Selepas itu dikarangnya lagi beberapa pantun seloka yang lain di antaranya menceritakan perjalanan mudek bersampan daripada Telok Anson ke Kuala Kangsar yang saya sekarang sudah lupa oleh sebab masanya sudah amat jauh atau lama. Bagaimanapun, awal pantun itu adalah bermula lebih kurang seperti berikut:-
Bertolak dari Telok Anson x Singgah berhenti Teluk Gelenggang
Matahari terbit fajar menyinsing x Alamat hari hendak siang
Pada waktu hendak bersurai tengah hari tiap-tiap hari sebelum sekoalh ditutup sebelum budak-budak pulang balik ke rumah, guru kami Cikgu Kechil yang baru sampai itu suruh semua budak-budak yang ada berbaris. Ia pilih seorang daripada budak itu menjadi ketua yang akan muncul ke hadapan untuk membaca pantun-pantun itu serangkap demi serangkap. Selepas ia (ketua) itu membaca serangkap pantun daripada pantun-pantun itu maka budak-budak yang berbaris ramai di balakang dengan serentak dan dengan sekuat-kuat suara yang berapa boleh akan menjawab dengan serangkap pantun jua iaitu:-
Margi orang Margi x Orang Burma pulang ke negeri
Bukan tiru dikarang sendiri x Sekolah Melayu Lambor Kiri
Begitulah berulang-ulang (corus) jawabnya. Sebanyak yang saya ketahui sekolah Lambor Kiri inilah sahaja yang ada memakai lagu persekolah “School Anthem”
Tujuan memikirkan pantun-pantun itu ialah oleh kerana budak-budak murid di masa itu belum ramai, amat sedikit, dan hendak dijadikan riuh supaya kedengaran kepada orang ramai terutamanya kepada guru-guru dan murid-murid di seberang sungai iaitu di Sekolah Melayu Laki-laki Lambor Kanan dan Sekolah Melayu Perempuan Lambor Kanan.
Dengan takdir tuhan, maka dengan jalan itu maka ramailah budak-budak balik datang mengaji ke sekolah dan di dalam masa yang tidak lebih daripada dua minggu buku-buku dan barang perkakas sekolah yang telah hilang semuanya dikembalikan balik oleh mereka yang telah mengambilnya atau mencurinya. Sebagaimana mereka itu ambil barang-barang itu di waktu malam, maka begitu jugalah mereka kembalikan. Bilangan murid-murid juga mengejut bertambah kerana bukan saja budak-budak yang sudah lama belajar balik datang belajar ke sekolah tetapi banyak pula budak-budak yang baharu masuk belajar.
Kesimpulannya janganlah kita suka menghina atau memperbodohkan orang atau pihak yang lain kerana boleh jadi orang atau pihak yang lain itu lebih mulia atau terlebih pandai daripada kita.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment