Total Pageviews

Monday 14 October 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI: SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


BAHAGIAN YANG KELIMA


SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG
 DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI
 

Dizaman dahulu kala, diriwayatkan iaitu gelaran Toh Seri Nara Diraja dan Toh Dewa Maharaja Negeri Perak biasanya dilantik daripada satu keluarga keturunan “muntah lembu” daripada anak-anak bumiputera Lambor Kiri daripada nenek moyang kami yang sudah ramai bilangan mereka itu dan oleh kerana berpanjangan masanya berkurun-kurun maka kesemua nama mereka itu tidak lagi dapat diingati.  Pengingatan-pengingatan yang ada sudah hilang, sudah hilang semasa negeri ini dilanggar oleh askar-askar Jepun yang telah memerintah negeri ini dalam tahun 1941-1945.  Orang-orang tua yang tahu salasilahnya telah pula meninggal dunia tetapi di antaranya nama-nama mereka yang diingati ialah:-

 

1.       Toh Paduka Busu ‘Ayin (‘Ayan)

2.       Toh Nara Diraja Kukut

3.       Toh Nara Diraja Canggang

4.       Toh Nara Diraja Pandak Gelok

5.       Toh Nara Diraja Meru

6.       Toh Nara Diraja Dayan (meninggal dunia di Johor)

7.       Toh Nara Diraja Uda Masud (setelah berhijrah ke Selat Pulau)

8.       Toh Seri Dewa Maharaja Panjang Ogek

9.       Toh Maharaja Paduka Alang Abu Kassim

 
Didalam masa yang begitu panjang berkurun-kurun lamanya, maka keluarga kami di Lambor Kiri, semakin bertambah dan ramai.  Oleh itu, setengah daipada mereka itu terpaksa berhijrah ke tempat-tempat lain seperti Sayong, Singgang, Simat, Menora dan lain-lain lagi di negeri ini sehingga datuk saya sendiri iaitu bapa ibu sayapun telah berhijrah ke Selat Pulau, Hilir Perak dan setengah-setengah daripada mereka telah berhijrah ke negeri lain untuk mecari kelapangan kehidupan masing-masing.  Oleh demikian, keluarga yang biasa dipilih sebagai Toh Seri Nara Diraja dan yang lain itu terpaksalah digilirkan daripada mereka yang masih duduk di Lambor Kiri dan daripada mereka yang telah berhijrah, atau daripada keturunan mereka yang telah berhijrah ke tempat-tempat lain seperti Singgang atau Simat. Bagaimanapun didalam masa pemerintahan Al-Marhum Sultan Al-Mukamil Inayah Syah ibni Al-Marhum Sultan Shahbuddin Ra’ayat Syah ibni Syed Sheikh Al-Khairat Assiak (Sultan yang kedua-puluh lima 1871-1874) sehingga ke semasa perselisihan dengan Al-Marhum Sultan Abdullah Muhammad Syah ibni Al-Marhum Sultan Jaafar Muazam Syah Sultan yang kedua-puluh enam (1874-1876).  Maka, gelaran Seri Nara Diraja mulanya dipegang oleh keluarga yang masih tinggal di Lambor Kiri iatu Toh Seri Nara Pandak Manan dan menantunya Panjang Ogek sebagai Toh Maharaja Paduka.  Apabila Toh Seri Nara Diraja Pandak Manan meninggal dunia di masa pemerintahan Al-Marhum Sultan Ali, maka temparnya diganti oleh Toh Seri Nara Diraja Dayan daripada keluarga yang tinggal di Lambor Kiri.



bersambung



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Selamat menyambut Aidiladha

1 comment:

  1. Assalamualaikum tuan..sy nk mencari salasilah keluarga yang berasal dari lambor..sy dari menora nk bertanyakan ape nama yang orang yang tinggal menora.

    ReplyDelete