Total Pageviews

Monday 26 December 2011

GURU BERTUKAR (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Pada satu petang waktu senjakala selepas waktu Maghrib, maka Guru Besar Sekolah Melayu Lambor Kanan, Cikgu Alang Derani bersama tiga orang muridnya telah datang dengan sebuah sampan ke Lambor Kiri.  Saya di masa itu duduk bersama-sama di rumah tumpang Cikgu Kechil.  Mereka itu datang dengan sulit membawa tiga pengandar ayam (enam raga) ayam sedang membalam berumur lebih kurang sebulan yang berat lebih kurang sekati seekor dibawa mereka terus ke rumah dapur.  Mereka bisikkan kepada saya yang mereka hendak menemui Cikgu Kechil dan saya pun terus beritahu Cikgu itu.

Cikgu Alang Derani menceritakan kedatangan mereka pada malam itu dengan sulit-sulit ialah oleh kerana mereka telah dapat tahu yang Cikgu Kechil ada membawa ilmu baru iaitu huruf roman.  Oleh itu mereka datang untuk menuntut ilmu itu.  Ujah Cikgu Alang Derani lagi ia amat malu kepada orang-orang ramai bila ia mendengar khabar yang murid-murid Sekolah Melayu Lambor Kiri sudah pandai dalam ilmu itu pada hal Sekolah Melayu Lambor Kiri baharu saja dibuka dan Sekolah Melayu Lambor Kanan telah lebih beberapa lama dibuka tetapi tidak tahu ilmu yang baharu itu.  Mereka datang dengan membawa pengeras kerana berkehendakkan ilmu itu mujarab.  Rupanya ia telah kutip daripada tiap-tiap murid yang suka hendak menuntut ilmu itu seekor ayam sebagaimana orang-orang lain menuntut sebarang ilmu dimasa itu dan ayam-ayam itulah yang mereka bawa pada malam itu.  Cikgu Kechil menyatakan ia tidak berkehendakkan pengeras dan ia sedia mengajar mereka bila-bila masa saja tetapi terpaksalah jua ia terima ayam-ayam itu.

Saya sekarang sudah kurang ingat samada kesemuanya ataupun sebahagian daripadanya dipulangkan balik.

Pada malam esoknya, mereka mulalah belajar bersungguh-sungguh mula daripada lepas makan malam (Isyak) hingga tengah-malam terkadang hingga masa ayam berkokok hari sudah hendak siang baharu mereka bersampan balik ke seberang sungai.  Di dalam masa dua minggu sahaja mereka pun sudah mengertilah sedikit sebanyak, boleh menulis dan membaca tulisan roman atau rumi.

bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 19 December 2011

GURU BERTUKAR (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Apabila budak-budak telah balik mengaji penuh sesak sekolah maka baharulah ia mengajar dengan teliti dan bersungguh-sungguh.  Pada mulanya ia bertanya:-

Guru – “ Koma semue pandai huruf Roman?”
Murid-murid – “Kami tak tahu Cikgu.”
Guru – “Kome tahu A,B,C?”
Murid-murid – “Tidak tahu Cikgu.”
Guru – “Kome tahu A jadi Alif,  B jadi  ba,  C jadi Cha
Murid-murid – “Tidak tahu Cikgu.”
Guru –“Kome ada dengar orang ajor huru Roman.”
Murid-murid – “Macun Cikgu.”

Maka dengan itu jelas dan teranglah kepadanya iaitu huruf roman belum lagi diajar di sekolah-sekolah kampung sungguhpun Tuan H.B. Collence – Nazir Sekolah-Sekolah Perak menulis didalam buku diari di dalam Bahasa Inggeris memakai huruf roman tetapi di kampung-kampung tidak terlintas lagi di hati orang-orang kampung iaitu huruf yang digunakan di dalam Bahasa Inggeris boleh digunakan untuk menulis Bahasa Melayu.

Pada awalnya (di tahun 1908) huruf-huruf itu dipanggil huruf roman tetapi selepas keluaran guru-guru Malayu daripada Maktab Melayu maka dipanggil huruf rumi.  Ini harus jadi kerana hendak dipadankan dengan perkataan huruf jawi dan huruf-huruf roman dipanggil huruf rumi tetapi sebenarnya di dalam Inggeris di panggil “Romanised” atau ‘Romanised Malay” perkataan asal nama negeri asal Rom “Rome” dan penduduknya “Roman”

Dari awal lagi Cikgu Kechil telah bersungguh-sungguh mengajar kami sekelian siang dan malam huruf-huruf dan tulisan roman atau rumi.  Didalam secepat masa satu minggu sahaja muridnya sudah erti makna-makna huruf rumi serta huruf-huruf saksi A,E,I,O,U, dan sudah boleh menulis dan membaca.  Oleh itu hebohlah di kampung-kampung iaitu cikgu yang baharu tiba itu ada pula membawa ilmu baru sehingga sampailah perkhabaran itu kepada guru-guru dan murid di seberang sungai Lambor Kanan.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 12 December 2011

GURU BERTUKAR (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Selepas itu dikarangnya lagi beberapa pantun seloka yang lain di antaranya menceritakan perjalanan mudek bersampan daripada Telok Anson ke Kuala Kangsar yang saya sekarang sudah lupa oleh sebab masanya sudah amat jauh atau lama.  Bagaimanapun, awal pantun itu adalah bermula lebih kurang seperti berikut:-

Bertolak dari Telok Anson  x  Singgah berhenti Teluk Gelenggang
Matahari terbit fajar menyinsing  x  Alamat hari hendak siang

Pada waktu hendak bersurai tengah hari tiap-tiap hari sebelum sekoalh ditutup sebelum budak-budak pulang balik ke rumah, guru kami Cikgu Kechil yang baru sampai itu suruh semua budak-budak yang ada berbaris.  Ia pilih seorang daripada budak itu menjadi ketua yang akan muncul ke hadapan untuk membaca pantun-pantun itu serangkap demi serangkap.  Selepas ia (ketua) itu membaca serangkap pantun daripada pantun-pantun itu maka budak-budak yang berbaris ramai di balakang dengan serentak dan dengan sekuat-kuat suara yang berapa boleh akan menjawab dengan serangkap pantun jua iaitu:-

Margi orang Margi  x  Orang Burma pulang ke negeri
Bukan tiru dikarang sendiri  x  Sekolah Melayu Lambor Kiri

Begitulah berulang-ulang (corus) jawabnya.  Sebanyak yang saya ketahui sekolah Lambor Kiri inilah sahaja yang ada memakai lagu persekolah “School Anthem”

Tujuan memikirkan pantun-pantun itu ialah oleh kerana budak-budak murid di masa itu belum ramai, amat sedikit, dan hendak dijadikan riuh supaya kedengaran kepada orang ramai terutamanya kepada guru-guru dan murid-murid di seberang sungai iaitu di Sekolah Melayu Laki-laki Lambor Kanan dan Sekolah Melayu Perempuan Lambor Kanan.

Dengan takdir tuhan, maka dengan jalan itu maka ramailah budak-budak balik datang mengaji ke sekolah dan di dalam masa yang tidak lebih daripada dua minggu buku-buku dan barang perkakas sekolah yang telah hilang semuanya dikembalikan balik oleh mereka yang telah mengambilnya atau mencurinya.  Sebagaimana mereka itu ambil barang-barang itu di waktu malam, maka begitu jugalah mereka kembalikan.  Bilangan murid-murid juga mengejut bertambah kerana bukan saja budak-budak yang sudah lama belajar balik datang belajar ke sekolah tetapi banyak pula budak-budak yang baharu masuk belajar.

Kesimpulannya janganlah kita suka menghina atau memperbodohkan orang atau pihak yang lain kerana boleh jadi orang atau pihak yang lain itu lebih mulia atau terlebih pandai daripada kita.
  
bersambung
                                 
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 5 December 2011

GURU BERTUKAR (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 Di situ itu seorang saja guru.  Bagaimanapun, ia terus jua mengajar sementara ia mencari ikhtiar bagaimana ia hendak memujuk hati orang ramai untuk memajukan sekolah itu.  Pada mulanya, ia karangkan beberapa pantun yang amat bergeliga yang mengandungi beberapa ibarat dan nasihat yang saya tidak ingat lagi sebab sudah sangat berpanjangan masanya.  Tetapi di antaranya ialah seperti berikut:-

Anak ayam turun sepuluh x Mati seekor tinggal sembilan
Bangkit pagi sembahyang subuh x Minta doa kepada Tuhan
Anak ayam turun sembilan x Mati seekor tinggal lapan
Minta doa kepada Tuhan x Sekelian salah minta maafkan
Anak ayam turun lapan x Mati seekor tinggal tujuh
Sekelian salah minta maafkan x Amalan yang baik kerjakan bersungguh-
      sungguh
Anak ayam turun tujuh  x Mati seekor tinggal enam
Amalan yang baik kerjakan bersungguh-sungguh x Terselamat kita  
      daripada neraka jahanam
Anak ayam turun enam x Mati seekor tinggal lima
Terselamat kita daripada neraka jahanam x Aman sentosa bagi selama-
      lamanya
Anak ayam turun lima x Mati seekor tinggal empat
Aman sentosa bagi selama-lamanya x Teguhkan iman serta makrifat
Anak ayam turun empat x Mati seekor tinggal tiga
Teguhkan iman serta makrifat x Terpiliharalah kita daripada kecewa
Anak ayam turun tiga x Mati seekor tinggal dua
Terpiliharalah kita daripada kecewa x Oleh iblis syaitan yang menggoda
Anak ayam turun dua x Mati seekor tinggal satu
Oleh iblis syaitan yang menggoda x Dengan pelihara Tuhan yang satu
Anak ayam turun satu x Mati seekor habislah sudah
Dengan pelihara Tuhan yang satu x KepadaNya sajalah kita berserah.
                                                                                                               
                                                                                                                         bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 28 November 2011

GURU BERTUKAR: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

GURU BERTUKAR

Pada awal tahun 1908, Cikgu Alang Maarof telah ditukar ke tempat lain. Oleh itu tidak sempat ia menamatkan pengajian saya hingga khatam 30 juzuk.  Bagaimanapun, sempatlah juga saya menaiki juzuk pertama “Alif lam min”.  Di masa itu ibu-bapa saya masak sepinggan nasit kunyit dan potong seekor ayam buat rendang pedas untuk kenduri naik jus. 

Tempatnya digantikan oleh Cikgu Kechil.  Di masa pertukaran itu maka hebohlah orang-orang sebuah Mukim Lambor Kiri mogok tidak mahu menghantarkan atau membenarkan anak-anak mereka pergi belajar ke sekolah kerana kononnya Cikgu Kechil itu tidak pandai sebagaimana Cikgu Alang Maarof yang dikatakan adalah seorang murid tua Malay Tranning College Melaka.  Tetapi Cikgu Kechil ialah seorang tandil (kepala boroh) Jabatan Kerja Raya dan dapat menjadi guru besar itu kerana ia adalah seorang saudara Cikgu Baharuddin, guru pelawat jajahan Kuala Kangsar.  Bangunan bangsal sekolah telah dipecah orang pada malam hari, sekelian buku-buku peringatan dan lain yang disimpan di dalam satu almari serta sekelian pekakas sekolah seperti bangku-bangku meja kesemuanya habis dicuri orang.

Pada mula dibuka sekolah itu selepas Cikgu Kechil sampai maka didapati cuma empat orang murid saja yang hadir iaitu:-

1.      Anjang Abdullah bin Kulop Ali
2.      Uda Bulon bin Anjang Talib
3.      Alang Mat Jali bin Kulop Deris
4.      Mohd Yaakob bin Ngah Abas (saya)

                                                                                                                       ...bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 21 November 2011

SEKOLAH QURAN (Sambungan): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

    Di masa saya diambil belajar Quran itu di rumah Cikgu Alang Maarof, waktu malam di rumahnya ia berjanji dengan Tok Guru Quran Imam Gamat mereka berdua berlawan siapa lebih cepat menamatkan Quran 30 juzuk seorang budak murid dan iapun dengan niat yang baik itu membanting tenaganya bersungguh-sungguh mengajar saya untuk menjayakan cita-citanya yang murni itu.  Tetapi sebaliknya pula yang terjadi ia mengajar saya dengan kasar untuk menakutkan saya supaya bersungguh-sungguh belajar.  Apabila saya sikit silap membaca ayat suci ia bertempik marah sehingga saya terperanjat terus kecut isi perut saya hendak keluar.  Di masa itu saya ada mengidap penyakit puru di sebelah belikat (di sebelah bahu) saya di sebelah kira.  Oleh kerana tempat itu liku maka susahlah bagi saya hendak mengubatnya sehingga ia merebak besar dan bernanah tetapi oleh kerana saya memakai baju kot (coat) yang tebal kainnya, maka tidaklah ternampak puru itu kepada sesiapa.  Selalunya apabila guru saya itu marah atau meradang sambil bertempik maka ia menampar dengan tangan kanannya ke belikat saya yang kiri di atas puru saya itu terpancut nanah daripada kopeknya yang tebal.  Sungguhpun saya berasa menderita sakit tetapi saya berasa malu dan tidak berani hendak menceritakan kepada sesiapapun sehingga puru itu sembuh bagitu sahaja dengan nanahnya tidak bertakung.  Oleh yang demikian, dengan keadaan dan cara itu lama-kelamaan saya telah jadi dokdat (binggung) sebab takut yang amat sangat kepada guru saya itu.

Pada satu malam saya mula buat pura-pura sakit kepala.  Saya disuruh berhenti mengaji dan disuruh tidur di serambi rumah seperti kelaziman.  Guru saya tidur di biliknya.  Daripada biliknya ia bertanya siapa nama bapa sianu-sianu menyebut beberapa nama budak-budak yang mengaji di Sekolah Melayu.  Daripada satu nama kepada satu nama yang lain.  Orang-orang itu semuanya daripada keluarga saya iaitu bapa saudara ataupun datuk saudara saya belaka tetapi oleh kerana saya ketakutan habis lupa nama-nama itu.  Oleh itu saya jawab tidak tahu, tidak kenal cikgu.  Sesudahnya ditanya saya “kamu kenalkah Ngah Abas?” (bapa saya) dan dengan itu mengertilah saya yang  ia sudah marah.  Masing-masingpun tidurlah selepas itu. 

Tidaklah diketahui samada budak yang dahulu daripada saya cabut lari oleh kerana senasib seperti saya ataupun sebab ianya malas belajar sebab benak hati.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 14 November 2011

SEKOLAH QURAN: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

SEKOLAH QURAN

Sebagaimana di sekolah-sekolah Melayu yang lain di negeri ini, di masa itu maka di Sekolah Melayu Lambor Kiri jua ada Sekolah Quran di sekolah itu juga dengan seorang guru bernama Imam Gamat sebagaimana yang telah disebutkan.  Hingga sekarang ini pun seorang guru sahaja di situ yang sekarang dipanggil guru ugama untuk mengajar murid-murid sebuah sekoalah itu.  Di masa dahulu ia mengajar Quran sahaja dengan mengajar atau cara mengajar demi seorang ke seorang.  Oleh itu sementara menanti gilir masing-masing ada yang bermain panjat-panjat atau sebagainya.

Tidaklah diketahui adakah sudah kebiasaannya ataupun untuk menggalakkan guru yang mengajar Quran di sekolahnya di masa itu maka guru kami Cikgu Alang Maarof mengambil berat pula mengajar Quran di rumahnya di waktu malam hari.  Pada mulanya, diajar dua orang murid hingga tamat tiga puluh juzuk iaitu abang saudara saya Alang Mat Jali bin Kulop Idris dan seorang lagi Anjang Awin bin Ngah Bag.  Selepas itu ibu-bapa saya serahkan saya kepadanya untuk belajar Quran pada malam hari.

Lebih daripada dua bulan dahulu daripada itu seorang budak yang lain sudahpun mengaji kepadanya.  Saya tidak hendak menyebut namanya.  Pada waktu saya mula belajar, budak itu sudah dapat dan boleh membaca Surah Wad’Dhuha.  Oleh itu terkadang saya belajar atau disuruh belajar kepadanya tetapi malangnya apabila ia disuruh ulangkaji berbalik ke bawah atau disuruh baca balik ke bawah, ia sudah lupa.  Ia sudah tidak boleh baca lagi oleh itu terpaksalah ia belajar balik semula bersama saya.  Sesudahnya selepas masa lebih kurang sebulan saya belajar bersamanya, maka saya boleh baca lebih tinggi dan boleh mengajar ianya pula.  Oleh yang demikian, boleh jadi atau barangkali ia sudah berasa malu maka mulalah ia datang mengaji berselang-selang malam dan sesudahnya tidak datang langsung.

Kerana ia harus jadi tidak diketahui oleh ibu-bapanya.  Tidaklah pula diketahui sama sudah ada tiba perasaan kepada mereka maka pada satu malam kedua-dua ibu-bapanya datang ke rumah Cikgu Alang Maarof untuk melihat atau bertanya bagaimana keadaan pengajian anak mereka – alangkah mereka terperanjat apabila mereka mendapat tahu anak mereka tidak datang mengaji di malam itu dan juga pada beberapa malam yang terdahulu daripada itu.  Maka jadilah gempar sebuah kampong dan semua saudara mara dikerah mencari semalam suntuk dengan memasang suluh apatah lagi apabila memikirkan iaitu tiga malam dahulu daripada itu seekor harimau telah datang ke kampong pada malam hari serta menangkap dan membawa lari seekor anak kerbau.  Pada mulanya mereka cari di merata rumah saudara mara selepas itu di rumah-rumah yang tinggal( kosong) di merata-rata atas pokok kayu yang besar dan di dalam semak-samun di merata-rata kampung dan juga di tempat-tempat liku.

Apabila hari sudah hampir siang maka masing-masing ke rumah masing-masing.  Maka seorang bapa saudara budak itu yang sibuk bersama-sama mencari di malam itu hendak pergi ke tebing sungai kerana hendak membasuh kakinya yang berlumpur sebab mengaruk beberapa tempat yang lecak.  Air sungai jauh ke tengah keadaan di tepi pantai di situ berpasir hingga jauh ke tengah dan di malam itu sebagaimana biasa tempat kerbau berkumpul tidur di situ kerana dekat dengan air.  Dariapada jauh ia nampak satu benda hitam.  Selagi dekat ia nampak semacam satu tengkorak.  Apabila ia sampai dekat ke situ, ia terperanjat besar kerana barang yang ia nampak itu rupanya ialah kepala anak saudaranya yang heboh dicari semalam suntuk.  Rupanya di beberapa malam yang lepas ia tidur dalam pasir dikoreknya pasir itu dan ditimbusnya badannya dengan pasir dan tinggal kepalanya saja yang tidak ditimbus untuk bernafas ia tidur disitu antara kerbau yang banyak disekelilingnya dengan tidak menghiraukan dan tidak takut dipijak atau disepak oleh kerbau-kerbau itu.  Ia tidak takutkan harimau kerana katanya jika harimau datang, maka tentulah kerbau-kerbau itu dapat mencium baunya.  Oleh itu mereka tentu akan lari dan harimau itu akan mengejar kerbau-kerbau itu.
Dengan peristiwa itu, maka tinggallah saya seorang diri belajar mengaji Quran daripada Cikgu Alang Maarof.  Budak itu terus berhenti belajar tatkala ia telah dewasa saya fahamkan ia telah menjadi seorang tok bomoh yang besar kerana bapanya tok bomoh besar juga.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 7 November 2011

SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI (Sambungan): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Saya masih ingat satu peristiwa yang terjadi di sekolah saya di Lambor Kiri dalam tahun 1908 berkenaan dengan seorang budak yang nakal dan culas belajar.  Ia duduk jauh daripada sekolah iaitu di sebelah hulu Kampung Bakong, lebih kurang tiga batu jauhnya daripada sekolah.  Tiap-tiap hari ia mari begitu jauh ke sekolah tetapi pada tiap-tiap hari selepas panggil nama ia hilang begitu saja.  Rupanya ia berpura-pura pergi ke sungai yang sedikit jauh daripada sekolah dengan tujuan hendak buang air besar atau air kecil.  Daripada sana, ia meredah semak lari pulang.  Nasibnya yang malang pada satu pagi atau hari ia dijumpai di jalan hendak balik ke hulu dengan Tok Imam Gamat guru Quran yang hendak pergi mengajar Quran di sekolah itu.  Ia paksa bawa balik budak itu balik ke sekolah dan ceritakan halnya pada Cikgu Besar (Cikgu Kecil).  Dimasa itu, guru-guru sekolah boleh merotan budak-budak samada di tangan atau di lain tempat.  Rupanya, budak yang nangkal itu sudah bersedia membalut belakang dan badannya dengan upih kering.  Bila ia dirotan oleh Cikgu Besar tadi, berbunyilah upih pembalut belakang dan badannya itu maka disuruhnya budak itu buka upih lapik badannya itu dan dirotan pula lagi.

Pada pagi esoknya budak itu tidak datang ke sekolah tetapi selepas satu jam kemudian baharu ia datang dengan bapanya yang ada berselit di pinggangnya sebilah keris.  Bapanya terus berjumpa Guru Besar yang sedang mengajar membawa anaknya bersama sambil berkata “Cikgu pukul anak saya teruk pagi petang,” (maknanya dimasa ini dan semalam).  Jawab Cikgu Besar, “Betul saya pukul sebab ia jahat.  Saya hendak ajar ia supaya ia boleh pandai”.  Jawab bapa budak itu pula “Cikgu tidak patut buat begitu”.  Saya dahulupun membawa beras bekal menuntut ilmu (bukan ilmu tulis menulis) dengan hal demikian di sebuah sekolah itu sudah jadi gempar sehingga datanglah ninda saya Tok Penghulu Mukim yang berdekatan di situ (rumahnya) untuk menyelesaikan daripada bergaduh atau beramuk.

Sekianlah di antara sebab-sebab mengapa setengah daripada budak-budak di masa itu sehingga tiga atau empat tahun baru masuk belajar ke dalam darjah satu.  Apabila berlaku kejadian sebegitu, maka Cikgu Besar mencari helah untuk mensesuaikan keadaannya di sekolahnya.  Apa yang kerapkali berlaku ialah apabila seorang budak itu sudah dua tahun atau lebih ia didapati tidak juga layak memasuki darjah satu maka namanya akan dipotong sebagai berhenti daripada sekolah daripada daftar (register) dengan tidak diketahui oleh sesiapapun.  Tetapi budak it terus jua datang ke sekolah tiap-tiap hari.  Selepas dua atau tiga bulan daripada itu, didaftarkan namanya balik sebagai seorang budak yang baru masuk belajar kerana di masa itu sekatan umur tidak berlaku.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 31 October 2011

SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI

Saya telah mula bersekolah di Sekolah Melayu Lambor Kiri pada awal tahun 1906.  Sekolah ini telah mula dibina pada awal tahun 1904 dalam satu rumah bangsal di hadapan rumah Tok Penghulu mukim itu pada mulanya dengan seorang guru iaitu Cikgu Alang Maarof daripada Lubok Merbau, Kuala Kangsar.  Selepas saya masuk belajar di sekolah itu pada tahun 1906, seorang guru penolong bernama Cikgu Maarof bin Uda Longgok anak kampong Teluk Bakong, Lambor Kanan telah mula ditambah oleh kerana bertambahnya murid dan darjah.  Cikgu Maarof bin Uda Longgok ialah seorang murid tua Sekolah Melayu Lambor Kanan yang telah dibuka beberapa tahun terlebih dahulu daripada Sekolah Melayu Lambor Kiri.  Di masa itu jadilah dua orang guru senama, Cikgu Maarof mengajar di Sekolah Melayu Lambor Kiri bezanya ialah seorang Alang Maarof dan yang lain Maarof bin Uda Longgok.

Pada masa Sekolah Melayu di Lambor Kiri maka kanak-kanak dan orang-orang muda yang hampir berumur dua-puluh tahun (ada sedikit yang telah lebih umur itu) pun diterima masuk belajar kerana terdahulu daripada itu tidak ada sekolah yang lain di Mukim Lambor Kiri.  Saya sudah berumur lapan tahun dan budak yang kecil sekali di sekolah itu di masa itu.  Inipun ibu saya tidak mahu melepaskan saya masuk belajar di sekolah itu sehingga dua bapa saudara saya iaitu Alang Wazid (Haji Esa) dan Uda Bulon menjamin kepadanya untuk menjaga keselamatan saya daripada diusik oleh budak-budak lain.  Saya ingat di hari yang saya mula-mula masuk belajar di sekolah yang saya terjatuh daripada bangku sebab mengantuk dan jua oleh sebab saya kecil.

Pada masa itu budak-budak yang baharu masuk belajar tidak terus masuk belajar di dalam darjah satu sebagaimana sekarang, tetapi menempuh pula satu darjah persediaan di dalam tahun yang pertama yang dipanggil “standard out” di setengah-setengah Sekolah Melayu di pekan-pekan.  Begitupun, ada juga yang tidak lulus sehingga tiga atau emapat tahun baharu dimasukkan ke darjah satu.  Beberapa sebab di antaranya ialah:-

1.      Di sebuah mukim ini, iaitu saja baharu ada sebuah sekolah.  Oleh itu budak-budak kecil atau besar yang datang daripada tempat yang jauh iaitu daripada kampung-kampung di sempadan mukim di sebelah hulu dan di sebelah hilir datang ke sekolah bukan kerana hendak belajar mencari pengetahuan, tetapi ialah untuk mengelakkan daripada kena saman terkena membayar denda.

2.      Oleh kerana berjauhan itu, mereka malas datang dan letih serta malas belajar, sehari mereka datang ke sekolah dan dua hari pula tidak datang dan begitulah seterusnya.  Faedah dan tujuan belajar untuk tahu tulis-menulis dan membaca belum amat difaham pada umumnya di kampong.  Misalnya, seorang ibu datang menemui Gurubesar pada waktu sekolah dibuka pada pagi hari. Tanyanya:
“Cikgu saya nak bawa anak saya ke bendang menolong saya menajak bendang – ini saya bawa adiknya si Alang (yang masih kecil dan belum boleh bersekolah) untuk gantinya di sekolah.  Anaknya si Ngah belum cukup besar lagi boleh menajak dan ia tidak minta membawanya ke ladang.”

Jika Cikgu itu kata tidak payah diganti, ibu itu menjawab esok Cikgu saman pula bapa budak ini.  Begitulah seterusnya seolah-olah mengaji itu macam kerja buruh, bukan kerana hendak belajar untuk pandai tulis-menulis.

3.      Kurang kerjasama daripada pihak ibu-bapa terkadang menentang pula di zaman itu sebab tidak nampak faedahnya.

4.      Kebanyakkan pula lari sekolah (truant) kerana malas belajar dan nakal serta ada pula tersekat di jalan oleh budak-budak nakal yang lain.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 24 October 2011

KASIH SAUDARA SAMA ADA: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


KASIH SAUDARA SAMA ADA

            Perpatah orang-orang tua kasih saudara sama ada.  Kasih ibu sepanjang rantau.  Saya riwayatkan contoh kasih ibu – berkenaan dengan pepatah “kasih saudara sama ada” saya dapati banyak orang terkeliru pada maksudnya iaitu dengan mengatakan kasih saudara sama saudara iaitu adik-beradik adalah bergantung kepada wang-ringgit dengan nama “berada” iaitu kasih saudara sama saudara yang sama berada.  Pendeknya kata, “kaya sama-sama kaya” ini bermakna tidak ada kasih mesra di anatara saudara yang kaya dengan saudara yang miskin.  Saya tidak menafikan perkara semacam itu tidak berlaku tetapi pada pendapat saya di antara saudara adik-beradik tidak ada timbul soal miskin kaya.  Saudara itu saudara juga, tidak ada batasan sebagaimana kehendak ugama kita yang maha suci.

            Pada pendapat saya juga adalah yang dikehendaki dengan pepatah atau telabai itu ialah “kasih saudara sama saudara biarlah sama-sama berada” yang bermaksud saudara yang berada itu berkehendakkan saudaranya pun berada juga orangnya, dan dia tidak senang (bukan benci) melihat saudaranya itu tidak berada sekurang-kurangnya sebagaimana ianya dan ia terus membantu saudaranya itu sedaya upaya dengan ikhtiar, tenaga wang ringgit atau sekurang-kurangnya dengan nasihat yang berguna atau yang membina untuk menolong saudaranya yang kurang berada itu supaya saudaranya itupun jadi berada (kaya) dengan cara tolong-menolong sebagaimana yang telah disebutkan dan dengan cara itulah jadi maju.

            Pada mulanya tadi saya telah sebutkan “ikhtiar” dan ikhtiar yang baik ialah memberi petolongan kepada saudara kita itu supaya ia dapat menuntut ilmu yang tinggi kerana dengan ilmu itulah menjadikan manusia itu berakal serta menambahi kepandaian dan ilmunya yang ada dan boleh menjalankan pekerjaan yang boleh membaiki dirinya sendiri serta pula boleh mengajar orang-orang lain.  Maka dengan itulah saja dijadikan Allah yang dapat mengeluarkan barang-barang satu rahsia yang di dalam hati manusia untuk membela dirinya dan orang lain.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 17 October 2011

KASIH IBU (Sambungan): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Ibu kami telah meninggal dunia semasa ia masih muda dan semasa kami anak-anaknya lagi budak-budak belum seorangpun yang telah bekerja dan dengan demikian tidaklah ia pernah merasa nikmat hidup yang sedikit mewah di dunia ini.  Di masa ia kecil tidak beribu dan seolah-olah tidak berbapa.  Ilmu pengetahuan semada ilmu dunia atau akhirat tidak diajar, amal ibadat pula kurang dan harus tidak ada.  Oleh itu, dunianya terlepas dan akhiratnya tuhan sahaja yang mengetahui.  Saya tidak terbalas di atas kasih-sayangnya kepada saya yang berlebih sebagaimana yang saya telah sebutkan dahulu dan untuk membalas jasanya ke atas saya khasnya saya berdoa setiap-tiap masa kepada Allah subha-nahu-wata'alla mencucurkan rahmatnya ke atas roh ibu saya itu dan dihimpunkan ia ke dalam golongan orang mati syahid.  Di waktu malam yang sunyi sebelum tidur dan di masjid sebelum sembahyang Jumaat saya bertahlil seorang diri atau baca ayat atau surah yang panjang yang saya hafal dan saya sedekahkan pahalanya kepada roh ibu saya dan inipun di masa radio dan T.V. ini sekarang sudah cuai disebabkan berjaga jauh larut malam untuk melihat TV.  Oleh itu, berasa mengantuk sangat di masa hendak tidur dan tidak sempat berbuat demikian.  Selama saya hidup saya harap saya tidak boleh lupakan kasih-sayangnya dan keluarga saya telah perolehi ialah dengan berkat doa ibu saya semasa ia masih hidup lagi di dunia ini.

Saya juga percaya iaitu ibu-bapa yang lain pun begitulah jua keadaannya terhadap anak-cucu mereka.  Bagaimanapun saya tidak boleh lupakan satu peristiwa yang ngeri yang terjadi masa saya kecil lagi iaitu riwayat seorang yang bongkok dan derhaka kepada ibunya sehingga ibunya tergamak mengutuk dan menyumpah anaknya itu dengan ia tidak menghalalkan susunya yang dikurniakan oleh tuhan yang telah diminum atau dimakan oleh anaknya itu semasa kecil.  Kesudahannya anaknya itu terpecat daripada kerja dan diakhirnya ia meninggal dunia ini di kaki-lima.  Sebelum ia menghembuskan nyawanya yang akhir ia muntahkan susu seolah-olah susu yang telah diharamkan oleh ibunya kepadanya.

Saya suka pula meriwayatkan sedikit untuk mengingatkan bagaimana kesukaran yang dialami oleh isteri saya allahyarhamah Hamsiah binti Haji Muhammad Jabar untuk membuktikan bagaimana kasih sayangnya kepada anaknya terutama yang masih kecil di masa itu iaitu di masa yang dikatakan pemerintahan bersama “Co-prosperity Sphere” oleh tentera Jepun (Dai-Nippon) 1941-1945.

Saya rasa kebanyakkan kita yang berada di masa itu iaitu di masa sebelum peperangan dunia yang kedua sampai ke negeri ini didalam bulan Disember 1941 mesti ingat iaitu sungguhpun kami orang-orang dan kakitangan kerajaan di masa itu (ed: gaji) kecil atau rendah dan tidak tinggi semacam sekarang tetapi harga barang-barang keperluan di masa itu adalah amat murah jika dibandingkan dengan harga sekarang.  Di masa itu harga seguni beras Kedah atau beras Kuala Kurau yang kami biasa makan tidak lebih daripada $10.00.  Harga gula putih tujuh sen sekati.  Minyak gas tidak sampai seringgit satu tin termasuk tinnya yang pula boleh dijual 10sen satu.  Oleh itu, biasanya sentiasa ada di rumah seguni beras pada tiap-tiap masa dan belum habis isi seguni itu, sudah dihantar oleh orang kedai ke rumah seguni lagi.  Kami tidak payah ambil barang-barang berhutang bagi barang-barang dapur.  Oleh itu, kami boleh beli apa-apa suka dengan duit di tangan.  Barang elok dan bersetuju harganya selepas tawar-menawar, kami beli.

Apabila tiba peperangan dan askar Jepun masuk mengejut dan memerintah negeri ini, maka orang-orang dan kakitangan kerajaan yang diambil balik bekerja mereka dibayar gaji 40%, 60%, 80% tetapi malangnya diri saya sendiri tidak sampai 20%, 40%, 60% pun pada mulanya.  Sudah itu, jika ada duitnya sekalipun barang-barang pula tidak ada boleh didapati, beras gula, tepung dan garam dicatu pula.  Dengan keadaan yang demikian, jika dapat beras catuan sekalipun, tidak berapa sangat didapati dan sebelum tiba giliran catuan beras dan gula yang ke hadapan tidak ada apa lagi tinggal di rumah saya, terpaksa pergi goring dapat pendahuluan (advance) sebanyak dua cupak beras untuk dibuat kanji.  Dengan keadaan yang demikian, telah terlintas mulanya pada fikiran isteri saya itu iaitu jika demikian keadaannya biarlah ia mati supaya anak-anaknya sesuap pagi dan sesuap petang.  Mulanya, dikurangkan makannya beransur-ansur sehingga pada masa yang akhir selama 32 hari ia tidak mahu makan sebelum menghembuskan nyawanya yang akhir kembali ke rahmatullah.  Beberapa juga kami ikhtiarkan supaya ia makan bersama kami tetapi ia terus juga keazamannya sehingga ia jadi kurus kering sebagaimana kata orang-orang tua “Jika tidak sebab kulit bercerailah tulang,” sebelum ia meninggal yang fana ini.

Saya teringat peristiwa dan kesengsaraan yang dialami di masa itu iaitu di masa yang amat genting itu adik saya yang perempuan bawa beras seguni tepung gandum daripada kampong kami Lambor Kiri.  Maka terkenalah ia menyewa sebuag kereta lanca untuk membawanya daripada Jeti Pasir Berdamar ke rumah kami di Teluk Anson (Jeti Batak Rabit).  Maka wang sewa kereta itupun saya tidak upaya bayar usahkan membayar harga beras itu dan bagaimana ia membayarnya tidaklah saya tahu.

Saya mengulangi peristiwa ini moga kita insaf kepada orang-orang tua terutama kepada ibu-bapa khasnya ibu – telah nampak dengan jelas kepada saya iaitu jika kita berjasa kepada mereka itu, maka Allah subha nahu wata’alla yang Maha Kuasa dan Maha Adil tidak akan mensesiakan jasa itu.  Anak cucu kita akan berjasa pula kepada kita pada masa kita telah lemah, dan keadaan masing-masing akan jadi aman makmur serta murah rezeki.

Saya tidaklah lupa mendoakan setiap-tiap masa kepada Allah subhanahu-wata’ala mencucurkan rahmatnya keatas roh isteri saya itu dan dihimpunkan ke dalam syurga di dalam golongan orang yang mati syahid.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 10 October 2011

KASIH IBU: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

KASIH IBU

Sebagaimana yang saya telah sebutkan pada awal riwayat ini ibu saya tidaklah pernah merasa atau mendapat nikmat kasih sayang seorang ibu kepada anaknya kerana ibunya telah meninggal dunia di masa melahirkannya.  Tatkala ia pula telah melahirkan anak maka ia telah menumpahkan kasih-sayangnya kepada anak-anaknya.  Tetapi yang berlebih sangat ialah kepada saya sendiri.  Boleh jadi oleh sebab saya ialah anaknya yang tua sekali dan dan telah merasai amat susah payah baharu melihatkan saya sebagaimana yang saya telah sebutkan sehingga terpaksa membayar nazar ke Keramat Toh Temong, Hulu Perak.  Saya suka meriwayatkan satu atau dua perkara atau kejadian yang menunjukkan bagaimana kasih-sayangnya ibu saya kepada diri saya.

Sebagaimana yang saya telah (ed:akan) terangkan di tempat yang lain iaitu di dalam cuti persekolah dalam bulan puasa 1901, saya telah dibawa oleh Guru Besar saya Cik Gu Kechik suami isteri ke Teluk Kumbar, Pulau Pinang dan berdiam di sana selama sebulan puasa dan masa cuti Hari Raya.

Kami balik daripada sana selepas cuti raya pada 5 Syawal.  Bila saya sampai ke rumah kami di Lambor Kiri, saya dapati ibu saya masih simpankan bagi saya kuih-muih dan makanan cara kampong yang diperbuat semasa berhari-raya lima hari yang sudah lepas di antaranya ialah sepeha ayam, rendang pedas cara lama.  Saya tanya ibu saya bila masanya potong ayam itu, katanya ialah semasa kenduri hendak memegang puasa pada 30 Sya’aban.  Ia hangatkan rendang ayam yang itu tiap-tiap petang dan disimpan didalam satu tabak sehingga saya balik.  Ini bermakna sudah 35 hari dan bulannya masuk tiga bulan iaitu 30 Sya’aban, sebulan Ramadhan (puasa) dan lima hari dalam bulan Syawal.

Ia garingkan rendang yang sepeha ayam itu selama itu dan ia tiada lalu memakannya sebab saya seorang anaknya tiada di rumah selama itu.  Sehingga masa ini, saya tidak pernah merasa rendang pedas sebegitu sedapnya sebagaimana yang dimasak oleh ibu saya itu.

Apabila saya dihantar ke Kuala Kangsar untuk mengaji di sekolah Inggeris di sana (iaitu kali yang kedua saya bercerai dengannya) saya telah tidak balik ke kampong lebih dari enam bulan.  Saya balik daripada Kuala Kangsar melalui Pekan Parit, daripada Pekan Parit saya berjalan kaki ke hilir kerana tidak berjumpa siapa-siapapun hendak ke hilir dengan sampan yang boleh saya tumpang.  Dimasa itu belum ada lagi jalan raya sebagaimana sekarang dan motorboat jauh sekali tidak orang tahu.

Saya sampai melalui Kampung Telok Bakong, Lambor Kanan pada petang hari.  Daripada jauh saya nampak banyak orang-orang perempuan tua-muda keluar daripada rumah Opah Saijah berjalan hendak ke hilir.  Rupanya pada hari itu Opah Saijah yang dahulunya duduk di Lambor Kiri dekat rumah kami telah membuat kenduri besar di situ pada hari itu.  Saya tidak bertanya apa sebabnya dan di antara yang dipanggilnya ialah kaum-kerabatnya daripada Lambor Kiri termasuklah ibu saya, di masa itu hendak balik menyeberang ke Lambor Kiri.

Saya ikutlah di belakang mereka yang ramai itu.  Di antara yang ramai itu ada pula seorang yang menyuarakan, “Long! Long! di belakang itu anak kamu si Akob!”

Ibu saya terperanjat kerana tidak disangka-sangka dan ia peluk cium saya di hadapan orang yang begitu ramai yang kami kedua tidak tertahan lagi keluar air mata.

Semasa saya bersekolah Inggeris di Kuala Kangsar apabila cuti sekolah maka terus saya balik ke kampong dan di akhir cuti baharu saya balik ke sekolah.  Di dalam masa cuti persekolah di akhir tahun 1914, saya balik ke kampong dan bila sekolah dibuka awal 1915 saya balik ke sekolah dan itulah masanya yang akhir saya berjumpa ibu saya yang telah meninggal dunia, kembali ke rahmatullah semasa ia masih muda berumur tidak lebih daripada 35 tahun.

Opah kami Teh Rela memberi saya tahu ibu saya telah terkena sakit muntah ceret selepas makan jeruk-pekasam buah kacang sejambak sebelanga.  Riwayat kacang itu ialah kacang hutan yang banyak buahnya serumpun dan kami sendiri beri nama kacang itu sejambak sebelanga kerana sejambak buahnya cukup dimasak sebelanga.  Pokoknya besar menjalar ke atas pokok-pokok sehingga pokok itu habis dibalut oleh sepokok saja.  Buahnya di masa muda boleh dan sedap dibuat ulam sambal tetapi apabila sudah tua hendak masak boleh dikeluarkan bijinya atau buahnya daripada kulitnya direbus beberapa lama supaya jangan jadi mabuk memakannya dan buah yang sudah cukup direbus itu sedap dibuatkan jeruk atau dimakan lagi untuk buat pengat.  Bertahun-tahun lama nya perkara itu sudah berjalan tetapi barangkali pada kali yang akhir ini harus jadi buah-buah kacang itu tidak cukup direbus.  Oleh itu sudah jadi mabuk.  Kami tanam pokok kacang itu di sebelah rumah kami.

Oleh yang demikian, ibu kami telah kembali ke rahmatullah dengan cara mengejut.  Saya diberi tahu selepas ia meninggal dunia dan selepas telah dikebumikan oleh tidaklah dapat saya menemuinya lagi bagi kali yang akhir.  Itulah saya tidak diberi tahu semasa bertolak dan di masa dalam perjalanan balik dan saya dapat tahu apabila saya sampai ke rumah saya dan adik saya yang kecil sekali memberitahu saya.

Ibu kami telah meninggal kami lima beradik iaitu:-

1.      Mohd Yaakob sekarang Haji dilahirkan 25.10.1897
2.      Ngah Mohd Tawi dilahir pada 1900
3.      Uda Zainal Abidin sekarang Datuk Haji Zainal Abidin dilahir pada 1907
4.      Teh Saedah sekarang Hajjah Teh Saedah dilahirkan pada tahun 1910
5.      Anjang Saith sekarang Datuk Haji Anjang Saith dilahirkan pada 1913

Adik kami Alang Sharifah dilahir pada tahun 1903 mati kecil terkejut kerana ayam disambar helang di hadapan rumah.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Thursday 6 October 2011

MELAWAT PEKAN TELUK ANSON KALI PERTAMA :Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


MELAWAT PEKAN TELUK ANSON
KALI PERTAMA

Saya masih ingat peristiwa saya bersama-sama dengan kakak saudara saya Long Pura binti Kulop Amin telah dibawa oleh nenek kami Teh Rela bagi kali pertama ke Pekan Teluk Anson di dalam tahun 1901, untuk melihat temasya dan permainan yang diadakan di bandar itu iaitu temasya berkhatan putra Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa iaitu Raja Abdul Aziz yang akhirnya dilantik sebagai Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abdul Aziz semasa ayahandanya Almarhum Raja Musa bersemayam di bandar itu.  Kami dibawa ke sana dengan menumpang perahu Megat Mat Lateh.  Selepas kami melihat wayang bangsawan pada malam yang penghabisan temasya itu kami telah sesat di jalan di tengah malam dini hari untuk mencari tempat perahu tumpangan kami.  Kami dikejar oleh berdulu-dulu oleh berpuluh-puluh penarik lanca (beca) dengan kereta mereka kerana mereka sangka kami hendak menyewa lanca.  Maklum sajalah di masa itu baharu saja kereta-kereta itu mula digunakan dan kereta-kereta itu masih beroda besi lagi.  Oleh itu, berapa heboh atau riuhnya bunyi roda-roda kereta yang berlari begitu berdulu-dulu kereta yang berlari begitu banyak berdulu-dulu menyerbu kami.  Oleh itu, hati kami tidak tinggal dalam perut lagi kecut oleh ketakutan tambahan pula melihat lampu apinya yang mengerlap.  Kami berdua dipimpin oleh nenek kami pada masa dini hari yang sudah hampir siang iaitu saya dipegang dengan tangan kanan dan kakak saya di tangan kiri sementara bertanya-tanya daripada seorang ke seorang yang dijumpa bertanya di mana Sungai Perak.  Maklum sajalah kepada sesiapa yang telah duduk di Teluk Anson iaitu oleh kerana bandar itu terletak di atas satu tanjung maka sebelah-menyebelahnya ialah Sungai Perak dan ada pula sungai yang ketiga dikelilingnya iaitu Sungai Bidor di sebelah Durian Sebatang dan juga ada satu sungai kecil lagi iaitu Sungai Pak Kalung yang dilalui oleh jalanraya ke Batak Rabit terus ke Bagan Datok.  Apabila kami sampai ke sungai maka kami tidaklah pula berjumpa dengan perahu yang kami tumpang kerana perahu yang begitu banyak di masa itu sentiasa diubah mengikut keadaan air pasang surut dan naik tambahan pula perahu yang kami tumpang telah terpaksa diubah jauh ke tengah sungai kerana banyak sangat perahu berhimpit-himpit.  Kesudahannya, dapatlah juga kami jumpa perahu tumpangan kami itu.


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Sunday 25 September 2011

MEMBAYAR NAZAR (Sambungan): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

          Dalam perjalanan balik itu telah singgah bermalam di Bandar DiRaja Kuala Kangsar.  Saya telah dibawa mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Nikmatallah oleh ninda Anjang Talib yang semasa itu ialah Penghulu Mukim Lambor Kiri.  Baginda itu dikatakan telah bermurah hati mengurniakan sebanyak $25.00 kepada ninda ibu dan bagi diri saya baginda itu mengurniakan wang syiling sepuluh sen (sekupang).  Ibu saya membalut wang syiling itu dengan kain kuning serta dijahit untuk dijadikan azimat.  Saya sudah lupa berapa lamakah saya memakainya dan boleh jadi azimat itu tercicir dan hilang begitu sahaja semasa saya kecil lagi.  Ibu saya cukup percaya kerana satu masa ia sakit teruk dan telah puas berubat jampi daripada Tok Pawang Lamat dan lain-lainnya dan tidak juga sembuh.  Dengan tidak sengaja saya buat nakal dan saya kumpulkan pucuk kaduk dan daun-daun pokok hutan daripada keliling sepokok durian yang kami beri nama buluh pelang untuk ia beramu ubat dengannya.  Maka dengan itu dengan takdir Allah ia terus sembuh daripada penyakitnya.

            Beberapa tahun kemudian daripada itu, iaitu lebih kurang pada tahun 1904 atau 1905 baharulah saya pula dibawa bersampan oleh bapa saya ke Selat Pulau, Mukim Pasir Salak, Hilir Perak untuk diperkenalkan saya dengan datuk kandung saya Ngah Kenta.  Apabila saya hendak pulang balik, datuk saya itu telah serahkan saya satu salasilah tulisan jawi dengan cara lama untuk saya simpan dan jaga baik-baik iaitu salasilah keturunan muntah lembu – salasilah keturunan nenek moyang, kerana saya adalah cucunya yang awal dan yang tertua sekali.  Salasilah itu selalu saya baca apabila saya telah tahu menulis dan membaca kerana saya sudah bersekolah tetapi malangnya tidaklah terlintas di hati saya untuk membuat salinan untuk keluarga-keluarga atau anak-anak cucu di masa hadapan dan dengan malangnya pula salasilah itu yang asal telah hilang di masa kami lari meninggalkan rumahtangga semasa peperangan dan kemasukan tentera Jepun ke negeri ini dalam bulan Disember 1941.  Pada mulanya saya faham ada daripada keluarga saya atau daripada keturunan itu yang ada menyimpan salinannya tetapi belum lagi diperolehi.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Thursday 15 September 2011

MEMBAYAR NAZAR: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


MEMBAYAR NAZAR
            Selepas saya dilahirkan maka bangkit pula perkara membayar nazar oleh ibu-ibu saudara dan datuk-datuk nenek saya tempoh hari.  Di masa itu saya masih kecil lagi di antara ingat dan lupa saya tidak mengerti.  Tetapi saya masih ingat iaitu semasa ibu saya mengandungkan adik saya Ngah Mohd Tawi, ibu saya heboh dibawa atau pergi ke sana-sini.  Untuk membayar atau melepaskan nazar sehingga ia dibawa pergi ke kubur keramat di atas Gunung Tunggal di Darat Kampung Pulau Tiga di Hilir Perak.

            Di satu ketika maka tibalah masanya untuk ibu saya melahirkan adik saya Tawi dan pada masa itu terjadilah ia sakit yang amat teruk beberapa hari dengan tidak melahirkan anaknya.  Sekelian kaum kerabat pun berhimpun dari jauh dan dekat.  Orang yang menjadi bidannya ialah ibu saudara dan emak angkatnnya sendiri Teh Kesum namanya yang terdahulu sudah disebutkan dan suami tok bidan pula ialah  seorang pawang iaitu  Pawang Lamat namanya.  Mengikut ramalan tok pawang katanya kejadian itu disebabkan ada orang bernazar yang belum ditunaikan atau dibayar dan katanya lagi hendaklah segera berpindah daripada rumah itu.  Di antara yang ramai di situ saya tidak tahu dan tidak ingat siapa dia, adalah seorang mengaku iaitu tempoh hari ia ada bernazar jika ibu saya mendapat anak akan membayar nazar kepada kubur Tok Temomg di Hulu Perak.  Sekali lagilah ia bernazar jika ibu saya itu terselamat kali ini nazarnya itu dibayar atau ditunaikan dan dengan takdir tuhan selepas  sahaja ia dipindahkan ke rumah nenek Ngah Saijah  ia terus melahirkan adik saya itu dengan senang dan dengan serta-merta.

            Selepas saja peristiwa itu selesai, maka keluarga saya pun terus menjalankan ikhtiar bagi menyewa perahu yang ada lengkap beratap dan berdinding untuk mudik melaksanakan nazar itu di kubur Tok Temong.  Yang pergi bersama ialah ibu saudara saya Teh Asnah binti Anjang Talib dan ibunya Nenek Temah (saya tidak tahu samada merekalah yang bernazar itu kerabat mereka jua yang bersusah payah) bapa saudara saya Uda Kidin pergi bersama untuk mengemudikan perahu – dan untuk bergalah perahu mudik yang bergitu jauh ialah bapa saya saya sendiri dan seorang daripada bapa saudara yang saya sudah lupa siapa dia tetapi jika tidak silap saya ialah Uda Baharom.  Maklum sajalah ini berlaku di tahun 1901.  Ninda saya Anjang Talib pergi ke sana dengan jalan lain dan menanti ketibaan kami di Kuala Kangsar.  Ibu saya tidak pergi bersama kerana masih di dalam keuzuran masih dalam pantang baharu bersalin.

            Perjalanan mudik ke sana telah mengambil masa berminggu dengan susah bergalah sampan sebegitu jauh tetapi bernasib baik jugalah kerana di mana itu perhubungan keluarga adalah lebih rapat daripada sekarang kerana di mana saja kami singgah bermalam adalah saja keluarga kami samada sebelah ibu atau sebelah bapa di situ di tempat itu dan merekapun mengambil berat ke atas kami.

            Dengan takdir Tuhan sampailah kami ke tempat yang dituju dengan tidak aral di jalan dan selepas membuat kenduri dan berdoa untuk melepaskan nazar maka kami bertolak pulang ke hilir.  Maka terkenalah pula berdayung sampan.  Bagaimanapun, tidaklah pula begitu susah sebagaimana bergalah mudik.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Friday 26 August 2011

IBU SAYA (Sambungan) : Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

          Sebagaimana diriwayatkan oleh nenek saudara kami Teh Rela yang kami anggap lebih daripada nenek kandungnya kami sendiri dan yang memelihara kami adik-beradik di masa kami kecil kerana sebagaimana yang telah termaklum kami di masa itu dan tidak pernah ada nenek kami sendiri sama ada di pihak bapa ataupun ibu maka dengan takdir tuhan yang maha kuasa pada masa itu terjadilah satu keramaian di Bandar DiRaja Kuala Kangsar  bersempena dengan satu perkahwinan DiRaja di Bandar itu.  Sebagaimana kebiasaan di masa itu (dan sekarangpun) maka berbagai-bagai permainan dan pertunjukkan telah diadakan di situ siang dan malam selama 40 hari dan malam maka berhimpunlah sekalian rakyat jelata seluruh negeri untuk melihat dan menyaksikan temasya itu.  Maka pihak tok nenek dari keluarga kami daripada Lambor Kiri pun datang mudik dengan sampan ke Kuala Kangsar dan di antara yang pergi ke sana itu termasuklah ibu saya yang di masa itu sudah dara sunti.  Perahu mereka lalu singgah di tepi sungai Kuala Kangsar dan dengan tidak disangka-sangka rupanya sekadar berselang sebuah sampan saja dengan perahu dinaiki datuk saya Ngah Kenta yang telah terlebih dahulu sampai ke situ daripada Selat Pulau.

            Apabila masing-masing telah mengetahui kejadian yang tidak disangka itu maka  bermuafakatlah pihak waris-waris ibu saya dan keputusannya mereka bersetuju menjumpakan dan mengenalkan ibu saya itu dengan ayahnya bagi kali yang pertama -  bagi pihak datuk saya pula sebelum dikenalkan anaknya kepadanya ia telah mengerti terlebih dahulu dan dengan teriak tangis masing-masing mengaku bermaaf-maaf satu sama lain sebagaimana perpatah orang-oran tua “Buang yang keruh ambil yang jernih”, “Busuk-busuk daging kikincah-kincah dimakan jua” dan semenjak itu baharulah ia datang menjenguk dan unjuk-beri kepada anaknya.

            Sebagaimana yang telah disebutkan dahulu, ibu saya telah beribu angkat menyusukan kepada semua ibu-ibu yang beranak kecil semasa ia lepas dilahirkan ke dunia ini di seluruh mukim itu sudah jadi saudara sesusu berhimpun kepadanya yang menghalang perkahwinan kerana sepersusu tetapi dengan takdir tuhan bapa saya Ngah Abas (Haji Abas) yang hampir sekali ganda umurnya dengan umur ibu saya di masa itu belum lagi berkahwin.  Abangnya Kulop Deris iaitu saudaranya yang tunggal telah berkahwin dengan saudara sepupu ibu saya Ngah Naimah binti Ngah Seman dan telah melahirkan beberapa orang anak.  Oleh kerana perbezaan umur kedua (ibu dan bapa saya) maka tidaklah berbabangkit soal susu menyusu dan tuhan jodohkan mereka kedua dengan diwalikan oleh bapa ibu saya sendiri Ngah Kenta.  Di masa yang berbahagia itu datuk saya telah membawa anaknya Uda Kidin, bapa saudara kepada kami untuk diam dan duduk bersama dengan kakaknya.  Di masa itu datuk saya itu telah berkahwin pula yang lain selepas ibu kepada bapa saudara saya itu meninggal dunia dan mendapat pula beberapa orang anak yang lain di antaranya:-

1.      Alang Arom
2.      Shamsuddin
3.      Andak Kisum
4.      Anjang
5.      Long (yang bongsu)

            Selepas itu perkahwinan kedua ibu bapa saya itu selama tiga tahun atau hampir empat tahun dikatakan tidak pula melahirkan seorang anakpun.  Oleh itu, hebohlah segala bapa-bapa dan ibu-ibu saudaranya yang ramai bernazar di merata-rata keramat-keramat yang diketahui di masa itu supaya ia melahirkan atau mendapat anak.

            Dengan takdir Illahi ibu saya telah melahirkan saya di Lambor Kiri dalam Jajahan Kecil Parit pada hari Isnin 25hb. Oktober 1897 bersamaan dengan 28 Jamadilakhir 1315 tahun bah (banjir) yang pertama di negeri ini.  Terdahulu daripada itu telah dilahir jua ke dunia ini kakak saudara saya Long Pura binti Kulop Amin.  Kami berdua telah dilahirkan semasa ada hayat moyanghanda kami Long Sharifah binti Toh Seri Nara Pandak Manan yang bergelar Toh Kesumba sebagai isteri Toh Dewa (Toh Seri Dewa Maharaja) Panjang Ogek.

            Kepada Moyanghanda kami itu maka kakak saudara kami Long Pura itulah cicitnya perempuan yang tertua dan yang pertama dan saya ialah cicit lelaki yang tertua sekali yang pertama dilahirkan ibu kepadanya dan kepada ibu-ibu dan bapa-bapa saudara kami yang ramai.  Maka kamilah pangkat anak yang tertua sekali.  Demikian juga kepada nenek-nenek dan datuk-datuk saudara kamilah juga yang tertua pada peringkat cucu.  Oleh it, kami berdua adalah kesayangan dan dikasihi yang berlebihan kepada seluruh keseluruhannya apatah lagi kepada diri saya sendiri oleh kerana ibu saya yang terdahulu sudah menjadi anak pelihara dan kesayangan mereka kerana tidak beribu dan seolah-olah tidak berayah.

            Moyanghanda kami itu telah meninggal dunia di dalam tahun 1901 semasa kami berumur lebih kurang empat tahun dan semasa adik saya Ngah Mohd Tawi berumur satu tahun yang ia belum ingat tetapi kami tidak sedar kerana semasa ianya sakit teruk dan langsung meninggal dunia kami yang masih kecil dipisahkan ke tempat lain untuk sementara dan selepas dikebumikan mayatnya baharulah kami dibawa balik pulang ke rumah tua.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Tuesday 16 August 2011

IBU SAYA : Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Bismillahirahmanirahim

IBU SAYA

            Ibu saya yang malang ialah yang tidak pernah melihat wajah ibu kandungnya sendiri yang melahirkannya kerana ibunya telah kembali ke rahmatullah pada masa melahirkan anaknya yang tunggal iaitu ibu saya itu.  Maka dengan sebab itulah ia telah diberikan nama Long Ganti binti Ngah Kenta.  Oleh yang demikian, tidaklah ia pernah merasa atau mendapat nikmat kasih seorang ibu kepada anaknya.  Lagi yang menyedihkan pula di masa itulah jua bapanya telah berpisah ke tempat lain dan mendirikan rumahtangga yang baru di Selat Pulau, Hilir Perak – ada pula yang mengatakan iaitu datuk saya itu ialah Ngah Genta dan ini pun harus jadi benar kerana ejaan jawi di masa itu ialah dengan memakai huruf Arab yang tidak memakai huruf “Ga” oleh itu huruf “Kaf” digunakan sebagai huruf “Ga”.

2.         Perpisahan ayahnya itu perpunca daripada perselisihan faham dengan waris-waris ibu saya itu kerana dikatakan di dalam beberapa hari saja di masa masing-masing didalam kemasygolan oleh kerana kematian itu maka ayahnya telah pula mengambil langkah hendak berkahwin dengan seorang gadis tempatan dengan tidak mengikut cara dan saluran yang biasa.

3.         Ibu emak saya itu, iaitu ninda perempuan kepada kami ialah bernama Itam Nila iaitu seorang anak kepada Toh Dewa Maharaja Panjang Ogek yang terkenal dengan nama gelarannya “Toh Dewa” iaitu anak yang kelapan daripada sepuluh orang adik-beradik yang seibu sebapa termasuk tiga orang yang mati semasa kecil dan semasa muda dengan isteri yang pertama iaitu Long Sharifah binti Toh Nara Pandak Manan dan daripada seramai lima belas orang adik-beradik sebapa tetapi berasingan ibu iaitu dengan seorang ibu yang lain bernama Latifah (Tipah) binti Dokok.  Oleh itu, sungguhpun ianya (ibu kami) tidak ada adik-beradik yang lain tetapi ada mempunyai ramai ibu-ibu dan bapa-bapa saudara termasuk Tok Penghulu Mukim Lambor Kiri.  Bagaimanapun untuk memeliharanya semasa kecil adalah amat sukar kerana pada masa itu lebuh kurang pada tahun 1878 keadaan zaman tidaklah sebagaimana sekarang dan belum ada dan tidak terfikir adanya susu tin atau susu tepung atau makanan di dalam tin.  Oleh itu untuk memelihara dan menyusukan, ibu saya itu maka warith-warith nya terpaksalah menyerahkannya daripada satu tangan ke tangan yang lain beribu angkat kepada beberapa orang ibu angkat kepada beberapa orang ibu angkat yang ada anak kecil dimasa itu seluruh mukim itu.  Tetapi bagi memelihara dan menanggungnya hingga besar terletaklah pada saudaranya Anjang Talib (Haji Anjang Talib) iaitu abang kepada ibunya Itam Nila dan juga ke atas saudaranya sebelah neneknya yang perempuan iaitu Teh  Kesum binti Lazim seorang daripada orang yang meyusukannya yang dipanggil “emak” hingga akhir hayatnya.  Tetapi yang berlebih-lebih keberatan untuk memelihara dan menanggungnya hingga besar ibu saudaranya sendiri Teh Rela bersama dengan bapa saudaranya yang tersebut yang kedua-duanya ialah seibu sebapa dengan emak kandungnya.

Bagi mengasuhnya pula daripada masa ianya kecil lagi termasuklah seorang tua yang bujang bernama Seri iaitu seorang daripada hamba keluarga kami pada masa pemerihtahan raja-raja Melayu sendiri tempoh hari.  Bapa saudaranya Anjang Talib yang telah dilantik menjadi penghulu Lambor Kiri bagi menggantikan abangnya Alang Abdul Ghafar yang telah meninggal dunia.

 Selepas berpisah, datuk saya Ngah Kenta itu tidaklah pernah ia datang melihat atau berjumpa dengan anaknya iaitu ibu saya kerana harus jadi di masa itu perjalanan daripada satu tempat ke satu tempat mukim yang lain atau jajahan yang lain amatlah sukar kerana kecuali dengan menerusi perahu tidak ada jalan terus-menerus samada jalan enam kaki atau ikut lorong jalan kaki dan jalan raya sebagaimana sekarang jauh lagi adanya tambahan pula sebagaimana yang telah disebutkan datuk saya itu telah mendirikan rumahtangga yang baru di Selat Pulau, Mukim Pulau Tiga dan telah pula mendapat empat orang anak yang lain iaitu:-  

1.      Kulop Retam
2.      Ngah Jenab (Zainab)
3.      Alang (mati kecil)
4.      Uda Kidin

Daripada seorang ibu yang lain.  Sementara itu ibu saya telah besar maka berbangkitlah soal sekiranya ibu saya itu dipinang orang maka siapa pula hendak mewalikannya dan masing-masing berhati keras, degil dan tidak mahu beralah atau bertolak-ansur.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 8 August 2011

PENDAHULUAN: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Bismillahirahmanirahim

PENDAHULUAN

Saya sesungguhnya bukanlah seorang pembesar atau seorang yang ternama yang layak mencatitkan riwayat hidup sendiri atau riwayat hidup orang lain, tambahan pula saya bukanlah seorang ahli karang mengarang untuk dijadikan kenangan atau tauladan.  Bagaimanapun, saya rasa ada gunanya saya catitkan sedikit sebanyak pengelaman saya bagi masa yang telah lepas untuk membezakan keadaan di negeri kita ini pada zaman antara 60 atau 70 tahun yang lalu dengan zaman sekarang pada umumnya dan terutama perkara-perkara yang bersangkutan dengan pelajaran.

Saya telah berkhidmat dengan kerajaan negeri daripada 4.3.1916 hingga 25.9.1952 iaitu selama 36 tahun 6 bulan 21 hari dan selepas itu dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak daripada 5.7.1967 hingga 31.12.1967 iaitu selama 15 tahun 5 bulan 27 hari. Jumlah tempoh perkhidmatan saya adalah 52 tahun.

Sebagaimana yang termaklum negara kita telah mengalami beberapa ancaman dan peristiwa dalam masa itu dan yang paling dekat ialah peristiwa 13 Mei (1969).  Maka mengikut buku karangan Yang Teramat MuliaTengku Perdana Menteri Malaysia, tidak kurang daripada 184 jiwa telah terkorban dan 356 tercedera dengan teraniaya sebanyak yang diketahui.  Selain daripada bilangan yang sebenar rumah-rumah dan kereta-kereta kenaikan yang terbakar dan jahanam.

Sebagaimana yang termaklum jua dalam masa peristiwa itu berlaku dan terkemudiannya maka perintah berkurung telah dikuatkuasakan untuk memelihara ketenteraman pada mulanya selama 24 jam terus sehari semalam pada beberapa hari yang awal dan kemudian dilonggarkan selama dua jam sehari pada beberapa hari pula dan kemudian dilonggarkan lagi sedikit demi sedikit.

Di negeri Perak ini pada masa itu sungguhpun tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku tetapi keadaannya adalah tegang kerana didapati pada hari yang mula perintah berkurung itu dilonggarkan selama 2 jam maka setengah-setengah kedai barang tidak berani membuka kedai mereka di pintu hadapan tetapi mereka buka pintu belakang dan membenarkan masuk ke dalam kedai mereka orang-orang yang mereka kenal sahaja.  Kita semua berdoalah supaya peristiwa semacam itu tidak berlaku lagi di masa hadapan sambil menjalankan ikhtiar untuk mengelakkan peristiwa semacam itu tidak berlaku lagi.

Dalam masa berkurung yang begitu lama dan panjang masanya maka telah terlintas di hati saya untuk mencatatkan riwayat ini moga-moga mendapat perhatian daripada sesiapa yang suka mengetahui dan mengambil tauladan mana-mana yang berguna.  Demikian wabillahitaufik wallahuallah adanya.


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
Ipoh 1 Januari 1970

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Wednesday 29 June 2011

Salasilah Al-Lamborri.

      Manuskrip ini mengandungi beberapa salasilah yang berkaitan dengan keturunan Allahyarham Haji Mohd Yaakob.  Terdapat lima salasilah yang dicatatkan di dalam buku ini.  Salasilah-salasilah tersebut ialah:-

      1.     Salasilah pertama dinamakan Salasilah Muntah Lembu di mana terdapat nama Toh Maharaja Lambor yang terdiri daripada lapan adik-beradik, di mana adik-beradik ini telah datang ke Malaysia daripada Acheh dan membuka beberapa penempatan di Semenanjung.

      2.     Ianya merupakan salasilah Toh Kesumba Long Sharifah bt Toh Seri Nara DiRaja Perak Pandak Manan iaitu isteri kepada Toh Seri Dewa Maharaja Panjang Ogek.  Salasilah ini bermula daripada Toh Paduka Busu Ayan iaitu ninda kepada Long Sharifah.
   
      3.     Salasilah berikutnya dinamakan Salasilah Toh Seri Dewa Maharaja Panjang Ogek yang bermula daripada ayahanda dan bonda Toh Seri Dewa Maharaja Panjang Ogek iaitu Uda Katab bin Kanda Aman dan Ngah Mariam bt. Lahamat.

     4.      Salasilah selanjutnya ialah  Salasilah Toh Seri Nara DiRaja Dayan iaitu salah seorang pembesar  Negeri Perak yang telah mengikuti Sultan Ismail apabila baginda diasingkan ke Johor.  Toh Seri Nara DiRaja Dayan telah meninggal di Johor serta dikebumikan di sana dan akhir sekali

     5.     Ialah salasilah Puteri Alang Rias yang bermula daripada beliau empat beradik.  Mereka berempat ini adalah daripada keturunan Megat Terawis Toh Bendahara Garang Negeri Perak.

     Salasilah-salasilah ini adalah ditulis semula oleh Allahyarham semasa hayatnya berdasarkan ingat an daripada salasilah asal yang diterima oleh Allahyarham daripada nindanya Ngah Kenta.  Salasilah asal tersebut telah dimusnah oleh pencuri apabila rumah yang ditinggalkan dicerobohi ketika Perang Jepun.

     Seperti yang telah dinyatakan salasilah ini telah dan akan dimasukkan ke dalam salasilah GINI di internet.
 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 13 June 2011

Sejarah dan Riwayat Kampung Saya Lambor Kiri, Parit, Perak

Di dalam buku ini, Allahyarham Haji Mohd Yaakob telah mencatatkan beberapa peristiwa silam yang berlaku di Lambor yang dikumpul beliau daripada cerita-cerita mulut orang tua-tua dahulu dan termasuk daripada nenek moyang beliau sendiri.  Cerita-cerita lisan ini dicatatkan berikutan Allahyarham berasa bangga dengan kehandalan dan pengetahuan orang-orang Lambor dahulu kala bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi, yang boleh dijadikan teladan serta pedoman hidup untuk mereka di masa akan datang.
     Antara peristiwa yang dicatat oleh Allahyarham ialah sejarah pembukaan Lambor oleh Tun Khamis atau Toh Maharaja Lambor.  Allahyarham juga turut mencatatkan serba sedikit sejarah pemulaan Negeri Perak dan perlantikan Sultan Perak yang pertama daripada cerita lisan yang diperolehinya.
      Selanjutnya Allahyarham juga telah mencatatkan nama-nama orang Lambor yang memegang jawatan penting dalam Kerajaan Negeri Perak pada masa dahulu.  Antara jawatan penting yang disandang oleh orang Lambor ialah jawatan Toh Seri Nara diRaja yang mana bertanggung jawab membisikkan ciri Kerajaan Negeri Perak semasa petabalan kepada Sultan yang baru dilantik.  Toh Seri Nara ini, dikatakan daripada keturunan Muntah Lembu dan Allahyarham telah turut mencatatkan latar belakang keturunan tersebut serta memberikan salasilah mereka.
     Tidak ketinggalan Allahyarham telah mencatatkan beberapa peristiwa yang berlaku semasa Perang Perak.  Turut diceritakan ialah peranan yang dimainkan oleh Toh Seri Maharaja Dewa Panjang Ogek untuk mendamaikan perbalahan yang berlaku antara Raja Muda Abdullah dan Sultan Ismail.  Lanjutan daripada pembunuhan JWW Birch dan Perjanjian Pangkor Sultan Abdullah telah diasingkan ke Johor dan antara  orang Lambor yang turut mengikuti Almarhum ialah Toh Seri Nara Dayan.  Adalah diketahui Toh Seri Nara Dayan telah meninggal dunia disana, cuma isteri dan anak beliau telah kembali ke Perak.  
      Salah satu lagi cerita yang diriwayatkan oleh Allahyarham ialah bantahan orang Lambor apabila Kerajaan hendak mengenakan cukai kepala setelah kemasukan British.
     Agak menarik juga antara yang dicatakan oleh Allahyarham ialah pembinaan terusan bagi menyelamatkan Makam Almarhum Sultan Muzzaffar Shah yang terdapat.  Satu peristiwa lagi yang dicatatkan ialah Pesta Perang Telur Tuntung yang diadakan pada masa dahulu.


HAK CIPTA TERPELIHARA

Thursday 21 April 2011

Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

     Melalui manuskrip ini Allahyarham telah mencatatkan serba sedikit sejarah hidup yang telah dilaluinya sejak beliau kecil lagi.  Tidak ketinggalan Allahyarham  telah meriwayatkan beberapa peristiwa yang berlaku  semasa beliau tinggal di kampung bagi mengambarkan suasana kehidupan yang terdapat di Lambor Kiri pada masa  itu.  Allahyarham turut memberikan serba-sedikit latar belakang keluarganya dan kehidupan yang telah dilalui oleh mereka.
     Selanjutnya Allahyarham telah menceritakan beberapa pengalaman yang dilaluinya semasa belajar di Sekolah Melayu Lambor Kiri.  Beliau boleh dikatakan sebagai kumpulan pelajar terawal belajar di sekolah tersebut dan telah menceritakan sedikit sebanyak sejarah pembukaan sekolah berkenaan.  Berikutnya Allayarham telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris di Kuala Kangsar.
     Setelah menamatkan dunia persekolah, Allahyarham memasuki pula alam pekerjaan dan kerjaya.  Turut diriwayatkan ialah beberapa pengalaman beliau semasa bertugas seperti di Kuala Kangsar, Kampar, Telok Intan, Batu Gajah dan Ipoh.  Kerjaya Allahyarham bermula sebagai seorang kerani dan bersara sebagai Pembantu Kewangan di Jabatan Pelajaran Negeri Perak.  Selepas bersara, Allahyarham telah bekerja semula sebagai Setiusaha Zakat dan Fitrah Fund, Jabatan Agama Islam Negeri Perak.
 
HAK CIPTA TERPELIHARA

         

Monday 11 April 2011

Hasil Nukilan

Semasa hayatnya Allahyarham Haji Mohd Yaakob telah berjaya menghasilkan tiga buah buku iaitu:

  1.  Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

  2.  Sejarah dan Riwayat Kampung Saya Lambor Kiri, Parit, Perak; dan 

  3   Salasilah Al-Lamborri.

Ketiga-tiga buku tersebut telah ditulis dalam tulisan jawi dan masih ada dalam simpanan keluarga Allahyarham, dan tidak pernah diterbitkan. 

Maklumat yang terdapat dalam manuskrip tersebut akan dimasukkan ke laman ini secara berperingkat-peringkat, setakat yang terdaya.  Disamping itu, maklumat yang di dalam manuskrip yang ketiga telah dan akan dimasukkan secara beransur-ansur melalui  Salasilah GINI.

Diharap para pembaca dapat menerima hasil tulisan tersebut dengan hati yang terbuka dan bersabar untuk menunggu keluaran yang berikutnya, memandangkan kerja ini hanya dijalankan secara sambilan sahaja.


HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 4 April 2011

Keluarga

     Sepanjang hayatnya Allahyarham Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas mempunyai dua orang isteri

         1.  Isteri yang pertama ialah Hamsiah bt Jabar

         2.  Isteri yang kedua ialah Rihan bt. Mat Dom

     Allahyarham berkahwin isteri keduanya setelah isteri pertama beliau meninggal dunia.

     Allahyarham memperolehi tujuh (7) orang zuriat iaitu empat (4) orang lelaki dan tiga (3) orang perempuan hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama beliau.

     Manakala dengan isteri kedua, Allahyarham mempunyai lima(5) orang anak iaitu empat (4) orang perempuan dan seorang (1) lelaki.  Walaubagaimanapun, seorang daripada anak perempuan tersebut meninggal dunia sewaktu dilahirkan.

     Ini menjadikan Allahyarham mempunyai dua belas (12) orang anak
 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday 28 March 2011

Adik-beradik

Hasil perkongsian hidup diantara Haji Abas dan Long Seri Gondan mereka telah memperolehi enam orang cahaya mata

1.  Anak Sulong
 Haji Mohd Yaakob b. Haji Abas
atau Encik atau Encik Akob
2. Anak Kedua


Haji Mohd Tawi b. Haji Abas 
atau Ngah Tawi atau Chegu Tawi

3.  Anak Ketiga 

Alang Sharifah bt. Haji Abas
(Meninggal kecil dikatakan terkejut melihat anak ayam disambar 
helang dihadapan rumah)

4. Anak Keempat

Tan Sri Haji Zainal Abidin b. Haji Abas
atau Uda

5.  Anak Kelima 
(Gambar belum diperolehi)
Hajjah Teh Saedah bt Haji Abas
atau Teh

6.  Anak Bungsu

Dato' Haji Anjang Saith b. Haji Abas 
atau Tok Anjang



HAK CIPTA TERPELIHARA