Total Pageviews

Monday, 9 September 2013

RIWAYAT LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Tidak berapa lama lepas itu, dalam masa Tok Adam memegang jawatan penghulu Lambor Kiri, maka kerajaan telah pula mengutip cukai (hasil) tanah dan sekali lagi orang-orang Mukim Lambor Kiri memberontak tidak mahu membayar hasil itu.  Pada kali ini Duli Yang Maha Mulia Sultan telah mengarahkan Tuan Sir Hugh Low, Resident British Perak hilir ke Lambor Kiri untuk berunding dan memberi nasihat berkenaan dengan perkara itu dengan penduduk-penduduk Lambor Kiri.

Tuan itu telah hilir daripada Kuala Kangsar ke Lambor Kiri dan sehari suntuk ia telah berunding dan bertikam lidah dengan penduduk-penduduk Lambor Kiri tetapi mereka tidak juga bersetuju dengan alasan lain mereka adalah daripada keluarga yang susah.  Apabila hari sudah petang, tuan itu berjalan kaki hendak balik ke tempat kenaikkannya (Boat House) di sungai dengan di iringi oleh orang-orang ramai berderet dan di belakangnya kerana di masa itu cuma ada jalan kaki yang boleh berjalan seorang saja dan diikuti oleh orang-orang lain berderet dari belakang.  Dalam deret yang ramai itu, dibelakang sekali ialah ninda kami Anjang Talib bin Toh Dewa (Panjang Ogek) sambil masing-masing berjalan menuju ke sungai itu ia merungut dan berceloteh di antara mereka sambil memberi sedikit sebanyak nasihat kepada mereka yang ada bersama-sama di situ.  Katanya, kerajaan sekarang berkehendakkan wang untuk dikembalikan faedahnya kepada orang-orang ramai dan kepada mereka bersama.  Satu daripadanya untuk menjaga keamanan dan jika kerajaan tidak cukup wang, apa yang boleh dibuat, katanya lagi.  Kerajaan tidak berkehendakkan hasil yang tinggi, sekadar yang difikirkan berupaya orang membayarnya, boleh dirundingkan kelak dan jika tidak dapat ditunaikan di masa ini, boleh bertangguh atau boleh di jual seekor dua ayam untuk membayarnya.  Diantara yang ramai itu seorang menyahut katanya “betul sangat” dan dituruti oleh orang lain pula.  Rupanya, percakapan mereka itu terdengar kepada Tuan Hugh Low dan ia terus berhenti di situ di dalam perjalanannya balik ke sungai dan ia bertanya “siapa orangnya ini?”  Seorang menjawab ia adalah seorang daripada anak Toh Seri Dewa Maharaja Panjang Ogek dan adik kepada Tok Penghulu yang dahulu (Alang Abdul Ghafar) kata Tuan Hugh Low lagi “inilah rupa orangnya yang patut dilantik jadi penghulu disini.”  Ninda itu menjawab”saya tidak pandai menulis tuan,” tuan itu menjawab “itu tidak menajadi hal, fikiran yang bagus yang boleh diikuti oleh orang-orang ramai yang dikehendakI”.  Dan dengan itu ia (Anjang Talib) dilantik menjadi Penghulu Lambor Kiri untuk mengantikan Tok Adam yang serta-merta dilucutnya sebagai penghulu di situ.  Begitulah keadaannya di masa itu.  Bagaimanapun, tentulah tuan itu memohonkan ampun dan persetujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan.  Ninda itu terus bertugas sebagai penghulu Lambor Kiri hingga masa ia bersara tahun 1911.  Selepas ia bersara, adiknya sebapa pula Alang Jabar (Haji Mohd Jabar Bin Toh Dewa Panjang Ogek) telah dilantikl untuk menggantikannya sebagai Penghulu Lambor Kiri.



bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment