Total Pageviews

Monday, 7 October 2013

PERPISAHAN ANAK-ANAK KAMPUNG KE LAIN-LAIN TEMPAT UNTUK BERKHIDMAT DIDALAM JAWATAN KERAJAAN ATAU LAIN-LAIN (SAMBUNGAN 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Keadaan semacam ini ada kalanya atau boleh dikatakan membanggakan tetapi ada akibatnya yang tidak menyenangkan hati oleh kerana mereka yang merantau itu selepas mereka bersara atau berhenti daripada kerja mereka jarang kali atau tidak langsung balik duduk ke kampung asal.  Sebaliknya, orang-orang tua di kampung dahulu telah meninggal dunia dan kampung-kampung halaman mereka yang dahulunyapun berpagar sekelingnya sudah jadi hutan yang dipenuhi oleh pokok-pokok hutan, pokok buluh yang tidak boleh digunakan ataupun dijual.  Pokok buah-buahan yang ditanam oleh orang-orang tua dahulu kala seperti durian, rambutan, macang, mempelam, cempedak, nangka dan lain-lain yang telah tumbang ke sungai, beransur-ansur mati dan yang ada tinggal yang masih boleh berbuah tertinggal begitu saja.  Ikut siapa suka mengambilnya buah-buahnya dan tanah yang bertanam dengan pokok-pokok getahpun juga nasibnya jika dipajak pun tidak dapat $1.00 pada satu ekar tanah pada sebulan oleh kerana masing-masing telah meninggalkan kampung halaman ke negeri tempat lain untuk mencari nafkah sehari-hari.  Oleh itu, keadaan di kampung sekarang sudah menjadi lengang sehinggakan jika hendak mengadakan kenduri sedikit sebanyakpun sudah tidak ada beberapa orang yang hendak dijamu.

            Keadaan semacam ini adalah mendukacitakan dan jika tidak ada rancangan perusahaan yang baru di kampong ini oleh kerajaan ataupun oleh anak-anak kampong sendiri samada yang sudah berhijrah yang ada pula bermodal atau pemodal-pemodal lain untuk anak-anak kampung dapat bekerja di tempat sendiri maka ditakuti keadaan di kampong kita ini akan lagi merosot.  Hendak ditinggalkan langsung haruslah tidak.

            Saya rasa patutlah sangat dapat diadakan satu cara kehidupan baru bagi anak-anak kampung ini mendapat pekerjaan dengan tidak berhijrah ke tempat lain seperti mengadakan perusahaan tangan yang anak-anak kampung boleh diajar atau satu cara perniagaan atau perusahaan yang mereka boleh mendapat pekerjaan kerana maklum sajalah kita semua manusia bukan malaikat dan berada di dunia lagi (bukan di dalam syurga) serta berkehendakkan makan-minum, pakaian dan tempat kediaman yang berpatutan mengikut peredaran zaman dan masa.  Baik perkara-perkara yang tidak diingini berlaku oleh sebab perut lapar yang menghilangkan akan fikiran yang siuman.

 
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment