Total Pageviews

Monday 13 May 2013

PENGENALAN (Sambungan 3): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


 Di dalam cerita-cerita riwayat itu salasilah orang dahulu kala nampaknya tidak sunyi daripada cerita-cerita rekaan ikut suka hati pengarang atau penyusun-penyusun sahaja sehingga sukar hendak membezakan diantara yang benar dengan yang tidak benar dengan tokok-tambah yang direka itu sebagaimana satu misal yang didapati di dalam buku Sejarah Melayu katanya:-

 “Dengan takdir Allah Taala lembu kenaikkan baginda itupun muntah buih maka keluarlah daripada seorang manusia laki-laki dinamai Bahtha dan dastanya terlalu besar…”

 Ini harus disebabkan daripada dua perkataan “muntah lembu” iaitu satu keluarga yang orang gelar sedemikain daripada satu keturunan tetapi tatkala merekakan satu cerita atau salasilah patutlah diselidiki asal-usulnya yang sebenar yang boleh diterima akal atau tidak.  Sepatutnya apabila menulis cerita-cerita riwayat atau sejarah mesti dikaji dengan teliti terlebih dahulu.

 Bagaimanapun, kita patutlah bersyukur kerana dengan usaha rekaan mereka itu dapatlah dijadikan sejarah negeri ini.  Sebenarnya buku riwayat dan buku-buku lama karangan orang-orang dahulu kala nampaknya dimasa itu sudah habis atau hampir kesemuanya telah lenyap daripada dunia sekarang oleh beberapa sebab satu daripadanya ialah daripada awal mula-mula bangsa-bangsa Eropah menjajah negeri kita di sebelah sini mereka telah mengumpul buku-buku itu dan dibawa balik ke negeri mereka hingga dikatakan Tuan Sramford Raffles saja seorang telah mengumpul hampir berpuluh peti buku-buku itu yang dikatakan telah hilang di dalam pelayaran kesana apabila kapal kenaikkannya itu telah tenggelam di laut di dalam pelayaran itu tetapi baru-baru ini telah tersiar di akhbar-akhbar menyatakan setengah-setengah daripada buku-buku itu telah dijumpai di rumah tua tuan itu di Scotland sekianlah wa-billahi at-taufik wallahuaklam.


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
22/24 Jalan Haji Eusoff
Kampar Road
IPOH
1 Januari 1971



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment