin.  Abangnya Kulop Deris iaitu saudaranya yang tunggal telah berkahwin dengan saudara sepupu ibu saya Ngah Naimah binti Ngah Seman dan telah melahirkan beberapa orang anak.  Oleh kerana perbezaan umur kedua (ibu dan bapa saya) maka tidaklah berbabangkit soal susu menyusu dan tuhan jodohkan mereka kedua dengan diwalikan oleh bapa ibu saya sendiri Ngah Kenta.  Di masa yang berbahagia itu datuk saya telah membawa anaknya Uda Kidin, bapa saudara kepada kami untuk diam dan duduk bersama dengan kakaknya.  Di masa itu datuk saya itu telah berkahwin pula yang lain selepas ibu kepada bapa saudara saya itu meninggal dunia dan mendapat pula beberapa orang anak yang lain di antaranya:-

1.      Alang Arom
2.      Shamsuddin
3.      Andak Kisum
4.      Anjang
5.      Long (yang bongsu)

            Selepas itu perkahwinan kedua ibu bapa saya itu selama tiga tahun atau hampir empat tahun dikatakan tidak pula melahirkan seorang anakpun.  Oleh itu, hebohlah segala bapa-bapa dan ibu-ibu saudaranya yang ramai bernazar di merata-rata keramat-keramat yang diketahui di masa itu supaya ia melahirkan atau mendapat anak.

            Dengan takdir Illahi ibu saya telah melahirkan saya di Lambor Kiri dalam Jajahan Kecil Parit pada hari Isnin 25hb. Oktober 1897 bersamaan dengan 28 Jamadilakhir 1315 tahun bah (banjir) yang pertama di negeri ini.  Terdahulu daripada itu telah dilahir jua ke dunia ini kakak saudara saya Long Pura binti Kulop Amin.  Kami berdua telah dilahirkan semasa ada hayat moyanghanda kami Long Sharifah binti Toh Seri Nara Pandak Manan yang bergelar Toh Kesumba sebagai isteri Toh Dewa (Toh Seri Dewa Maharaja) Panjang Ogek.

            Kepada Moyanghanda kami itu maka kakak saudara kami Long Pura itulah cicitnya perempuan yang tertua dan yang pertama dan saya ialah cicit lelaki yang tertua sekali yang pertama dilahirkan ibu kepadanya dan kepada ibu-ibu dan bapa-bapa saudara kami yang ramai.  Maka kamilah pangkat anak yang tertua sekali.  Demikian juga kepada nenek-nenek dan datuk-datuk saudara kamilah juga yang tertua pada peringkat cucu.  Oleh it, kami berdua adalah kesayangan dan dikasihi yang berlebihan kepada seluruh keseluruhannya apatah lagi kepada diri saya sendiri oleh kerana ibu saya yang terdahulu sudah menjadi anak pelihara dan kesayangan mereka kerana tidak beribu dan seolah-olah tidak berayah.

            Moyanghanda kami itu telah meninggal dunia di dalam tahun 1901 semasa kami berumur lebih kurang empat tahun dan semasa adik saya Ngah Mohd Tawi berumur satu tahun yang ia belum ingat tetapi kami tidak sedar kerana semasa ianya sakit teruk dan langsung meninggal dunia kami yang masih kecil dipisahkan ke tempat lain untuk sementara dan selepas dikebumikan mayatnya baharulah kami dibawa balik pulang ke rumah tua.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Tuesday 16 August 2011

IBU SAYA : Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Bismillahirahmanirahim

IBU SAYA

            Ibu saya yang malang ialah yang tidak pernah melihat wajah ibu kandungnya sendiri yang melahirkannya kerana ibunya telah kembali ke rahmatullah pada masa melahirkan anaknya yang tunggal iaitu ibu saya itu.  Maka dengan sebab itulah ia telah diberikan nama Long Ganti binti Ngah Kenta.  Oleh yang demikian, tidaklah ia pernah merasa atau mendapat nikmat kasih seorang ibu kepada anaknya.  Lagi yang menyedihkan pula di masa itulah jua bapanya telah berpisah ke tempat lain dan mendirikan rumahtangga yang baru di Selat Pulau, Hilir Perak – ada pula yang mengatakan iaitu datuk saya itu ialah Ngah Genta dan ini pun harus jadi benar kerana ejaan jawi di masa itu ialah dengan memakai huruf Arab yang tidak memakai huruf “Ga” oleh itu huruf “Kaf” digunakan sebagai huruf “Ga”.

2.         Perpisahan ayahnya itu perpunca daripada perselisihan faham dengan waris-waris ibu saya itu kerana dikatakan di dalam beberapa hari saja di masa masing-masing didalam kemasygolan oleh kerana kematian itu maka ayahnya telah pula mengambil langkah hendak berkahwin dengan seorang gadis tempatan dengan tidak mengikut cara dan saluran yang biasa.

3.         Ibu emak saya itu, iaitu ninda perempuan kepada kami ialah bernama Itam Nila iaitu seorang anak kepada Toh Dewa Maharaja Panjang Ogek yang terkenal dengan nama gelarannya “Toh Dewa” iaitu anak yang kelapan daripada sepuluh orang adik-beradik yang seibu sebapa termasuk tiga orang yang mati semasa kecil dan semasa muda dengan isteri yang pertama iaitu Long Sharifah binti Toh Nara Pandak Manan dan daripada seramai lima belas orang adik-beradik sebapa tetapi berasingan ibu iaitu dengan seorang ibu yang lain bernama Latifah (Tipah) binti Dokok.  Oleh itu, sungguhpun ianya (ibu kami) tidak ada adik-beradik yang lain tetapi ada mempunyai ramai ibu-ibu dan bapa-bapa saudara termasuk Tok Penghulu Mukim Lambor Kiri.  Bagaimanapun untuk memeliharanya semasa kecil adalah amat sukar kerana pada masa itu lebuh kurang pada tahun 1878 keadaan zaman tidaklah sebagaimana sekarang dan belum ada dan tidak terfikir adanya susu tin atau susu tepung atau makanan di dalam tin.  Oleh itu untuk memelihara dan menyusukan, ibu saya itu maka warith-warith nya terpaksalah menyerahkannya daripada satu tangan ke tangan yang lain beribu angkat kepada beberapa orang ibu angkat kepada beberapa orang ibu angkat yang ada anak kecil dimasa itu seluruh mukim itu.  Tetapi bagi memelihara dan menanggungnya hingga besar terletaklah pada saudaranya Anjang Talib (Haji Anjang Talib) iaitu abang kepada ibunya Itam Nila dan juga ke atas saudaranya sebelah neneknya yang perempuan iaitu Teh  Kesum binti Lazim seorang daripada orang yang meyusukannya yang dipanggil “emak” hingga akhir hayatnya.  Tetapi yang berlebih-lebih keberatan untuk memelihara dan menanggungnya hingga besar ibu saudaranya sendiri Teh Rela bersama dengan bapa saudaranya yang tersebut yang kedua-duanya ialah seibu sebapa dengan emak kandungnya.

Bagi mengasuhnya pula daripada masa ianya kecil lagi termasuklah seorang tua yang bujang bernama Seri iaitu seorang daripada hamba keluarga kami pada masa pemerihtahan raja-raja Melayu sendiri tempoh hari.  Bapa saudaranya Anjang Talib yang telah dilantik menjadi penghulu Lambor Kiri bagi menggantikan abangnya Alang Abdul Ghafar yang telah meninggal dunia.

 Selepas berpisah, datuk saya Ngah Kenta itu tidaklah pernah ia datang melihat atau berjumpa dengan anaknya iaitu ibu saya kerana harus jadi di masa itu perjalanan daripada satu tempat ke satu tempat mukim yang lain atau jajahan yang lain amatlah sukar kerana kecuali dengan menerusi perahu tidak ada jalan terus-menerus samada jalan enam kaki atau ikut lorong jalan kaki dan jalan raya sebagaimana sekarang jauh lagi adanya tambahan pula sebagaimana yang telah disebutkan datuk saya itu telah mendirikan rumahtangga yang baru di Selat Pulau, Mukim Pulau Tiga dan telah pula mendapat empat orang anak yang lain iaitu:-  

1.      Kulop Retam
2.      Ngah Jenab (Zainab)
3.      Alang (mati kecil)
4.      Uda Kidin

Daripada seorang ibu yang lain.  Sementara itu ibu saya telah besar maka berbangkitlah soal sekiranya ibu saya itu dipinang orang maka siapa pula hendak mewalikannya dan masing-masing berhati keras, degil dan tidak mahu beralah atau bertolak-ansur.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 8 August 2011

PENDAHULUAN: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Bismillahirahmanirahim

PENDAHULUAN

Saya sesungguhnya bukanlah seorang pembesar atau seorang yang ternama yang layak mencatitkan riwayat hidup sendiri atau riwayat hidup orang lain, tambahan pula saya bukanlah seorang ahli karang mengarang untuk dijadikan kenangan atau tauladan.  Bagaimanapun, saya rasa ada gunanya saya catitkan sedikit sebanyak pengelaman saya bagi masa yang telah lepas untuk membezakan keadaan di negeri kita ini pada zaman antara 60 atau 70 tahun yang lalu dengan zaman sekarang pada umumnya dan terutama perkara-perkara yang bersangkutan dengan pelajaran.

Saya telah berkhidmat dengan kerajaan negeri daripada 4.3.1916 hingga 25.9.1952 iaitu selama 36 tahun 6 bulan 21 hari dan selepas itu dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak daripada 5.7.1967 hingga 31.12.1967 iaitu selama 15 tahun 5 bulan 27 hari. Jumlah tempoh perkhidmatan saya adalah 52 tahun.

Sebagaimana yang termaklum negara kita telah mengalami beberapa ancaman dan peristiwa dalam masa itu dan yang paling dekat ialah peristiwa 13 Mei (1969).  Maka mengikut buku karangan Yang Teramat MuliaTengku Perdana Menteri Malaysia, tidak kurang daripada 184 jiwa telah terkorban dan 356 tercedera dengan teraniaya sebanyak yang diketahui.  Selain daripada bilangan yang sebenar rumah-rumah dan kereta-kereta kenaikan yang terbakar dan jahanam.

Sebagaimana yang termaklum jua dalam masa peristiwa itu berlaku dan terkemudiannya maka perintah berkurung telah dikuatkuasakan untuk memelihara ketenteraman pada mulanya selama 24 jam terus sehari semalam pada beberapa hari yang awal dan kemudian dilonggarkan selama dua jam sehari pada beberapa hari pula dan kemudian dilonggarkan lagi sedikit demi sedikit.

Di negeri Perak ini pada masa itu sungguhpun tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku tetapi keadaannya adalah tegang kerana didapati pada hari yang mula perintah berkurung itu dilonggarkan selama 2 jam maka setengah-setengah kedai barang tidak berani membuka kedai mereka di pintu hadapan tetapi mereka buka pintu belakang dan membenarkan masuk ke dalam kedai mereka orang-orang yang mereka kenal sahaja.  Kita semua berdoalah supaya peristiwa semacam itu tidak berlaku lagi di masa hadapan sambil menjalankan ikhtiar untuk mengelakkan peristiwa semacam itu tidak berlaku lagi.

Dalam masa berkurung yang begitu lama dan panjang masanya maka telah terlintas di hati saya untuk mencatatkan riwayat ini moga-moga mendapat perhatian daripada sesiapa yang suka mengetahui dan mengambil tauladan mana-mana yang berguna.  Demikian wabillahitaufik wallahuallah adanya.


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
Ipoh 1 Januari 1970

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA