Total Pageviews

Sunday, 25 September 2011

MEMBAYAR NAZAR (Sambungan): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

          Dalam perjalanan balik itu telah singgah bermalam di Bandar DiRaja Kuala Kangsar.  Saya telah dibawa mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Nikmatallah oleh ninda Anjang Talib yang semasa itu ialah Penghulu Mukim Lambor Kiri.  Baginda itu dikatakan telah bermurah hati mengurniakan sebanyak $25.00 kepada ninda ibu dan bagi diri saya baginda itu mengurniakan wang syiling sepuluh sen (sekupang).  Ibu saya membalut wang syiling itu dengan kain kuning serta dijahit untuk dijadikan azimat.  Saya sudah lupa berapa lamakah saya memakainya dan boleh jadi azimat itu tercicir dan hilang begitu sahaja semasa saya kecil lagi.  Ibu saya cukup percaya kerana satu masa ia sakit teruk dan telah puas berubat jampi daripada Tok Pawang Lamat dan lain-lainnya dan tidak juga sembuh.  Dengan tidak sengaja saya buat nakal dan saya kumpulkan pucuk kaduk dan daun-daun pokok hutan daripada keliling sepokok durian yang kami beri nama buluh pelang untuk ia beramu ubat dengannya.  Maka dengan itu dengan takdir Allah ia terus sembuh daripada penyakitnya.

            Beberapa tahun kemudian daripada itu, iaitu lebih kurang pada tahun 1904 atau 1905 baharulah saya pula dibawa bersampan oleh bapa saya ke Selat Pulau, Mukim Pasir Salak, Hilir Perak untuk diperkenalkan saya dengan datuk kandung saya Ngah Kenta.  Apabila saya hendak pulang balik, datuk saya itu telah serahkan saya satu salasilah tulisan jawi dengan cara lama untuk saya simpan dan jaga baik-baik iaitu salasilah keturunan muntah lembu – salasilah keturunan nenek moyang, kerana saya adalah cucunya yang awal dan yang tertua sekali.  Salasilah itu selalu saya baca apabila saya telah tahu menulis dan membaca kerana saya sudah bersekolah tetapi malangnya tidaklah terlintas di hati saya untuk membuat salinan untuk keluarga-keluarga atau anak-anak cucu di masa hadapan dan dengan malangnya pula salasilah itu yang asal telah hilang di masa kami lari meninggalkan rumahtangga semasa peperangan dan kemasukan tentera Jepun ke negeri ini dalam bulan Disember 1941.  Pada mulanya saya faham ada daripada keluarga saya atau daripada keturunan itu yang ada menyimpan salinannya tetapi belum lagi diperolehi.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment