Total Pageviews

Monday, 30 September 2013

PERPISAHAN ANAK-ANAK KAMPUNG KE LAIN-LAIN TEMPAT UNTUK BERKHIDMAT DIDALAM JAWATAN KERAJAAN ATAU LAIN-LAIN: SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK




BAHAGIAN YANG KEEMPAT

PERPISAHAN ANAK-ANAK KAMPUNG KE LAIN-LAIN TEMPAT UNTUK BERKHIDMAT DIDALAM JAWATAN KERAJAAN ATAU LAIN-LAIN

             Sebagaimana yang disebut di tempat lain oleh kerana Di sebelah darat Mukim Lambor Kiri sehingga ke sempadan Gelong Gajah di sebelah Bruas semata paya dan tidak dapat digunakan untuk bercucuk tanam dan sebelah hulunya pula semakin lama semakin tirus di sebabkan oleh Sungai Perak menelan kampung-kampung Kucai, Bakong, Kemenong Baru sehingga Kemenong Tua yang dari semasa ke semasa tebingnya rebak dan jatuh ke sungai oleh sebab keruntuhan tebing-tebing sungai di kampong yang tersebut.  Oleh itu, mukim ini yang sudah pun kecil semakin lama semakin tirus dan tidaklah ada tempat yang baru yang dapat dibuka lagi untuk bercucuk tanam yang akan dijadikan kampung untuk penduduk-penduduk mencarI nafkah hari-hari bagi kehidupan yang biasa.  Disebelah hulu mukim ini telah ditelan oleh Sungai Perak sehingga boleh diingatkan lagi iaitu, tebing sungai di Kampung Tanjung di dalam Mukim Lambor Kanan yang sekarang adalah asalnya di tebing Kampung Baru di dalam Mukim Lambor Kiri di zaman dahulu.  Sebaliknya, pula bilangan penduduk-penduduk Mukim Lambor Kiri sebagaimana di tempat-tempat lain semakin bertambah.
           
            Sungguhpun di zaman perbakala mukim ini adalah tempat tumpuan orang-orang daripada negeri-negeri dan jajahan-jajahan lain maka sekarang ini telah terbalik keadaanya. Dizaman dahulupun ada juga anak-anak kampung ini terutamanya pemuda-pemudanya berhijrah ke negeri-negeri atau tempat-tempat lain, maka lebih-lebih lagilah di masa yang akhir-akhir ini oleh kerana keadaan di kampung memaksa mereka, Mereka terpaksa berhijrah ke negeri-negeri atau tempat-tempat berselerak di merata-rata negeri di Malaysia terutama ke Ibu Kota Kuala Lumpur semada bekerja di dalam jawatan-jawatan kerajaan di merata-rata tempat di Malaysia.  Di gudang-gudang saudagar-saudagar kerja bersendirian atau lain mengikut pelajaran, kebolehan dan taraf masing-masing.

            Di antara mereka yang terpelajar di dalam Bahasa Inggeris terutamanya yang berpengetahuan atau lulus Ilmu Undang-undang baik pula yang telah bersara atau masih memegang jawatan-jawatan pentadbiran negeri yang tertinggi sehingga ada daripada keluarga kampung ini yang telah menduduki kerusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Organisation) di Amerika Syarikat dan ada pula yang menjalankan perusahaan yang besar seperti melombong bijih.  Bagi mereka yang kurang pengetahuan, bekerjalah sebagai buruh kasar atau sebagainya. 

            Beberapa banyak daripada anak-anak kampung atau mukim ini yang telah berhijrah ke tempat-tempat lain di dalam negeri ini seperti Bukit Gantang, Sayong, Manong, Simat, Jerlun dan lain bahkan ke negeri-negeri lain seperti Selangor, Pahang, Kedah sehingga ke negeri Siam pun ada.  Mereka ini pindah membawa anak-pinak dan isteri atau berkahwin pula serta beranak cucu-cicit di tempat mereka berhijrah itu.  Kelaziman mereka tidak pula pernah balik ke kampung asal dan lama kelamaannya hilanglah cerita mereka anak-cucu berputus langsung dengan kaum keluarga mereka yang di kampung datuk nenek mereka yang asal oleh sebab tidak berkenalan langsung.

 bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA



No comments:

Post a Comment