Total Pageviews

Monday, 21 October 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Didalam masa yang bergelora di masa itu maka ketiga terpaksalah bersama-sama bertindak oleh itu peluang ini diambil untuk menyebut sedikit sebanyak riwayat Negeri Perak yang berlaku di masa itu terutama yang bersabit dengan perkara yang menjadi perselisihan di masa itu sebagaimana yang diriwayatkan oleh orang-orang tua daripada nenek-moyang yang terdahulu dan juga daripada cerita-cerita yang lain

Mengikut adat resam dan istiadat Negeri Perak Darul Redzuan gelaran Sultan itu ialah menerusi gelaran Raja Bendahara dan Raja Muda daripada tiga keluarga.  Apabila seorang Sultan mangkat, maka Raja Muda dengan persetujuan Orang-orang Besar akan ditabalkan menjadi Sultan maka Raja Bendahara pula akan naik kepada gelaran Raja Muda dan putera baginda Al-Marhum yang sulung akan dinaikkan jadi Raja Bendahara daripada gelarannya Raja Di Hilir dan dengan yang demikian putera sulung Sultan yang baru ditabalkan kelak akan mengambil tempat sebagai Raja di Hilir.  Sekiranya putera sulung itu difikirkan oleh Orang-orang Besar Negeri tidak layak oleh satu-satu sebab, maka ia akan diketepikan.  Satu lagi syaratnya adalah gelaran itu dipilih daripada waris-waris Diraja daripada keturunan pihak lelaki.

Adat atau peraturan ini akan memberi peluang iaitu seorang Sultan itu ialah seorang yang telah berumur tua oleh kerana ia akan memegang dua jawatan atau gelaran sebelum ia dilantik atau ditabalkan menjadi Sultan.  Ini akan membolehkan bakal-bakal Sultan mendapat pengetahuan yang penting di dalam menjalankan kewajipannya kelak sebagai seorang pemerintah.  Ada juga tidak baiknya yang boleh menyebabkan seorang itu boleh diketepikan (passed over) sebagaimana yang telah terjadi kepada Raja Yusof dan Raja Abdullah.

Sebagaimana yang diriwayatkan iaitu kejadian itu berpunca selepas kemangkatan Al-Marhum Sultan Abdullah Muhammad Shah, Sultan Perak yang kedua-puluh dua (1841-1850) Al-Marhum Durian Sebatang di dalam tahun 1850.  Mengikut adat, maka Raja Yusof, Raja di Hilir, putera sulong kepada Al-Marhum yang baru mangkat sepatutnya dilantik menjadi Raja Bendahara.  Sebaliknya, Raja Muda Jaafar yang baru ditabalkan sebagai Sultan yang kedua-puluh tiga – Paduka Seri Sultan Jaafar Muazam Shah (1850-1865) tidak bersetuju dengan Raja Yusof dilantik sebagai Raja Bendahara kerana pergaduhan di antara mereka berdua semasa pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Syah (ayahanda Raja Yusof).  Seperkara lagi dikatakan Raja Yusof amat garang orangnya dan tidak disukai oleh ramai.  Oleh kerana halangan daripada Sultan Jaafar, maka Raja Yusof telah diketepikan.  Sebaliknya pula, Raja Ismail ibni Syed Alkhairat Siak dilantik sebagai Raja Bendahara tetapi lantikan itu ada kesulitan kerana Raja Ismail tidak boleh mewarisi takhta kerajaan Perak kerana ayahandanya daripada Siak dan bondanya saja daripada keturunan raja-raja Perak.  Kesulitan itu telah dapat diatasi dengan syarat dan penjelasan iaitu di masa hadapan Raja Ismail tidak akan boleh dinaikkan kepada jawatan atau gelaran ke atas daripada Bendahara tambahan pula di zaman dahulu pun jawatan atau gelaran Bendahara adalah dipegang oleh orang kebanyakkan daripada keturunan Megat.  

 

bersambung




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment