Total Pageviews

Monday 25 June 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 10): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Saya suka mengambil kesempatan meriwayatkan hal tanah dan rumah di seberang keretapi itu yang terjadi beberapa tahun sebelum saya sampai untuk mengaji di Sekolah Inggeris Kuala Kangsar.

Mereka telah diam di rumah besar yang mereka dirikan di situ beberapa tahun yang lalu.  Di dalam masa itu, Opah telah melahirkan dua orang anak iaitu seorang anak perempuan namanya Fatimah Tajul Razmah dan seorang lagi yang namanya saya sudah lupa.  Dengan takdir Tuhan kedua kanak-kanak itu telah ke rahmatullah semasa kecil.  Oleh itu telah terfikir kepada mereka yang tempat itu keras dan berdekatan dengan satu tempat namanya Busung yang mereka katakan tempat langsuir diam.

Dengan sebab itu, mereka telah memohon kurnia dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Al-marhum Sultan Idris untuk mendirikan sebuah teratak (rumah) di atas tanah kepunyaan baginda itu di Jalan Stesyen Kuala Kangsar.  Pada masa saya mula sampai ke situ, mereka baru saja berpindah ke rumah yang mereka baru saja dirikan.  Di masa itu tanah itu lagi penuh sesak dengan lalang dan pokok kayu hutan atau kayu kayan yang lain.

Saya tidak tahu benar atau tidak adakah tempat yang lama itu keras sebagimana sangkaan mereka.  Pada perasaan saya harus jadi disebabkan oleh penyakit deman kepialu (Malaria) keadaan di tanah lembah yang dibelakang rumah itu penuh dengan nyamuk tiruk yang tidak terhingga banyaknya sebab banyak air bertakung di situ.  Selepas saya tiba di rumah yang baru itupun saya sendiri terkena penyakit demam itu tetapi saya dipaksa memakan ubat quinin yang amat pahit.

Berkenaan dengan langsuir itu, apa yang dapati dan  fahamkan sebenarnya ialah satu jenis burung helang yang biasa jua, bukannya hantu tetapi yang suka diam di hutan belantara di tempat yang liku dan sunyi.  Kesukaannya berbunyi di waktu sunyi malam terkadang berbunyi semacam orang gelak-ketawa sebagaimana burung tiung yang dipilihara orang.  Bunyi itu datangnya ialah dari arah tempat (kampung) Busung yang telah disebutkan di tempat yang liku dan sunyi di masa itu.  Apabila orang mendengar suara itu, masing seram bulu-roma (langsuir) disangkakan hantu.  Kebanyakkan orang tidak pernah mendengar keadaan sebagaimana yang telah dikatakan burung itu diamnya di hutan belentara dan di tempat jauh daripada orang.  Saya teringat di masa kecil bagaimana orang-orang tua menakutkan budak-budak kecil dengan Gonggok-Alin – mengapa orang-orang tua pula takut kepada burung helang yang bunyi di waktu malam.




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 18 June 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 9): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Apabila sekolah buka kembali bagi penggal dua, saya tidak balik dan tidak mengaji lagi dalam penggal sekolah yang kedua.  Di masa itu telah dijalankan peraturan cuti baharu sebagaimana sekarang.  Sebelum itu cuti sekolah adalah sebagaimana dirangka kepada iaitu cuti tengah musim panas (Mid-summer) dan cuti tengah musim sejuk (Winter).  Kebetulan pula, di awal bulan Ogos 1914, peperangan dunia yang pertama telah meletus dan kapal Jerman bernama “EMDEN” baru lepas menyerang pelabuhan Pulau Pinang dan menenggelamkan dua buah kapal perang British di pelabuhan itu di masa berakhir cuti sekolah penggal dua.

Dengan keadaan yang demikian pula, bapa saudara saya yang tua Tajul Ariffin telah berulang-alik menulis surat kepada saya di Lambor Kiri bertanya mengapa saya tidak balik mengaji sudah satu penggal.  Saya jawab takut huru-hara perang dan seorang Tok Aki Panjang Rantau namanya, memberi ibu dan kami sekelian tahu iaitu semasa di dalam perjalanan balik ke Lambor Kiri keretapi telah dipakai oleh angkatan perang membawa askar-askar ke arah Utara.  Bapa saudara saya itu jawab lagi, katanya, jangan jadi bodoh.  Perang itu bukan berlaku di sini tetapi ialah jauh 8,000 batu daripada sini.  Tidak apa yang hendak ditakutkan dan perjalanan di merata-rata tempat di negeri ini berjalan seperti biasa.  Ia suruh jua saya balik mengaji.  Oleh itu, sayapun baliklah bersekolah lagi tetapi malangnya, itulah masa yang akhir saya melihat ibu saya kerana ia telah meninggal dunia selepas saya balik mengaji.

Saya telah berfikir jika saya tidak teruskan mengaji harus jadi tidak ada orang lain daripada tempat saya akan mengaji di sekolah Inggeris.  Oleh kerana itu,  di masa itu saya seorang saja budak yang julung pertama mengaji di sekolah Inggeris mukim Lambor Kiri, dan tidak ada budak lain seorangpun berbuat begitu.  Jika saya terbantut tentulah atau harus jadi tidak akan ada budak-budak yang lain hendak mencuba lagi.

Apabila saya sampai ke sekolah pada pagi-pagi lagi sebelum budak-budak yang lain sampai, saya dapati luar biasa kerana di pagi itu dan tidak pernah di masa yang lalu sebagaimana pendapatan saya, iaitu guru besar Tuan Hogan menanti di tangga sekolah dengan rotan yang panjang.  Harus juga oleh kerana ia nampak saya daripada jauh.  Apabila saya tiba di sekolah tidak dibenarkan ke sekolah.  Disekatnya saya dengan rotan yang panjang itu.  Saya minta jua dan baru ia bertanya mengapa saya tidak datang mengaji sebegitu lama.  Dengan terkeliru, tuhan terlintas di hati saya dengan sekejab ketika itu, dan saya jawab saya tidak dapat datang mengaji sebegitu lama oleh  kerana saya tersekat di jalan, tidak boleh lalu lintas kerana sebenarnya di masa itu telah merebak sakit cacar (small pox) di Pasir Tok Jom dan di Kuchai di mana bapa saya Ayah Uda Kidin pun terkena penyakit itu dan hukum karantina dijalankan tidak boleh hilir mudik ke Parit (tetapi ikut Teluk Anson boleh).  Harus jadi juga ia telah dengar pasal karantina itu.  Ia benarkan saya mengaji balik dan nama saya yang sudah dipotong daripada daftar dimasukkan balik.  Tetapi di tahun itu, tidaklah saya dapat “double promotion” seperti di tahun-tahun yang lalu.  Hingga masa ini, saya tidaklah lupa ikhtiar dan nasihat bapa saudara saya itu.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 11 June 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Pada pagi besoknya, saya tidak pakai lagi uniform itu tatkala hendak pergi menoreh getah.  Ayah Cu saya terus duduk di pangkal tangga sebagaimana biasa dan tidak mahu buat apa-apa.  Saya kata “Ayah Cu tolonglah supaya kita boleh cepat siap dan balik”.  Ia berdiam diri saja tidak apa jawabnya, oleh itu, saya teruskan lagi, “Ayah Cu, saya dihantar oleh ayah saya ke sini hendak mengaji, jika dengan ini saya tidak dapat mengaji lebih baik saya balik pulang saja.”  Ia terus pulang dengan tidak berkata apa-apa.  Apa dicakapnya kepada Opah tidaklah saya tahu tetapi apabila saya balik saya telah dimarah oleh Opah dengan perkataan yang saya anggap tidak patut.  Untuk memendekkan perkara itu, saya terus belari ke sekolah.  Bila saya balik tengah hari dan petang itu, saya tidak dibenarkan bertanak nasi atau membuat apa-apa kerja.  Pada pagi besoknya saya teruskan juga nenoreh getah dengan seorang diri.  Saya terus pergi ke sekolah dan pada petangnya, saya tidak balik ke rumah tetapi terus ke Bukit Chandan kepada seorang bapa saudara saya Pandak Manan yang pada masa itu bekerja di Istana Al-Marhum Sultan Idris.  Saya tidak ingat lagi berapa hari dan malam saya tinggal bersamanya sebelum saya dihantar balik ke rumah Tok Aki.  Bila saya balik nampaknya tidaklah pula mereka berkata apa-apa.  Barangkali mereka pun suka saya sudah balik kerana selama saya tidak berada bersama mereka, maka terpaksa mengupah orang-orang Hindu untuk mengambil atau mengangkat air.

Untuk mengelakkan daripada salah faham kerana mengingat peristiwa ini, saya suka menjelaskan iaitu saya tidak berniat  apa-apa terhadap bapa saudara saya itu atau sesiapa di atas apa yang terjadi yang harus jadi kerana salah faham dan boleh jadi kerana kesilapan saya sendiri kerana saya tidak dapat memberi ia faham maksud saya yang sebenarnya dan saya masih ingat dan berterima kasih kepadanya kerana dengan mengikut ianya ke sekolah, maka saya dapat masuk belajar di sekolah Inggeris.  Tetapi apa yang saya kesalkan ialah bagaimana sekalipun saya rasa patutlah ditanya pula daripada saya apa sebenarnya yang telah berlaku dan tidak mendengar daripada sebelah pihak sahaja.

Selepas itu, saya telah berasa tidak lagi lalu hendak meneruskan pelajaran saya kerana selain daripada kerja-kerja yang saya terpaksa buat, saya pula sudah tidak dapat membaca buku-buku sekolah di rumah sehingga semua orang telah tidur jauh malam.  Tambahan pula, di masa itu sudah pula dapat seorang lagi bapa saudara yang kecil dan yang suka mengoyakkan buku-buku jika saya hendak baca buku-buku semasa ia masih jaga.  Tambahan lagi pula, saya tidak lagi berani membaca buku-buku di waktu larut malam sangat.  Oleh kerana, pada satu malam, pelita gas yang saya letakkan di sebelah kepala saya sambil berbaca di atas lantai membaca buku-buku, maka pelita itu terjatuh serta membakar bantal dan separuh rambut saya tatkala saya tidak sengaja terlina dan mengantuk sambil membaca buku-buku.  Mujurkah pula saya tidur di serambi rumah sebelah luar dan bantal yang belum habis hangus itu dapat saya hantar ke tempat jauh malam itu jua untuk memelihara diri daripada kena marah.  Bagaimanapun, mereka dapat juga tahu tidak berapa lama kemudian daripada itu, bagitupun saya bersyukur kepada Allah kerana sebuah rumah tidak terbakar kerana itu.

Dengan keadaan demikian, saya telah menulis sepucuk surat yang panjang lebar kepada Tok Aki Anjang Talib di Lambor Kiri.  Iapun tidak berbuat apa-apa tetapi diakhir penggal pertama tahun itu, bapa saya telah datang mengambil saya semasa cuti sekolah di hujung penggal itu untuk balik pulang ke kampung dengan semua tikar-bantal dan tilam saya.  Opah bertanya mengapa diambil bersama-sama barang-barang itu, dan bapa saya menjawab untuk mengganti semuanya.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 4 June 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 7): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Guru darjah saya berturut-turut hari minta wang itu tidak dapat saya bayar hendak minta ke kampung pun akan memakan masa.  Mujur ada seorang budak yang kasihan kepada saya, iaitu Hashim namanya, anak kepada Cikgu Siti Hasnah, guru besar Sekolah Perempuan Kota Lama Kiri yang biasa sudah kenal kepada saya tempoh hari.  Ia belikan bagi saya satu buku bacaan darjah dua iaitu yang sudah dipakai (second hand) dengan harga 17 sen dan dengan pertolongannya itu terus saya naik darjah dua.  Malangnya hingga masa ini belum saya dapat berjumpa dengannya atau membalas budinya yang baik itu kerana saya telah tamat bersekolah terlebih dahulu daripadanya dan bekerja di beberapa pejabat dan tempat.

Di akhir tahun 1912, saya telah memasuki peperiksaan dan lulus darjah dua.  Di awal tahun 1913, saya telah dinaikkan ke darjah tiga dan diakhir tahun itu saya telah memasuki peperiksaan tahunan dan lulus darjah empat.

Pada awal tahun 1914, saya telah dinaikkan ke darjah lima tetapi di tahun itulah telah terjadi peristiwa perselisihan faham yang hampir mengkaramkan pelayaran bahtera hidup saya.  Peristiwa itu ialah ialah pada awal tahun itu atau akhir tahun yang baharu lepas (1913) telah berbangkit soalan hendak menoreh getah lebih kurang 60 pokok di keliling rumah datuk saudara saya itu yang mereka duduk tempoh hari sebelum berpindah ke rumah di Jalan Stesyen Kuala Kangsar.  Sebelum itu mereka duduk di rumah mereka yang awal di sebelah jalan keretapi di hadapan stesyen keretapi Kuala Kangsar.

Mulanya mereka mengambil tanah kerajaan di sebelah jalan keretapi di situ dan mendirikan sebuah rumah besar di situ.  Di sebelah belakang rumah itu ialah lembah tanah bendang yang sentiasa berair dan di sebelah belakangnya lagi adalah tinggi sedikit tempat berkebun sayur.  Di sekeliling rumah besar itulah ditanam lebih kurang enam puluh pokok getah yang termaklum yang di masa itu sudah cukup besar untuk ditoreh.  Hendak dipajakkan atau dipawahkan dengan orang tidak cukup, sedikit sangat pokoknya dan di masa itu harga getah melambung tinggi.  Oleh itu, bermuafakatlah di antara bapa-bapa saudara untuk meneruskannya dengan bergilir-gilir.  Saya tidak dijemput sama sekali pada mulanya.  Tetapi saya sudah agak  pekerjaan itu saya perlu membantu kerana maklumlah adakah patut bapa-bapa saudara itu yang sedang mengaji Inggeris di darjah tinggi dan di Malay College pula tempat mengaji putera-putera raja dan anak-anak orang besar, tentu sekali mereka malu dan segan membuat kerja itu.  Mereka jalankan selama seminggu dan selepas itu, masing-masing telah jemu.  Tinggal lagi bapa saudara saya Tajul Mulok yang bungsu yang sedang mengaji di Sekolah Melayu Kuala Kangsar saja yang suka meneruskan pekerjaan itu dengan harapan akan mendapat bahagian yang lebih apabila getah itu dijual kelak.  Pekerjaan itu akan dijalankan sebelum pergi ke sekolah.  Oleh itu, pada mulanya saya diajak untuk menjadi temannya.  Tanah itu adalah jauh daripada rumah tempat kami tinggal.  Oleh itu, pekerjaan itu elok berjalan tetapi tidak berapa lama selepas itu, bapa saudara saya itu telah mula culas.  Apabila ia sampai ke situ, ia pergi duduk mengantuk dan terkadang lalu tertidur di pangkal tangga rumah itu.  Oleh itu saya terpaksalah bekerja seorang diri.  Keadaan itu kerapkali sudah menjadi saya lambat tiba ke sekolah dan pada satu pagi sebuah sekolah itu telah riuh rendah denga gelak ketawa daripada guru-guru dan murid-muridnya jadi gemuruh kerana saya tiba lambat sangat ke sekolah dengan memakai pakaian di masa menoreh getah pagi itu iaitu satu uniform kadet kepunyaan seorang bapa saudara saya yang sudah buruk dan tiada boleh dipakai lagi semasa berlatih.  Ini telah terjadi ialah oleh kerana sudah lambat dan tidak sempat lagi hendak menukar pakaian biasa hendak sekolah.  Oleh itu saya berasa amat malu.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA