Total Pageviews

Monday, 20 May 2013

KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI: SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


BAHAGIAN PERTAMA


Kampung Saya Lambor kiri

 Lambor Kiri adalah nama satu mukim dan kampung terkecil di tepi Sungai Perak di dalam Jajahan Kecil Parit (dahulu dipanggil Jajahan Bruas dan Parit) kira-kira 15 batu ke hilir pekan Parit dan 18 batu daripada Jambatan Nordin, Tanjung Belanja menerusi jalan raya sebelah kiri Sungai Perak.  Zaman berzaman mukim ini adalah mukim yang berasingan dan penghulunya turun-temurun daripada satu keluarga tetapi di dalam tahun 1934, oleh kerana masa meleset (slump) maka kerajaan di masa itu di dalam kekurangan wang disebabkan kejatuhan harga getah dan bijeh maka mukim ini telah dicantumkan dengan Lambor Kanan di bawah seorang Penghulu Besar dan seorang Penghulu Muda sehingga masa ini.  Keadaan ini nampaknya akan terus menerus jika tidak ada desakan daripada pendudk-penduduk tempatan atau orang-orang ramai di mukim itu tambahan pula mukim itu telah tinggal separuh saja oleh kerana sebagaimana yang akan diterangkan hampir -hampir separuh kawasan tanahnya telah ditelan oleh Sungai Perak oleh sebab tebingnya telah rebak ke sungai dan mukim itu lebih lagi kecil.

 Mukim ini adalah mengandungi beberapa buah kampong termasuk Kampung Tua, Lambor Kiri, (dan nama mukim) Kampung Kucai, Kampun Baharu sebelah hulunya dan kampong Teluk sebelah hilirnya dan juga beberapa tempat atau kampong kecil iaitu Kampung Pulau, Parit Tangguh, Pasir Kubu, Teluk Sena, Paya Bacang, Lubok Bergaung, Permatang Gadfir, Bakong dan lain.  Dahulu kala ada satu kampong bernama Kampung Toh Nara oleh kerana di zaman itu gelaran Seri Nara adalah biasanya dipilih daripada family atau keluarga “muntah lembu” di Lambor Kiri yang ada dicatitkan sebagai lembaran kampung itu sudah ditelan sungai dan tidak ada lagi.

 Disebelah hilir Pasir Kubu ialah Kampung Pasir Garam namanya yang sekarang terletak di dalam Mukim Pulau Tiga, Jajahan Hilir Perak.  Daripada satu riwayat orang tua-tua dahulu di zaman perbakala Pasir Garam di masa itu asalnya terletak ditepi laut (tempat membuat garam) di pantai Selat Melaka.  Pantun-pantun seloka orang-orang dahulu di dalam cerita Nakhoda Mat Wain, pasir itu adalah panjangnya sejauh tiga hari tiga malam berdayung sampan.  Mereka cukup pandai cerita dan pantun-pantun seloka Nakhoda Mat Wain tetapi malangnya tidak siapapun yang diketahui ada mengambil ingatan atau menulis ingatan pantun-pantun seloka itu.  Oleh itu pantun-pantun itu telah lenyap hilang begitu sahaja.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment