Total Pageviews

Monday 30 July 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Pada satu pagi, di dalam bulan Februari 1916, sebelum ramai orang datang ke pejabat, saya telah menanti di pangkal tangga pejabat Setiausaha Resident (Secretariat) di Taiping dengan surat permintaan saya itu.  Peon-peon dan orderly-orderly di situ halau saya daripada situ kerana saya enggan hendak menyatakan tujuan saya di masa itu.  Begitulah saya disuruh turun keluar daripada masa ke semasa hingga sampai waktu jam 11.00 pagi dan di masa itu saya ternampak Ketua Peon (Head Peon) membawa dua bekas surat “Paper Trays” yang penuh, masuk ke bilik Tuan Residen.  Di masa itu, dan dengan serta-merta saya berlari ikut belakangnya dan ikut masuk bilik dengan tidak diketahui sehingga pintu yang berspring (spring door) terlepas dan memukul kepala saya.

Oleh kerana saya telah beri tabik kepada tuan itu dan tuan itu sudah balas tabik saya, maka ketua peon itu tidak cakap apa-apa.  Tuan Pemangku Resident di masa itu ialah Tuan Oliver Marks.

Ia bertanya                   Apa mahu?
Saya jawab                   Mahu minta kerja tuan
Tuan Resident               Oh! Kerja orderly tidak ada kosong.
Saya jawab                   Saya ada bawa satu surat tuan.

Tuan itu ambil surat permintaan saya itu sambil membelek saya ke atas ke bawah.  Katanya dalam bahasa Inggeris “Do you speak English?”

Saya jawab iaitu sedikit-sedikit, “Yes Sir, a little.”

Selepas itu baru ia bertutur Inggeris dengan saya.  Ia bertanya di mana saya dilahirkan dan kampung tempat saya tinggal.  Saya jawab iaitu saya telah dilahirkan di Lambor Kiri, Parit dan duduk pun di situ.  Ia seolah-olah terkejut.  Katanya ada budak daripada Lambor Kiri yang sudah belajar dan lulus bahasa Inggeris dan dengan itu diberinya saya kerusi dan disuruhnya saya duduk.  Ketua peonpun lalu keluar.

Kata tuan itu lagi ia tidak pernah dengar seorang pun daripada Lambor Kiri yang pernah masuk belajar Inggeris tetapi tambahnya lagi ia ada tahu anak Toh Maharaja Dewa Penghulu Lambor Kanan telah masuk belajar di Malay Collage tetapi ia sudah meninggal dunia – Che Lope namanya.

Saya jawab iaitu, sayalah budak yang julung kali dan tidak ada yang lain di masa itu yang sudah atau yang sedang belajar bahasa Inggeris.  Tetapi ada seorang yang lain daripada Lambor Kanan iaitu cucu kepada Toh Maharaja Dewa, Penghulu Lambor Kanan namanya Othman yang sudah belajar bahasa Inggeris selain daripada itu di sebelah Sungai Perak di lingkungan daerah kecil Bruas dan Parit belum ada lagi seorang pun. 


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 23 July 2012

MENCARI KERJA: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


MENCARI KERJA

Selepas saja kami menerima surat sijil masing-masing di dalam bulan Februari 1916, maka berdahulu-dahululah kami menghantar surat permintaan bagi pekerjaan di pejabat-pejabat kerajaan terutama kepada Tuan Setiausaha British Resident Perak (Secretary to Resident) di masa itu.  Sungguhpun kerajaan ada memberi keutamaan (preference) kepada anak-anak Melayu yang berpengajian setaraf dengan bangsa-bangsa asing untuk mendapat jawatan kerajaan begitupun didapati beberapa kerumitan untuk anak-anak Melayu mendapat pekerjaan di antara sebab-sebabnya yang kasar ialah:-

(1)   Pegawai dan kakitangan kerajaan yang menjalankan teraju di pejabat-pejabat hampir di tiap-tiap pejabat di masa itu seperti kerani besar atau ketua kerani dari kakitangan yang lain adalah daripada bangsa asing yang banyak sekali adalah daripada bangsa Jafna (Jaffna Tamils) di panggil orang di masa itu Panna Kotek yang sentiasa atau seberapa boleh mereka jalankan akan membanting diri sendiri untuk membawa sanak-saudara mara mereka dan keluarga mereka daripada negeri mereka untuk mendapat pekerjaan di negeri ini di mana-mana jua pejabatpun.  Oleh itu, mereka cari jalan untuk membusukkan atau sekurang-kurangnya untuk mengenepikan permintaan daripada anak-anak Melayu.  Di masa itu, perkara kerakyatan (citizenship) belum lagi didengar atau berbangkit dan tidak dierti langsung oleh masyarakat umumnya.

(2)   Ketua-ketua pejabat daripada bangsa kulit putih pun terpengaruh dengan hasutan mereka iaitu anak-anak atau orang-orang Melayu (i) Malas (ii) bodoh dan (iii) tidak amanah

(3)   Di antara sama-sama Melayu pun mereka yang bekerja di Ibu Pejabat menitikberatkan atau mementingkan saudara-mara dan kaum-kerabat mereka dahulu.  Oleh itu permintaan daripada anak-anak kampung tinggal ke belakang.

Sebagaimana yang saya ketahui di masa itu, permintaan-permintaan daripada anak-anak Melayu terutamanya daripada yang di kampung-kampung biasanya mengambil masa berbulan-bulan dan terkadang bertahun-tahun baharu mendapat perhatian atau diberikan kerja dan sementara itu dikatakan atau diberikan tidak ada kerja kosong.

Dengan keadaan yang demikian saya telah menulis sepucuk surat permintaan bagi apa-apa saja kerja yang saya berazam saya sendiri akan menyampaikan dengan tangan sendiri kepada Tuan Brirtish Resident Perak.  Surat itu saya alamatkan daripada tempat tinggal Tok Aki Tahir (Mohd Tahir) ipar kepada Tok saudara saya Tok Aki Mohd Yatim di masa itu bekerja di Ibu Pejabat Ukur-mengukur (Survey Department) Perak, Taiping.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 16 July 2012

PEPERIKSAAN DARJAH TUJUH: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


PEPERIKSAAN DARJAH TUJUH

Di dalam peperiksaan di akhir tahun 1915 itu sebelas orang budak telah memasuki peperiksaan darjah tujuh di Sekolah King Edward yang Ketujuh di Taiping.  Apabila sekolah dibuka semula di awal tahun 1916, maka kami dapati kesemua budak telah lulus di dalam peperiksaan itu.  Di antara kami yang lulus itu ialah:-

1.      Miss Josephine Fernando
2.      Anthony Fernando
3.      M. Suppiah
4.      David Swaniskano
5.      Hashim bin Haji Mohd Yassin
6.      Alias bin Mat Alit
7.      Dit Singh
8.      Mohd Yaakob bin Ngah Abas
dan tiga orang budak Cina yang saya sudah lupa namanya.

            Kami telah diberitahu iaitu sijil kami akan dihantar kemudian dan di dalam bulan Februari 1916, iaitu sebulan lepas itu, barulah kami menerimanya.

            Saya telah perhatikan iaitu semenjak Darjah Tujuh mula diadakan di sekolah itu pada tahun 1912, itu di tahun mula-mula saya masuk belajar hingga tahun 1915, di tahun yang saya sendiri mamasuki peperiksaan dan lulus dalam darjah itu, tiap-tiap budak yang masuk peperiksaan itu semuanya berjaya dan lulus belaka.  Pada perhatian saya ini ialah disebabkan oleh cara guru besar kami Tuan Hogan mengajar murid-muridnya dengan menggalakkan sekelian murid-muridnya itu berlumba-lumba sama sendiri pada tiap-tiap hari yang memaksa mereka belajar kuat dan bersungguh-sungguh.  Misalnya belajar membaca dijalankan dengan semua murid-murid dikehendaki berdiri berbaris di hadapan mejanya.  Budak yang pertama (nombor 1) mula membaca dan disoal di atas apa-apa yang telah dibacanya yang ia mesti boleh jawab.  Jika ia tidak boleh jawab dengan betul, maka budak yang kedua akan ditanya dan disuruh jawab, jika ia pula tidak boleh jawab dengan betulnya, budak yang ketiga pula akan diminta menjawab.  Demikianlah seterusnya hingga soalan itu dijawab dengan betul.  Murid-murid yang dapat menjawab itu tadi akan dinaikkan tempat kepada nombor satu.  Selepas itu, ia pula akan membaca dan disoal.  Jika ia tidak dapat menjawab dengan betul, maka budak nombor (1) dahulu yang sudah jatuh nombor (3)  tadi jika ia boleh jawab dengan betul akan naik balik ke nombor (1) di tempatnya yang lama dan budak nombor (3) pula akan membaca dan disoal dan demikian seterusnya hingga ke bawah.  Lagi pula seorang budak yang tidak datang sekolah sehari akan jatuh tempatnya kepada nombor ke bawah sekali.  Oleh itu budak-budak akan rajin membaca dan mempelajari bukunya dan tidak mengelat hari ke sekolah kerana takut malu jatuh tempat masing-masing.  Pada besoknya pula, mereka berdiri mengikut nombor masing-masing sebagaimana di hari yang lalu dan seorang budakpun tidak berani hendak mengelak.  Tatkala “Dictation” pula, ia dipanggil berdiri mula dengan siapa yang betul semua.  Kemudian siapa salah satu huruf dan demikianlah seterusnya dan di dalam karang-mengarang pula diberi markah peratus.  Ia suruh berdiri siapa yang mendapat 70 peratus ke atas.  Demikianlah pula seterusnya.

Satu lagi cara ia mengajar ialah dengan cara mengajar Darjah Tujuh dan Enam dicampurkan di dalam satu kelas dan serupa bukunya.  Maka dengan cara ini sebagaimana yang telah disebutkan beberapa kali berlaku iaitu budak-budak yang baru masuk belajar Darjah Enam dapat mengalahkan budak-budak yang sudah lulus Darjah Enam dan yang sudah dimasukkan ke Darjah Tujuh.  Ini pula terkadang-kadang menyebabkan setengah budak yang tidak maju berasa malu dan terus berhenti dan ada pula yang tidak puas hati mengapa ia yang sudah dinaikkan Darjah Tujuh tidak dibenarkan mamasuki peperiksaan Darjah Tujuh di hujung tahun itu.  Kemudian tengok nasibnya tetapi dikehendaki lagi peperiksaan Darjah Enam pula yang mereka telah lulus di akhir tahun yang lalu.  Demikianlah mengikut logik mereka masing-masing tetapi sebaliknya pula, jika budak itu sudah ditewaskan oleh budak yang lain di dalam Darjah Enam, harus ia akan tidak lulus peperiksaan Darjah Tujuh dan dengan sebab itu ada yang berhenti sekolah begitu sahaja.



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 9 July 2012

PERUBAHAN MASA ATAU PEREDARAN ZAMAN(Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Tok Aki dan Opan pun begitu juga dan perkara yang telah saya sebutkan terlebih dahulu adalah sebagaimana perpatah orang putih, saya adalah telah jadi “victim of circumstances,” dan sebagaimana pepatah orang putih jua iaitu “The darkest cloud has a silver lining,” pun betul jua.

Di akhir tahun persekolahan saya (1915) Tok Aki telah dilantik sebagai Penghulu Mukim Temoh.  Oleh itu, merekapun berpindah ke sana dan di masa mereka berpindah itu, saya pun pergi bersama.  Selepas saya tamat dan bekerja pula di pejabat kerajaan, saya pula datang melawat mereka di situ.  Saya tiba dengan berpakaian barat (kot pantloon) dan Opan yang di masa itu, nampaknya telah lega kehidupannya, beri saya kain pelikat yang baru untuk bersalin pakaian sebagaimana ia beri anak-anaknya sendiri dan kain itu disuruhnya saya bawa balik.  Ia nampaknya berbangga kepada orang-orang ramai yang saya ialah budak peliharaannya tempoh hari.  Di masa saya membuat kenduri kerana nikah-kahwin pula, ia selalu datang dan hebohlah dapur mengatur masak itu dan ini dan sesudahnya apabila ia meninggal dunia di Alor Star semasa ia duduk bersama dengan anaknya Tajul Arus ia berwasiat iaitu perkakas-perkakas dirumahnya di Tapah daripada kerusi meja dan lain-lainnya dipulangkan kepada saya.  Tetapi, oleh kerana di masa itu saya telah berfikir ada yang lebih mustahak menerimanya, saya tidaklah mengambilnya.  Bagaimanapun, saya bersyukur dan amatlah berterima kasih kerana dengan tunjuk-ajar mereka, maka saya telah jadi begini dan jadi pula ikutan kepada adik-beradik, anak-beranak, saudara-mara yang lain.

Sebagaimana yang saya telah sebutkan di atas tadi di masa Tok Aki bekerja sebagai Penghului Temoh, maka mereka nampaknya telah lega kehidupan mereka dan sudah berupaya membeli sebuah motokar baharu.  Di masa itu belum banyak lagi orang mempunyai atau memiliki motokar dan yang upaya memakai motokar pada masa itu ialah pegawai-pegawai kerajaan dari bangsa orang putih saja.  Sekali-sekala dapatlah saya menumpang mereka menunggang motokar itu untuk bersia-siar pada petang hari dan di masa itu bukan main rasanya seolah-olah hidung kuda jatuh ke air.

Motokar pada masa itu belum lagi pakai starter sebagaimana sekarang.  Oleh itu, pemandu-pemandu kereta itu hendaklah pakai ankol, dengan susah payah pada pagi hari di masa hari masih sejuk menghangatkan jentera baharu hidup dan boleh berjalan.

Di masa itu, Ayah Cu Tajul Muluk belum bekerja lagi dan ialah jadi pemandu kereta itu dengan bersusah payah pusing ankol pada pagi-pagi hari bila hendak keluar.  Oleh itu, telah terlintas kepada fikiran Opan meminta pertolongan ghaib dan ia suruh bawa perasap dan bakar kemian serta berasap meminta pertolongan ghaib. Dengan takdir tuhan pada hari mula itu, selepas membakar kemian maka jentera motokar terus hidup sebab sudah lama dan semenjak itu apabila jentera motokar susah hidup selalunya pakai bakar kemian (kuasa jentera adalah ghaib). 

Pada tahun 1915, saya telah di naikkan ke darjah enam dan selepas beberapa bulan dinaikkan pula ke darjah tujuh.  Diakhir tahun itu saya memasuki peperiksaan darjah tujuh iaitu setinggi-tinggi darjah sekolah Inggeris tempat saya belajar itu dan terus lulus di dalam peperiksaan itu.



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 2 July 2012

PERUBAHAN MASA ATAU PEREDARAN ZAMAN: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


PERUBAHAN MASA ATAU PEREDARAN ZAMAN

Untuk penerangan yang lebih jelas dan jua untuk mengelakkan daripada salah faham, maka suka pula saya menerangkan iaitu keadaan yang saya telah sebutkan terlebih dahulu bukanlah berlaku terus-menerus selama-lamanya selama saya mengaji di sekolah Inggeris yang hampir empat tahun itu.

Sebagai seorang Pegawai Penempatan (Sattlement Officer), datuk saudara saya itu terpaksalah menjalankan tugas jawatannya ke sana ke mari pada masa itu dengan memakai perahu besar dan semasa itu Opan dan lain-lain yang duduk bersama merekapun pergilah bersama.  Ada masanya pula mereka duduk di pekan Parit dan pergi mari daripada Kuala Kangsar.  Pada masa itu tinggallah saya bersama-sama dengan bapa-bapa saudara saya yang sudahpun saya sebutkan kecuali ayahanda Tajul Arus yang duduk di Malay College Kuala Kangsar sebagai pelatih Pegawai Tadbir (M.A.S.).  Di masa itu dapatlah saya dengan senang belajar daripada mereka yang telah tinggi pengajarannya.  Jika saya diajak merambu ke pekan Kuala Kangsar, dimalam hari sebelum hendak tidur saya jadikan syarat pergi bersama-sama mereka iaitu mereka akan ajar saya apabila balik kelak.  Ayahanda Tajul Hasnan selalunya mengaku dan mengajar saya apabila balik.  Memotong getah pun tidak lagi kerana rumah dan tanah itu sudah berjual.

Selepas itu, apabila mereka telah tamat daripada bersekolah dan dapat pula pekerjaan dengan kerajaan di bandar itu jua, pada mulanya saya duduk bersama dengan ayahanda Tajul Ariffin yang sentiasa ambil berat di atas pengajian saya.  Pada masa itu, ia sudah berkahwin dengan Wan (bonda) Zainab dan sudah mendapat anak.  Selepas mereka dah berpindah ke tempat lain, maka saya telah duduk bersama dengan ayahanda Tajul Hasnan di rumah itu jua yang telah jua baru berkahwin dengan Wan (Bonda) Biah daripada Teluk Kumbar Pulau Pinang.  Mereka semuanya amat baik belaka kepada saya.

Saya tidak dapat duduk bersama dengan ayahanda Tajul Arus (sekarang Haji) kerana semasa saya mengaji ia sudah tamat mengaji dan duduk di Malay Collage Kuala Kangsar, belajar di situ sebagai seorang Pegawai Pentadbir sebagaimana yang telah lalu disebutkan.  Ia amat pandai orangnya, amat bergeliga otaknya dan tamat pengajiannya beberapa tahun lebih dahulu daripada abangnya.  Semasa ia telah bekerja terutama semasa ia bekerja di Alor Setar, Kedah, saya beberapa kali datang ziarah ke sana.  Di masa itu, saya pun telah bekerja di pejabat kerajaan.  Di masa saya berada di sana saya dibawanya berminggu-minggu ziarah di merata-rata negeri Kedah dengan tidak balik ke rumah iaitu semasa ia menjalankan tugas jawatannya sebagai Penolong Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah.  Di masa itu Wan (bonda) Hajjah Sa’udah, isterinya pun tidak berkata apa-apa.  Mereka semuanya amat baik kepada saya.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA