Total Pageviews

Monday 27 October 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

     Oleh kerana tidak ada apa barang-barang yang di tinggal yang hendak dikumpulkan, maka kami dua beranak telah duduk bertenggung diatas lantai bilek tengah sambil mengenangkan nasib malang kami dan orang yang melalui peperangan dimasa itu. Ayah saya telah mula merungut dan telah terjadi satu riwayat yang lebih kurang seperti berikut:-

   Ayah saya berkata: "Engkoma (Kamuma) selepas ini tidak akan naik lagi kerana sudah sumpah nenek moyang kita dahulu Tok Tongsa yang anak cucu dan zuriatnya sebagaimana nasibnya supaya tidak jadi kaya sebagaimana ia-nya sekadar makan pagi petang saja dan engkoma semua dimasa yang baharu lepas dikurnia Tuhan sudah cukup mewah dan dan berbahagia."

     Saya jawab - Ayah ialah ayah saya dan cakap ayah itu sudah jadi doa atau sumpah kepada kami adik beradik - saya tahu daripada syarahan alim ulama ia-itu doa tiga orang tidak ditolak oleh Tuhan sekadar ada kala ditangguhkam pada menunaikan doa orang itu, satu daripadanya ialah doa ibu-bapa bagi anaknya - elokkah doa ayah itu kepada kami anak-anak ayah  - saya tidaklah tahu siapa Tok Tongsa itu yang telah bersumpah sebagaimana ayah sebutkan itu, lagi pun harus telah berkurun-kurun lamanya dan jua telah berapa lapis keturunan telah jadi harus telah lepas sumpahnya dan sekarang ini ayah pula buat semula keatas anak-anak ayah, yang kedua orang yang teraniaya, orang yang menganiaya harus lalu tidur lenyak tetapi yang terkena aniaya ia tidak tidak lalu tidor dan ditengah malam ia terkenang akan nasibnya kena aniaya itu dan ia terkenang itu sudah jadi doa kepada Tuhan. Sebelum saya menghabiskan percakapan saya itu saya lihat ayah saya telah terjatuh hiba dan saya berasa menyesal dan jatuh pula air mata saya sendiri. 

   Ayah saya meneruskan katanya - Aku tidak berniat begitu dan sambil air matanya jatuh ia mengangkat dua tangannya dan terus mendoakan sekelian anak-anak cucu dan zuriat akan aman makmur dan berbahagia kesemua dengan kaya raya, maju jaya dan aman sentosa.            
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
     Maklumat daripada salasilah yang telah dapat dikumpulkan,
     Mohd Yaakob bin Ngah Abas bin Kulop Seman bin Orang Kaya Besar Tok Tongsa Panjang Ismail



Monday 20 October 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

   
  Selama saya meninggalkan Telok Anson selama lapan belas hari itu apabila saya kembali maka saya dapati pejabat kerajaan yang terkenal dengan panggilan opis tiang seribu telah terbakar dan apabila saya bersama dengan bapa saya sampai ke rumah saya maka kami dapati rumah itu telah dibuka dan dibongkar oleh maknusia yang tidak ada lagi kemaknusiaan pada diri mereka kerana jarum patah pun tidak mereka tinggalkan, bukan saja perkakas dan isi rumah saya bahkan sekalian perkakas-perkakas dan barang-barang saudara mara saya daripada kaki tangan kerajaan dan saudara mara yang lari daripada tempat-tempat lain telah bawa sekalian kepunyaan mereka untuk ditumpangkan bagi sementara di rumah saya didalam masa pelarian dharurat didalam peperangan itu telah kesemuanya diambil orang.   

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 13 October 2014

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH

     Sebagaimana yang telah disebutkan, sepasukan daripada tentera Jepun telah melalui sungai daripada hulu dan menghilir Sungai Perak dan telah sampai serta bertemu dengan pasukan tentera Amerika daripada laut yang sampai di Telok Anson pada 2.1.1942 daripada situ mereka terus menuju ke Selatan Tanah Melayu dan pada akhirnya Singapura tempat pertahanan Inggeris yang akhir telah jatuh ketangan mereka pada 15 Februari 1942. Maka dengan ini bermakna mereka telah menaklukkan Tanah Melayu dalam masa kurang daripada 70 hari atau sepuluh minggu.

     Selepas sahaja Singapura jatuh ketangan tentera Jepun maka Kerajaan Jepun telah ditubuhkan di sana sini. Oleh itu kami daripada kaki tangan kerajaan yang lama mulalah balik ke tempat masing-masing. 

     Apabila saya terdengar khabar yang dibawa oleh orang yang pergi bersampan ke Telok Anson iaitu kerajaan tentera Jepun telah menakluk pekan Telok Anson dan melantik seorang Mayor bernama J.N.Bhaduri sebagai Mayor untuk sementara maka saya balik ke Telok Anson pada 18.1.1942. Allahyarham bapa saya pergi mengikut bersama dan anak-anak dan isteri saya tinggal di Lambor Kiri.


 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 6 October 2014

PERISTIWA ATAU KECEMASAN DI KAMPUNG (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:

      Kami tidak ketahui apa sebabnya ia diambil, adakah berpunca daripada kejadian yang di Lambor Kiri tempoh hari, tetapi ada angin-angin mengatakan yang orang Cina telah bertelingkah dengannya didalam ruangan perniagaan, kerana ia tidak dapat mereka saja didalam perniagaan membeli dan menjual getah yang dikatakan dimasa itu , ikut kata pembeli-pembeli getah orang-orang Cina di pekan-pekan Telok Anson dan Parit kecoh kerana Talib Ali selalu berusaha menjualkan getahnya ke tempat-tempat lain dimana saja dapat ia menjual getahnya dengan harga yang lebih tinggi dengan jalan ia berunding dengan pembeli-pembeli getah daripada orang Melayu di pekan-pekan lain melalui telefon dan menghantar getahnya ke situ dengan kereta. Oleh yang demikian pembeli-pembeli getah daripada bangsa Cina di pekan Parit dan Telok Anson sudah khuwathir penjual-penjual getah daripada orang-orang  Melayu yang lain pula akan mengikut jejak langkah itu dan akhirnya mereka akan rugi atau sekurang-kurangnya orang Melayu akan berkurangan menjual getah kepada mereka. 


  Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Selamat Hari Raya Aidiladha 
Keluaran akan datang tajuk baru.