Total Pageviews

Thursday, 6 October 2011

MELAWAT PEKAN TELUK ANSON KALI PERTAMA :Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


MELAWAT PEKAN TELUK ANSON
KALI PERTAMA

Saya masih ingat peristiwa saya bersama-sama dengan kakak saudara saya Long Pura binti Kulop Amin telah dibawa oleh nenek kami Teh Rela bagi kali pertama ke Pekan Teluk Anson di dalam tahun 1901, untuk melihat temasya dan permainan yang diadakan di bandar itu iaitu temasya berkhatan putra Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa iaitu Raja Abdul Aziz yang akhirnya dilantik sebagai Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abdul Aziz semasa ayahandanya Almarhum Raja Musa bersemayam di bandar itu.  Kami dibawa ke sana dengan menumpang perahu Megat Mat Lateh.  Selepas kami melihat wayang bangsawan pada malam yang penghabisan temasya itu kami telah sesat di jalan di tengah malam dini hari untuk mencari tempat perahu tumpangan kami.  Kami dikejar oleh berdulu-dulu oleh berpuluh-puluh penarik lanca (beca) dengan kereta mereka kerana mereka sangka kami hendak menyewa lanca.  Maklum sajalah di masa itu baharu saja kereta-kereta itu mula digunakan dan kereta-kereta itu masih beroda besi lagi.  Oleh itu, berapa heboh atau riuhnya bunyi roda-roda kereta yang berlari begitu berdulu-dulu kereta yang berlari begitu banyak berdulu-dulu menyerbu kami.  Oleh itu, hati kami tidak tinggal dalam perut lagi kecut oleh ketakutan tambahan pula melihat lampu apinya yang mengerlap.  Kami berdua dipimpin oleh nenek kami pada masa dini hari yang sudah hampir siang iaitu saya dipegang dengan tangan kanan dan kakak saya di tangan kiri sementara bertanya-tanya daripada seorang ke seorang yang dijumpa bertanya di mana Sungai Perak.  Maklum sajalah kepada sesiapa yang telah duduk di Teluk Anson iaitu oleh kerana bandar itu terletak di atas satu tanjung maka sebelah-menyebelahnya ialah Sungai Perak dan ada pula sungai yang ketiga dikelilingnya iaitu Sungai Bidor di sebelah Durian Sebatang dan juga ada satu sungai kecil lagi iaitu Sungai Pak Kalung yang dilalui oleh jalanraya ke Batak Rabit terus ke Bagan Datok.  Apabila kami sampai ke sungai maka kami tidaklah pula berjumpa dengan perahu yang kami tumpang kerana perahu yang begitu banyak di masa itu sentiasa diubah mengikut keadaan air pasang surut dan naik tambahan pula perahu yang kami tumpang telah terpaksa diubah jauh ke tengah sungai kerana banyak sangat perahu berhimpit-himpit.  Kesudahannya, dapatlah juga kami jumpa perahu tumpangan kami itu.


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


4 comments:

  1. As salam tuan, izinkan saya bertanya berapa lama masa yang diambil bagi perjalanan dari Lambor kiri ke T.Anson dan sebaliknya pada waktu itu. Mungkin pada waktu ini sampan tersebut diibaratkan parking kereta di lapangan kereta dipusat beli belah.

    ReplyDelete
  2. Mualaikum salam. Kena tanya orang lama-lama dahulu. Bila dapat, jawapan akan diberikan. Katanya bergantung kepada keadaan air. Jika musim kering bertolak pagi dari Telok Anson sampai Lambor waktu maghrib. Tambang kena bayar, tetapi penumpang terpaksa tolong bergalah dan tolak sampan bila sampai tempat air cetek. Yang merasa zaman itu menyatakan seronok melalui masa dan peristiwa itu.

    ReplyDelete
  3. Saudara Aisbatu, Maklumat yang pernah terbit dalam surat khabar, pada tahun 1936 perjalanan dari Telok Anson ke Lambor dengan motorbot penambang memakan masa 14 jam. Difahamkan waktu bertolak selepas subuh. Bot singgah dari kampung ke kampung dalam perjalanan mengambil dan menurunkan penumpang dan barang. Bot yang berjalan teruspun memakan masa 8 ke 10 jam

    ReplyDelete
  4. As salam tuan sekali lagi,begitu peritnya waktu itu hendak ke T.Intan (Telok Anson)jika dibandingkan sekarang kira-kira 30minit saja dengan kereta, terima kasih dengan penjelasan tersebut.

    ReplyDelete