SEKOLAH QURAN
Sebagaimana di sekolah-sekolah Melayu yang lain di negeri ini, di masa itu maka di Sekolah Melayu Lambor Kiri jua ada Sekolah Quran di sekolah itu juga dengan seorang guru bernama Imam Gamat sebagaimana yang telah disebutkan. Hingga sekarang ini pun seorang guru sahaja di situ yang sekarang dipanggil guru ugama untuk mengajar murid-murid sebuah sekoalah itu. Di masa dahulu ia mengajar Quran sahaja dengan mengajar atau cara mengajar demi seorang ke seorang. Oleh itu sementara menanti gilir masing-masing ada yang bermain panjat-panjat atau sebagainya.
Tidaklah diketahui adakah sudah kebiasaannya ataupun untuk menggalakkan guru yang mengajar Quran di sekolahnya di masa itu maka guru kami Cikgu Alang Maarof mengambil berat pula mengajar Quran di rumahnya di waktu malam hari. Pada mulanya, diajar dua orang murid hingga tamat tiga puluh juzuk iaitu abang saudara saya Alang Mat Jali bin Kulop Idris dan seorang lagi Anjang Awin bin Ngah Bag. Selepas itu ibu-bapa saya serahkan saya kepadanya untuk belajar Quran pada malam hari.
Lebih daripada dua bulan dahulu daripada itu seorang budak yang lain sudahpun mengaji kepadanya. Saya tidak hendak menyebut namanya. Pada waktu saya mula belajar, budak itu sudah dapat dan boleh membaca Surah Wad’Dhuha. Oleh itu terkadang saya belajar atau disuruh belajar kepadanya tetapi malangnya apabila ia disuruh ulangkaji berbalik ke bawah atau disuruh baca balik ke bawah, ia sudah lupa. Ia sudah tidak boleh baca lagi oleh itu terpaksalah ia belajar balik semula bersama saya. Sesudahnya selepas masa lebih kurang sebulan saya belajar bersamanya, maka saya boleh baca lebih tinggi dan boleh mengajar ianya pula. Oleh yang demikian, boleh jadi atau barangkali ia sudah berasa malu maka mulalah ia datang mengaji berselang-selang malam dan sesudahnya tidak datang langsung.
Kerana ia harus jadi tidak diketahui oleh ibu-bapanya. Tidaklah pula diketahui sama sudah ada tiba perasaan kepada mereka maka pada satu malam kedua-dua ibu-bapanya datang ke rumah Cikgu Alang Maarof untuk melihat atau bertanya bagaimana keadaan pengajian anak mereka – alangkah mereka terperanjat apabila mereka mendapat tahu anak mereka tidak datang mengaji di malam itu dan juga pada beberapa malam yang terdahulu daripada itu. Maka jadilah gempar sebuah kampong dan semua saudara mara dikerah mencari semalam suntuk dengan memasang suluh apatah lagi apabila memikirkan iaitu tiga malam dahulu daripada itu seekor harimau telah datang ke kampong pada malam hari serta menangkap dan membawa lari seekor anak kerbau. Pada mulanya mereka cari di merata rumah saudara mara selepas itu di rumah-rumah yang tinggal( kosong) di merata-rata atas pokok kayu yang besar dan di dalam semak-samun di merata-rata kampung dan juga di tempat-tempat liku.
Apabila hari sudah hampir siang maka masing-masing ke rumah masing-masing. Maka seorang bapa saudara budak itu yang sibuk bersama-sama mencari di malam itu hendak pergi ke tebing sungai kerana hendak membasuh kakinya yang berlumpur sebab mengaruk beberapa tempat yang lecak. Air sungai jauh ke tengah keadaan di tepi pantai di situ berpasir hingga jauh ke tengah dan di malam itu sebagaimana biasa tempat kerbau berkumpul tidur di situ kerana dekat dengan air. Dariapada jauh ia nampak satu benda hitam. Selagi dekat ia nampak semacam satu tengkorak. Apabila ia sampai dekat ke situ, ia terperanjat besar kerana barang yang ia nampak itu rupanya ialah kepala anak saudaranya yang heboh dicari semalam suntuk. Rupanya di beberapa malam yang lepas ia tidur dalam pasir dikoreknya pasir itu dan ditimbusnya badannya dengan pasir dan tinggal kepalanya saja yang tidak ditimbus untuk bernafas ia tidur disitu antara kerbau yang banyak disekelilingnya dengan tidak menghiraukan dan tidak takut dipijak atau disepak oleh kerbau-kerbau itu. Ia tidak takutkan harimau kerana katanya jika harimau datang, maka tentulah kerbau-kerbau itu dapat mencium baunya. Oleh itu mereka tentu akan lari dan harimau itu akan mengejar kerbau-kerbau itu.
Dengan peristiwa itu, maka tinggallah saya seorang diri belajar mengaji Quran daripada Cikgu Alang Maarof. Budak itu terus berhenti belajar tatkala ia telah dewasa saya fahamkan ia telah menjadi seorang tok bomoh yang besar kerana bapanya tok bomoh besar juga.
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment