Total Pageviews

Monday 11 November 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 4): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK





Pada mulanya, tiadalah ada apa-apa bantahan kerana mengikut satu riwayat perlantikan Sultan Ismail Muabidin Riayah Shah (1871-1874) sebagaimana yang telah disebutkan di atas ialah untuk sementara saja mengikut sebagaimana syarat dan penjelasan tatkala ia dilantik sebagai Raja Bendahara tempoh hari yang ia tidak akan boleh dinaikkan kepada jawatan atau gelaran yang lebih tinggi daripada Bendahara.  Tetapi apabila ia telah dilantik sebagai Sultan, maka perkakas kerajaan semuanya adalah di dalam tangannya dan ia tidak mahu menyerahkan kepada sesiapa dan ia telah mengambil sikap yang baru yang telah menjadi keadaaan bertambah tegang.

Dengan keadaan yang demikian, maka Orang-orang Besar Perak seolah telah tidak sanggup berbuat apa-apa dengan persengketaan yang boleh dianggap di antara sama keluarga Diraja dan harus jadi pula fikiran masing-masing telah berbelah bagi akibat daripada perselisihan itu.

Sebelum ini telah disebutkan iaitu di masa yang bergelora itu, maka moyangda-moyangda kami daripada Lambor Kiri iaitu Toh Seri Dewa Maharaja Panjang Ogek dan Toh Paduka Alang Abu Kassim serta moyangda saudara kami Toh Seri Nara Diraja Dayan yang memegang gelaran-gelaran atau jawatan-jawatan yang tersebut terpaksalah bersama-sama bertindak terutamana sekali iaitu Toh Dewa Maharaja Panjang Ogek yang telah mengambil peranan yang cergas yang telah bersusah payah tidak kira penat lelah bagi mengikhtiarkan supaya kedua belah pihak Sultan Ismail dan Raja Muda Abdullah mahu berunding sama-sama mereka untuk menyelesaikan perselisihan di antara mereka (riwayat ini ada tercatit di dalam buku tawarikh Negeri Perak, karangan ahli-ahli tawarikh di masa itu daripada orang bangsa Inggeris).

Untuk menjayakan tujuan atau cita-cita itu amatlah susah kerana di masa itu sebagaimana yang telah disebutkan maka perjalanan daripada Batak Rabit, Hilir Perak tempat semayan Raja Abdullah dan Sayong tempat semayam Sultan Ismail selepas ia ditabalkan yang begitu jauh cuma adalah sampan ikut Sungai Perak dan ia terpaksa berulang alik beberapa kali yang makan masa bertahun dan baharu pada akhirnya ia berjaya mempengaruh dan melembutkan hati kedua belah pihak untuk mengadakan satu perjumpaan di satu tempat di Belanja kerana dikatakan pihak Sultan Ismail telah bersetuju menyerahkan kuasa dan perkakas kerajaan yang dikusainya kepada Raja Abdullah.  Maka dengan tujuan itu, Raja Muda Abdullah telah berangkat mudik daripada Batak Rabit, Hilir Perak ke Belanja dan Sultan Ismail telah berangkat hilir daripada Sayong, Kuala Kangsar.  Tetapi, malangnya apabila kedua perangkatan itu tiba di Belanja, maka pihak Sultan Ismail telah singgah berlabuh di Kuala Pasir sebelah hulu dan pihak Raja Muda Abdullah pula singgah di Hujung Pasir di sebelah penyisir dan masing-masing telah jadi enggan hendak berangkat ke tengah pasir untuk perjumpaan yang sangat dicita dan dikehedaki itu.

bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri

HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment