Total Pageviews

Monday 10 October 2011

KASIH IBU: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

KASIH IBU

Sebagaimana yang saya telah sebutkan pada awal riwayat ini ibu saya tidaklah pernah merasa atau mendapat nikmat kasih sayang seorang ibu kepada anaknya kerana ibunya telah meninggal dunia di masa melahirkannya.  Tatkala ia pula telah melahirkan anak maka ia telah menumpahkan kasih-sayangnya kepada anak-anaknya.  Tetapi yang berlebih sangat ialah kepada saya sendiri.  Boleh jadi oleh sebab saya ialah anaknya yang tua sekali dan dan telah merasai amat susah payah baharu melihatkan saya sebagaimana yang saya telah sebutkan sehingga terpaksa membayar nazar ke Keramat Toh Temong, Hulu Perak.  Saya suka meriwayatkan satu atau dua perkara atau kejadian yang menunjukkan bagaimana kasih-sayangnya ibu saya kepada diri saya.

Sebagaimana yang saya telah (ed:akan) terangkan di tempat yang lain iaitu di dalam cuti persekolah dalam bulan puasa 1901, saya telah dibawa oleh Guru Besar saya Cik Gu Kechik suami isteri ke Teluk Kumbar, Pulau Pinang dan berdiam di sana selama sebulan puasa dan masa cuti Hari Raya.

Kami balik daripada sana selepas cuti raya pada 5 Syawal.  Bila saya sampai ke rumah kami di Lambor Kiri, saya dapati ibu saya masih simpankan bagi saya kuih-muih dan makanan cara kampong yang diperbuat semasa berhari-raya lima hari yang sudah lepas di antaranya ialah sepeha ayam, rendang pedas cara lama.  Saya tanya ibu saya bila masanya potong ayam itu, katanya ialah semasa kenduri hendak memegang puasa pada 30 Sya’aban.  Ia hangatkan rendang ayam yang itu tiap-tiap petang dan disimpan didalam satu tabak sehingga saya balik.  Ini bermakna sudah 35 hari dan bulannya masuk tiga bulan iaitu 30 Sya’aban, sebulan Ramadhan (puasa) dan lima hari dalam bulan Syawal.

Ia garingkan rendang yang sepeha ayam itu selama itu dan ia tiada lalu memakannya sebab saya seorang anaknya tiada di rumah selama itu.  Sehingga masa ini, saya tidak pernah merasa rendang pedas sebegitu sedapnya sebagaimana yang dimasak oleh ibu saya itu.

Apabila saya dihantar ke Kuala Kangsar untuk mengaji di sekolah Inggeris di sana (iaitu kali yang kedua saya bercerai dengannya) saya telah tidak balik ke kampong lebih dari enam bulan.  Saya balik daripada Kuala Kangsar melalui Pekan Parit, daripada Pekan Parit saya berjalan kaki ke hilir kerana tidak berjumpa siapa-siapapun hendak ke hilir dengan sampan yang boleh saya tumpang.  Dimasa itu belum ada lagi jalan raya sebagaimana sekarang dan motorboat jauh sekali tidak orang tahu.

Saya sampai melalui Kampung Telok Bakong, Lambor Kanan pada petang hari.  Daripada jauh saya nampak banyak orang-orang perempuan tua-muda keluar daripada rumah Opah Saijah berjalan hendak ke hilir.  Rupanya pada hari itu Opah Saijah yang dahulunya duduk di Lambor Kiri dekat rumah kami telah membuat kenduri besar di situ pada hari itu.  Saya tidak bertanya apa sebabnya dan di antara yang dipanggilnya ialah kaum-kerabatnya daripada Lambor Kiri termasuklah ibu saya, di masa itu hendak balik menyeberang ke Lambor Kiri.

Saya ikutlah di belakang mereka yang ramai itu.  Di antara yang ramai itu ada pula seorang yang menyuarakan, “Long! Long! di belakang itu anak kamu si Akob!”

Ibu saya terperanjat kerana tidak disangka-sangka dan ia peluk cium saya di hadapan orang yang begitu ramai yang kami kedua tidak tertahan lagi keluar air mata.

Semasa saya bersekolah Inggeris di Kuala Kangsar apabila cuti sekolah maka terus saya balik ke kampong dan di akhir cuti baharu saya balik ke sekolah.  Di dalam masa cuti persekolah di akhir tahun 1914, saya balik ke kampong dan bila sekolah dibuka awal 1915 saya balik ke sekolah dan itulah masanya yang akhir saya berjumpa ibu saya yang telah meninggal dunia, kembali ke rahmatullah semasa ia masih muda berumur tidak lebih daripada 35 tahun.

Opah kami Teh Rela memberi saya tahu ibu saya telah terkena sakit muntah ceret selepas makan jeruk-pekasam buah kacang sejambak sebelanga.  Riwayat kacang itu ialah kacang hutan yang banyak buahnya serumpun dan kami sendiri beri nama kacang itu sejambak sebelanga kerana sejambak buahnya cukup dimasak sebelanga.  Pokoknya besar menjalar ke atas pokok-pokok sehingga pokok itu habis dibalut oleh sepokok saja.  Buahnya di masa muda boleh dan sedap dibuat ulam sambal tetapi apabila sudah tua hendak masak boleh dikeluarkan bijinya atau buahnya daripada kulitnya direbus beberapa lama supaya jangan jadi mabuk memakannya dan buah yang sudah cukup direbus itu sedap dibuatkan jeruk atau dimakan lagi untuk buat pengat.  Bertahun-tahun lama nya perkara itu sudah berjalan tetapi barangkali pada kali yang akhir ini harus jadi buah-buah kacang itu tidak cukup direbus.  Oleh itu sudah jadi mabuk.  Kami tanam pokok kacang itu di sebelah rumah kami.

Oleh yang demikian, ibu kami telah kembali ke rahmatullah dengan cara mengejut.  Saya diberi tahu selepas ia meninggal dunia dan selepas telah dikebumikan oleh tidaklah dapat saya menemuinya lagi bagi kali yang akhir.  Itulah saya tidak diberi tahu semasa bertolak dan di masa dalam perjalanan balik dan saya dapat tahu apabila saya sampai ke rumah saya dan adik saya yang kecil sekali memberitahu saya.

Ibu kami telah meninggal kami lima beradik iaitu:-

1.      Mohd Yaakob sekarang Haji dilahirkan 25.10.1897
2.      Ngah Mohd Tawi dilahir pada 1900
3.      Uda Zainal Abidin sekarang Datuk Haji Zainal Abidin dilahir pada 1907
4.      Teh Saedah sekarang Hajjah Teh Saedah dilahirkan pada tahun 1910
5.      Anjang Saith sekarang Datuk Haji Anjang Saith dilahirkan pada 1913

Adik kami Alang Sharifah dilahir pada tahun 1903 mati kecil terkejut kerana ayam disambar helang di hadapan rumah.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


No comments:

Post a Comment